Enam peserta tersingkir, 14 terus berjuang dalam CSOIAM
[size=14.399999618530273px]Barisan 14 peserta bakal meneruskan perjuangan, berdepan cabaran persembahan lagu era 1980-an hingga 2000-an dengan gabungan pelbagai genre muzik, nostalgia dan runut bunyi filem. - NSTP/Aziah Azmee
[size=14.399999618530273px]
SHAH ALAM: Minggu pertama program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio TV3, Glenmarie di sini, malam tadi menyaksikan enam peserta berdepan penyingkiran. Ini sekali gus menyaksikan hanya 14 peserta akan meneruskan perjuangan daripada 20 peserta selepas melalui proses penilaian daripada tiga juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan.
Enam peserta yang tidak berjaya mara adalah Esther, Boisover, Iqmal Romi, Yusriansyah, Bfore3 dan Jill Gaisah. Sementara itu, 14 peserta yang bakal menggalas cabaran untuk tujuh minggu berikutnya terdiri daripada Jimi, Rezza Shah, Dayangku Iffah, Dhania, Zazzleen, Eylia Guntabid, Hafiz Zainal, Aniq Iffat, Mariam, Kai Deva, Alya Mardien, Erfarina, Trio XL dan Marygrace.
Kai Deva yang sebelum ini tular dengan persembahan jalanan atau 'busking' bersama kumpulan Genji Buskers diumumkan sebagai peserta 'Terpaling Fizz' selepas mempamerkan aksi memukau pada konsert minggu pertama. Menerusi konsert minggu pertama terdapat 'drama' terjadi apabila Rezza Shah yang pada awal tersingkir diselamatkan dengan 'imuniti' daripada ketiga-tiga juri tetap. Proses penyingkiran seterusnya bermula menerusi episod kedua sehingga empat finalis berjaya dicari untuk berentap pada konsert akhir pada 9 Februari tahun depan.
Keputusan akhir bagi minggu seterusnya ditentukan berdasarkan 60 peratus markah juri dan baki 40 lagi bergantung kepada undian penonton. Undian mula dibuka daripada episod kedua hingga episod kelapan dan penonton boleh mengundi melalui kod khas yang diumumkan ketika siaran. Antara cabaran bakal dihadapi 14 peserta CSOIAM untuk minggu seterusnya adalah membuat persembahan lagu era 1980-an hingga 2000-an dengan gabungan pelbagai genre muzik, nostalgia dan runut bunyi filem tempatan. Persembahan pembukaan CSOIAM disempurnakan oleh Suki Low yang juga juara OIAM musim pertama, diikuti Ayu Damit (musim kedua) dan Tomok (musim ketiga). Turut membuat persembahan, Yusry, Ziana dan Cakra dan trio adik-beradik, KRU. Program realiti nyanyian yang mula mencipta fenomena pada 2006 itu kembali disiarkan di TV3 bermula malam ini hingga 9 Februari tahun depan dengan format baharu. Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy bertindak sebagai pengacara untuk mengemudikan siaran langsung program selama lapan minggu. Juara CSOIAM bakal menerima hadiah wang tunai RM500,000, kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/12/1340213/enam-peserta-tersingkir-14-terus-berjuang-dalam-csoiam
|