PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir
عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” (HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih . Pengajaran:
1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan. 2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”
3. Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:
زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih
4. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir.
5. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.
6. Sempena musim orang bertolak untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji, doakanlah mereka semoga dikurniakan kesihatan yang baik serta kemudahan beribadat sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur.
Mari kita doakan kepada yang akan menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah ke Mekah) dengan lafaz:
زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”
10hb Mei 2024 01hb Zulkaedah 1445H
|