|
Slot Akasia merupakan slot popular di TV3 dan sentiasa dinantikan oleh peminat drama tempatan. Baik suri rumah mahupun yang bekerjaya, mereka pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk duduk di hadapan kaca televisyen bagi menonton drama-drama yang dipaparkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 hingga 8.00 malam.
Slot ini sentiasa menjadi perbualan bukan sahaja disebabkan paparan jalan cerita yang menarik, namun watak utama yang membintangi drama tersebut. Disebabkan kaum Hawa merupakan majoriti yang menonton slot Akasia, watak hero senantiasa menjadi kegilaan wanita di luar sana lebih-lebih lagi jika pelakon itu membawa watak lelaki romantik.
Bagi drama yang disiarkan sepanjang 2014 di slot Akasia, pelakon kacak Keith Foo merupakan antara jejaka hot yang menjadi siulan ramai wanita. Keith mula berlakon di slot Akasia menerusi drama ‘Love You Mr. Arrogant’ sebagai watak pembantu pada tahun 2013, namun namanya mula melonjak naik apabila membintangi drama hits, ‘Ariana Rose’ pada awal tahun ini.
Dalam drama terbitan Pena Creative ini, Keith memegang watak sebagai Tengku Adam Kamil yang merupakan seorang kaki perempuan namun berubah menjadi baik selepas jatuh hati dengan Ariana Rose. Lakonan Keith dalam drama ini pernah mencetuskan kontroversi kerana dia membawa watak individu beragama Islam.
Selepas drama ini mencetuskan fenomena sehingga mendapat 4.6 juta penonton, banyak tawaran yang diterima jejaka berusia 31 tahun ini. Ia merupakan permulaan yang baik buat karier seni Keith yang baru sahaja pulang dari Indonesia setelah empat tahun membina nama di sana.
Seorang lagi pelakon yang turut mendapat perhatian menerusi drama ‘Ariana Rose’ ialah Hisyam Hamid. Walaupun hanya memegang watak sebagai pelakon pembantu, namun jejaka berusia 29 tahun ini turut menjadi bualan peminat drama ini di mana ramai tertanya-tanya siapa gerangan jejaka tinggi ini.
Hisyam Hamid memegang watak sebagai Harith yang jatuh cinta kepada Ariana Rose. Biarpun namanya mula melonjak naik, namun pelakon dari Singapura ini tidak pernah menyorok status dirinya. Hisyam mengakui sudah berkahwin selama lapan tahun dan mempunyai dua cahaya mata.
Seorang lagi pelakon yang sudah mendirikan rumahtangga, namun tetap popular dan diterima peminat, iaitu penyanyi Izzue Islam. Lakonan Izzue sebagai Mikail dalam drama ‘Aku Isterinya’ sentiasa dinantikan penonton. Biarpun wataknya sangat dibenci kerana menghambakan serta melayan teruk watak Mya Arlissa lakonan Anzalna Nasir, namun penonton mula cair dengan lakonan Izzue pada pertengahan episod drama ini.
Drama ‘Aku Isterinya’ pernah mencetuskan kontroversi apabila timbul dakwaan kononnya isteri Izzue yang juga merangkap pengurusnya, Awin Nurin cemburukan Anzalna kerana melakonkan babak romantik dengan suaminya. Walau bagaimanapun Awin dan Izzue menafikan perkara tersebut namun Anzalna sebaliknya tidak menafikan timbul sedikit salah faham antara mereka.
Nama Zul Ariffin dan Fahrin Ahmad juga antara pelakon slot Akasia yang hangat diperkatakan oleh peminat-peminat wanita. Watak yang dibawa mereka juga boleh dikatakan agak sama, seorang suami yang perlu melayan kerenah pasangan mereka selepas dikahwinkan tanpa rasa cinta. Karakter ‘suami idaman’ iaitu penyabar, romantik dan penyayang yang dibawakan mereka dalam memikat hati isteri membuatkan peminat di luar sana terpesona dengan jejaka yang memiliki susuk tubuk sasa ini.
Mungkinkah Ungku Ismail Aziz akan menjadi jejaka hot Akasia seterusnya apabila drama ‘Teman Lelaki Upahan’ ditayangkan kelak? Sama-sama kita menonton drama-drama terbaik yang dipaparkan di slot Akasia TV3. |
|