Kes samun RM600,000 di Pandamaran, 10 suspek sudah ditahan
Rumah mangsa yang diceroboh sekumpulan penjenayah di Pandamaran, Klang minggu lalu. - Tangkap layar tular
SHAH ALAM: Sepuluh individu disyaki terbabit dalam jenayah pecah masuk rumah seorang ahli perniagaan di Pandamaran, Klang minggu lalu ditahan menerusi beberapa serbuan bermula 3 Oktober lalu hingga hari ini. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua suspek berusia 23 hingga 46 tahun termasuk seorang wanita itu ditahan di Mantin, Negeri Sembilan dan sekitar Lembah Klang. "Mereka ini sangat berbahaya terdiri 10 hingga 12 suspek yang akan bertindak lebih daripada samun iaitu mencederakan mangsa sekiranya digugat. "Polis sudah mengikuti kumpulan ini sejak awal tahun dan percaya mereka terbabit dalam jenayah di Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu dengan mengenal pasti rumah yang mudah untuk dipecah masuk dan mereka juga mempunyai sistem jenayah terancang serta profesional. Katanya, setiap ahli mempunyai tugas masing-masing termasuk merisik, meninjau dan bertindak sebagai 'jaga air' (memantau kawasan semasa jenayah dilakukan). "Mereka akan masuk (lakukan samun) awal pagi apabila mana-mana ahli keluarga mangsa membuka pintu, sebelum menyerbu masuk dengan menggunakan parang. "Kumpulan ini kemudiannya akan mengikat mangsa dan menggeledah rumah sebelum melarikan barangan berharga," katanya kumpulan itu juga dipercayai terbabit dalam kongsi gelap. Beliau berkata, hasil penahanan 10 suspek itu polis merampas pelbagai peralatan pecah rumah termasuk parang sepanjang 79 sentimeter selain barangan kes. "Semakan mendapati mereka terbabit dalam enam kes di Klang Selatan dan tujuh kes di Negeri Sembilan. "Seorang lelaki berusia 30-an dipercayai ketua kumpulan mempunyai 14 rekod jenayah lalu, termasuk dua kes bunuh manakala dua lagi ahli mempunyai masing-masing tujuh dan 13 rekod samun. "Semua mereka direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Kita juga sedang mengesan empat lagi ahli geng ini yang juga dikategorikan sebagai penjenayah berbahaya," katanya. Media pada 4 Oktober lalu melaporkan, sebuah keluarga menempuh detik menakutkan apabila banglo tiga tingkat mereka di Pandamaran dimasuki sekumpulan penjenayah berparang yang melarikan wang dan barangan bernilai RM600,000. Kejadian itu turut mengakibatkan seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera akibat ditetak pada bahu.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1307922/kes-samun-rm600000-di-pandamaran-10-suspek-sudah-ditahan
|