|
Peluang kedua Nana
NORHIDAYYU ZAINAL
15 DISEMBER 2015
LANTARAN dipandang sepi oleh dunia seni tanah air, penyanyi Siti Nordiana akhirnya tekad menceburi dunia perniagaan.
Membuka Butik Paling Comel sejak tiga tahun lalu, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran ini selesa menguruskan perniagaan pakaian Muslimah.
“Oleh kerana merajuk dengan industri, saya akhirnya membuka butik Paling Comel.
“Sebelum itu, saya pernah menghasilkan dua single, tetapi entah di mana silapnya, ia tidak menjadi. Bahkan, lagu-lagu saya itu tidak diputarkan di radio-radio tempatan,” katanya.
Kini, selepas memenangi wang tunai RM105,000 selepas menjuarai program realiti Gegar Vaganza 2 (GV2), pelantun lagu Gurauan Berkasih ini berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu.
Kata Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana, peluang itu sudah lama dinantikan dan ini adalah masa terbaik untuk melaksanakannya.
“Walaupun fokus utama saya bukanlah untuk menang, tetapi saya bersyukur di atas rezeki yang diberikan ALLAH SWT ini. Alhamdulillah.
“Sudah sampai masanya saya melebar luaskan perniagaan ini kerana ia juga merupakan salah satu punca rezeki saya,” katanya kepada media.
Nana diumumkan sebagai juara GV2 sekali gus melayakkannya memenangi wang tunai RM100,000, sebuah trofi, single baru terbitan Astro dan pakej percutian ke Madrid, Sepanyol bernilai RM30,000.
Penyanyi itu memberikan persembahan mantap menerusi lagu Putus Terpaksa (nyanyian asal Ziana Zain) dan Awak Kat Mane (Taufik Batisah) di pusingan ‘battle’ bersama Acong (SweetChild).
Lebih manis, penyanyi yang berasal dari Sendayan, Seremban itu turut memenangi persembahan terbaik pilihan penonton sekali gus menerima wang tunai RM5,000.
Mengagumkan lagi, penyanyi berusia 31 tahun itu diberikan tepukan ‘standing ovation’ daripada hampir semua penonton di dalam dewan usai menyanyikan lagu nyanyian asal Ziana Zain itu.
“Fokus saya bukanlah kemenangan sebaliknya mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan saya, suatu ketika dulu. Ya, saya memang sudah lama menyanyi tetapi apabila dapat beraksi di pentas GV2, impaknya sangat kuat.
“Alhamdulillah, ia seolah-olah kelahiran semula saya dalam industri seni apatah lagi GV2 memberi peluang kedua kepada saya.
“Akhirnya, saya berjaya menunjukkan kemampuan sebenar saya walaupun pada asalnya saya merupakan penyanyi bergenre ‘Leman’ atau kampung. Namun, genre itu jugalah yang membawa saya pada hari ini,” katanya sambil tersenyum.
Pada masa sama, Nana juga merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat selain berhasrat untuk meraikan kelab peminatnya, Siti Nordiana Fans Club yang berhempas pulas menyokongnya selama ini.
Bina keyakinan diri
Jika diperhatikan, Nana sering kali diberikan dengan lagu-lagu yang bernada tinggi seperti Madah Berhelah, Mengapa dan Putus Terpaksa sepanjang sembilan minggu GV2 berlangsung.
Pun begitu, lagu-lagu itu jugalah yang memberikan peratusan markah tertinggi buat pelantun lagu Resipi Berkasih ini.
“Sebenarnya, saya sangat jarang menyanyikan lagu-lagu yang bernada tinggi ini. Tetapi, saya anggap ia sebagai proses pembelajaran apabila diminta membawa lagu-lagu sebegini.
“Malah, saya juga ada mengikuti kelas vokal Cikgu Shafi, Erni Zakri dan juga Datuk Ramli MS.
“Bahkan, sebelum menyanyi saya akan melakukan sedikit ‘warm up’ seperti senaman dalam teknik pernafasan demi menjaga suara,” katanya.
Pada masa sama, Nana mengakui GV2 meninggalkan pengalaman yang sangat berharga buat dirinya.
“Sejujurnya, saya kurang yakin untuk menyanyi di pentas besar seperti ini.
“Apatah lagi, saya sememangnya sudah lama tidak berpeluang untuk beraksi di pentas-pentas besar seperti Anugerah Industri Muzik (AIM) atau Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Namun, GV2 mengembalikan semula keyakinan diri saya itu. Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya apakah hala tujunya selepas ini, Nana berharap karier seninya sebagai penyanyi akan lebih terjamin pada masa depan.
“Saya menyanyi sejak kecil dan ia merupakan kepakaran saya. Penyanyi merupakan karier utama saya manakala berlakon pula hanyalah sampingan.
“Mungkin selepas ini saya perlu hadir dengan produk baharu. Saya tidak kisah genre bagaimana sekalipun asalkan ia kena dengan jiwa saya.
“Insya-ALLAH, saya akan lebih mendekatkan diri dengan peminat selepas ini kerana mereka adalah penyokong tegar saya,” katanya.
- http://www.sinarharian.com.my/hiburan/peluang-kedua-nana-1.462092 |
|