Menurut Fattah, dia berbuat demikian bagi membersihkan namanya daripada terus dipersalahkan oleh stokis syarikat berkenaan selepas wang mereka tidak dikembalikan sejak beberapa bulan lalu.
“Sekitar penghujung tahun lalu, stokis-stokis mula meninggalkan komen di laman sosial dan menuduh saya tidak mengembalikan wang mereka. Walhal saya sendiri tidak tahu menahu tentang perkara berkenaan.
“Saya terus menghubungi Kamarul untuk mendapatkan penjelasan, namun, pertanyaan saya tidak berjawab. Jadi saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar khas bagi menjelaskan tentang masalah tersebut di syarikat pengurusannya, Universal Music Malaysia di sini sebentar tadi.
Fattah membuat laporan polis pasa 8 Mac lalu di Bali Polis Dang Wangi.
Dalam masa sama, pelakon Mat Kilau itu melantik peguam, Fakhrul Azman Abu Hasan dari Azaine & Fakhrul Advocates & Solicitors bagi menguruskan isu berkenaan.
"Pada 13 Februari lalu, peguam saya telah menghantar notis kepada Kamarul supaya membenarkan saya mengakses penyata kewangan syarikat dan menjalankan audit yang lebih terperinci.
"Sehinggalah saya merancang untuk membuat sidang akhbar, baru dia ada menghubungi peguam. Jadi, saya dan peguam akan berbincang tentang perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Ditanya mengenai dakwaan Fatah tidak mempromosikan produk tersebut, suami kepada pelakon Nur Fazura itu berkata, dia tidak berbuat demikian kerana mempunyai masalah dalaman dengan syarikat.
Bagaimanapun, Fattah enggan berkongsi lanjut mengenai masalah tersebut kepada wakil media.
Syarikat MRP yang mengeluarkan makanan gantian harian itu ditubuhkan pada 21 September 2017. - K! ONLINE