Hujan lebih 3 kali ganda punca banjir di Simpang Renggam - Onn Hafiz
Onn Hafiz melawat mangsa banjir di PPS SK Dato’ Onn Jaafar dan SK Kampung Tengah, Renggam, semalam. - Foto ihsan Pejabat MB Johor
JOHOR BAHRU: Taburan hujan yang melebihi biasa sehingga lebih tiga kali ganda dipercayai antara faktor penyumbang kejadian banjir di Simpang Renggam dekat Kluang sejak semalam. Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, melalui hantaran di media sosial selepas mangsa banjir di sekitar kawasan itu. "Saya difahamkan hujan lebat semalam lebih daripada kebiasaan, taburan hujan mencecah 110 millimeter (mm) berbanding paras biasa iaitu 30mm. "Saya telah minta pihak Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) untuk mencari penyelesaian segera supaya perkara sebegini dapat dielak pada masa akan datang.
"Saya memohon seluruh bangsa Johor yang berada di kawasan berisiko tinggi sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri dan peka dengan maklumat atau arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa," katanya. Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap melawat mangsa banjir dan menyampaikan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Onn Jaafar dan Sekolah Kampung Tengah, Renggam.
Semalam, hampir 200 mangsa dari Taman Suria, Taman Rekamas dan Taman Seri Tengah Renggam dilapor ditempatkan di dua PPS terbabit susulan banjir yang melanda. Setakat jam 12 tengah hari tadi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, memaklumkan 891 mangsa daripada 262 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kluang, Pontian dan Batu Pahat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1307823/hujan-lebih-3-kali-ganda-punca-banjir-di-simpang-renggam-onn-hafiz
|