|
Tun Dr Mahathir Mohamad - He is not Perfect but he is Limited Edition
[Copy link]
|
|
Mahathir Dengan Hussein Onn
Konflik dalaman pada zaman Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri tidak diketahui khalayak. Ramai tidak tahu sebenarnya Tun Hussein Onn bukan berundur kerana faktor kesihatan namun kerana tekanan yang kuat diberikan Mahathir.
Diterima semula masuk UMNO bukannya di Kedah, tetapi di UMNO Cawangan Rawang, Selangor.
Bermakna orang Kedah pun tidak terima Mahathir pada waktu itu.
Mahathir bernasib baik kerana diangkat terus oleh Tun Razak (bapa Najib) dan Tun Hussein ke kedudukan yang tinggi daripada seorang ahli biasa kepada Timbalan Perdana Menteri dalam masa 4 tahun sahaja.
Sepatutnya, Ghafar Baba yang lebih layak dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1976 di sisi Tun Hussein Onn kerana mengikut undian Naib Presiden, Ghafar Baba mendapat undi paling tinggi, kedudukan kedua adalah Tengku Razaleigh dan ketiga barulah Mahathir.
Selain kemasukan Anwar, Mahathir juga dikecam hebat pada tahun 1984 kerana bercadang untuk membina rumah Perdana Menteri berharga RM10 juta. Mahathir juga menghadapi cabaran besar tentangan dari Tunku Abdul Rahman, Datuk Senu Abdul Rahman dan Datuk Harun bila mahu meminda Rang Undang Undang Perlembagaan (Pindaan) 1983. |
|
|
|
|
|
|
|
Kesihatan
Pada 24 Januari 1989 Dr Mahathir Mohamad pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL),Kuala Lumpur.
Pada 9 November 2006, beliau sekali lagi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana serangan jantung setelah saluran darah arteritersumbat.
Pada 14 Mei 2007, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Langkawi selepas kesukaran bernafas pada jam 4.00 petang.
Pada 4 September 2007, Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di IJN selama 5 jam. Pembedahan diketuai pakar jantung terkemuka, Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathooth, Datuk Dr. Azahari Yakub, Datuk Dr. Venugopal Balchand, Datuk Ezani Mohd. Taib dan Ketua Pakar Bedah Kardiologi Klinik Mayo di California, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Hartzell Schaff. Ini merupakan pembedahan saluran darah arteri kali ke-2.
Pada 15 September 2007, sekali lagi beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di IJN jam 7.00 pm. Ketika itu beliau berusia 82 tahun.[2]
Malam 2 Oktober 2010, di Melbourne, Australia, Tun Dr Mahathir telah dimasukkan ke Hospital Epworth akibat sakit batuk dan selesema. Kemasukan beliau ke hospital tersebut disahkan oleh pegawai khasnya, Sufi Yusof. Dr Mahathir pergi ke Melbourne bertujuan untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne.
|
|
|
|
|
|
|
|
Kontroversi
Krisis perlembagaan
Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa mereka.
Pada tahun 1988, apabila UMNO diisytiharkan haram oleh Mahkamah Agung, Mahathir dipercayai[perlu rujukan] merencanakan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan tiga orang lagi hakim Mahkamah Agung yang cuba untuk menghalang kes tersebut. Siri insiden 1988 ini dilihat sebagai titik hitam sejarah perundangan negara Malaysia yang sepatutnya bebas dari campur tangan pihak eksekutif.Mahathir selaku ketua badan eksekutif telah mencampuri urusan badan kehakiman ketika itu.
Pemecatan Anwar Ibrahim
Pada tahun 1998, kerajaan di bawah pimpinan Mahathir mendakwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa. Anwar pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme dan Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Penyokong Mahathir pula percaya bahawa Anwar sebenarnya korupsi dan nepotisme dan cuba untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas melihat kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia atas isu yang sama.
Krisis Anwar membawa kepada protes besar-besaran yang dikenali sebagai “Gerakan Reformasi” dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional(PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Namun begitu, PKR hanya memenangi lima kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut dan hampir pupus pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah. Parti tersebut walaubagaimanapun berjaya mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 dengan memenangi 31 kerusi Parlimen, jumlah terbesar antara semua parti-parti pembangkang di Malaysia.
Keluar UMNO
Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO. Beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Dr Mahathir mendakwa UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya (menantunya Khairy adalah Naib Ketua Pemuda UMNO) sehingga membelakangkan negara. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.
Pemerhati politik berpendapat tindakan keluar UMNO berkait rapat dengan cubaan gagal Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah turun dari jawatan sebagai presiden UMNO. Dr Mahathir dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mei 2008. Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari UMNO.
Mengulas pengumuman Mahathir keluar dari UMNO, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam berkata ‘duri dalam daging sudahpun terkeluar’ dan pucuk pimpinan UMNO pula harus menerima realiti bahawa UMNO tidak sekuat dahulu dan konsep ‘Mahathirisme’ sudah berlalu.
Sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dr. Mahathir bersama-sama isterinya,Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula. Upacara tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya. Bertitik tolak kemasukan inilah UMNO menjadi kuat semula dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara yang diterajui UMNO semakin dipulihkan.
Untuk rekod, bekas presiden-presiden UMNO terdahulu meninggal dunia selepas melepaskan jawatan presiden di dalam parti UMNO kecualiTun Abdul Razak, yang meninggal ketika masih menjawat jawatan tersebut. Dato’ Onn Jaafar keluar dari UMNO apabila cadangan beliau untuk menjadikan UMNO parti berbilang bangsa tidak dipersetujui. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pula meninggal dunia selepas melepaskan jawatan di dalam parti UMNO kerana berselisih pendapat dengan Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama lebih 22 tahun.
credit :
https://neilandsyud.wordpress.com/2011/07/13/tun-dr-mahathir-bin-mohamad/
|
|
|
|
|
|
|
|
Tanggal 9 Mei, 2018: Hari rakyat Malaysia lakar kejutan
KUALA LUMPUR: Tanggal 9 Mei, 2018 akan terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia buat selama-lamanya.
Ini kerana pada hari itulah pengundi berdaftar berbaris untuk satu tujuan iaitu menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dan kemudian menunggu dengan penuh debaran keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengundi dan rakyat Malaysia, dari pelbagai latar belakang, pendidikan, agama, budaya, gaya hidup, kumpulan masyarakat, kerjaya, dan sebagainya, sanggup tidak tidur semalaman dan setia menunggu di depan peti televisyen atau telefon pintar mereka untuk mengikuti keputusan pilihan raya, walaupun hingga 5 pagi pada keesokan hari dan menanti 20 jam lagi untuk menyaksikan kerajaan baharu dibentuk.
Setiap orang daripada mereka mempunyai kisah atau pengalaman untuk dicerita dan berkongsi, dengan sesetengah daripada mereka teruja untuk mengetahui keputusan sebelum sejarah dicipta apabila kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) telah dipilih dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun.
PRU14 yang disifatkan sebagai "ibu kepada semua pilihan raya" menyaksikan PH yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, memenangi 113 daripada 222 kerusi parlimen dan mengikut undang-undang berhak untuk membentuk kerajaan baharu dengan mudah majoriti.
Gabungan itu kemudian memilih Dr Mahathir Mohamad, 93, untuk menjadi perdana menteri. Dr mahathir, yang merupakan perdana menteri keempat dari 1981-2003, kemudian mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh pada 10 Mei, 2018 untuk menjadi Perdana Menteri yang paling tua di dunia.
Apa yang dikenali sebagai tsunami politik atau kuasa rakyat mencipta kemenangan yang tidak dijangka mencetuskan perasaan gembira di kalangan rakyat di Malaysia apabila para pengundi inginkan perubahan dan menunggu untuk rancangan besar bagi Malaysia Baharu dilaksanakan oleh kerajaan yang baru dipilih di bawah pimpinan Dr Mahathir.
Rakyat Malaysia pada keseluruhannya begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan usaha dan perjuangan Dr Mahathir semasa kempen PRU dahulu bagi membetulkan kesalahan yang menurut beliau dilakukan oleh kerajaan terdahulu sebelum melaksanakan rancangan besar Malaysia Baharu.
Pada sidang media pertama pada malam bersejarah itu, Dr Mahathir ditanya apakah tindakan akan diambil terhadap pemimpin BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan beliau menjawab: "Kami (Pakatan Harapan) tidak mahu membalas dendam. Kami hanya mahu mengembalikan kedaulatan undang-undang.
Antara mesej penting pada malam itu ialah kerajaan yang dipimpin PH berjanji untuk mengurangkan cukai barang dan perkhidmatan, untuk menstabilkan harga petrol, memansuhkan GST, mengurangkan kos hidup, mengkaji semula projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing, yang kemudian semuanya ditunaikan.
Mengulas lanjut, penganalisis politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd Razali berkata membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah antara komitmen utama PH sejak hari pertama pakatan itu menjejakkan kaki di Putrajaya.
“Ia menjadi agenda utama setakat ini dan Perdana Menteri sendiri sentiasa memberi peringatan khususnya kepada penjawat awam agar menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu mereka. Jaminan ke arah tadbir urus yang baik, ketelusan dalam pemerintahan serta sikap kepertanggungjawaban perlu diberi sokongan oleh semua pihak bagi menjamin perubahan dalam kerajaan baru ini,” katanya kepada Bernama.
Mencecah 94 tahun, tahun ini, Dr Mahathir seakan-akan tidak menghiraukan usia emas beliau dan akan berjuang berhabis-habisan untuk mengubah dan membangunkan masa hadapan Malaysia dengan projek infrastruktur gergasi termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), mengurangkan kos pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan Transit Aliran Massa 2 (MRT 2), yang kedua-duanya diberikan lampu hijau dan dijadualkan siap menjelang Februari 2024 bagi LRT3 dan Julai 2021 bagi MRT 2.
Berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Malaysia sedang mencari kaedah untuk mengurangkan lagi kos dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Singapura sebelum tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Mei 2020.
Kecemerlangan kepimpinan Dr Mahathir dibantu timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota kabinetnya biarpun kebanyakan menterinya adalah baharu dan tidak berpengalaman semasa memegang jawatan.
Dalam satu wawancara khas sempena ulang tahun pertama PH menjadi parti memerintah, beliau menjelaskan selaku perdana menteri, beliau cuba untuk mengajar dan membimbing mereka dan beliau yakin mereka akan setara dengan yang berpengalaman, jika diberikan masa.
Dalam hal ini, Che Hamdan mengulas mempunyai seorang wanita sebagai timbalan perdana menteri dan lebih ramai wanita berada di dalam kerajaan baharu ini, merupakan satu penghormatan untuk mereka mempamerkan kewibawaan dan memenuhi tanggungjawab mereka dengan baik.
Malaysia menyambut ulang tahun pertama kemenangan PH dalam PRU14, membentuk dan menjalankan operasi Kerajaan Persekutuan yang baharu, adalah lumrah untuk menanyakan sebaik mana kerajaan PH mentadbir dan menunaikan janji-janji pilihan raya. |
|
|
|
|
|
|
|
Tun M kongsi kisah setahun PH jadi kerajaan
Ikuti wawancara media bersama Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mengulas pelbagai isu seperti cabaran dan rintangan setahun gabungan parti pimpinannya dalam pentadbiran, prestasi menteri serta perasaannya masih menjadi Perdana Menteri pada usia 94 tahun.
S: Sejauh mana Tun melihat pencapaian kerajaan baharu genap setahun pentadbiran?
J: Pertama sekali, tiada siapa sangka kita boleh menang. Ramai kata gabungan parti politik ini rapuh yang mana ia akan berpecah, tetapi itu tidak berlaku. Kita (parti dalam PH) sudah bersama selama ini dan kita sangat bersatu serta kita punya satu matlamat, iaitu membawa kembali Malaysia yang kita kenali sebelum ini.
Pada saya, itu adalah satu pencapaian. Mereka melantik saya sebagai ketua mereka pun satu pencapaian. Saya individu yang mereka serang sebelum ini, namun begitu mereka memilih saya menjadi pemimpin yang sehingga kini saya masih pemimpin mereka. Itu satu pencapaian.
Kabinet yang kita wujudkan pula sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik meskipun banyak anggota baharu. Sebelum itu, mereka berada di barisan pembangkang selama 60 tahun, tetapi mereka berupaya berubah menjadi kerajaan walaupun segelintir masih bersikap seperti pembangkang.
Negara masih berasa gembira dengan pertukaran kerajaan. Perkara ini apa yang kita mahu dan pada satu peringkat, kita sudah mencapai objektif itu.
Objektif pertama yang kita mahu lakukan ialah melawan rasuah kerana orang banyak mengadu mengenai rasuah. Ini membabitkan rasuah yang sedang disiasat (dilakukan) ketika kerajaan terdahulu. Kini tiada orang mengadu mereka mempunyai kesukaran untuk membuat banyak perkara ekoran tuntutan pembayaran tambahan.
Orang memperoleh kelulusan (permohonan) dengan lebih cepat. Itu pada kami juga adalah satu pencapaian. Orang berasa gembira kerana mereka mempunyai kerajaan seperti kami, itu satu perkara yang kita hargai.
Sudah tentu ada rungutan dan kritikan. Ini semua datang daripada pihak yang sebelum ini mencipta masalah ini. Apa yang kita lakukan adalah untuk cuba menyelesaikan masalah yang diwujudkan oleh pihak berkenaan.
Mereka meminjam duit sehingga berbilion-bilion, mereka menghukum orang yang tidak menyokong mereka dan mengambil pekerjaan mereka. Inilah orang yang kini mengkritik.
Kerajaan sekarang tidak berbuat seperti mereka dahulu. Kita sudah membuang orang yang secara terang-terangan melakukan rasuah. Kita ada bukti mengenai mereka dan kita akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang.
Kita mengambil tindakan mengikut kedaulatan undang-undang, ini juga satu pencapaian kerana sebelum ini (di bawah kerajaan terdahulu) tidak diamalkan yang mana sesiapa boleh ditahan (tidak mengikut perundangan), tetapi kini sebarang pendakwaan perlu melalui mahkamah, walaupun perbicaraan kes tidak dapat dilakukan lebih awal, kita tak merungut, kita menerima pemisahan kuasa antara kehakiman dan eksekutif.
Terdapat banyak lagi yang sudah kita lakukan, termasuk mengendalikan isu pinjaman wang dalam projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur). Kita berjaya menjimatkan sehingga RM21 bilion, ini tidak dapat dicapai oleh orang lain.
Kita juga berjaya menyelesaikan masalah membabitkan Bandar Malaysia. Semua ini adalah pencapaian kerajaan, sudah tentu kita tidak menghebohkannya setiap masa, tetapi ia tetap pencapaian kita sebagai kerajaan baharu.
S: Apakah perkara yang tidak tercapai oleh kerajaan atau masih belum dapat ditunaikan?
J: Apabila kami menjanjikan untuk menghapuskan tol, tetapi kini kami sedar. Sebelum memutuskan untuk menghapuskannya, kita tidak memahami tentang kosnya. Sekarang kami sedar, untuk menghapuskan tol menuntut kerajaan membeli semua lebuh raya dan itu membabitkan kos yang sangat tinggi.
Untuk PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan) sahaja, kerajaan perlu membayar RM30 bilion sebelum boleh kata tiada tol boleh dikutip. Persoalannya sekarang, adakah kerajaan perlu menggunakan RM30 bilion untuk tujuan itu atau digunakan bagi perkara lebih penting.
Kalau kita menghapuskan tol, kita tidak mendapat apa-apa daripada penggunaan lebuh raya dan pada masa sama, kita perlu menyelenggara lebuh raya itu dengan kos berbilion.
Jika kita perlu membina lebuh raya baharu, kita perlu melakukannya dengan menggunakan khidmat kerajaan, termasuk kos pembinaan kerana kita tidak boleh mengutip tol. Pihak swasta juga tidak akan melabur di lebuh raya baharu kerana mereka tidak akan dapat pulangan.
Ini akan menggandakan masalah kewangan kerajaan. Jadi pada ketika ini, kita mendapati sangat sukar melaksanakan janji sudah dibuat tanpa pengetahuan sepenuhnya mengenai kos dan kesan akan berlaku. Itu perkara yang kita janji, tetapi tidak dapat ditunaikan.
Ada juga yang kita lihat sukar untuk dilakukan, yang mana kita perlu mengkaji dan lihat bagaimana kita akan laksanakan seperti penghapusan hukuman mati. Ada juga janji-janji yang kita lihat ditentang oleh ramai orang kerana mereka rasakan bertentangan dengan kepentingan mereka.
S:Usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah. Sejauh mana Tun melihat kerajaan berjaya ke arah itu?
J: Jika dalam kerajaan, (kejayaan) agak banyak kerana kita tidak menerima aduan terkini mengatakan bahawa permohonan mereka (orang awam) ditangguhkan. Sebelum ini, hendak mendapat kebenaran pun akan ditangguhkan dan selalunya ada permintaan wang. Kini perkara seumpama itu tidak berlaku.
S: Tun katakan sebelum ini sokongan kepada kerajaan dan Tun sendiri merosot kerana ada pihak tidak senang hati dengan ketegasan kerajaan banteras rasuah. Apakah cara untuk memberi pemahaman kepada rakyat dalam hal ini?
J: Memang kerajaan dahulu, mereka memberikan duit yang sangat banyak kepada macam-macam golongan. Contohnya, nelayan dapat gaji walaupun tidak mendapat ikan, iaitu RM300 sebulan. Golongan bujang dapat RM450 sebulan dan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) bagi banyak duit lagi.
Macam-macam orang dapat duit. Kalau kita amalkan seperti itu, kita jadi korup. Mendapatkan sokongan dengan memberikan wang adalah rasuah, kita tidak boleh berbuat demikian kerana kita tiada duit pun.
Kita tidak curi duit dan tiada duit untuk bagi, jadi ramai yang dulu dapat banyak duit, kecewa dan mempersoalkan kenapa dulu dapat RM450, kini dapat RM100 sahaja.
Ada yang berpendapat kerajaan ini akan menghalang pemberian wang oleh pihak tertentu. Sekarang ini, mereka tidak dapat gaji atau elaun tambahan setiap bulan, jadi mereka kecewa dengan kerajaan ini.
Masa dulu boleh juga dapat duit, sekarang tidak boleh dapat duit dan dikenakan tindakan. Sekarang hanya bergantung kepada gaji sahaja.
Memang semua orang kata, waima dia jutawan sekali pun, duit tidak akan cukup. Itu tabiat manusia, tetapi di sini, kita dapati orang yang sekarang ini tidak dapat duit kerana gerakan antirasuah ini, mereka marah kerajaan. Dahulu boleh dapat, sekarang tidak.
Oleh itu, sokongan kepada kita merosot dalam kalangan kumpulan tertentu yang terkenal kerana mereka menyokong bukan sahaja dapat gaji, tetapi dapat ‘gaji tambahan’. Itulah sebahagian daripada sebabnya kenapa kita lihat undi kepada PH merosot.
S: Bagaimana untuk memperbetulkan pemahaman atau pemikiran seperti ini?
J: Ia agak sukar, tetapi kita akan membuat orang berfikiran bahawa ia adalah normal untuk mereka tidak ditanggung orang-orang yang berduit. Dari semasa ke semasa, mereka perlu belajar bahawa mereka akan mendapat bayaran mereka. Kita akan mempertingkatkan gaji mereka.
Selepas satu masa, masyarakat awam akan mula menghargai bahawa mereka tidak perlu mengeluarkan lebih untuk sebab-sebab berkaitan rasuah.
S: Mungkin usaha penerangan mengenai rasuah oleh kerajaan tidak sampai ke akar umbi termasuk kepada orang Melayu hingga ada pihak menangguk di air keruh?
J: Yang utama adalah berjumpa dengan mereka, orang kampung. Kalau kita tidak jumpa dengan mereka, kita tidak dapat beri penerangan. Kadang-kala bergantung kepada laporan (media), tetapi itu tidak mencukupi untuk menjelaskan apa yang ingin dihebahkan.
Jadi saya berpendapat bahawa saya perlu berjumpa dengan mereka yang membuat pendapat (opinion makers). Saya kadang-kala jemput mereka datang berjumpa saya, membabitkan 30 hingga 50 orang, merangkumi pelbagai kumpulan termasuk kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang dari Felda.
Saya rasa, saya sudah jumpa tidak kurang daripada 50 kumpulan berasingan yang datang untuk memberitahu saya masalah mereka.
S: Ada pihak mendakwa kerajaan PH hanya menjenamakan semula program kerajaan terdahulu?
J: Hakikatnya adalah apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan terdahulu gagal, jadi kita akan membuatnya dengan kaedah sebaik mungkin. Bukan melalui rasuah, bukan melalui pemberian kontrak kepada kroni, bukan melalui pemberian harga kontrak yang tinggi untuk melarikan wang.
Itulah perkara yang mereka lakukan sebelum ini, tetapi kita perlu melakukan program sama tanpa rasuah, itu kelainannya, bukan sahaja meneruskan apa yang mereka lakukan sebelum ini.
Mana-mana kerajaan pun perlu melakukan sesuatu. Jadi apa yang kita lakukan adalah tanggungjawab sebagai kerajaan tanpa adanya elemen rasuah, kroni dan seumpamanya.
Saya rasa kita berbeza kerana dalam banyak-banyak kes, ECRL mengambil masa setahun untuk dirunding kembali kontrak. Kontrak itu adalah satu perkara yang sangat tidak baik dan sangat teruk.
Ia diberi kepada syarikat China hanya kerana kita meminjam duit dari negara mereka dan kita meminjam duit lebih banyak daripada yang sepatutnya.
Apa yang berlaku, semua pembayaran dilakukan di China dan bukannya di Malaysia, semua keuntungan juga dibuat di sana dan kita tidak boleh mengenakan cukai terhadap mereka. Jadi terma dan syarat bagi ECRL adalah sangat teruk.
Sekarang kita tidak buat macam itu, kita kembali kepada amalan yang sebetul-betulnya. Jadi, adalah tidak betul jika mengatakan kita mengikut apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
S: Adakah Tun menyokong 100 peratus keputusan, tindakan dilakukan oleh anggota Kabinet?
J: Kadang-kala mereka melakukan perkara-perkara tanpa bertanya kepada saya terlebih dahulu, iaitu perkara yang tidak patut dilakukan sehingga menyebabkan masalah kecil dan seumpamanya. Bagaimanapun, mereka sedang belajar.
Bila mereka mendapat publisiti buruk, mereka akan datang jumpa saya untuk bertanya apa yang patut dilakukan dan sebagai Perdana Menteri sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendengar masalah mereka. Inilah sistem Kabinet.
Dalam masa saya sebagai Perdana Menteri mempengerusikan Kabinet, anggota lain tidak dihalang untuk membuat keputusan mereka sendiri, tetapi jika mereka menghadapi kesukaran, mereka berhak berjumpa dengan saya. Kadang-kala sudah tentu mereka membuat kenyataan yang tidak bagus, tetapi mereka sedang belajar.
S: Apa tindakan kerajaan kepada aduan peningkatan kos sara hidup dalam tempoh setahun ini?
J: Terdapat banyak lagi barang makanan yang sudah turun harganya. Harga barang naik kerana kita dapati terdapat orang tengah. Sebagai contoh, sayur di Cameron Highlands, mereka jual pada harga 50 sen sekilogram, tetapi pasar jual pada harga RM7 sekilogram. Maknanya di tengah-tengah itu berlaku sesuatu.
Semua ini perlu diambil perhatian. Kita mahu mengurangkan margin pendapatan orang tengah dan saya berpendapat, jika diberi masa, harga barang mungkin tidak akan turun tetapi kuasa beli ringgit anda akan dipertingkatkan.
Ringgit ketika ini berada di bawah nilai, jadi kos barangan meningkat. Terdapat banyak kaedah untuk memperbaiki keadaan ini, bukan hanya memberikan duit kepada orang.
S: Bercakap mengenai 9 Mei, adakah Tun melihat negara kita berada pada kedudukan yang Tun mahukan sebelum ini?
J: Pada masa itu (Pilihan Raya Umum ke-14), kami tidak berfikir boleh menang pun, tetapi selepas menang, masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu lebih banyak daripada apa yang disangkakan. Ini kerana kita tidak diberikan maklumat. Kini negara bergerak pada landasan yang agak baik meskipun dibelenggu oleh keadaan sedemikian.
S: Ada mendakwa kerajaan PH hanya memberi reaksi terhadap naratif yang dilihat cenderung kepada isu Melayu, Muslim dan agama?
J: Ia bukan hanya (isu) Melayu dan Muslim, tetapi ada masalah membabitkan Cina yang mahukan (pengiktirafan) Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sekolah dan universiti, selain masalah komuniti India.
Semua ada masalah, semua rasa kerajaan memberi perhatian lebih kepada komuniti lain, bukan kepada mereka. Hakikatnya kita peka terhadap semua komuniti dan kita pastikan semua berpuas hati, tetapi faktanya, kita masih risau tentang bangsa kita.
Kita cakap banyak mengenai penyatuan menjadi rakyat Malaysia, tetapi semua orang cakap mengenai bangsa mereka sendiri. Menteri-menteri mahu mendapatkan sokongan kaum mereka dan membawa isu terbabit ke dalam kerajaan.
Kita lihat kalau kita melayan kaum ini dan bukan kaum itu, kita akan ada masalah. Jadi, kita akan cuba memastikan secara minimum, semua pihak mendapat kepuasan. Kita tidak boleh puaskan hati secara penuh semua pihak setiap masa.
S: Sebagai Perdana Menteri tertua di dunia, adakah Tun berasa ‘segar semula’ selepas setahun mentadbir atau penat?
J: Saya rasa masih kuat bagi seorang yang berumur 94 tahun. Pada usia ini, ramai orang sudah tidak berupaya berfikir, tetapi saya rasa masih berupaya menjawap soalan-soalan ‘jahat’ anda. Setahu saya, dalam kalangan pemimpin di dunia ini, saya tidak rasa saya lebih teruk dari Donald Trump, pemimpin-pemimpin British, pemimpin Perancis yang terpaksa berhadapan dengan kumpulan baju kuning dan sebagainya.
S: Adakah BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ketika ini berada di tempat yang sepatutnya?
J: Saya tidak berpuas hati lagi. Ahli kita masih kecil, kita mendapati terdapat amalan tidak baik, misalnya ketua bahagian tidak mahu orang masuk BERSATU kerana jika orang masuk, ia akan membelakangi mereka yang lama. Jadi pada mereka, lebih elok mempunyai sebuah parti yang kecil.
Oleh kerana kita mempunyai bilangan (ahli) yang kecil, jika berlaku pilihan raya kecil, kita perlu mencari calon dari tempat lain.
Budaya politik Melayu telah berubah. Saya sudah menyaksikan budaya ketika permulaan UMNO dahulu, mereka memberi duit mereka sendiri (kepada parti) dan tidak meminta pulangan. Ada juga menolak menjadi calon kerana merasakan diri tidak layak, namun begitu perkara sedemikian tidak berlaku sekarang.
Kini, walaupun hanya berkelulusan Darjah Satu, dia berasa layak menjadi Perdana Menteri. Itu hak anda. Perkara ini memberi kesan kepada bukan sahaja BERSATU, tetapi parti Melayu yang lain. |
|
|
|
|
|
|
|
Krisis Perlembagaan 1993: Hilangnya imuniti raja-raja Melayu
SYUKRI SHAARI
06 April 2019 12:00 PM
KRISIS Perlembagaan 1993 menjadi sejarah penting negara apabila raja-raja Melayu hilang kuasa imuniti.
Kontroversi yang berlaku ketika itu melibatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan raja-raja Melayu merupakan sesuatu yang akan diingati sampai bila-bila.
Mengapa? Kerana krisis itulah yang membawa kepada hilangnya `imuniti’ undang-undang dalam kalangan raja-raja Melayu serta kerabatnya melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Krisis itu menyaksikan Perkara 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai raja-raja Melayu termasuklah kekebalan daripada perundangan dipinda.
Sekiranya sebelum 1993, raja-raja Melayu kebal daripada tindakan undang-undang, krisis yang membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan telah membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas raja-raja Melayu.
Kesannya sangat besar sehingga ke hari ini, berdasarkan kedudukan undang-undang semasa, raja-raja Melayu boleh dibawa ke Mahkamah Khas atas sifat peribadi dengan mengambil kira peraturan atau tatacara tertentu.
Bukankah orang Melayu taat kepada raja-raja Melayu? Jadi, bagaimana krisis ini boleh tercetus?
Semuanya bermula sekitar Disember 1992 apabila berlaku apa dianggap sebagai `insiden Gomez’ yang didakwa membabitkan kerabat diraja Johor.
Dilaporkan kononnya Douglas Gomez, jurulatih pasukan hoki Maktab Sultan Abu Bakar di Johor telah membuat laporan polis mendakwa dipukul oleh kerabat diraja Johor. Dicatatkan perkara itu tercetus rentetan kekalahan Johor kepada Perak dalam satu kejohanan hoki.
Peristiwa itu mendapat perhatian rakyat ketika itu yang mempersoalkan kekebalan raja-raja Melayu serta kerabat diraja.
Tanpa disangka, satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan pada 10 Disember 1992 dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba mengemukakan usul supaya langkah diambil untuk menyekat kekebalan kerabat diraja.
Usul itu mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli Dewan Rakyat. Bukan itu sahaja, usul tersebut turut mendapat sokongan parti pembangkang ketika itu iaitu Pas dan DAP, manakala Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah membantah kerana berpandangan apa dibentangkan hanya melemahkan kedaulatan raja-raja serta ketuanan Melayu.
Maka, bermulalah `kempen’ memaparkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja Melayu termasuklah gaya hidup mewah selepas usul tersebut dikemukakan kerajaan kepada Dewan Rakyat.
Banyak pemerhati melihat ‘kempen’ itu bertujuan meraih sokongan rakyat terhadap ‘perang’ membabitkan kerajaan dan raja-raja Melayu. Hubungan antara kerajaan dengan raja-raja Melayu ketika itu disifatkan sebagai ‘tegang’.
Pelbagai laporan disiarkan media ketika itu dengan bukan hanya menjurus kepada Sultan dan kerabat diraja Johor, tetapi raja-raja Melayu lain termasuklah kerabat Pahang.
Selepas beberapa perubahan dilakukan terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, Dewan Rakyat meluluskan pelaksanaannya pada 8 Mac 1993 manakala Dewan Negara pada 30 Mac.
Maka, bertitik-tolak daripada itu, raja-raja Melayu yang sebelum tahun 1993 mempunyai kekebalan dari segi perundangan, tidak lagi mempunyai kelebihan itu.
Memetik ucapan Dr. Mahathir semasa perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 di Dewan Rakyat menegaskan bahawa raja-raja tidak pernah mengatasi undang-undang.
Beliau juga berkata ketika itu, negara dibentuk mengikut satu Perlembagaan yang bertulis.
“Kita semua memegang jawatan masing-masing mengikut peruntukan ini, termasuklah raja-raja.
Perlembagaan atau undang-undang tubuh atau undang-undang asas negara adalah undang-undang yang menentukan adanya raja, adanya Yang di-Pertuan Agong, adanya Majlis Raja-Raja, adanya jemaah menteri dan sebagainya.
“Institusi-institusi ini dari awal lagi tidak wujud dengan sendirinya tetapi adalah hasil perjanjian antara rakyat dengan pihak yang dipertuankan, hasil daripada satu kontrak sosial,” kata Dr. Mahathir. |
|
|
|
|
|
|
| |
|