|
Semoga janji ini akan d tepati juga ...
KAPIT: Seluruh kawasan Batang Rajang di negeri ini akan dilengkapi dengan akses jalan raya pada tahun 2024.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dari kawasan hilir Batang Rajang hingga ke kawasan hulu Batang Rajang akan mempunyai jalan raya.
"Sekarang sudah dihubungkan dengan jalan raya cuma mahu buat jambatan sahaja. Ini kerana kawasan hilir Batang Rajang banyak sungai.
"Kita terpaksa buat jambatan untuk menghubungkan jalan raya-jalan raya ini.
"Dari Matu-Daro-Mukah-Tanjung Manis-Igan-Sibu-Kanowit-Song-Kapit kini sudah bersambung. Manakala dari Kapit-Sungai Mujong-Baleh-Belaga-Bintulu akan turut dihubungkan dengan jalan raya.
"Ini bermakna, tahun 2024 seluruh kawasan Batang Rajang dari hilir ke kawasan hulunya ada (akses) jalan raya," katanya berucap ketika merasmikan Dataran Bandar Kapit, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Liwan Lagang; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat; ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang; ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon; Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti serta para kenamaan lain.
Beliau memberitahu, semua projek jalan raya tersebut adalah manfaat kepada rakyat dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa adil dalam menyalurkan projeknya kepada rakyat.
Sementara itu, Abang Johari turut meluluskan projek Market Baharu Kapit sebanyak RM15 juta dan Pusat Warisan Kapit sebanyak RM58 juta.
Katanya, Kapit kini sudah tidak ketinggalan lagi memandangkan sudah dihubungkan dengan jalanraya dan menjadi tumpuan orang luar.
Jelasnya lagi, dari Sibu ke Kapit ia mengambil masa 1 jam 45 minit seperti jarak Kuching ke Serian.
"Saya percaya ramai orang akan datang ke Kapit. Oleh itu, kedua-dua projek tersebut sangat penting dalam membangunkan lagi Kapit sejajar dengan kepesatan bandarnya.
"Penjaja ada tempat baharu (pasar baharu) untuk berniaga dan tidak lagi berjual di tepi jalan kerana memerbahaya. Begitu dengan adanya Pusat Warisan Kapit yang bakal menjadi tumpuan pelancong," jelasnya lagi.
Beliau memberitahu, pasar baharu Kapit akan menghadap Tebingan Kapit yang mempunyai tiga tingkat dan sangat cantik manakala Pusat Warisan Kapit akan terletak di Lily Pond.
Abang Johari percaya, kedua-dua pembangunan tersebut bakal menjadi satu tarikan baharu kepada Kapit.
"Hari ini kita meluluskan kedua-dua projek tersebut dan ia akan mengambil masa untuk dibangunkan.
"Sekiranya GPS diberi mandat untuk lima tahun lagi, lebih banyak lagi kita akan laksanakan di Kapit ini," tambahnya.
oleh
Watt Zacchaeus
|
|