MANGSA dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan. FOTO ihsan pembaca
Pasir Puteh: Selepas tiga hari, seorang lelaki yang dipercayai sesat di hutan selepas terkejut dengan rondaan polis berjaya ditemukan, malam tadi.
Ahmad Zul Mukrish Zakaria, 22, ditemukan dalam keadaan tanpa pakaian dengan berpaut pada sebatang pokok jam 8.05 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, dia ditemukan di kawasan hutan paya berdekatan lokasi dilaporkan hilang di Perumahan Nelayan Tok Bali, di sini.
Katanya, mangsa ditemui orang awam yang terdengar jeritan suara meminta tolong dari arah paya itu dan mereka memaklumkan kepada keluarga mangsa.
"Seterusnya bapa mangsa dan penduduk kampung pergi ke lokasi di mana suara itu datang dan menemui mangsa dalam keadaan lemah.
"Terdapat kesan calar di seluruh badan mangsa manakala kaki mangsa turut berdarah dan pucat disebabkan berada lama dalam air ," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ediansha berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, ketika ini mangsa dilaporkan stabil dan ditempatkan di zon hijau.
"Mangsa boleh bercakap dan mengingati kejadian dari awal cuma keadaannya masih lemah," katanya.
Terdahulu, lelaki berkenaan dilaporkan hilang 12 tengah hari, Isnin lalu, ketika membuang sampah di kampung berkenaan.
Dia yang dilaporkan terkejut melihat rondaan polis bertindak masuk ke hutan berdekatan namun dipercayai tersesat hingga keluarga membuat laporan polis.
Pencarian mangsa membabitkan 44 anggota penyelamat terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Disiarkan pada: Januari 13, 2022 @ 10:38am
|