|
|
Kecewa dan terkilan apabila ilhamnya
menghasilkan shawl corak bendera Palestin-
hitam, merah, putih dan hijau ditiru peniaga
lain. Namun, Yatt Hamzah tidak berhasrat
mahu menyaman sesiapa kerana baginya
selagi dia berbuat sesuatu dengan ikhlas
kerana Allah SWT, pasti Dia akan membantu
dan melindunginya.
Cerita Yatt, idea untuk menghasilkan shawl
Palestin tercetus sekembalinya daripada
lawatan ke negara itu pada Mac 2013.
Bertujuan untuk mencari dana bagi membantu
penduduk di negara itu, dia mengilhamkan
shawl itu yang sambutannya amat baik sekali.
Kali pertama dia keluarkan 70 helai sebagai
percubaan dan dalam masa tiga hari habis
dijual.
"Sebahagian daripada hasil jualan daripada
shawl itu saya masukkan ke dalam Tabung
Palestin. Berikutan sambutan yang hebat,
saya terus menambah jumlah shawl sehingga
ribuan helai. Bukan saja dibeli orang
persendirian, malah syarikat korporat turut
menjadi pelanggan saya. Selagi ada yang
membeli, selagi itulah saya terus
menyumbang untuk Tabung Palestin.
"Melihat sambutan yang bagus, ada pula
yang meniru idea saya itu dengan menjual
pada harga murah dengan kualiti kain yang
amat rendah. Lebih berani lagi, ada peniaga
'online' meletakkan gambar dan 'menjual'
nama saya untuk melariskan perniagaan
mereka.
"Sudah banyak kali saya menghubungi mereka
dan memberi amaran jangan menggunakan
nama saya untuk melariskan perniagaan
mereka, tetapi mereka degil. Awal tahun ini,
ramai betul yang buat shawl Palestin itu dan
saya boleh tahu mereka yang memakainya
beli saya punya atau daripada peniaga lain
berdasarkan kualiti kain dan jahitan," katanya.
Bukan itu saja, kata Yatt atau pemilik nama
sebenar Haryati Hamzah, jubah rekaannya
juga ditiru peniaga lain dan lebih
mengecewakannya, rakannya sendiri yang
meniru dan menjualnya.
"Bersusah payah saya mencari ilham, alih-alih
mereka tiru macam itu saja. Saya hubungi
terus rakan yang meniru itu dan alasan yang
diberi dia tak perasan dan tak sengaja. Ada
juga yang mengaku kononnya rekaannya
sendiri. Kalau betul pun ilhamnya sendiri,
takkanlah 99 peratus sama dengan saya
punya," katanya.
Guna Facebook, Instagram
Jelas Yatt lagi, biasanya sebelum dia menjual
produk tudung atau jubah, dia buat contoh
yang digayakannya sendiri dalam Instagram
atau Facebook untuk melihat sambutan
pengikut dan peminatnya.
"Dari situlah saya boleh tahu mereka suka
corak yang mana. Namun selepas rakan yang
berniaga jubah ini melihatnya, terus mereka
meniru rekaan saya itu. Sebelum saya sendiri
sempat membuat dan menjualnya, mereka
sudah menjualnya dulu," katanya.
Bagaimanapun, tegas Yatt yang berniaga
kerana Allah SWT, walaupun semangatnya
hampir luntur, namun dia akan terus memacu
perniagaannya dan dia bakal membuka butik
di Seksyen 7, Shah Alam dan Johor Bahru,
tahun depan.
"Pelanggan saya bukan saja dari negara ini,
tetapi dari Indonesia,Singapura dan Brunei
yang mana mereka sentiasa melayari
Instagram dan Facebook saya," katanya.
Yatt membuka perniagaan pakaian Muslimah
dan shawl di bawah label Suci by Yatt
Hamzah lebih setahun lalu yang mana nama
perniagaan itu sempena nama anak
perempuan tunggalnya, Suci Hanania Malika
Abdul Mutalib, 5.
Buat masa ini, Yatt ada butik di tingkat empat
dan tingkat dua di Bangunan Busana @ Mara,
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Dalam usahanya untuk melebarkan
perniagaanya itu, baru-baru ini Yatt bertemu
dan berbincang dengan Senator Shahanim
Mohamad Yusoff yang berjanji membantu
usahawan artis mendapat dana perniagaan.
"Saya amat berterima kasih apabila beliau
sudi bertemu saya untuk mengetahui masalah
artis yang berniaga terutama dalam usaha
mendapatkan dana. Saya bercadang
mengadakan janji temu dengannya pada
masa terdekat ini bagi membincangkan
perkara ini dengan lebih lanjut. |
|