CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 29-7-2012 03:19 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 2 ~ Bertemu dengan penunggu babi hutan


Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan-lahan percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar-benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat-urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan. Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di pihaknya.
Datuk terus mengucapkan begini : Jong keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi melemang………
Belum pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal belikatnya keras macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan.

Datuk terus bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : “Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu.”

Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk kena pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan itu jadi sepi. Pemandangan datuk kembali normal yang ujud di depannya sekarang iailah sebatang pokok besar dengan akar-akar bergayutan yang mencecah muka bumi. Datuk menang dalam pertarungan itu.

Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera mencari anak- anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah.

Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu berkata : “Ini kawasan manusia, dan kau telah pulang ke tempat asalmu.”

Datuk pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih kurang setengah jam. Kemudian baru kawan- kawannya pulang. Semua binatang buruan di masukkan ke dalam bonet kereta Ford Anglia kepunyaan datuk. Dalam perjalanan pulang datuk dan kawan-kawannya singgah di pekan Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum kopi disebuah warung dekat surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu adalah kenalan datuk yang sama-sama satu datang dari Aceh. Datuk pun menceritakan tentang peristiwa yang di alaminya.

Menurut tuan punya warung itu, setiap pemburu yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup sulit untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat atau separuh gila.

“Biasanya bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal, masa sakit itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau tidak berjumpa dengan dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit pada si anak, biasanya sakit suka pada anak bongsu.” Terang tuan punya warung itu pada datuk.

Datuk terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya warung itu ke tepi sungai. Datuk minta tuan punya warung itu memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun tujuh jenis, untuk mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah. Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. Malah, kegemarannya untuk memburu bertambah giat dan hebat. Asal terdengar saja padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, datuk tidak akan melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat waktu siang, dia akan pergi waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang amat dicintai oleh datuk. Kalau sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba menghalang. Dia tidak peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. Selalu jadi korban kemarahan datuk ialah nenek saya yang tidak bergitu senang dengan sikap datuk itu.

Selain dari berburu datuk cukup rajin berlajar ilmu-ilmu kebatinan. Datuk pernah bertapa di Gua Ulu Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi tubuh datuk tidak susut. Kalau ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak segan- segan berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk tidak berhajat untuk menjadi seorang dukun.

“Semua yang dicari hanya sekadar untuk pelindung diri,” kata datuk.

Pada suatu pagi ahad, datuk telah menerima kunjungan seorang temannya dari Port Weld, dekat Taiping iaitu Lee Kong Hua, seorang pengusaha kilang kopi. Setelah berbincang agak lama dengan kawannya itu. Datuk pun mengambil keputusan untuk pergi memburu babi yang selalu merosakkan tanamannya di Paya Besar. Kawannya itu bersetuju, mereka terus pergi ke balai polis Bruas memberi tahu tentang hajat mereka untuk memburu babi. Hasrat datuk dan kawannya itu tidak dihalangi oleh pihak polis, kerana kawasan Paya Besar masih lagi belum telibat dengan kawasan hitam. Dengan kereta Ford Anglia mereka masuk ke dalam kawasan Paya Besar ikut jalan enam kaki.

Sampai ke kawasan kebun getah lebih kurang pukul sepuluh pagi. Kemudian datuk dan kawanya itu menyusul jejak tapak kaki babi menghala ke utara. Lebih kurang dua jam berjalan, babi yang dicari masih tidak ditemui. Mereka masih tidak putus asa. Lee Kong Hua sudah merancangkan bila dapat babi hutan nanti, dia akan membawa babi itu pulang dengan lori kepunyaan seorang kawannya yang sudah bersetuju datang ke kebun getah datuk lebih kurang pukul tiga petang. Dia mengira paling kurang lima ekor babi akan diperolehinya, kerana dia tahu datuk memang cekap menembak. Jalan punya jalan akhirnya datuk dengan kawannya tersua dengan seekor babi hutan yang besar. Datuk melepas tembakan tapi, babi segera melompat masuk ke dalam belukar kecil yang penuh dengan pokok serunai laut, senduduk, datuk dan kawannya mengelilingi belukar kecil itu, tiba-tiba babi itu keluar dari belukar dan berlari ke arah Ulu Dendang. Mereka terus memburunya. Masa memburu datuk dan kawannya terserempak dengan satu kumpulan babi. Dan babi yang mereka kejar itu berada tidak jauh dari kumpulan tersebut.

“Dia sudah luka,” Datuk memberi tahu kawannya.

“Hati-hati babi hutan luka selalunya ganas.”

“Aku tahu, tunggu di sini, dia mesti ditembak, kalau tidak kita akan diserangnya,” tambah datuk lagi.

Kawannya akur pada cakap datuk. Datuk memintas babi itu dari belakang. Babi itu berpusing mengadap ke datuk. Alangkah gembiranya hati datuk. Dia sudah mengambil tempat yang baik. Dia terus menghalakan muncung senapang ke arah kepala babi hutan itu. Macam selalu sasaran yang dipilih oleh datuk ialah pada kening setiap binatang buruannya. Bila pemetik senapang mahu ditarik babi itu memusingkan tubuhnya lalu masuk ke hutan sebelah kiri. Datuk terus mengikutinya dengan tenang.

Suatu ketika binatang itu berhenti. Datuk sudah pun mencari tempat yang baik untuk melepaskan tembakan. Entah macam mana bagaikan ada suatu kuasa yang menarik tangan datuk menarik pemetik senapang. Dan satu ledakan bergema. Babi terkejut dan terus lari. Gatuk terus juga memburu hingga sampai ke Ulu Sungai Dendang. Di seberang sungai datuk melihat babi hutan itu menyondol-nyondol tanah dengan tenang. Datuk berjalan menyusul tebing sungai ke hulu. Dia menyeberang melalui sebatang pokok merbau tumbang yang merintangi Sungai Dendang. Jadi berada di kawasan itu, seperti berada di kawasan sendiri fikir datuk. Datuk pun sampai ke seberang. Ternyata datuk tidak boleh mendekati babi itu, kerana di pisahkan oleh satu kolam kecil yang airnya keroh. Kalau datuk melepaskan tembakan dari situ pun boleh, tapi datuk tidak mahu. Dia mahu menembak babi jarak yang dekat sekali. Datuk pun melompat kolam kecil yang seluas kira-kira lima kaki itu. Datuk merangkak dan mencari tempat yang baik. Babi hutan itu itu terus juga nyondol tanah. Datuk berdiri di seballik pokok ara.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 29-7-2012 03:20 AM | Show all posts

Tiba-tiba datuk terasa telinganya berdesing, pandangannya berubah dan jadi berpinar- pinar. Datuk bagaikan berada di satu dunia lain yang sunyi tapi amat menyeramkannya. Dengan pokok-pokok yang beranika ragam dengan akar yang berjuntaian. Datuk mengira semuanya terjadi kerana dia terlalu letih, banyak membuang tenaga kerana berlari. Datuk mahu merebahkan babi hutan itu dengan segera, kalau babi itu tidak mati, nanti dia mengamuk, semua penoreh getah di Paya Besar akan diserangnya. Datuk tahu, kalau babi hutan mengamuk cukup buruk padahnya. Datuk melihat babi hutan itu menyondol tanah di pangkal pokok besar. Datuk meletakkan buntut senapang di bahu. Dengan hati-hati dia pun menarik pemetik senapang. Datuk jadi gawat sekali. Senapang itu tidak berbunyi dan babi hutan terus menyelinap ke balik pokok besar.

Dari celah pokok besar itu muncul seorang wanita yang sungguh cantik. Dia mahu mendekati datuk dan mengatakan bahawa babi itu berada tidak jauh daripada pohon itu. Dia suruh datuk memburunya dan datuk sudah tahu, dia terperangkap lagi. Wanita di hadapan datuk terus bercakap dengan manjanya. Bau harum yang sangat asing menyusuk lubang hidung datuk. Datuk merasa dirinya seakan-akan melayang-layang. Datuk segera bertafakur menyatukan mata batin dan seluruh kekuatan pancainderanya. Datuk terasa ada sesuatu kuasa yang menyuruh dia kembali ke seberang sungai. Datuk menentang kuasa itu dengan penuh keyakinan. Kali ini datuk terasa dia mula tewas. Datuk terdengar suara perempuan cantik itu ketawa. Datuk membuka mata.

Perempuan cantik itu sudah tiada lagi di hadapannya. Datuk berpatah balik. Bila datuk sampai ke seberang. Suara desing di telinganya sudah hilang. Pandangnya tidak berkunang. Pokok-pokok besar yang dilihat bergayut dengan akar tadi, ternyata hanya pokok- pokok kecil yang tidak ada akar bergayut.

Datuk duduk di situ, beberapa saat, kemudian kawannya Lee Kong Hua pun sampai ke tempatnya.

“Kenapa ?” tanya kawan datuk

“Kita balik.”

Mereka pun segera pulang ke kebun getah. Sampai di situ sudah ada lori yang dijanjikan oleh Lee Kong Hua menunggu. Datuk terkejut disamping pemandu dua orang anggota polis seorang berpangkat sarjan dan seorang lagi polis biasa. Datuk kenal yang berpangkat sarjan itu namanya Ali, lebih dikenali dengan nama Sarjan Ali, orang Paya Ara dan membeli tanah berhampiran dengan rumah datuk.

“Kenapa Tuk,” tanya datuk dengan tenang kepada sarjan itu.

“Kalau saya tahu tadi, awak nak memburu saya tahan, saya tahu awak akan sampai ke Ulu Bendang,” kata Sarjan Ali. Datuk diam. Kemudian Sarjan Ali terus menyoal datuk, kalau datuk mengalami perkara ganjil semasa berburu. Datuk bercerita apa yang dialaminya tadi.

“Saya dah duga kawasan itu keras ada penunggunya, banyak orang yang berburu ke situ tidak pulang, sebulan dulu Cina dari Setiawan hilang ghaib entah ke mana berburu di situ, bila dikesan cuma jumpa kain dan rangka sahaja yang tinggal,” sambung Sarjan Ali. Mengeremang bulu datuk mendengarnya.

Kemudian datuk dan kawannya ke jalan besar. Terus pulang ke rumah. Penerangan yang diberikan oleh Sarjan Ali itu membuat datuk ingin lagi sekali pergi berburu di daerah itu. Walau bagaimana pun hasrat itu dibatalkan oleh datuk sesudah dia menemui seorang tua di Kampung Cangkat Berangan.

Orang itu berkata pada datuk begini : “Jangan pergi, kalau kau menerima cakap perempuan itu yang menyuruh kau mencari babi itu, kau akan hilang entah ke mana.”

“Saya nak jumpa juga.”

“Tambahkan lagi ilmu pendinding diri untuk kau.” Kata orang tua itu.

Namanya Tok Aki Simbang, waktu mudanya dia seorang pendekar malah pernah terlibat dalam peperangan Larut. Dia adalah orang kuat Long Jaafar. Datuk pun belajar lagi beberapa ilmu kebatinan dengan Tok Aki Simbang. Orang tua itu pun mencurahkan ilmunya pada datuk. Dan datuk memang pun berazam untuk menemui perempuan cantik itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-7-2012 02:19 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 3 ~ Tidur di rumah bunian

Sebulan kemudian, datuk pergi ke tempat tersebut. Ia berhasrat untuk menemui perempuan cantik. Tepat, pukul tiga petang datuk pun masuk ke dalam hutan. Lebih kurang setengah jam berada di dalam hutan. Datuk diberkas oleh anggota tentera kerana masuk ke dalam kawasan hitam. Datuk lalu dibawa ke balai polis. Seminggu datuk tidur dalam lokap sementara menanti hari perbicaraan. Bila di hadapkan ke mahkamah datuk didapati bersalah dan dihukum penjara selama seminggu, datuk bersyukur pada tuhan, kerana pihak mahkamah mengambil kira hukuman itu berjalan dari tarikh ia mula ditahan.

Pada perbicaraan itu datuk pun dibebaskan. Datuk mengambil keputusan yang tepat. Ia melupakan tentang perempuan cantik itu. Tapi, perangainya yang suka memburu itu tidak dapat dikikisnya dari hati. Kalau sehari ia tidak pergi memburu, ia terasa hidupnya terlalu sepi. Semua yang dilakukannya serba tidak kena. Akhirnya, datuk teringat tentang hutan kecil di pinggir bukit kota.

Menurut orang-orang yang berladang di pinggir bukit itu, ayam hutan cukup banyak terdapat di situ. Pelanduk dan landak juga selalu ditemui oleh mereka. Kerana bukit kota tidak termasuk dalam kawasan hitam, datuk pun mengambil keputusan untuk berburu ke tempat tersebut. Datuk berusaha mengumpulkan beberapa orang kawannya. Diajak berunding untuk berburu ayam hutan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-7-2012 02:20 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 3 ~ Tidur di rumah bunian

Semua kawan- kawannya menolak dengan alasan takut tersua dengan komunis atau terjumpa dengan anggota tentera.

“Jangan bodoh, kawasan itu, kawasan putih,” kata datuk pada kawan-kawannya dengan nada suara yang keras sambil meraba-raba misai tebalnya.

“Kami tak mahu pergi,” jawab kawan-kawan datuk.

Kemudian mereka meninggalkan datuk sendirian di anjung rumah.
Cerita orang- orang yang berladang di pinggir Bikit Kota terserempak dengan komunis, bukanlah perkar baru. Sudah jadi buah mulut orang ramai. Sudah sampai ke pengetahuan ketua Kampung Kota dan penghulu. Sudah pun dilaporkan kepada pihak polis. Orang-orang keomunis itu memang suka melintas jalan ikut Bukit Kota dari Segari menuju ke Ulu Perak, akhirnya masuk ke dalam kawasan Thailand. Orang- orang yang berladang di kaki bukit merasa beruntung dan bertuah kerana orang-orang komunis itu tidak menggangu mereka. Walaupun kawan-kawannya tidak mahu pergi, datuk tetap meneruskan rancangannya. Ia berazam mahu menembak ayam hutan sebanyak yang boleh disamping itu ia berharap juga akan dapat menembak seekor dua napuh atau landak.
Tidak ada persiapan tertentu yang diatur oleh datuk untuk pergi memburu kecuali sehari sebelum masuk hutan, ia membakar kemenyan di hujung bendul sambil membasuh mukanya dengan air kelapa muda tiga kali.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-7-2012 02:22 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 3 ~ Tidur di rumah bunian

Pagi itu, datuk bertolak dari rumah sesudah makan nasi dan minum kopi. Ia menaiki basikal sejauh dua batu untuk sampai ke kaki Bukit Kota. Memang, sudah dirancangnya untuk memburu ayam hutan pada sebelah pagi. Ia berpendapat pergi memburu pada sebelah pagi banyak untungnya, boleh meredah hutan hingga matahari jatuh.
Waktu datuk sampai di kakai Bukit Kota matahari sudah pun meninggi. Air embun di hujung daun nampak bersinar-sinar di panah matahari. Datuk tidak terus masuk ke dalam hutan. Ia singgah dulu di sebuah pondok kepunyaan kawannya. Ia bertanya pada kawannya, arah mana terapat bunyi kokok ayam hutan.Kawannya tiu pun menunjukkan arahnya.

“Batalkan saja rancangan kau tu,” ujar kawannya dengan tenang sambil merenung ke arah pokok-pokok hutan.

Datuk tersenyum sambil melurut muncung senapangnya dua tiga kali dengan tapak tangan.

“Kenapa ?” Datuk menimang senapangnya.

Kawannya terdiam tapi merenung pada tali pinggang datuk yang digayuti peluru.

“Merbahaya.”

”Kau takut aku ditangkap komunis,”

“Kalau tidak kenapa kau tahan aku?”

Datuk meletakkan buntut senapang ke bumi. Ia merenung pada puncak Bukit Kota. Datuk terdengar bunyi kokok ayam hutan atau ayam denak. Mata datuk bercahaya, kokok ayam itu bertalu-talu dan bersahutan - sahutan pula. Datuk sudah tidak boleh bersabar lagi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-7-2012 02:24 AM | Show all posts

Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 3 ~ Tidur di rumah bunian

Ia segera meletakkan senapang atas bahu dan bersedia untuk melangkah masuk ke dalam hutan.

“Jangan terburu-buru nanti buruk padahnya,” kawan datuk yang bertahi lalat di pipi mengingatkan datuk.

“Kau usah banyak cakap, kalau mahu daging ayam hutan, cakap terang-terang, aku boleh beri. Berapa ekor kau mahu?” Balas datuk dan ia pun mengatur langkah menuju lorong ke dalam hutan.

Kawannya segera mengejarnya. Tiba-tiba sahaja hati datuk jadi panas dengan perbuatan kawannya itu.

“Usah pergi,” tahan kawannya.

“Ini urusan aku, kau tunggu di pondok habuan kau ada.”

“Aku tak mahu apa yang kau dapat, tapi kau mesti ingat tempat ini bukan tempat sebarangan, banyak orang yang sesat di dalamnya.”

“Dia orang itu siapa, dan aku siapa, kalau tak cukup syarat di dada aku tak jadi pemburu tau.”

Datuk mula membangga diri. Dan datuk terus masuk ke dalam hutan. Kawannya geleng kepala. Makin jauh datuk meredah hutan, makin kerap didengannya suara kokok ayam jantan. Datuk pun sampai ke satu kawasan agak lapang. Fatuk berhenti di situ, tiba-tiba ia terpandang sekumpulan ayam hutan keluar dari celah-celah pokok menuju ke kawasan tanah lapang, mencakar-cakar tanah di situ, kemudian masuk ke dalam semak kembali. Memang tidak salah lagi inilah tempatnya kata datuk dalam hati. Ia merangkak perlahan-lahan menuju ke balik batang besar.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 30-7-2012 02:28 AM | Show all posts


Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 3 ~ Tidur di rumah bunian

Datuk duduk di situ, matahari beransur terik, tapi sinar matahari itu tidak dapat menjamah batang tubuh datuk kerana ia diteduhi oleh rimbunan pokok hutan. Datuk memasukkan peluru penabur ke dalam laras senapang. Datuk terdengar kokok ayam hutan di atas kepalanya. Datuk donggakkan kepala. Datuk nampak seekor ayam jantan dengan bulu yang berkilat bertenggik atas dahan. Ayam itu mengepak-ngepakkan sayapnya. Ekornya yang panjang berkilat bergerak- gerak dimain angin. Datuk melompat, seekor lipan bara sepanjang satu jengkal keluar dari celah daun-daun kering merayap atas kasut. Kerana kuat sangat datuk melompat lipan itu terpelanting ats tanah. Datuk segera memijaknya hingga lipan itu mati. Ayam jantan atas kepala terbang dan hilang. Datuk kecewa. Wa terus memaki lipan yang sudah hancur itu. Datuk membuat rancangan lain. Datuk mahu berubah tempat kerana datuk yakin ayam-ayam itu tidak akan datang ke situ lagi. Baru lima langkah datuk melangkah ia terdengar kokok ayam. Datuk berpatah balik ke tempat asal. Datuk di situ sambil menghisap rokok daun nipah. Sepuluh minit masa berlalu, ayam hutan tidak juga datang ke tanah lapang. Waktu datuk mencampakkan puntung rokoknya ke pangkal pohon meranti patah cabang, datuk terdengar kokok ayam lagi. Datuk tersenyum. Datuk yakin ayam-ayam itu akan datang juga ke situ. Memang benar dugaan datuk.
Ranting pokok sebelah kanannya bergerak- gerak. Seekor ayam hinggap di situ, kemudian turun ke tanah lapang. Ayam itu memanggil kawan-kawannya yang lain. Dua tiga ekor ayam betina keluar dari celah-celah pokok lalu menghampiri ayam jantan. Satu peluang yang baik bagi datuk. Datuk melepaskan tembakan. Ayam jantan menggelupur atas tanah. Datuk segera menerkam lalu menyembelihnya. Masa datuk mengikat kaki ayam untuk digantung ke pinggannga, seekor ayam betina meluru padanya berpusing di depan datuk dua tiga kali. Datuk segera menangkapnya. Mata golok yang tajam pun memutuskan urat di tengkok ayam. Bila datuk memeriksa badan ayam itu ternyata pangkal paha ayam itu sudah ditembusi peluru. Dua ekor ayam hutan tergantung di pinggang datuk. Cukup senang hatinya. Dan datuk bercadnag salah seekor daripada ayam itu akan diberikan pada kawannya yang berladang di kaki bukit. Panas kian terik dan datuk mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Pada sebelah petangnya ia akan datang lagi berburu kesitu. Datuk mendongak ke langit. Matahari sudah agak condong ke barat. Datuk senyum, ia dapat menduga pukul berapa sekarang.

“Masih awal lagi, kalau tak silap baru pukul tiga,” kata datuk dalam hati.

Dengan cara mendadak sahaja datuk membatalkan rancangannya untuk pulang. Datukmahu memburu lagi, sebelum matahari jatuh di kaki langit, datuk bercadang untuk menembak paling kurang lima ekor ayam lagi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-7-2012 02:32 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 3 ~ Tidur di rumah bunian

Alang-alang berburu biar puas. Esok lusa belum tentu boleh datang lagi ke sini. Siapa tahu entah esok , entah tulat kawasan ini akan dijadikan ‘Black Area’.

'Sebelum semuanya berlaku biar aku gunakan peluang ini.'

Itulah yang difikirkan oleh datuk. Datuk menyumbatkan peluru ke dalam laras senapang. Pusing kiri pusing kanan, Akhirnya datuk berjalan ke arah utara mengikuti lorong ayam hutan dengan harapan di hujung lorong itu ia akan bertemu dengan barang yang di carinya. Baru lima ela berjalan datuk sudah terdengar kokok ayam jantan. “Kali ini kawan-kawan yang tidak mahu ikut aku memburu tentu rugi,” kata datuk dalam hati sambil mematah dahan pokok hutan. Datuk kian jauh masuk ke dalam hutan. Datuk terdengar bunyi suara orang bercakap. Ia segera menyembunyikan diri di celah rimbun pokok hutan. Suara orang bercakap itu makin lama makin dekat berselang seli dengan bunyi kokok ayam dan suar itek. Sesekali datuk terdengar bunyi orang mengukur kelapa. Puas datuk melihat kiri kanan, ia tidak nampak pun bayang manusia. Datuk mengira itu cuma perasaannya sahaja. Ia segera keluar dari tempat persembunyiaan dan meneruskan perjalanannya. Datuk terasa kepalanya pening dan ia tercium bau wangi di kelilingnya. Datuk menduga penunggu Bukit Kota mahu menguji dirinya. Cepat-cepat datuk memebaca sesuatu, tapi bau wangi itu makin kuat datangnya, kepalanya terasa berdenyut- denyut.

“Ganjil,” kata datuk sambil mengaru tanah.

Dengan hujung goloknya datuk membuat garisan tiga segi di muka bumi. Tapi hujung garisan itu dipacaknya dengan ranting kayu. Mulut datuk terus membaca sesuatu dengan tenang. Kemudain ia mengembus pancang yang dicacaknya itu dengan mulut. Ketiga-tiga pancang itu rebah ke bumi. Tahulah datuk, bahawa ia tidak berhadapan dengan penunggu Bukit Kota, tapi ia berhadapan dengan makhluk lain yang serba aneh. Datuk meneruskan perjalannya. Bau wangi tetap menyumbat lubang hidungnya. Daun-daun hutan yang tua berguguran ke bumi. Angin bukit yang bertiup menyegarkan badannya. Rasa pening di kepalanya hilang.
Datuk berhadapan dengan pokok-pokok bunga yang beraneka rupa. Datuk tidak peduli pada semuanya itu. Datul menyimpang ke kiri, masuk ke arah hutan kelubi. Di situ juga datuk bersua dengan pokok-pokok bunga. Di hujung pokok-pokok bunga itu terdapat jalan tanah merah. Datuk terus ikut jalan itu , kerana kokok ayam hutan datangnya dari situ. Datuk berhenti berjalan, bila datuk terpandang seorang perempuan tua berdiri di hujung jalan. Bila melihat datuk berhenti, perempuan itu segera menghampirinya.

“Kau sesat,” kata perempuan itu.

“Tidak.”

“Habis macam mana kau ke mari.”

“Saya memburu ayam.”

“Patutlah ayam aku banyak yang hilang.”

“Saya….”

“Sudah mari singgah di rumah aku dulu.”
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-7-2012 02:36 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 3 ~ Tidur di rumah bunian

Datuk terus mengikuti perempuan tua itu ke rumahnya. Kerana perempuan itu mendakwa, bahawa ayam yang tergantung di pinggang datuk itu, adalah ayam kepunyaanya, tanpa soal jawab datuk terus menyerahkan padanya. Ayam itu dijadikan gulai yang kemudiannya dijadikan hidangan makan malam buat datuk. Selain dari perempuan tua itu datuk dapat berkenalan dengan seorang perempuan muda yang tinggal serumah dengan perempuan tersebut. Datuk diberitahu oleh perempuan tua, bahawa perempuan muda itu adalah anaknya, datuk cuma angguk kepala sahaja, kemudian datuk minta perempuan itu menghantarkannya ke kaki Bukit Kota. Permintaan datuk itu tidak dapat dipenuhi oleh perempuan tua tersebut. Ia minta datuk bermalam di rumahnya.

“Baiklah, tapi pagi esok saya mesti balik,” kata datuk.

“Boleh, kami tidak pernah mungkir janji.”

“Hantarkan saya sampai ke kaki bukit.”

“Tentulah boleh, tapi kau mesti berjanji kepada kami.”

“Janji apa ? “

“Jangan menembak binatang ternakan kami.”

Datuk terdiam. Apa haknya perempuan tua ini menahan kesukaannya. Datuk menatap wajah orang tua itu lama- lama. Orang tua itu tersenyum. “Kau susah dengan syarat itu ?” “Tak susah, tapi….” “Memburulah di tempat lain tapi jangan di sini.” “Baiklah.” “Kalau kau mungkir janji buruk padahnya.” Orang tua itu mengigatkan datuk dengan nada yang keras.

Bulu tengkuk datuk meremang. Malam itu datuk tidak tidur. Orang tua itu mengajak datuk berborak hingga menjelang subuh. Cara diam-diam datuk jatuh hati pada perempuan muda yang nampak bersopan santun. Cantik orangnya dengan sepasang mata yang besinar. Berkulit putih dan rambut terhurai di atas bahu. Subuh itu datuk terpaksa sembahyang subuh di surau bersama dengan penduduk di kampung tersebut. Orang di situ menerima datuk dengan mesra. Seperti yang dijanjikan. Orang tua itu bersama anaknya menghantar datuk sehingga ke kaki bukit Kota. Sebagai tanda kenangan anak orang tua itu menghadiahkan kepada datuk sebilah keris pendek.

“Ingat, jadilah manusia yang teguh pada janji, tidak menipu dan menyeksa sesama mahkluk, ” kata orang tua, bila bertemu dengan jalan ia mula masuk ke hutan dulu.

“Kalau mahu ayam minta pada kami, jangan menembaknya atau mencurinya,” sambung perempuan tua itu.

Datuk mengangguk kepala sambil menoleh ke kanan. Bila datuk menoleh ke kiri semula, perempuan dan anaknya hilang. Datuk pulang tanpa ayam hutan tapi membawa keris pendek yang terpaksa di usap dengan kemeyan setiap malam Jumaat. Itu pesan perempuan tua yang mesti dipatuhinya, tapi setiap kali keris itu diusap, anak pada perempuan tua itu akan menjelma. Satu perkara yang tidak di senangi oleh datuk.
Lantas datuk mengambil keputusan untuk memulangkan keris itu. datuk pun pergi ke Bukit Kota, satu hari satu malam datuk berada di situ. Datuk tidak juga bertemu rumah perempuan tua itu. Tempat yang ditandanya dulu, ternyata hutan besar yang menakutkan dan penuh dengan pokok-pokok besar dan akar kayu berjuntaian. Dari kawan datuk yang membuat pondok di kaki Bukit Kota, datuk mendapat tahu, bahawa kampung yang dimasukinya dulu ialah kampung orang bunian. Dan datuk terjumlah pada orang yang beruntung, kerana orang bunian itu berkenan padanya kerana itu dia dilayan, kalau orang bunian tidak berkenan, sudah pasti datuk sesat di dalam hutan berbulan-bulan. Walaupun begitu, datuk masih dapat menjalinkan silaturahimnya dengan orang bunian dengan baik. Malah ia telah dikira sebagai salah seorang anggota orang bunian. Datuk mendapat tahu semuanya ini menerusi anak perempuan orang tua melalui keris pendek yang di usapnya pada tiap-tiap malam Jumaat.

“Ingat, buat sesama manusia, jangan tamak dalam hidup, bersihkan diri dari perasaan hasad dan dengki,” kata perempuan tua itu pada datuk pada suatu malam.

“Saya tahu,” jawab datuk.

Kemudian perempuan itu menghilangkan diri di tengah- tengah bau kemeyan yang semerbak. Dua minggu kemudian, datuk menghilangkan diri selama seminggu.
Seluruh anak buahnya jadi gempar. Masuk minggu yang kedua, datuk pulang dan memberitahu nenek, bahawa datuk telah berkahwin dengan orang bunian. Nenek terdiam. Tidak memberikan sebarang komen.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-7-2012 05:53 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 4 ~ Kereta datuk tersadai

Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di halaman rumah dengan anak cucu. Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya dan memang menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama ia akan mengumpulkan anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya. Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menziarahi kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu. Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri.
Tidak ada siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyurkan supaya kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara : “Usah bimbang, ia akan balik dalam sehari dua ini.”

“Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu.” Jawapan nenek itu, menghilangkan keraguan anak cucu.

Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi turun memburu, ia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama isteri barunya dan setiap kali datuk pulang, datuk akan membawa buah tangan untuk nenek yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setia, nenek tidak pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoaljawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau sudah bertengkar nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Ia merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup, bagi nenek kalau nenek kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang maha besar. Barang kali esok atau lusa nenek  akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu ia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk.

Akhirnya anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah datuk kerana urusan diri masing- masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan tidak kurang pula yang makan gaji. Kereta yang bersusun di depan rumah datuk, sebuah demi sebuah meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat masing-masing. Nenek berpeluk-peluk dengan anak cucu sambil mendoakan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan. Nenek berharap pada Hari Raya tahun depan anak cucu akan kembali ke kampung. Cuma yang nenek terkilan hanya satu sahaja, iaitu semasa kereta anak cucunya bergerak, datuk tidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak cucu dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya cukup hiba. “Sampaikan salam pada datuk,” kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua belas.

Matanya merenung muka nenek.

“Boleh, jangan bimbang,” nenek memberikan pengakuan.

Ahmad Zaki yang lewat sekali meninggalkan rumah datuk. Ia bertugas sebagai guru mengajar di Sekolah Menengah Dr Burhanuddin di Taiping. Bila semua anak cucu sudah pergi, nenek kembali dengan kerjanya membelai pokok sireh di belakang rumah, melihat ayam yang bertelur di reban serta memetik kacang panjang. Kalau diikut kata hati, nenek mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya, duduk sama mereka.
Tidak guna kalau duduk rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya. Bila nenek mengkaji semula hal ini dengan sedalam- dalamnya. Ia tidak rela meninggalkan datuk. Ia mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan yang maha besar. Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih dapat mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di depan matanya. Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya yang pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang matahari sudah pun berada di pucuk kelapa. Nenek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja ia membasuh dan memotong kacang panjang, nenek terdengar bunyi suara kereta masuk. Nenek menerpa ke muka pintu. Ia melihat Muhammad Hakim keluar dari kereta.

“Kenapa ada barang tinggal ?” Tanya nenek.

“Tak ada apa nek, kereta Ramlah berlanggar dekat Pekan Pusing."

Nenek diam. Ia tahu cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bharu. Ramlah bertugas sebagai pegawai kastam.
“Apa yang mesti kita buat ?” nenek menyoal.

Mohammad Hakim suruh nenek masuk ke dalam keretanya untuk pergi ke Batu Gajah. Pada jiran sebelah telah ditinggalkan pesan, bila datuk balik suruh dia pergi ke Hospital Batu Gajah.

Jiran yang baik hati itu berjanji mahu menyampaikan amanat itu. Bagaikan digerakkan oleh sesuatu, datuk yang sudah lama tinggal dengan isteri mudanya di kampung bunian, teringat mahu balik. Isteri mudanya tidak menahan. Datuk pun balik. Datuk sampai ke rumah waktu maghrib, datuk tidak bertanya pada jiran tentang nenek yang tidak ada di rumah.
Selepas sembahyang, seorang jiran datang menemuinya dan menyampaikan berita yang dipesan. Datuk menerima pesanan itu dengan tenang.

“Terima kasih, aku ingat lepas sembahyang Isyak aku nak pergi,” kata datuk pada jiran yang menyampaikan pesan.

Apa yang dicakapkan oleh datuk, di kotakannya, lepas sembahyang Isyak datuk pun mengidupkan injin keretanya, kemudian datuk matikan injin kereta itu, datuk buka bonet kereta untuk memastikan ia membawa barang keperluan, kekalau nanti tayar keretanya bocor di tengah jalan. Datuk periksa injin kereta. Datuk yakin keadaan keretanya cukup baik dan selamat untuk perjalanan jauh. Masa datuk meninggalkan rumah, keadaan langit agak mendung, tidak ada bintang mengerdip, tiada bulan sabit di kaki langit. Datuk terus memandu kereta Ford Anglianya dengan tenang membelah kegelapan malam. Kereta datuk sudah pun melintasi Kampung Buruk Bakul dan Simpang Tiga, bila masuk ke dalam kawasan Kampung Buluh Aur, hujan mula turun dengan lebatnya,agak sukar juga datuk memandu dalam malam hujan lebat.
Datuk terpaksa memandu keretanya dengan perlahan sekali. Sesekali datuk terbabas ke tepi jalan. Bila berselisih dengan lori balak atau lori ikan datuk terpaksa memberhentikan keretanya. Datuk sudah pun melalui Jambatan Nordin di Tanjung Belanja, sekarang datuk sudah memasuki Pekan Parit tatapi hujan tidak juga beransur reda, walau apa yang terjadi datuk tetap mahu meneruskan perjalannya ke Hospital Batu Gajah, datuk meninggalkan Pekan Parit, datuk menggigil kesejukan, sampai di satu selekoh kereta datuk berhenti dengan tiba-tiba. Datuk cuba menghidupkan injinnya, usahanya itu tidak berjaya. Dalam hujan yang lebat itu datuk keluar dari perut kereta. Datuk membuka bahagian depan dengan lampu picit di tangan dan meraba semua wayar yang terdapat pada injin kereta. Badannya sudah basah. Datuk menggigil. Datuk ingin menghidupkan kereta. Tidak berjaya. Datuk membunyikan hon, tidak bersuara. Datuk masih juga tenang.
Walaupun datuk tahu, datuk sekarang berada di tempat sunyi di kiri kanannya penuh dengan hutan tebal. Kilat mula bermaharajalela. Dari cahaya kilat itu datuk dapat memastikan bahawa dirinya berada tidak jauh dari Bukit Berapit. Setiap kali cahaya kilat memancar ia dapat melihat Bukit Berapit yang tertegun berdiri di kiri kanan jalan. Hujan terus turun.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-7-2012 05:59 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 4 ~ Kereta datuk tersadai

Jalanraya sudah penuh dengan air melimpah-limpah, datuk melihat jam di tangan, sudah hampir pukul dua belas malam. Tidak ada sebuah kereta yang melintas di situ. Datuk tetap menggigil dalam perut kereta Ford Anglianya. Tiba-tiba datuk melihat ada cahaya api dari sebelah kanan jalan. Datuk mempastikan cahaya lampu itu datangnya dari sebuah rumah. Datuk ambil golok, lalu diselitkan ke pinggang . Kemudian datuk memutuskan untuk pergi ke rumah yang ada cahaya lampu itu. Datuk menguncikan semua pintu kereta. Datuk menyeberang jalan dalam hujan yang begitu lebat. Datuk masuk ke dalam satu lorong menuju ke rumah tersebut.
Sampai sahaja di kawasan rumah itu, kilat pun memancar. Datuk dapat melihat rumah itu, ialah sebuah rumah batu bertingkat dua, di halamannya penuh dengan pokok-pokok bunga yang sudah basah dengan air hujan. Datuk masuk ke bawah rumah lalu mengetuk pintu berulang-ulang kali. Tidak ada jawapan. Datuk ketuk lagi. Pintu pun terkuak, seorang perempuan muda berdiri sambil di tangannya tertatang sebuah pelita minyak tanah.

“Saya mahu tumpang berteduh,” kata datuk.

“Begitu, masuklah ke dalam.”

“Tak payah, biarlah di luar sahaja.”

“Jangan begitu masuklah.”

Pelawa perempuan itu mendesak juga datuk supaya masuk ke dalam rumah. Akhirnya datuk masuk. datuk disuruh duduk di ruang tamu.
Perempuan yang baik hati itu memberikan datuk kain pelikat dan baju Melayu. Datuk terus memakainya. Perempuan itu juga memberikan datuk secawan kopi panas, habis dihirup, datuk terasa badannya cukup segar.

“Tinggal seorang saja,” tanya datuk.

Perempuan muda yang berambut panjang itu tersenyum, lampu minyak tanah terlintuk liuk ke kiri dan kanan ditiup angin malam. “Emak dan ayah saya pergi ke Bagan Serai, tengok orang sakit.”

“Suami ? Saya belum bersuami, dulu bertunang dengan askar, tapi tunang saya mati ditembak komunis di Sungai Siput.”

“Kalau begitu, tidak manis saya berada di rumah anak dara, malam begini,”

“Apa salahnya, kita tidak berbuat jahat, awak datang dengan kereta awak rosak, dan saya berkewajipan menolongnya, masa ini masa awak, nanti ada masanya saya memerlukan pertolongan dari awak.”

“Awak perempuan yang baik hati,”

“Usahlah terlalu memuji,” tingkah perempuan muda.

Di luar rumah hujan terus menggila, petir dan kilat juga menunjukkan gagah. Angin yang bertiup kencang menghasilkan bunyi suara daun yang berlaga sama sendiri, sesekali terdengar bunyi dahan pokok yang sekah. Datuk terdengar bunyi lolongan anjing sayup-sayup di luar bersama bunyi suara kucing berkelahi. Dari arah dapur datuk terdengar bunyi pinggan dan piring berlaga, serentak dengan itu datuk terdengar bunyi suara perempuan mengilai.

Datuk tidak menyoal apa yang didengarnya pada perempuan muda itu. Ia tetap tenang. Tentulah tidak wajar sekali bertemu di rumah orang yang baik budi bahasa mahu menyoal hal peribadi. Itu biadab namanya. Datuk tidak mahu, perempuan muda menuduh dia biadab. Malam itu, perempuan muda yang cantik, berbibir nipis, berdahi luas memberitahu datuk, bahawa dia dan orang tuanya berasal dari Pulau Pinang dan berbangsa Cina. Masa zaman pemerintahan Jepun mereka tinggal di Batu Gajah dan mereka sekeluarga terus memeluk agama Islam. Bila Jepun kalah, mereka pindah ke Seputih dan membeli rumah dan tanah yang mereka duduki sekarang ini. Dengan penjelasan itu, datuk senang hati. Kemudian perempuan muda itu memberikan datuk sebuah bilik yang lengkap dengan katil dan meja serta almari.

“Bilik untuk awak tidur di sini,” ujar perempuan muda itu, datuk melihat sebatang lilin yang dimamah api tersedia di atas meja.

“Usah bimbang, esok saya suruh orang baiki kereta awak,” tambah perempuan cantik itu.

“Kereta awak dan awak selamat di sini.”

“Terima kasih.”

Perempuan muda itu merapatkan daun pintu bilik. Datuk terdengar perempuan muda itu mengunci bilik dari luar. Datuk tersenyum, dan terfikir bahawa perempuan muda itu berbuat begitu adalah untuk kebaikan dirinya, ia bimbang datuk akan keluar mencarinya di tengah malam lalu merogolnya. Datuk menggelengkan kepala.

“Aku tidak sejahat itu,” kata datuk dalam hati.

Datuk rebahkan badan atas katil. Bila datuk mahu merapatkan kedua belah kelopak matanya, ia terdengar bermacam-macam bunyi di luar, ada bunyi orang berjalan, ada suara orang menangis. Datuk tidak menghiraukannya barangkali itu cuma perasaannya sahaja. Akhirnya, datuk terlelap, ia bermimpi ada orang kepala anjing datang padanya lalu mahu membaham pangkal pehanya. Datuk melawan dengan sekuat hati. Dalam perlawanan itu , datuk tewas pada orang berkepala anjing itu terus mengoyak daging peha datuk. Darah bertaburan dalam bilik. Datuk menjerit dengan sekuat hati. Datuk pun terjaga.
Datuk terkejut, kerana hari sudah cerah, matahari mula bersinar dan masuk ke dalam ruang bilik. Datuk mengerutkan dahi, kerana ia mendapati dirinya cuma tidur di atas simen di sebuah bilik yang kotor dan buruk. Tidak ada katil. Tidak ada meja. Cuma yang ada hanya tunggul kayu dan batang pisang. Datuk keluar. Datuk menarik nafas panjang. Rumah yang malam tadi, indah ternyata sebuah rumah buruk yang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi. Di halaman rumah penuh dengan hutan keduduk, serunai laut, pemandangan sekitar rumah itu amat menyeramkan. Datuk mencari perempuan muda yang melayannya semalam. Tidak nampak batang hidung pun. Datuk pergi ke ruang tengah. Datuk  melihat satu cawan sumbing yang kotor.
Di dalamnya ada air hitam yang busuk. Ada dua tiga ekor bangkai cicak yang kembung perutnya terdapat dalam cawan itu. Datuk mengucapkan panjang. Ia ingat malam tadi ia minum di situ. Ia yakin air itu sudah masuk ke dalam perutnya.

“Syaitan, aku dipermainkan oleh syaitan,” bisik batin datuk.

Datuk pun meninggalkan kawasan rumah itu menuju ke jalanraya. Datuk cuba menghidupkan injin keretanya. Suara kereta mengaum. Datuk cuba memandu dua tiga rantai ke depan. Keretanya tidak mengalami sebarang kecelakaan. Datuk terus menuju Hospital Batu Gajah. Datuk kecewa. Ramlah yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sudah meninggal dunia. Jenazahnya telah dibawa ke kampung malam itu juga. Datuk menceritakan kisah yang dialaminya pada seorang pekerja di Hospital Batu Gajah.

“Begini pak cik, rumah tu rumah tinggal. Anak dara tuanpunya rumah itu menggantung diri di ruang tengah rumah tu,” beritahu pekerja itu pada datuk.

“Sebab ?”

“Dia kecewa, kerana tunangnya berkahwin dengan orang lain.”

“Begitu ?...” suara datuk lembut.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2012 02:35 AM | Show all posts

Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 5 ~ Berjaga di hujung jambatan

Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.

“Aku bukan tukang cerita,” kata datuk.

Dan ada orang yang tidak percaya dengan apa yang terjadi pada diri datuk. Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan- kawan pada dirinya.

Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata : “Mari ikut aku atau biar aku hantarkan kalian ke tempat tersebut dan kalian lihat nanti, apa yang akan terjadi.”

Anehnya, tidak ada seorang pun dari kalangan kawan- kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita datuk bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu lagenda yang jadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak lagi diperkatakan oleh orang. Dua bulan berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh badannya sakit dan bengkak- bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan dan swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang.

Bila anak cucu mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak suka duduk di hospital. Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakit nya tidak juga mahu hilang. Seorang dukun dari Pekan Mambang Di Awan dekat Kampar mengatakan sakit datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.

“Kenapa tok bomoh ?” seorang cucu datuk bertanya.

“Sakitnya dibawa oleh orang atas,” jawabnya pendek.

“Siapa orang atas tu tok bomoh,” desak cucu datuk.

Dan bomoh itu tidak mahu memberikan jawapannya. Begitulah datuk, ia terus terlantar di tempat tidur menanggung sakit.
Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih mahu bercakap, kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat. Kadang- kadang datuk memaksa dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia segera melarang dan menepis tangan anak cucunya.

“Aku masih kuat lagi,” katanya.

Dengan itu semua anak cucu pun menyepi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2012 02:39 AM | Show all posts
Pada suatu malam, semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk memanggil dukun orang asli yang tinggal dekat Grik. Entah macam mana rancangan itu sampai ke pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang berhampiran dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus dipujuk untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk merawatnya. Memang di luar dugaan, anak cucu , datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor itu, sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan yang agak lama.
Sesudah menerima suntikkan dan memakan pil yang diberikan oleh doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung rumah. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi. Datuk mula boleh makan nasi. Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang Isyak. Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur datuk dikuasai oleh bau- bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemayan. Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.

“Carikan aku tiga biji limau, tiga gelai daun sireh putus urat, seulas pinang, kemenyan dan tempat membakarnya,” ujar datuk tenang.

“Nak buat apa,” tingkah nenek.

“Usah banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang,” datuk membeliakkan matanya.

Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang tembaga berlapikkan kain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum datang kembali menguasai bilik tidur datuk. Duduklah datuk mengadap dulang tembaga, asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang menaburkan serbuk kemenyan di dalam dupa.

“Duduklah,” datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding.

Anak cucu merenung ke tepi dinding. Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk melihat buah limau tiga biji bergerak-kerak bagaikan ada tangan yang menyentuh.

“Kalian keluarlah, ada pawang nak mengubat aku,” datuk memberi perintah.

Semua anak cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan terus juga lepas keluar.

“Dah berapa lama sakit ini, kenapa tak beritahu,” anak cucu datuk terdengar suara orang perempuan bercakap di dalam bilik.

Semua hati anak cucu berdebar dan cuba mengintai dari celah pintu .
Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk sahaja yang terlentang dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan ada tangan yang sedang mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki kanannya menandakan dia tidak mahu kaki kanannya diurut.

“Berapa lama sakit ni,” terdengar lagi suara perempuan.

“Dah dekat tiga bulan,” sahut datuk.

“Patutlah lama tak ke rumah.”

“Sibuk.”

“Apa asalnya , ada jatuh atau ada tersalah makan.

“Salah makan tu tak ada, tapi jatuh memang ada,saya jatuh dekat perigi buta.”

“Patutlah, kalau jatuh cepat berurut atau berubat, kalau tak diubat inilah jadinya."

“Itu salah saya,” datuk mengaku.

Suasana dalam bilik datuk sunyi, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi orang mengambil sesuatu serta bunyi orang mengoyakkan daun sireh.

“Amalkan apa yang saya buat, tapi ingat kalau dah sihat jangan lupakan tempat saya,” terdengar lagi suara perempuan.

Beberapa saat kemudian, datuk membuka pintu bilik , bau wangi masuk ke ruang rumah. Lepas itu datuk membuka pintu depan. Datuk berdiri di muka pintu.

“Selamat jalan,” kata datuk pada malam yang samar- samar itu.

Datuk melambaikan tangannya. Entah pada siapa datuk melambaikan tangan. Tidak seorang pun anak cucunya yang tahu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2012 02:41 AM | Show all posts
Perkara itu berlanjutan hingga tiga malam. Masuk malam ke empat datuk mengadakan kenduri kesyukuran. Datuk sudah pulih. Datuk sudah boleh berjalan dan memandu kereta buruknya . Datuk sudah pun mengucapkan ribuan terima kasih pada doktor swasta yang datang merawatnya. Dan anak cucunya bertambah pening. Antara doktor dan dukun siapakah yang sebenarnya merawat datuk hingga sembuh. Lalu anak cucu datuk membuat kesimpulan begini : Masa kuat sakitnya doktor yang mengurangkannya dan dukun itu cuma mendapat rahmat dari doktor sahaja. Seminggu kemudian, datuk ghaib dari rumah dan anak cucu tidak merasa apa-apa atas kehilangannya itu, semuanya tahu, bahawa datuk pergi ke rumah isteri orang bunian. Dan datuk akan kembali ke pangkuan nenek sesudah tinggal dengan isterinya orang bunian itu selama tiga empat hari.
Nenek tidak pula merasa cemburu. Apa yang nenek fikirkan ialah tentang kebahagiaan diri datuk. Biarlah datuk buat apa sahaja. Asalkan datuk gembira dan boleh panjang umur. Cukup mulia hati nenek. Macam selalu, bila datuk pulang dari rumahnya di kampung bunian, datuk akan membawa seekor dua ayam hutan dan buah labu atau mentimun untuk nenek dan anak cucunya.

“Siapa yang merawat dalam bilik dulu,” tanya nenek pada suatu petang.

Datuk tersenyum mendengar pertanyaan itu.

“Isteri muda kitalah.”

“Siapa ?”

“Orang bunian.”

“Hum, lagi apa katanya pada awak?”

“Tidak ada apa-apa, cuma dia berpesan satu sahaja, kalau ada apa kesusahan pada keluarga kita, segera beritahu padanya.”

Jawapan yang diberikan itu cukup menyenangkan nenek. Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, datuk terlibat dalam pengambilan ahli-ahli pengawal kampung untuk menentang pihak komunis yang sentiasa mengancam keselamatan penduduk kampung. Datuk telah dipilih untuk menjadi anggota AP. Kerana itu datuk kena menjaga kampung pada setiap malam secara bergilir- gilir dengan orang-orang kampung yang lain kerana datuk dianggap penduduk yang tertua di kampung itu dan tahu pula serba sedikit ilmu dunia, datuk telah dipilih untuk menjadi ketua. Kadang-kadang datuk dipanggil juga oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke hutan untuk mengempur sarang komunis.
Ini bukanlah beban yang berat baginya. Datuk menerimanya dengan rasa senang hati. Satu keistimewaan datuk, ialah datuk kurang tidur tapi badannya tetap sihat. Wajahnya tidak cengkung atau pucat. Satu malam telah diarahkan pasukan keselamatan untuk membawa anak buahnya menjaga kawasan kampung yang bersempadan dengan jalanraya yang merintangi sebuah anak sungai. Datuk pecahkan anak buahnya kepada dua pasukan, setiap pasukan dianggotai oleh lima orang. Satu pasukan ditugaskan peronda tapi sungai menghala ke utara.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2012 02:42 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 5 ~ Berjaga di hujung jambatan

Sedangkan datuk dengan kawan-kawan menguasai sebelah selatan hingga sampai ke jambatan besi. Datuk memilih pangkal jambatan besi itu sebagai tempat ia mengatur sebarang gerakan. Malam itu datuk bertugas dengan tenang di atas jambatan besi. Sesekali malam yang sepi itu dipecahkan oleh bunyi jentera lori pasukan keselamatan yang melintas di atas jambatan besi.

“Kau berdua pergi ke hujung sama, dan kau berdua pergi berjaga dekat pokok besar,” datuk memerintahkan anak buahnya.

“Di sini, siapa nak tunggu?”, tanya Hamid, salah seorang dari anak buahnya.

Datuk tidak menjawab pertanyaan itu dengan cepat. Dia termenung berfikir.

“Di sini, biar aku tunggu,” katanya.

Anak buahnya yang sudah diperintah mengikut arahan yang ditetapkan. Malam bertambah sejuk. Datuk mengigil kesejukan. Dua tiga kali dia menguap. Badannya disandarkan pada besi jambatan. Tiba-tiba datuk terkejut, seekor ular berbelang kuning dan hitam meniti atas palang besi jambatan menuju ke arahnya. Lebih kurang satu ela mahu sampai padanya , ular itu berhenti. Panggung kepala. Menjulurkan lidah. Mata ular itu nampak merah. Dari mulut ular itu terpancar sesuatu macam api. Bila ular itu mengkatupkan mulutnya. Api itu padam dan api itu akan wujud kembali, bila ular itu membuka mulutnya.
Reply

Use magic Report

Post time 1-8-2012 06:46 AM | Show all posts
sambung plsss..cerita menarik ni bro..thanx
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-8-2012 02:50 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 6 ~ Melihat jembalang air

Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.

“Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti.”

Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun panggung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu- satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterajang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut- sahutan. Di selang-seli dengan lolongan anjing yang mendayu-dayu.
Datuk merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat. Datuk terdengar bagaikan ada orang mandi di situ.
Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan dengan hal-hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai. Dalam suasana agak kelam- kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke tebing. Di tengah-tengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu bergerak. Air terus bergelombang merempuh pokok-pokok keladi di tebing sungai. Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkara-perkara yang aneh datuk akan membaca ayat suci al-quran. Kali ini datuk membaca ayat ‘Kursi’ dengan khusyu’.
Semasa datuk membaca ayat-ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik, bagaikan suara gajah. Datuk tidak peduli. Datuk terus membaca. Bila ayat itu habis dibaca. Suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir tenang. Daun-daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.

“Syaitan ?” kata datuk sambil meninggalkan tempat tersebut.

Datuk terus mendapatkan anak buahnya. Mereka berkumpul kerana hari sudah pun beransur cerah. Datuk terus membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing- masing. Separuh dari pada anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu- bata di Jalan Parit. Banyak juga anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.

Datuk tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang-orang kampung. Walaupun begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi , peristiwa ganjil seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi. Di kiri kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang- kadang jambatan itu jadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas. Dan kalau diceritakan kisah-kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya, malah mereka akan mentertawakan pada orang yang menceritakannya. Sebulan selepas dari peristiwa yang aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi oleh seorang pemuda Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.

“Agaknya perut anak kau kembung,” kata datuk sambil merenung muka Udin.

“Sudah berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya.” Jawab Udin dengan tenang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2012 02:54 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 6 ~ Melihat jembalang air

Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi kerana dia merupakan orang yang tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu dalam hal-hal kedukunan. “Bawa saja anak kau ke klinik,” datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk direnungnya lama- lama.

“Malam klinik dah tutup.”

“Sepatutnya, kau tak payah minta penawar dari aku, jumpa doktor lagi baik, sebabnya mereka boleh memeriksa anak kau, mana tahu anak kau ada mengidap penyakit,”

“Saya tahu, tapi….” Udin berhenti bercakap.

Ada rasa kecewa dan putus asa bermain di wajahnya.

“Baiklah, bolehlah aku buatkan penawar, tapi esok kau bawalah anak kau ke klinik,” kata datuk lagi.

Datuk pun segera membuat air penawar dan diberikan pada Udin. Sebelum Udin meninggalkan rumah, lagi sekali datuk mengingatkan Udin supaya membawa anaknya menemui doktor. Datuk berpendapat berubat dengan doktor lebih baik dari berubat dengan dukun, kerana dengan peralatan moden, sakit seseorang dapat dikesan dengan cepat. Pesan datuk itu tidak dipersiakan oleh Udin. Dia terus membawa anaknya menemui doktor dan menerima rawatan dengan baik.

Sejak itu anaknya tidak lagi menangis malam. Memang, begitulah sikap datuk, dia lebih suka menggalakkan orang-orang kampung berubat dengan doktor, kecuali kalau sudah menemui doktor pesakit tidak mahu baik, barulah dia menyuruh berubat cara kampung.

“Mari ikut aku ke rumah Anjang Dollah,” kata datuk pada saya.

Pemintaan datuk itu tidak dapat saya tolak. Dengan rasa kecewa saya meninggalkan kumpulan kawan-kawan saya yang sedang bermain galah panjang di depan rumah datuk.

“Apa halnya?” tanya saya.

“Sajalah,aku dengar cerita Anjang Dollah tu handal mengubat orang kena sampuk, anu nak tengok cara dia mengubatnya. Kalau boleh aku nak belajar darinya.”

“Belajar buat apa ?” balas saya.

Datuk tersenyum dan terus berkata : “Belajar untuk tahu apa salahnya, tidak merugikan kita.”

Setelah mendengar cakapnya itu. Saya pun tidak mengeluarkan sebarang soalan atau pertanyaan. Berjalanlah saya dengan datuk petang itu menuju ke Kampung Gelung Gajah yang jaraknya lebih kurang tiga batu dari kampung datuk. Terpaksa meredah dua tiga anak sungai. Dan rumah Anjang Dollah letaknya agak terpencil dari rumah-rumah di situ. Berada di pinggir sebuah kolam dan berhadapan dengan sebuah belukar kecil. Lebih kurang pukul empat petang, sampailah saya dan datuk ke rumah Anjang Dollah. Kami dipersilakan naik. Datuk terus menyatakan, bahawa kedatangannya ialah untuk melihat bagaimana cara dia mengubati orang yang kena sampuk.

“Apa salahnya? ” balas Anjang Dollah dengan senyum bangga.

Anjang Dollah pun mempersilakan saya dan datuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil. Di dalam bilik itu penuh dengan barang-barang perubatan seperti kemenyan hantu, buah limau, buah kelapa dan tempat membakar kemenyan. Di tepi bilik terdapat sebuah katil dengan tilam dan bantal bersarung kain hitam. Bantal dan tilam itu sudah buruk benar. Bila saya menghampirinya hidung saya tidak tertahan mencium bau hapak dari bantal dan tilam. Bila saya mahu membuka kain tilam yang menutup katil itu saya ditahan oleh Anjang Dollah.

“Jangan!” suara Anjang Dollah keras.

Saya duduk kembali. Hati saya ingin tahu, siapakah gerangan yang tidur di situ. Saya yakin ada orang yang tidur di atas katil itu, kerana bila saya perhatikan kain hitam itu bagaikan bergerak-gerak mengikuti tarikan nafas manusia.

“Siapa yang baring tu?” datuk pula bertanya.

Anjang Dollah merenung muka datuk. Saya mula resah tidak menentu.

“Sahabat saya, orang suruhan saya. Boleh disuruh keluar waktu malam dan balik pagi.”

Anjang Dollah memperjelaskan pada datuk. Saya dan datuk pun angguk kepala.

“Dia tidur agaknya,” tanya saya lagi.

“Dia tak tidur,” sahut Anjang Dollah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2012 02:57 AM | Show all posts
Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 6 ~ Melihat jembalang air

“Kalau tak tidur kenapa tak bangunkan.” Tingkah datuk.

“Dia malu tengok orang.”

Itulah jawapan Anjang Dollah. Jawapan itu sebenarnya tidak memuaskan hati saya. Dan saya mahu bertanya lagi. Bila saya mahu membuka mulut, datuk segera mencuit bahu saya. Fahamlah saya, bahawa datuk tidak mahu saya menyoal lebih lanjut tentang apa yang berada di atas katil. Anjang Dollah meninggalkan kami di dalam bilik. Ada orang datang ke rumahnya.

Sepeninggalan Anjang Dollah itu, bulu roma saya mula berdiri. Rasa takut datang dalam hati saya. Kalaulah tidak ada datuk di samping pasti tempat itu saya tinggalkan. Anjang Dollah datang. Dia minta kami duduk di ruang tengah. Di ruang tengah itu terdapat sorang perempuan muda. Duduk bersila di atas lantai.

Perempuan muda itu datang ke rumah Anjang Dollah kerana mahu meminta tolong mengubati adiknya yang menjerit dan meraung tidak tentu arah macam orang gila.

“Adik saya kena buatan orang Pak Anjang,” kata perempuan itu dengan muka agak muram.

“Dia terpaksa diikat dengan tali di tiang rumah,” tambah perempuan itu lagi.

Anjang Dollah mengigit bibir dan terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Tanpa bercakap sepatah, Anjang Dollah terus ke dapur. Datang semula ke ruang tengah dengan mangkuk putih yang penuh air.

“Mari masuk ke dalam bilik saya, ” Anjang Dollah menjemput perempuan , datuk dan saya.

Kami pun masuk ke dalam biliknya. Anjang Dollah bersila, di depan katil. Matanya merenung air dalam mangkuk putih sambil mulutnya membaca sesuatu. Entah apa yang dibacanya saya pun tidak tahu. Dia menoleh ke belakang merenung perempuan muda seraya berkata, “Kau balik dulu.” Bila perempuan itu sampai dekat muka pintu. Anjang Dollah memanggilnya kembali dan menyuruh perempuan itu duduk di depannya. Perempuan itu akur dengan perintahnya itu. Anjang Dollah terus membaca sesuatu.

Lebih kurang sepuluh minit Anjang Dollah berbuat begitu. Mukanya bertukar menjadi hitam. Matanya jadi hijau berkilat. Separuh anggota badannya menggeletar, macam orang kesejukan. Lama juga Anjang Dollah jadi begitu. Hati saya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya ketika itu. Bila wajahnya berubah dalam keadaan biasa. Barulah Anjang Dollah bersuara, tapi suaranya bertukar menjadi parau.

“Siapa nama adik kau?” tanya Anjang Dollah pada perempuan itu.

“Aishah.”

“Berapa umurnya?”

“Sembilan belas tahun.”

“Siapa nama emaknya?”

“Hamidah.”

Selesai sahaja Anjang Dollah menyoal dan menerima jawapan dari perempuan itu. Dia segera bangun dan terus rapat ke katil. Berdiri di situ agak lama juga sambil tangan kanannya memegang pangkal dagunya.

“Hai sahabatku yang setia, pergilah engkau ke tempat asalmu, ambillah sehelai rambut perempuan mati beranak,” kata Anjang Dollah.

Kain hitam mula bergerak. Datuk duduk dengan tenang. Saya merasakan mahu buang air kecil, terasa mahu buang air besar. Saya jadi serba salah. Rasa mahu buang kecil dan air besar itu hilang juga, bila saya terfikir kalau masa buang air kecil atau buang air besar kain hitam itu akan datang pada saya. Buruk padanya.

“Pergilah sahabatku,” ulang Anjang Dollah.

Dengan tiba- tiba kain hitam terjatuh atas lantai. Apa yang saya lihat di atas katil ialah bantal dan tilam bergerak sendiri. Tilam bagaikan digulung oleh orang.

“Dia sudah pergi,” kata Anjang Dollah pada datuk.

Datuk pun mengangguk kepalanya. Anjang Dollah pun mengambil kain hitam dan terus memberikan pada perempuan muda itu.

“Kau rimbaskan kain hitam ke muka adikmu tujuh senja, lepas tu kalau tak juga mahu hilang, kau datang ke mari lagi,” kata Anjang Dollah.

Dan perempuan itu pun menghulurkan wang pada Anjang Dollah. Dengan tenang perempuan itu meninggalkan rumah Anjang Dollah.

“Ini baru sedikit sahaja, minggu depan kalau kalian datang, kalian boleh lihat cara lain saya mengubat, saya boleh kenalkan awak berdua dengan sahabat saya itu,” megah benar Anjang Dollah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2012 02:59 AM | Show all posts

Selingan Ramadhan

Bercakap dengan jin ~ 6 ~ Melihat jembalang air

“Saya datang lagi,” sahut datuk.

“Datanglah, tapi kena datang malam tau,”


“Baiklah.” Datuk memberikan janji.


Sesungguhnya janji yang diberikan oleh datuk pada Anjang Dollah satu penyiksaan pada diri saya. Bila masa yang dijanjikan sampai. Berangkatlah saya dengan datuk menuju ke rumah Anjang Dollah. Kami terpaksa menggunakan andang yang dibuat dari daun kelapa untuk menyuluh jalan. Malam cukup gelap. Tidak ada sebiji bintang pun di langit. Sepanjang perjalanan telinga kami diasak dengan suara katak dan suara burung jampok dan burung hantu. Bulu roma saya tegak berdiri, bila terdengar suara lolongan anjing sayup-sayup dari gigi kampung.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2025 03:33 PM GMT+8 , Processed in 0.069467 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list