Banjir: 19,356 pengguna di Pahang dan Terengganu terputus bekalan elektrik
KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghentikan operasi lebih 382 pencawang elektrik di Pahang dan Terengganu hari ini berikutan banjir yang melanda kedua-dua negeri itu. Dalam satu kenyataan di sini, TNB berkata akibat pemberhentian operasi itu, dianggarkan seramai 19,356 pengguna di kedua-dua negeri terbabit mengalami gangguan bekalan elektrik. "Di Pahang, sebanyak 150 pencawang elektrik dihentikan tugas melibatkan beberapa kawasan iaitu Kuantan (120), Pekan (tiga), Maran (lapan), Jerantut (19) dan sebilangan kecil bekalan elektrik di Lipis, Muadzam dan Temerlong melibatkan 8,949 pengguna,” menurut kenyataan itu. Di Terengganu pula, pemberhentian itu melibatkan 232 pencawang elektrik merangkumi beberapa kawasan iaitu Geliga (140), Chukai (44), Al Muktafi Billah Shah (tujuh), Cheneh (39) dan Dungun (dua) yang melibatkan seramai 10,407 pengguna. "Hanya bekalan elektrik di Kuala Berang, Terengganu sahaja sudah dipulihkan semula setakat hari ini, manakala di Segamat dan Mersing, Johor hanya sebilangan kecil pengguna diberhentikan bekalan elektrik,” menurutnya. - Bernama
|