Sudah terbuka hatiOleh KHADIJAH IBRAHIM
[email protected]
Gambar ZAKARIA IDRIS
Pakaian Women of Jannah (03-77224800)
DUA puteri melengkapkan kehidupan Ainan sebagai ibu tunggal.
PEJAM celik, sudah empat tahun Ainina Ahmad B hidup sebagai ibu tunggal kepada dua orang anak, Nur Ariana Rahmat, 12, dan Nur Ara Elisha, 5.
Sewaktu Hits bertanya kepada bekas isteri penyanyi Rahmat Tohak tentang sambutan Aidilfitri baru-baru ini, katanya, dia tidak pernah berhadapan dengan masalah kerana anak-anak sentiasa beraya dengannya.
"Memang sekarang ini anak-anak bersama saya. Saya bukan jenis yang memaksa. Setiap kali menjelang raya, saya pasti tanya anak sulung, dia nak beraya di mana?
"Nur Ariana sendiri cakap yang dia hendak beraya dengan saya. Kalau dia nak beraya dengan papa dia pun saya tak kisah. Lagipun sejak dulu, bila raya keempat atau kelima baru kami berkesempatan beraya dengan Rahmat. Jadi anak-anak sudah terbiasa dengan keadaan itu," ceritanya.
Dalam pada itu, kata Ainina, biarpun Rahmat di Johor Bahru, penyanyi kumpulan Mega itu tidak pernah mengabaikan keperluan anak-anak. Rahmat akan turun ke Kuala Lumpur dan membawa sendiri anak-anak membeli baju raya sejak mereka bercerai.
Tambah Ainina, selain membeli pakaian raya untuk anak-anak, Rahmat juga sering membawa mereka keluar jika dia berada di ibu kota dan untuk bulan Ramadan lalu, beberapa kali juga Rahmat berpeluang berbuka dengan anak-anak.
"Tiap kali dia turun ke Kuala Lumpur atas urusan kerja, Rahmat pasti cuba menyelitkan waktu untuk bersama anak-anak. Saya sendiri cakap pada Ariana, kalau dia nak tengok wayang, ajak papa sebab saya tidak minat.
"Waktu keluar dengan papa dia, Ariana akan minta apa yang dia hendak dan selalunya Rahmat tidak pernah menghampakan permintaan anaknya. Saya jarang turut serta dengan mereka, melainkan kalau ada keperluan," tambahnya.
Memandangkan hubungan baik yang terjalin antara anak-anaknya dengan bekas suami, Ainina bersyukur kerana anak sulungnya memahami situasi mereka.
"Saya bersyukur sangat kerana anak sulung faham keadaan dalam keluarga. Kalau budak berusia 12 tahun boleh faham situasi yang berlaku, saya harap orang dewasa pun tidak ada masalah.
"Memang antara saya dan Rahmat sudah tidak ada apa-apa ikatan tetapi kami masih berhubungan sebagai kawan atas urusan anak-anak. Saya harap tidak ada pihak yang salah sangka dengan hubungan ini," katanya ikhlas.
Memandangkan anak-anak beraya dengannya, seperti biasa Ainina yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik itu akan beraya dengan keluarga di Ijok, Kuala Selangor dan Melaka.
SEDIA melalui kehidupan bermadu sekali lagi jika itu ditakdirkan untuknya.
Sedia bermadu lagi
Dalam perbualan bersama Ainina, Hits sempat bertanya, sejak hidup sebagai ibu tunggal tidak adakah orang yang cuba untuk mendekatinya.
Sambil tersenyum, Ainina berkata, hatinya sudah terbuka untuk menerima orang baharu dan memang ada yang cuba untuk mengetuk pintu hatinya. Namun sehingga kini belum ada yang berjaya.
"Bohonglah kalau saya kata tidak ada yang cuba mendekati, memang ada. Orang biasa sahaja bukan daripada kalangan artis. Saya bersedia menerima sesiapa sahaja tetapi dengan syarat, orang itu boleh mengambil hati anak-anak saya.
"Entahlah mungkin belum ada yang serasi dengan saya dan anak-anak lagi. Kalau ada memang saya tidak menolak. Saya percaya kepada ketentuan Allah. Kalau Allah telah takdirkan saya bakal bermadu sekali lagi, saya terima. Mesti ada yang kata kenapa saya masih nak terima, sedangkan saya pernah melalui situasi itu. Tidak serik?.
"Memanglah kalau boleh saya tidak mahu suami orang tetapi kalau itu sudah takdirnya, siapa saya untuk menolak. Apa yang penting isteri pertama tahu dan boleh terima poligami. Biar dia tahu kehadiran kita bukan untuk merampas tapi berkongsi kasih atas kehendak takdir. Lagipun saya bukan jenis yang tamak," katanya.
Sibuk niaga
Pasti ramai yang tertanya, dari mana Ainina mendapat sumber pendapatan untuk menyara kehidupannya anak-beranak, sedangkan sekarang ini dia kurang berlakon. Jangan berprasangka buruk terhadap pelakon yang popular sekitar 90-an ini.
Jelas Ainina, selain berlakon dia juga menumpukan perhatian pada bisnes jubah yang dimulai sejak tahun lepas.
"Memang orang jarang tengok saya di kaca TV. Bukan tidak ada tawaran berlakon, memang ada tapi beberapa bulan lalu saya ada masalah dengan pembantu rumah. Jadi bila datang tawaran saya terpaksa menolak kerana tidak ada orang menjaga anak.
"Sekarang ini saya sudah ada pembantu rumah yang baharu, jadi anak-anak terjaga. Sebagai ibu tunggal, semua perkara saya kena buat sendiri, itu yang penat. Tapi saya gembira kerana mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sempurna, sebab dapat melihat anak-anak membesar di depan mata," katanya.
Menurutnya, selepas raya nanti dia mungkin akan kembali aktif berlakon kerana lakonan adalah darah dagingnya. Selain berlakon, Ainina juga akan lebih serius memberi tumpuan pada bisnes jubah.
"Sekarang ini saya dan rakan menjadi pembekal abaya jenama Hurul Ain kepada peniaga-peniaga. Untuk akan datang, saya bercadang untuk menjual abaya dengan jenama sendiri. Semua itu dalam proses, semoga dipermudahkan Allah.
"Selain bisnes abaya, saya juga menjual produk Skincerity dan saya adalah antara orang terawal yang menggunakan produk dari Amerika Syarikat itu. Saya punya ramai pembekal-pembekal dan setakat ini semuanya berjalan lancar," katanya.