|
Berita Semasa [Pelbagai] Luar Negara & Ucap Selamat (10 Post Sehari)
[Copy link]
|
|
Wabak penyakit menular pantas di negara dilanda perang
Oktober 29, 2023 @ 3:34pm
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/NMGCX4UJWVK5RF46VEML64DBJQ_1698564844.jpg)
Seorang kanak-kanak menerima rawatan bagi penyakit taun di pusat perubatan dikendalikan Medecins Sans Frontieres (MSF) atau Doktor Tanpa Sempadan. - Foto REUTERS
VINNYTSIA: Sekolah di bandar Vinnytsia, Ukraine, akan memulakan pembelajaran dalam talian bermula esok, selepas wabak Hepatitis A menjangkiti ramai kanak-kanak dan orang dewasa.
Sebahagian besar mangsa dihantar ke hospital, kata ketua pegawai kebersihan negara itu pada hujung minggu, yang memaklumkan wabak merebak pantas kerana kekurangan sanitasi di negara dilanda perang itu.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ketua Doktor Sanitari Ukraine, Ihor Kuzin, menerusi catatan Facebook semalam, berkata 141 orang di bandar dan wilayah itu berada di hospital.
"Perkara utama sekarang adalah untuk mewujudkan pusat wabak dan mencari punca untuk menghentikan penyebaran virus Hepatitis A dalam kalangan penduduk secepat mungkin," katanya.
Vinnytsia yang mempunyai kira-kira-kira 370,000 penduduk sebelum perang, adalah pusat pentadbiran wilayah di tengah Ukraine.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), Hepatitis A ialah jangkitan hati jangka pendek yang boleh disebarkan melalui kontak rapat dan makanan atau minuman tercemar.
Orang mendapat Hepatitis A mungkin merasa sakit selama beberapa minggu hingga beberapa bulan tetapi biasanya pulih sepenuhnya, melainkan berada dalam kumpulan berisiko atau ada masalah kesihatan.
"Setakat ini, tiada punca penyebaran wabak itu dikenal pasti dan kami sedang menganalisis pusat penyebaran serta bekerjasama dengan penduduk khususnya untuk mengesan orang yang ada kontak rapat,'' kata Kuzin.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/tetis_1698564840.jpg)
Virus hepatitis lazimnya menyerang limpa manusia. - Foto Hiasan.
Dalam perkembangan lain, wabak taun dan demam denggi di Sudan yang dilanda perang menyebabkan lebih 100 orang terbunuh sejak Ogos lalu, kata Kementerian Kesihatan hari ini.
Sebanyak 1,049 kes taun dengan 73 daripadanya membawa maut direkodkan di Khartoum, selatan Al-Jazira dan barat Gedaref, kata kementerian itu.
Khartoum menjadi antara medan pertempuran utama dalam pertempuran antara seteru jeneral yang 'mencengkam' negara terbabit sejak April.
Ratusan ribu penduduk Khartoum melarikan diri ke kawasan yang lebih tenang di Gedaref dan Al-Jazira, yang ada banyak bekalan air bersih.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/afp-denggi_1698564836.jpg)
Pekerja perubatan menggunakan mesin penyembur kabus ketika kempen membasmi nyamuk aedes yang mengakibatkan denggi. - Foto AFP
Sembilan negeri di Sudan merekodkan sebanyak 3,316 kes denggi secara keseluruhan, dengan 49 kematian.
Gedaref yang bersempadan dengan Ethiopia melaporkan 2,152 kes dan 33 kematian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam kenyataan, melaporkan, pengabaian aspek sanitasi dan sekatan bantuan kemanusiaan di negara dilanda perang adalah punca utama penularan pelbagai wabak.
"Kebanyakan hospital dibom dan bekalan ubat kekurangan manakala keselamatan doktor serta kakitangan perubatan sering terancam di negara dilanda perang, menyebabkan mereka enggan berkhidmat.
"Sekitar 70 peratus hospita di wilayah dilanda perang kini tidak dapat beroperasi," katanya. - AGENSI
Kredit: Berita Harian
|
|
|
|
|
|
|
|
Jorge Martin takluk GP Thailand
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/10/MotoGP-RRR-750x500.jpg)
Jorge Martin (tengah) meluncur ke garisan penamat menewaskan pencabarnya Francesco Bagnaia (kiri) di litar Buriram, Thailand hari ini. - AFP
Oleh Media Mulia
29 Oktober 2023, 7:01 pm
BURIRAM: Pelumba Sepanyol Jorge Martin menjuarai perlumbaan MotoGP Thailand sekali gus merapatkan jurang 13 mata dengan pendahulu keseluruhan Francesco Bagnaia yang menduduki tempat ketiga.
Bagnaia bagaimanapun diberi kemenangan di tempat kedua selepas pelumba Afrika Selatan, Brat Binder dikenakan penalti turun satu kedudukan selepas melakukan kesalahan pada pusingan terakhir.
Ketiga-tiga pelumba itu saling memintas antara satu sama lain, sebelum Martin yang menunggang bersama pasukan Pramac-Ducati mendahului dua saingan terdekatnya itu pada babak terakhir perlumbaan.
“ Saya sangat gembira dengan kejayaan ini sebab sebelum ini saya tidak sebagus mereka,” katanya.
Pelumba Sepanyol itu bermula cemerlang tanpa menghadapi gangguan tayar walaupun dicabar sengit Binder yang menunggang KTM dan Bagnaia mewakili factory-Ducati.
Kredit: Utusan Malaysia |
|
|
|
|
|
|
|
Edited by anniez08 at 29-10-2023 09:52 PM
Kane ulangi jaringan tengah padang Beckham
Oktober 29, 2023 @ 8:18pm
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/kandfnjwn5yer_1698581875.jpg)
Pemain Bayern Munich, Harry Kane (kanan) meledak hatrik ketika aksi Bundesliga menentang SV Darmstadt 98 di Allianz Arena, Munich. - Foto AFP
MUNICH: Harry Kane meneruskan permulaan cemerlang dalam kariernya di Bayern Munich dengan menjaringkan gol dari tengah padang.
Kapten England itu mengulangi jaringan ikonik David Beckham ketika menentang Wimbledon pada tahun 1996, dengan menjaringkan gol kelima pasukannya ketika kemenangan 8-0 ke atas Darmstadt.
Kane menjaringkan gol dari bulatan tengah untuk gol keduanya pada perlawanan itu, sebelum melengkapkan hatrik pada perlawanan berkenaan.
Dalam perlawanan yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan di babak pertama, Bayern meledak lapan gol dalam tempoh 38 minit selepas rehat.
Kane membuka jaringan enam minit selepas babak kedua bersambung, dan anak buah Thomas Tuchel mula merobek gawang pelawat.
Leroy Sane menjaringkan dua gol dan Jamal Musiala meledak gol pertamanya pada perlawanan itu sebelum Kane melakukan jaringan dari tengah padang ketika permainan berbaki 20 minit.
Musiala turut menjaringkan gol keduanya dan Thomas Muller menyertai senarai penjaring, diikuti jaringan hatrik Kane dua minit sebelum tamat permainan.
Bayern terpaksa bermain dengan 10 orang bermula minit keempat selepas Joshua Kimmich dilayangkan kad merah.
Pelawat pula kehilangan dua pemain apabila Klaus Gjascula dan Matej Maglica dibuang padang.
Hatrik berkenaan menyaksikan Kane kini sudah meledak 14 gol dan melakukan tujuh umpanan gol dalam 13 perlawanan sejak berpindah ke kelab Bundesliga itu pada musim panas lalu.
Bayern kembali ke puncak Bundesliga, satu mata di depan Bayer Leverkusen. - AGENSI
Kredit: BH Online
|
|
|
|
|
|
|
|
Selamat malam
![](https://encrypted-tbn0.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcQhSy_PzH9HC1NiWNnXsU2Pg_x3DW2VwF6c5g&usqp=CAU) |
|
|
|
|
|
|
|
Bintang 'Friends' Matthew Perry meninggal dunia
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231029/matthewperryafp.jpeg)
Perry meninggal dunia pada usia 54 tahun - Gambar AFP
WASHINGTON: Pelakon dan pelawak Matthew Perry yang popular antaranya melalui sitkom Friends meninggal dunia petang Sabtu pada usia 54 tahun, lapor United Press International (UPI) yang memetik beberapa sumber berita.
TMZ melaporkan pelakon itu, yang mengalami masalah salahguna bahan khayal untuk tempoh agak lama, ditemui maut selepas disyaki lemas di dalam jakuzi di sebuah rumah di Pacific Palisades, California.
Bagaimanapun tiada dadah ditemui di tempat kejadian.
Menurut laporan Los Angeles Times, tiada unsur jenayah dikesan dalam kematian pelakon itu.
Access Hollywood and People.com menghubungi pengurus Perry untuk ulasan tetapi belum menerima ap-apa lagi respon.
Friends disiarkan dari tahun 1994 hingga 2004. Sitkom itu turut menampilkan Jennifer Aniston, Courteney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc dan David Schwimmer. - BERNAMA
https://www.utusanborneo.com.my/ ... rry-meninggal-dunia
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 29-10-2023 02:25 PM
Roket gegarkan bandar Mesir bersempadan Israel, enam cedera
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231028/duniahiasan.jpeg)
ISMAILIA: Enam orang cedera apabila roket menggegarkan sebuah bandar Mesir yang bersempadan dengan Israel pada malam kelmarin, menurut media tempatan.
"Berlaku sebagai sebahagian daripada ketegangan semasa di Gaza, sebuah roket terhempas di Taba, mencederakan enam orang," lapor berita televisyen AlQahera News.
Saksi memberitahu AFP bahawa roket itu mengenai bangunan tambahan hospital di bandar Laut Merah, yang terletak berhampiran lintasan sempadan dengan Israel.
Imej yang tersebar dalam talian dan media tempatan menunjukkan sebuah bangunan ranap dan kenderaan meletup.
Mesir telah memainkan peranan selaku pengantara utama dalam konflik yang tercetus selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, dan menangkap lebih 220 yang lain sebagai tebusan.
Pegawai Hamas mengatakan bahawa serangan Israel di Semenanjung Gaza telah membunuh lebih daripada 6,500 rakyat Palestin, juga kebanyakannya orang awam.
Persimpangan sempadan Rafah di Gaza dengan Mesir adalah satu-satunya pintu masuk yang tidak dikawal oleh Israel, dan laluan utama untuk makanan dan bantuan.
Pada hari Rabu, Presiden Abdel Fattah al-Sisi memeriksa tentera Mesir di Suez, mengarahkan mereka untuk "sentiasa bersedia". - AFP
https://www.utusanborneo.com.my/ ... -israel-enam-cedera
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 29-10-2023 02:25 PM
'Raja bolos' Perancis terima 14 tahun lagi
![](https://www.utusanborneo.com.my/2023/10/27/raja-bolos-perancis-terima-14-tahun-lagi)
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231027/faid.jpg)
Gambar lakaran mahkamah semalam menunjukkan Faid (tengah) berdiri di kandang tertuduh bersama Rachid dan Jacques Mariani semasa perbicaraannya di bilik mahkamah Palais de Justice di Paris. - Gambar AFP
PARIS: Seorang penjenayah yang menggelar dirinya sebagai 'penagih kebebasan' dan telah melarikan diri dari penjara Perancis menggunakan helikopter yang disamun, kelmarin dijatuhi hukuman penjara tambahan 14 tahun.
Redoine Faid, yang mempunyai banyak sabitan atas kesalahan rompakan bersenjata, telah melarikan diri dari penjara di Reau, 50 kilometer dari Paris, pada 2018.
Lelaki berusia 51 tahun itu, yang ditahan selepas tiga bulan melarikan diri, telah dibicarakan bulan lalu.
Kelmarin, Mahkamah Assize di ibu negara dipenuhi lebih 100 orang.
Apabila dia tiba di kandang tertuduh, Faid sempat bergurau dengan segelintir daripada 11 defendan bersamanya, antaranya, abangnya Rachid, 65, yang disambutnya dengan ciuman.
Hukuman 14 tahun yang dijatuhkan hakim adalah lebih ringan berbanding 22 tahun yang diminta oleh pendakwa raya.
Ditambah dengan hukumannya sebelum ini kerana rompakan dan melarikan diri dari penjara yang akan dijalani hingga 2046, dia kini boleh dipenjarakan sehingga 2060.
Rachid, yang menjadikan seorang juruterbang helikopter sebagai tebusan dan memaksanya mendarat di hadapan bilik pelawat penjara Reau, mendapat hukuman penjara 10 tahun.
Abang ketiga, Brahim, 63, yang berada di dalam bilik lawatan bersama Redoine pada masa itu, bersumpah semasa perbicaraan bahawa dia tidak mengetahui rancangan itu.
Pendakwa raya mempercayainya dan menggesa dia dibebaskan.
Mahkamah tidak berbuat demikian dan menjatuhkan hukuman penjara setahun.
Tiga daripada anak saudara Redoine yang membantunya semasa dia melarikan diri dan masa dalam pelarian, dijatuhi hukuman penjara masing-masing dua, enam dan lapan tahun.
Dia berkata rancangannya untuk melarikan diri diilhamkan berdasarkan kelemahan tidak rasional di penjara tersebut yang tiada jaring anti-helikopter.
Pada 1 Julai 2018, dua lelaki yang menyamar sebagai pelajar sekolah penerbangan telah memaksa seorang pengajar juruterbang helikopter dengan mengacukan senjata agar dia menerbangkan mereka ke penjara.
Rakan-rakan Faid menggunakan bom asap dan mesin pemotong untuk memecahkan pintu dan membawanya ke helikopter yang sedang menunggu, dengan tepukan gemuruh banduan lain.
Faid, digelar 'raja bolos', memilih untuk berdiam diri semasa siasatan, untuk membantah keadaan dalam penjara.
Tetapi samseng botak itu, yang mengatakan dia mendapat inspirasi daripada penjahat filem seperti Tony Montana dalam filem Scarface, membuat kenyataan semasa perbicaraan.
Faid, yang pernah melarikan diri dari penjara selama enam minggu pada 2013, berkata dia menyedari kerosakan akibat kemahuan kebebasannya itu.
"Ia ketagihan yang saya tahu dan yang memakan saya, dan saya tidak dapat mengubatinya."
Faid berkata, dia tidak cuba meremehkan kejadian itu dan memohon maaf kepada juruterbang helikopter itu, yang tidak hadir di mahkamah.
Pada perbicaraan, dia berpuisi sambil menceritakan kejadian melarikan diri itu, bercakap tentang sinar matahari di wajahnya, rasa kebebasan dan pintu tertutup yang terbuka.
Pendakwa raya menyifatkan Faid sebagai 'penyangak' yang cuba memenangi hati orang ramai dengan jenakanya, memberi amaran kepada ahli juri supaya tidak terperdaya dengannya.
Faid telah menjalani hukuman penjara selama 25 tahun atas cubaan rompakan yang gagal pada 2010 di mana seorang anggota polis wanita terbunuh, walaupun dia mendakwa kematian itu tidak disengajakan. - AFP
https://www.utusanborneo.com.my/ ... erima-14-tahun-lagi
|
|
|
|
|
|
|
|
27 terbunuh Otis badai bandar peranginan Acapulco
Otis merempuh Acapulco dengan angin berkelajuan 270 kilometer sejam dikategori ribut tertinggi dalam skala
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231028/822647-01-02.jpg)
Kerosakan besar dialami penduduk akibat taufan Otis di Acapulco, Guerrero State, Mexico, kelmarin,.- Photo AFP
ACAPULCO: Taufan Otis menyebabkan sekurang-kurangnya 27 kematian dan kerosakan besar semasa ia membadai bandar peranginan Acapulco di Mexico sebagai ribut kategori 5, yang tertinggi dalam skala, kata pihak berkuasa kelamrin.
Otis merempuh Acapulco dengan angin kencang berkelajuan 270 kilometer sejam, memecahkan tingkap, mencabut pokok dan memutuskan komunikasi dan hubungan jalan raya ke wilayah itu.
Ribut itu memusnahkan sebahagian bangunan, meninggalkan lubang yang ternganga di dinding menara-menara tinggi.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador tiba di tempat kejadian lewat, selepas konvoinya dihalang oleh tanah runtuh dan runtuhan lain, memaksa mereka untuk berjalan kaki.
Ada penduduk meredah lumpur dan runtuhan selama berjam-jam demi mencari makanan dan tempat perlindungan.
"Acapulco ialah satu malapetaka. Ia bukan seperti yang sebelum ini," kata Eric Hernandez, 24 tahun.
"Kedai-kedai semuanya telah dirompak, orang ramai berebut barang. Jadi kami memutuskan untuk berjalan kaki kerana tiada apa-apa lagi di sana," katanya.
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231028/822761-01-02.jpg)
Orang ramai menjarah kedai setelah Otis membadai Acapulco kelmarin.- Photo AFP
Sungai yang melimpah dan jambatan runtuh telah memutuskan hubungan komuniti berhampiran Acapulco, yang menempatkan kira-kira 780,000 orang.
"Orang ramai kehilangan tempat tinggal, tiada bekalan elektrik," kata Israel Perez, seorang pembuat roti berusia 21 tahun.
Menteri Keselamatan Rosa Icela Rodriguez memberitahu sidang akhbar pada Khamis bahawa 27 orang maut dan empat hilang.
Beliau menyifatkan ribut itu sebagai "malapetaka" dan berkata tindakan orang ramai yang mencari perlindungan, tiada lagi kematian.
Kebanyakan mangsa dihanyutkan oleh sungai yang melimpah, menurut pihak berkuasa.
Kerajaan akan mula menggunakan pengangkutan udara untuk menghantar bantuan ke wilayah itu, kata Lopez Obrador.
Komunikasi telefon mula disambung semula sementara lebuh raya utama dari Mexico City ke Acapulco dibuka semula.
Otis bertambah laju dalam beberapa jam, daripada ribut tropika kepada kategori paling kuat dalam skala Saffir-Simpson sebelum melanda, mengejutkan pihak berkuasa.
"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini di negara ini, bukan sahaja kerana ia menjadi kuat begitu cepat tetapi juga kebesaran taufan itu," kata Lopez Obrador.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia menyifatkan taufan itu sebagai "salah satu taufan tropika paling kuat dalam rekod."
Orang ramai menceritakan pengalaman yang mengerikan ketika Otis mendarat pada malam Selasa-Rabu.
"Bangunan bergegar seolah-olah ada gempa bumi," Citlali Portillo, pengurus penginapan pelancong, memberitahu saluran televisyen Televisa, sambil menambah bahawa dia telah berlindung di dalam tab mandi.
Ribut itu menterbalikkan kenderaan dan malah meletakkan sebuah kereta di lobi sebuah hotel mewah, dikelilingi kaca pecah dan serpihan.
Bot nelayan dan kapal layar dihanyutkan ke darat.
Jose Luis Flores, seorang pelawat berusia 72 tahun dari San Diego Amerika Syarikat, berkata percutiannya telah menjadi "tragedi."
"Kami keliru. Kami tidak berkomunikasi dengan anak-anak kami. Kami tidak ada isyarat. Kami tidak makan apa-apa," katanya.
Tentera bekerja untuk membersihkan jalan daripada lumpur dan pokok tumbang.
Beberapa penduduk dilihat mengambil makanan, air dan barangan lain dari kedai yang dirompak.
Penduduk yang lain tiba terlalu lambat.
"Kami tidak dapat mencari makanan. Semua kedai sudah dirompak," kata penduduk yang pulang dengan tangan kosong, Guillermina Morales. - AFP
https://www.utusanborneo.com.my/ ... peranginan-acapulco
|
|
|
|
|
|
|
|
Polis kepung rumah keluarga lelaki dituduh tembak mati 18 mangsa
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231028/duniahiasan.jpeg)
LEWISTON: Pihak polis kelmarin mengepung rumah keluarga lelaki yang dituduh menembak mati 18 orang di sebuah pusat boling dan sebuah bar di negeri Maine Amerika Syarikat (AS), dan Presiden Joe Biden berkabung mengenang "satu lagi tembakan besar-besaran yang tidak masuk akal dan tragis."
Masih belum dapat dipastikan sama ada suspek berusia 40 tahun, Robert Card berada di dalam rumah itu, dengan pasukan penguat kuasa undang-undang melaungkan "sila keluar" dan "kami tidak mahu sesiapa tercedera" melalui pembesar suara.
Tindakan itu dibuat 24 jam selepas Card didakwa mengamuk di bandar kecil di timur laut Lewiston, yang memuncak dengan tembakan rawak Amerika yang paling maut tahun ini. Tiga belas orang turut cedera.
Penguatkuasaan undang-undang mengepung rumah keluarga Card di Bowdoin, berhampiran Lewiston, menggunakan dron dan helikopter dan mengarahkan wartawan yang berkumpul berdekatan untuk memadamkan lampu mereka.
Polis di tempat kejadian menyatakan pengumuman amaran tersebut merupakan "pengumuman piawai waran geledah" dan bukan pengesahan bahawa Card berada di dalam rumah.
Kawasan Lewiston telah dikunci semasa pencarian pelaku ketika pihak berkuasa membuat sekatan jalan raya, mengarahkan sekolah dan perniagaan ditutup, dan menyuruh penduduk untuk tinggal di dalam rumah.
Gabenor Janet Mills berkata suspek "dianggap bersenjata dan berbahaya, dan polis menasihatkan supaya orang Maine tidak mendekatinya dalam apa jua keadaan."
Dalam rakaman video pengawasan pada hari Rabu, Card dilihat mengacukan senapang separa automatik ketika dia masuk ke pusat boling Just-in-Time.
Seorang jiran pelaku, Dave Letarte, berkata berita tentang penembakan itu "mengejutkan saya."
"Saya tidak akan pernah menjangkakan dia akan melakukan itu," katanya kepada AFP mengenai Card.
Joseph Walker, seorang pengurus di Schengees Bar & Grille, adalah antara yang terbunuh pada malam sebelumnya, kata bapanya Leroy Walker kepada NBC News.
Walker berkata keluarganya "menderita dan mati dalam mimpi ngeri yang kami tidak fahami.
"Kami berjaga sepanjang malam. Kami tidak tahu ke mana hendak pergi, kepada siapa," katanya.
Akhbar berita menyiarkan rakaman orang ramai yang melarikan diri dalam ketakutan dari pusat boling selepas tembakan bermula petang Rabu.
Seorang mangsa yang terselamat memberitahu wartawan televisyen bahawa dia berada 15 kaki dari lelaki bersenjata itu ketika dia melepaskan tembakan. Pada mulanya dia fikir ia bunyi belon meletup.
Card merupakan seorang ahli Rizab Tentera AS. Media AS melaporkan bahawa baru-baru ini dia dihantar untuk rawatan psikiatri selepas dia berkata dia mendengar suara.
Beratus-ratus polis dan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) membanjiri zon pencarian yang disifatkan oleh ketua polis Lewiston David St. Pierre sebagai "pendekatan pengelibatan semua orang."
Polis dan penyelamat dilaporkan tiba di pusat boling pada kira-kira 7:15 malam selepas menerima aduan tentang penembak aktif, dan kemudian menerima laporan tentang satu lagi tembakan di Bar & Grille Schengees.
Dalam video pengawasan Card di pusat boling, dia kelihatan terkawal dan tenang semasa mengacukan senapangnya dan berjalan melalui pintu.
Tembakan itu adalah antara yang paling maut di AS sejak 2017, apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan semasa festival muzik yang penuh sesak di Las Vegas, membunuh 60 orang. - AFP
https://www.utusanborneo.com.my/ ... mbak-mati-18-mangsa
|
|
|
|
|
|
|
|
13 cedera gempa bumi gegar barat Afghanistan
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231029/gempabumiafpfilepix.jpg)
HERAT (Afghanistan): Satu gempa bumi baharu menggegarkan wilayah Herat di barat Afghanistan pada Sabtu malam mengakibatkan seramai 13 orang cedera, lapor Xinhua.
Menurut data Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa dengan magnitud 5.0 berlaku pada 11.57 malam waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer (km) di Herat.
Selain itu pada 9.20 pagi Ahad, satu lagi gempa bumi berukuran 4.8 magnitud menggegarkan wilayah berkenaan.
Ketua hospital wilayah Herat, Noor Gul Walizada mengesahkan kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital.
Menurut penduduk tempatan, gempa bumi juga menyebabkan kerosakan harta benda.
Sejak 7 Oktober, beberapa gempa bumi telah melanda wilayah Herat, Badghis dan Farah yang menyebabkan ribuan kematian selain memusnahkan ribuan kediaman. - BERNAMA-XINHUA
https://www.utusanborneo.com.my/ ... r-barat-afghanistan
|
|
|
|
|
|
|
|
Serangan darat di Semenanjung Gaza, UAE minta adakan mesyuarat tergempar
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231029/ubodunia.jpeg)
ANKARA: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu meminta satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membincangkan situasi di Semenanjung Gaza.
Ini berikutan tindakan Israel mempertimbang untuk memperluas serangan daratnya ke atas Semenanjung Gaza.
Menurut Agensi Anadolu (AA), permintaan itu dibuat oleh jurucakap misi UAE ke PBB Shahad Matar di aplikasi media sosial X.
"UAE telah meminta mesyuarat tergempar UNSC diadakan secepat mungkin berikutan pengumuman Israel bahawa ia memperluas operasi darat di Gaza," katanya.
UAE merupakan anggota tidak tetap UNSC bagi 2022-2023.
Kementerian Luar UAE mengutuk operasi darat Israel pada awal Sabtu di Gaza dan menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti ketenteraan Israel.
Kenyataan itu juga mengulangi permintaan UAE untuk gencatan senjata segera bagi memastikan orang awam dan institusi awam tidak menjadi sasaran. - BERNAMA-ANADOLU
https://www.utusanborneo.com.my/ ... mesyuarat-tergempar
|
|
|
|
|
|
|
|
Tanah runtuh: 2 selamat 3 lagi hilang di Aceh, Indonesia
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231029/tanahruntuh.jpg)
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA: Seramai dua individu berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan Sumatera-Aceh di Bandar Subulussalam, Wilayah Aceh, pada Jumaat malam.
Kejadian di Jalan Lintas Medan berhampiran Kampung Lae Ikan dalam daerah Penanggalan berlaku berikutan hujan lebat pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan, menurut agensi mitigasi bencana Indonesia.
Seorang jurucakap agensi bencana daerah (BPBD) tempatan, Cut Anita berkata tiga individu yang hilang itu ialah dua orang awam dan seorang pegawai polis dari Penanggalan.
“Usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang ini diteruskan di bawah penyelarasan BPBD Subulussalam,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Serpihan tanah runtuh yang menghalang jalan telah dibersihkan manakala pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu ketika cuaca hujan kerana risiko tanah runtuh.
Berdasarkan ramalan cuaca agensi meteorologi (BMKG) pada Ahad, cuaca di bandar itu dijangka mendung.
Bagaimanapun, hujan lebat diramalkan pada sebelah petang dengan potensi ribut petir pada sebelah malam.
Agensi itu juga menggesa pihak berkuasa tempatan dan penduduk supaya sentiasa berwaspada kerana potensi hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. - BERNAMA
https://www.utusanborneo.com.my/ ... g-di-aceh-indonesia |
|
|
|
|
|
|
|
Berkelebihan lima mata, kedudukan Tottenham gah di singgahsana Liga Perdana
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231029/angepostecoglou21.jpg)
POSTECOGLOU
LONDON: Ange Postecoglou memberitahu penyokong Tottenham Hotspur untuk bermimpi selepas pasukan bimbingannya memiliki kelebihan lima mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris untuk kali pertama dalam sejarah kelab.
Sejumlah 26 mata dari 10 perlawanan sejak pengurus dari Australia itu mengambil alih tugas adalah pencapaian terbaik oleh mana-mana pengurus baharu dalam sejarah Liga Perdana.
Selepas separuh masa pertama yang hambar, Spurs mula menyerlah dengan gol sendiri Joel Ward pada awal separuh masa kedua sebelum Son Heung-min meneruskan rentak cemerlang dengan menjaringkan gol kedua.
Jordan Ayew merapatkan kedudukan pada minit akhir permainan namun ia ternyata terlalu lewat untuk Crystal Palace mengubah apa-apa.
Tidak sejak kali terakhir Spurs memenangi kejuaraan Liga Divisyen Satu (format lama) pada musim 1960/1961 di mana mereka memiliki kelebihan mata seperti ini di singgahsana liga.
Saingan kejuaraan liga masih kelihatan terlalu awal tetapi dengan tanpa sebarang aksi bola sepak Eropah yang boleh meletihkan pemain, peluang kelihatan cerah buat anak buat Postecoglou.
“Marilah kita bermimpi, ia adalah apa tentang penyokong bola sepak dan secara adilnya, mereka (penyokong) sudah agak lama menderita,” kata Postecoglou.
Selepas perlawanan terakhir Tottenham pada Isnin, Postecoglou berasa tidak berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi pemainnya walaupun menewaskan Fulham 2-0.
Ia adalah lebih perasaan bercampur-campur buat Tottenham ketika mereka mengambil masa 45 minit untuk mencari rentak permainan.
“Kami menunjukkan fokus dan disiplin sebenar. Benar-benar gembira dengan usaha pemain,” tambah bekas pengurus Celtic itu.
“Ia tidak akan menjadi pemain terbuka di sini. Mereka adalah pasukan tersusun, jadi saya tahu kami perlu bermain dengan sabar. Ia adalah cara yang berbeza untuk kami memenangi satu perlawanan.”
Penjaga gol, Guglielmo Vicario menjadi salah seorang wira yang diduga dalam prestasi Spurs dan penjaga gol dari Itali itu beraksi tangkas untuk menghalang Odsonne Edouard membuka jaringan buat Palace dalam 10 minit pertama.
Pembelian James Maddison menjadi pemangkin perubahan Tottenham di bawah kendalian Postecoglou walaupun mereka kehilangan kapten yang juga penjaring rekod kelab, Harry Kane yang berpindah ke Bayern Munich.
Bersemangat dengan ucapan Postecoglou pada masa rehat, Spurs muncul dalam separuh masa kedua dengan lebih yakin dan Maddison menghasilkan gol pertama apabila rembatannya terkena Ward dan masuk ke pintu golnya sendiri.
Sentuhan ajaib Postecoglou kelihatan jelas apabila dia memasukkan Brennan Johnson selepas satu jam permainan.
Bekas pemain sayap Nottingham Forest itu baharu dua minit dalam padang apabila menerima hantaran Maddison sebelum melakukan umpanan kepada Son untuk gol kelapan buat penyerang antarabangsa Korea Selatan itu.
Malam yang sempurna buat Spurs dilengkapi dengan kepulangan pemain tengah, Rodrigo Bentancur yang pulih dari kecederaan sejak bulan Februari.
Ayew menjaringkan gol saguhati pada minit kecederaan untuk gol kedua Palace dari enam perlawanan terakhir. — AFP
https://www.utusanborneo.com.my/ ... perdana-postecoglou
|
|
|
|
|
|
|
|
England mengatasi Belgium 1-0
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20231029/laurenhemp.jpg)
Hemp (tengah) menjaringkan gol pada perlawanan Liga Negara wanita UEFA Kumpulan A di antara England dan Belgium, di Stadium King Power di Leicester, England, kelmarin. — Gambar AFP
Sentuhan Hemp pada separuh masa pertama, sekali gus tingkatkan peluang skuad wanita dalam Liga Negara, layak ke Sukan Olimpik 2024
LONDON: Gol Lauren Hemp dalam separuh masa pertama sudah memadai untuk membantu pasukan bola sepak wanita England menang 1-0 ke atas Belgium pada Jumaat, sekali gus meningkatkan peluang mereka dalam Liga Negara UEFA Wanita dan peluang untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris.
Belgium memulakan perlawanan Liga Negara UEFA sebagai pendahulu Kumpulan A1 tetapi tercicir ke tangga selepas Belanda menewaskan Scotland 4-0 untuk naik ke tangga teratas sementara England naik ke tangga kedua.
Juara kumpulan akan melangkah ke peringkat separuh akhir dengan satu slot kelayakan ke Paris 2024 diberikan kepada dua finalis.
Hemp menjaringkan gol selepas Belgium gagal mengeluarkan bola dari satu tendangan sudut untuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-13.
Selepas itu, ia adalah lebih tentang kegagalan menyempurna peluang buat England, yang dibimbing Sarina Wiegman.
Alessia Russo mempunyai dua peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi mereka juga berjaya bertahan untuk memberikan kekalahan pertama Belgium dalam kumpulan ini.
“Kami bermula dengan sangat baik, dengan banyak kepantasan dan kelihatan berbahaya melakukan serangan,” kata Wiegman.
“Rentak permainan kami menurun dalam separuh masa kedua dan mereka mula kelihatan berbahaya. Ia mungkin lebih mudah jika kami menyempurnakan peluang yang ada.”
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Leuven pada Selasa dan England tidak mahu tercicir mata jika mahu mengekalkan saingan dengan Belanda.
Belanda akan berkunjung ke Stadium Wembley pada bulan Disember untuk apa yang mungkin menjadi penentu kumpulan sebelum England menamatkan kempen mereka dengan kunjungan ke Scotland. — AFP
https://www.utusanborneo.com.my/ ... ngatasi-belgium-1-0
|
|
|
|
|
|
|
|
Selamat pagi
![](https://www.1001ucapan.com/wp-content/uploads/2021/06/s1-02-1024x1024.png) |
|
|
|
|
|
|
|
ASIA
Salah hantar isyarat, 9 maut dalam kemalangan kereta api di India
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm30tembung_1698624964.jpg)
KEADAAN kereta api yang bertembung hingga menyebabkan sekurang-kurangnya lapan maut. FOTO Agensi
New Delhi: Sembilan maut manakala 20 cedera pada petang Ahad selepas dua kereta api bertembung di tenggara India, lapor media tempatan.
Nahas itu menyebabkan kereta api tergelincir antara bandar Alamanda dan Kantakapalle di Andhra Pradesh, lapor Press Trust of India.
Kemalangan itu berlaku selepas salah satu kereta api penumpang itu tersalah menghantar isyarat.
Kereta Api Pantai Timur (ECoR) pada Ahad berkata kesilapan manusia mungkin mengakibatkan perlanggaran dua kereta api itu.
Alasan yang mungkin: Kesilapan manusia. Terlebih isyarat (overshooting of the signal) oleh kereta api penumpang Visakhapatnam- Rayagada," kata Ketua Pegawai Perhubungan Awam Biswajit Sahoo kepada wartawan.
Semasa menerangkan istilah 'overshooting', Biswajit berkata ia berlaku apabila kereta api sepatutnya berhenti di lampu merah tetapi ia bergerak.
Perdana Menteri India Narendra Modi menulis di X, (sebelum ini di Twitter) mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbabit.
"India mempunyai salah satu rangkaian rel terbesar di dunia dan mengalami beberapa bencana sejak beberapa tahun lalu, yang paling teruk pada 1981 apabila sebuah kereta api tergelincir semasa menyeberangi jambatan di negeri Bihar dan terjunam ke dalam sungai di bawah, mengorbankan kira-kira 800 orang.
Pada bulan Jun, perlanggaran tiga kereta api membunuh hampir 300 orang di Odisha.
Manakala pada Ogos sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila sebuah koc yang diletakkan di selatan India terbakar ketika seorang penumpang cuba membuat teh.
Disiarkan pada: Oktober 30, 2023 @ 8:17am
Kredit: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
|
Hanya 12 negara sokong Washington bantah gencatan senjata di Gaza, AS ‘malu besar’ di UNGA
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/10/30102023-37-1-US-malu-besar-pix-750x500.jpg)
PENDUDUK Palestin mengambil barang bantuan di Deir al-Balah selepas tentera Israel terus mengebom Semenanjung Gaza. - AFP
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
30 Oktober 2023, 8:00 am
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendapat ‘malu besar dan tersisih’ apabila hanya 12 negara menyertai Washington dan Israel dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menentang usul gencatan senjata demi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lancar di Semenanjung Gaza.
Satu jam selepas Israel memperluaskan serangan di Gaza, usul yang dikemukakan oleh Jordan diluluskan di New York dengan mendapat 120 undian berbanding 14 yang menentang, serta 45 negara lain berkecuali.
Keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan sokongan langsung daripada negara kuasa besar, termasuk Perancis, United Kingdom (UK) dan Sepanyol yang enggan menyertai Washington.
Antara negara yang menyokong AS adalah Fiji, Tonga, Marshall Islands, Micronesia, Nauru dan Papua New Guinea.
Menjelang undian usul tersebut, Jordan berikrar untuk memaksimumkan sokongan terhadap Palestin dengan menggesa gencatan senjata dilakukan segera, selain menyokong supaya semua tebusan dibebaskan dengan selamat.
Namun, Kanada yang mendapat sokongan AS menyatakan usul Jordan itu tidak menyeluruh kerana negara berkenaan tidak menyebut nama hamas, sebaliknya mengecam semua serangan dan keganasan terhadap rakyat Palestin serta penduduk Israel.
Jordan juga tidak menjelaskan mengenai tebusan yang ditawan Hamas.
Apabila Kanada membuat pindaan usul dengan menyebut nama Hamas dan penduduk Israel yang dijadikan tebusan, usul itu mendapat undian 88 berbanding 55 dengan 27 negara Eropah menyokongnya.
Perkara itu menjadikan semua negara anggota PBB terpaksa membuat pilihan, sama ada menyokong usul Jordan atau usul menamakan Hamas sebagai pengganas yang menyebabkan konflik berlaku.
Dalam pada itu, Duta Jordan ke PBB, Ayman Safadi menyifatkan kemenangan undian usul tersebut sebagai ‘suara tegakkan keadilan’ menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Kredit: Utusan Malaysia |
|
|
|
|
|
|
|
UFO terhempas di kampus universiti
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/10/ufo-terhempas.jpg)
Beberapa orang berpakaian sut hazmat memeriksa lokasi UFO tersebut terhempas. – Jam Press
MADRID, SEPANYOL – Pelajar sebuah universiti di Madrid, Sepanyol terkejut melihat sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) terhempas di luar bangunan institusi pengajian tersebut, lapor akhbar Daily Star semalam.
Objek dikatakan menyerupai kapal angkasa itu ditemui di halaman luar Fakulti Sains Alam Sekitar, Universiti Alcala pada 23 Oktober lalu.
Rakaman video UFO berkenaan dikongsikan di platform media sosial. Ia menunjukkan asap naik ke ruang udara ketika orang ramai menghampirinya.
Turut kelihatan ialah beberapa orang berpakaian sut hazmat berada di lokasi UFO tersebut terhempas.
Beberapa imej lain menunjukkan objek berbentuk piring terbang itu mempunyai sesuatu menyerupai antena televisyen pada bahagian atasnya.
Beberapa dakwan menyebut bahawa objek tersebut dihasilkan oleh pelajar sendiri.
Pihak universiti mengesahkan insiden tersebut, namun enggan memberikan sebarang komen lanjut.
“Anda bertanya kepada kami, namun kami tidak mengetahui apakah objek tersebut. Kami sedang menyiasat insiden ini dan akan memberitahu kepada anda sejurus mendapat maklumat mengenainya,” kata seorang jurucakap universiti. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... -kampus-universiti/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|