Elizad utamakan permintaan keluarga -- from kosmo
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tarikh yang diuar-uarkan sebagai hari pernikahannya dengan jejaka pilihan hati, Shamsul Baharin Rahman yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini (11 April), tiba-tiba sahaja pelakon Elizad Sharifuddin mencipta kejutan. Dalam diam, pelakon yang dihangatkan dengan drama Teman Lelaki Upahan itu rupa-rupanya sudah bernikah sejak tiga bulan lalu. Bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Elizad, sebenarnya telah selamat bergelar isteri orang sejak 11 Januari. Tidak berniat menyembunyikan kebenaran, jauh sekali membohongi peminat, wanita berusia 31 tahun itu mempunyai alasan tersendiri. Katanya, dia harus mendiamkan cerita pernikahannya demi menghormati permintaan keluarga. Kebetulan pula, ayahnya yang baru sahaja menjalani pembedahan mata,
Di hati Elizad, sudah tertanam satu janji mahu berkongsi rahsia tersebut sewaktu tibanya majlis resepsi sekitar pukul 8 malam, malam 11 April ini. Atas sebab itu juga, Elizad tidak menjemput media menghadiri majlis pernikahan yang dicanangkan bakal berlangsung pada sebelah pagi 11 April. Namun, ibarat bacang yang dibungkus, baunya keluar jua, percaturan Elizad tidak kesampaian.
Dengan berat hati, pasangan Ungku Ismail dalam Teman Lelaki Upahan itu harus mengiakan status perkahwinannya dengan Shamsul yang juga duda anak dua itu sejak berbulan lalu. KOSMO!: Elizad, boleh terangkan mengapakah anda bertindak merahsiakan tentang majlis pernikahan anda dan Shamsul yang berlangsung pada 11 Januari lalu? ELIZAD: Sejujurnya, saya merahsiakan perkara tersebut kerana menghormati permintaan ayah saya yang mahu ia diadakan secara tertutup dan kecil-kecilan. Ayah hanya mahu kami disatukan sebagai suami isteri ikut yang syarat wajib di sisi agama. Lagipun, pada waktu itu, ayah baru sahaja menjalani pembedahan mata yang dilakukan pada penghujung tahun lalu. Jadi, saya tidak mahu perkara hal itu diperbesar-besarkan sebelum tiba waktunya. Jadi, siapakah yang tahu mengenai majlis pernikahan tersebut? Hanya keluarga terdekat sahaja. Saudara-mara dan teman rapat juga tidak tahu mengenai perkara ini. Bagaimanakah rahsia tersebut boleh tersebar? Mungkin sewaktu adik-beradik ipar saya mengedarkan kad undangan majlis resepsi kami kepada rakan-rakan, mungkin mereka yang terlepas cakap bahawa saya telah bernikah pada 11 Januari lalu. Jadi, sesiapa yang mendapat tahu cerita sebegitu pasti akan menghebahkannya menerusi Facebook, sehinggalah ia menjadi viral sekitar hujung minggu lalu.
Bagaimanakah reaksi anda sekeluarga sewaktu mendapat tahu tentang perkara berkenaan? Saya dan keluarga baik-baik sahaja. Saya mengiyakan pada pihak media apabila disoal mengenai perkara ini kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum menjelangnya majlis resepsi kami. Tambahan pula, keadaan ayah sudah hampir pulih sepenuhnya. Boleh ceritakan sedikit mengenai majlis pernikahan anda itu? Saya dan Shamsul dinikahkan oleh ayah saya di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Suasananya biasa-biasa sahaja sebab ia berlangsung secara tertutup. Baru-baru ini, anda dikritik kerana berjalan berpegangan tangan bersama pelakon Ungku Ismail ketika menghadiri sebuah majlis hiburan. Kebanyakan peminat kurang selesa melihat aksi sebegitu. Komen? Saya dan Ungku Ismail memang berkawan rapat kerana sama-sama membintangi drama bersiri Teman Lelaki Upahan. Lagipun, sewaktu menghadiri majlis tersebut, kedua-dua tangan kami berlapik. Jadi. saya berharap perkara itu tidak menjadi isu yang besar. Apakah pula tanggapan suami anda? Suami saya merupakan seorang yang sangat memahami dan saya juga tidak banyak melakukan aktiviti lain di luar selain keluar bekerja. Kami terbuka dan saling mempercayai antara satu dengan lain. Tinggal lagi beberapa hari sebelum anda melangsungkan majlis resepsi. Bagaimanakah persediaan secara keseluruhan? Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang dirancangkan. Doakan yang terbaik buat kami.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz3WfskmQwB
Hakcipta terpelihara
|