|
50pp: miskin
...kulit-kulit kerepotnya yang kian dimamah zaman dek saban hari tidur bertilamkan kepingan-kepingan buluh, berselimutkan dingin embun, berlangitkan kelam malam disinari bulan bintang, berbantalkan batu bata, saban malam ditemani irama lagu keroncong diperutnya, dia sudah lali, sudah berdekad menelan pahit, hanya mampu berdoa semoga dirinya diredai dalam ketar menahan tusukan dingin...
CNM, 14/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: sama
...dalam tubuh, sama mengalirnya merah darah, tiada beza, tiada lebih, tiada kurang, jadi usah memandang pada yang lain dengan pandangan sebelah mata, lebih baik menghulur tangan persahabatan, menerima seadanya sahabat, tiada kata-kata menghina, merendah dan merasa diri hebat lagi sempurna, di sini kita sama berkongsi minat sama memartabat indahnya bahasa...
CNM, 14/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
Mata
bila mata berbicara
ada yang lentuk tergoda
jatuh cinta pandang pertama
rela menyerah jiwa raga
demi sebuah rasa...
bila mata berbicara
ada yang masam mencuka
terasa diri bagai dihina
menjauhkan diri berduka
demi ego yang diperaga...
bila mata berbicara
kata-kata tidak lagi bermakna.
CNM, 14/7/13, THMK |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: malam
...malam telah mengoyangkan jari telunjuknya pada mataku, lalu mataku tersipu malu, mana tidaknya, dari pagi bertenggek pada skrin komputer, membaca, menulis, menelaah puisi tanpa henti, malam mengingatkan cukuplah, esok-esok bisa disambung lagi, berilah kerehatan yang mencukupi pada mata yang kian uzur, hidup ini harus bersederhana, kawal diri, bisik malam bersahaja...
CNM, 14/7/13, THMK |
|
|
|
|
|
|
|
100pp: di mana silapnya
...aku ini pengajar, sedaya upaya memberi yang terbaik, membantu yang termampu, menyediakan kamu berperang di dewan peperiksaan, sehingga ke situ saja yang mampu aku bantu, selebihnya kamu yang perlu bertarung dengan kerencaman soalan, dengan ilmu yang kamu serap pada setiap pertemuan, hasilnya kamu rasai sendiri, yang cemerlang, yang meningkat, yang merosot semua ada, di mana silapnya aku atas kemerosotan kamu? di mana lebihnya aku atas kecemerlangan kamu? yang cemerlang, yang merosot aku juga yang mengajar, salahkah aku? tanya diri kamu? adakah benar-benar bersungguh atau hanya takut dileteri ibubapa bila di rumah, bukan hadir untuk sebuah kejayaan tapi hanya tempat pelarian...
CNM, 15/7/13, THMK |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: kenapa?
...bunga-bunga rindu yang mekar di tangkai kalbu, mengharumkan wangian syahdu, bila bicara yang dibisikkan menawan sukma menggebu, terharu, tapi itu hanya sementara bila ia hancur jadi debu, kala perbuatan menyembilu, menyiat sekeping hati hancur berkecai membeku, rindu pun keras membatu, gugur satu persatu ke perdu, layu sebelum waktu,...kenapa begitu?
CNM, 15/7/13, THMK |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: senak akal
...terkadang bukan masalah kita pun, tapi ia datang berpusing mengusut fikiran, mengocak muara kedamaian, membenih awan kemurungan, menghunjam titis kedukaan, membanjiri kolam keresahan, dan selaut kebingungan meliputi dataran ketenangan, membunuh semangat, meluluh ketabahan, memenggal kesabaran, melumpuhkan kekentalan, semangat juang terlebur, hanya mampu berdoa dan pasrah setelah berhempas pulas, senak akal...
CNM, 15/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: kenalilah
...sebelum mengangguk kepala tanda setuju, sebelum mengekor seperti kerbau dicucuk hidung, sebelum menerima apa saja yang diperkata, kenalilah siapa mereka, siapa yang menyata, kelak tersalah terima, terpesong jalan dan kepercayaan, terbelenggu dek kependekan akal, terkial-kial, tertunjal-tunjal, menyesal dalam sebal, malu berlingkar-lingkar, melilit berakarkan dangkal, mengenepi yang benar, yang sepatut diuar-uar...
CNM, 16/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: berbeza
....memandang mudah mengundang padah, walau sama tapi berbeza, bermain bolasepak kelihatan sama dengan bermain futsal, tapi keduanya amat berbeza, memandu bunyinya mudah, memandu kereta tak sama cara mandu lori panjang, kalau silap boleh masuk longkang, jadinya belajarlah setiap satu penuh hemah, tolak ke tepi keegoaan yang memunah, tentu banyak faedah...
CNM, 16/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: betul
...andai rasa betul, semak betul-betul, sahkan ia memang betul, tak perlu lagi diperbetul, diterima semua memang betul, kerana jika hanya merasa betul, menganggap diri sentiasa betul, itu perlu diperbetul, biasakan yang memang betul, hentikan yang tidak betul , baharulah dikatakan betul, tiada yang mengiyakan ia tak betul, melainkan semuanya betul...
CNM, 16/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: kembali
...demi masa, setiap yang dikerja tercatit dalam diari pahala dosa, syurga atau neraka hak mutlak Yang Esa, kita hanya mampu berdoa, memohon keampunan masa ke masa, tersembunyi reda atau murka pada ketentuan-Nya, Dia mengetahui segala yang tersembunyi mahupun yang nyata, kembalilah kepada syariat yang membawa syafaat dan reda-Nya ke syurga...
CNM, 16/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: Penat
...terkadang terasa dari dalam lubuk jiwa akan keletihan, ya letih, bila apa yang diusahakan jauh dari kemenjadian, entah di mana cacat celanya, namun aku yakin sesuatu kejayaan perlukan kesungguhan semua yang terlibat, jika bertepuk hanya sebelah tangan, orang kata tak akan berbunyi, jauh sekali mengundang kemeriahan, ia memenatkan lagi mengecewakan...
CNM, 16/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: terbuka
...sebelum kita meminta orang lain terbuka, membuka minda berlapang dada, adakah diri kita sudah membuka seluasnya minda sendiri, sedia menerima kritikan, sedia menerima teguran, kalau belum bersedia lupakan sahaja hajat murni itu, kerana yang memberi respon pasti ada yang tak sehaluan dengan kita, jadi bersiap sedia dengan kemungkinan disanggah segala...
CNM, 16/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
wanita
sungguh mulia
tabah taat dan setia
tunjang kekuatan lelaki berjaya
tunjang sebuah keluarga bahagia
mempertahankan hak ke hujung nyawa..
wanita
jangan mudah terasa
ia jadikan lebih mudah dalam berbicara
buang emosi junjung rasional
itu kelihatan lebih profesional...
CNM, 17/6/13, THMK |
|
|
|
|
|
|
|
Terima Kasih
terima kasih bulan
mengindahkan kelam malam
cahayamu dinanti pelusuk alam
menyuluh wilayah kegelapan
memberi harapan
hidup perlu diteruskan
dan bahawa gelita tak berpanjangan...
CNM, 16/7/13, THMK |
|
|
|
|
|
|
|
50pp: janji
...lupakah pada janji, yang terucapkan setelah kiam mengangkat takbir, janji bahawa hidup mati hanya kerada Dia, jika kerana Dia, mengapa dipersenda titah dan perintah-Nya, tidakkah itu engkar dalam taat, berpuasa tanpa solat, berpuasa tanpa menutup aurat, berpuasa tanpa mengeluar zakat, di manakah ketulusan janji, atau hanya pengucapan yang tak bererti...
CNM, 17/7/12, THMK. Last edited by Goldkey on 17-7-2013 04:59 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
50pp: Senyum
...Senyum itu indah, senyum penakluk jiwa, senyum mengoncang sukma, senyum mengetarkan dada, senyum jadi pengubat luka, senyum bisa mereda amarah, senyum petanda menerima, senyum pemberi jawapan, senyum bahasa menyata, senyum memungkin kemaafan, senyum baja kasih sayang, senyum menyubur kedamaian, senyum gambaran sebuah kemesraan, senyum tak ternilai harganya, jangan lupa senyum...
CNM, 17/7/13 |
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki
saat engkau berpergian
keluar di awal pagi
mencari segedung rezeki
ingat di belakangmu menanti anak isteri
penuh harapan tak pasti...
lelaki
jangan sesekali engkau curangi
sepanjang waktu yang mereka restui
jangan mereka engkau khianati
cuba memasang angan berpoligami...
lelaki
jika helahmu diketahui
maka kamu telah memasang unggun api
kelak akan membakar harmoni
kamu didendami hingga mati...
CNM, 17/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
Tangan Nafsu
tangan nafsu
tanpa segan silu
menconteng arang ke muka kalbu
bebal menongkah wahyu
mengheret songsang dari diredai Yang Satu
tangan nafsu
mengikat keinsafan ke perdu
kunci ke pintu kebenaran dipalsu
mengaburkan jalan direstu
melambai ke lembah berdebu
tangan nafsu
melakar garis-garis sendu
kekal terlanjur melukis keliru
hidup terumbang di lorong berliku
terkumpul catatan kelabu...
tangan nafsu
angkatlah telapak ke langit biru
mohon keampunan sucikan dosa lalu
sesungguhnya pada Dia tempat mengadu
nescaya tangan nafsu tunduk malu.
CNM, 18/7/13, THMK. |
|
|
|
|
|
|
|
C
Culas
cemarkan imej peribadi
cerminan tak menjadi
cemerlang jauh sekali
cacarmarba terjadi
Celika
cerita tetang kemalasan
ceroboh etika pekerjaan
cuai dalam tugasan
comot perjawatan
Cutel.
CNM, 18/7/13 |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|