perkongsian pendakwah, Ustazah Asma’ Harun mengenai kisah pramugari yang menangis dan risau akan pengakhiran hidup mereka sekiranya mereka meninggal dalam keadaan tidak menutup aurat. Memulakan ceritanya, Ustazah Asma’ berkata, ketika memulakan langkah untuk keluar dari kapal terbang, dua orang pramugari datang kepadanya dan memeluknya dengan erat. Dengan perasaan sebak mereka berkata: “Ustazah, tolong doakan kami dibenarkan menutup aurat, kami selalu buat rayuan atau doakan kami dapat kerja lain.”
Beliau memberitahu, ramai pramugari yang menangis dan meluahkan perasaan tidak selesa berpakaian pramugari yang tidak menutup aurat itu. “Sebenarnya saya jumpa ramai pramugari yang sudah berhijrah dan di luar kerja menutup aurat dengan sempurna. Yang masih kekal bekerja ada sebab, ada bercerita dia antara yang selalu bersuara bawa ke pihak atasan untuk hak wanita Muslim, jadi jika dia berada di luar (syarikat), dia tidak boleh nak terus berjuang.
“Ada yang memang terdesak, ibu tunggal dan sudah cuba cari kerja (namun) masih tidak jumpa. Cuba juga berniaga macam-macam juga tidak menjadi,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya baru-baru ini. Ujarnya lagi, beliau menjelaskan kepada pramugari atau pekerja-pekerja yang terpaksa membuka aurat ketika bekerja itu, jangan pernah merasa reda, bangga atau selesa dengan pakaian tersebut dan mesti ada rasa bersalah. “Selalu kena ada niat dan usaha untuk mencari kerja yang tidak melanggar syarak. Juga perlu usaha berterusan memohon dengan pihak berkenaan kebenaran hak asasi manusia iaitu boleh melaksanakan kehidupan beragama.
“Sentiasalah beristighfar, mohon ampun dan bertaubat kepada ALLAH. Moga ALLAH mengampuni kita semua,” nasihatnya. Sambungnya lagi, wanita yang sudah menutup aurat juga belum pasti bagaimana situasi akhir dan tidak ada jaminan bagi mereka. “Yang kita ada adalah usaha hendak jadi lebih baik. ALLAH pandang usaha kita,” katanya.
|