Antara langkah untuk melapangkan fikiran adalah seperti yang berikut:
1. Menarik nafas. Ingat lagi bagaimana anda bersenam di waktu pagi semasa bersekolah dulu? Ingat lagi bagaimana kita memulakan senaman dengan menarik nafas dengan kaedah yang betul? Gunakan teknik ini untuk mula melapangkan fikiran.
2. Mengambil wuduk. Jika anda beragama Islam, ambil wuduk boleh melapangkan dan menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah manusia dapat memantapkan lagi rohani kita dan air yang bersih boleh mengembalikan kita kepada fitrah kejadian. Air yang segar dapat memberikan tenaga dan fokus yang diperlukan dan wajah akan pasti kembali ceria. 3. Menulis. Ada banyak perkara yang bermain dalam dalam fikiran anda. Anda perlu mengenal pasti apa sebenarnya yang anda fikirkan untuk membolehkan minda menguruskan perkara-perkara ini. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis satu per satu apa yang anda sedang fikirkan. Jangan cuba untuk mengenal pasti kategori perkara-perkara ini dahulu, teruskan sahaja menulis. 4. Mengenal pasti keutamaan. Setelah anda rasa puas dengan apa yang anda tulis, anda kini perlu kenal pasti yang mana yang paling utama. Tandakan dengan nombor atau gunakan “rating system” yang baik untuk membantu anda dalam proses ini. Lebih baik lagi jika anda klasifikasikan perkara-perkara ini berpandukan matlamat hidup anda dan apa yang paling penting dalam hidup anda; keluarga? kerjaya? cinta? 5. Membuang yang tidak penting. Pangkah atau padamkan perkara-perkara yang remeh dan tidak relevan. Perkara-perkara remeh yang anda fikirkan boleh jadi perkara seperti “Apa yang kekasih lama aku sedang lakukan?” atau “Osama hidup lagi kah?”. Anda akan dapat lihat yang kebanyakan perkara yang bermain dalam fikiran anda sebelum ini adalah perkara-perkara yang tidak relevan dan hanya membuatkan anda kurang produktif dalam menyelesaikan urusan harian dan masalah-masalah lain yang lebih penting. Perkara-perkara inilah sebenarnya yang menghalang anda untuk berfikir secara bijak. 6. Memberikan badan kerehatan dan tidur.
Dengan memejamkan mata, atau memandang jauh ke arah kehijauan alam, akan dapat memberi anda perasaan yang tenang. Tidur yang tidak cukup bermakna minda anda tidak mendapat rehat yang secukupnya. Sebab itu minda anda liar berfikir. Pejamkan mata untuk seketika di waktu rehat anda, atau keluar ambil angin dalam keadaan yang selesa dan positif. 7. Mengurangkan menonton TV atau tidak membaca akhbar pada waktu pagi. Akhbar harian kita saban hari penuh dengan berita-berita yang menyanyat hati. Jenayah, kemalangan, bencana dan lain-lain boleh memberikan tenaga yang negatif kepada kita. Jika anda mengamalkan tabiat membaca berita-berita ini pada waktu anda bersarapan, anda akan mulakan hari anda dengan pandangan yang negatif. Bangun pagi sahaja fikiran anda sudah berserabut. Elakkan atau tukar masa anda untuk membaca akhbar.
|