Pendidikan seks di usia muda tidak bertentangan dengan IslamAntara keratan gambar kartun berserta dialog mengenai seks yang diambil dari buku teks Pendidikan Kesihatan Tahun 5.
[size=100%]KUALA LUMPUR, 15 Januari:
Tiada larangan di dalam Islam untuk mendedahkan pendidikan seks di awal usia.
Penceramah bebas, Dr Zahazan Mohamed berkata demikian bagi mengulas mengenai silibus Pendidikan Kesihatan Tahun 5 yang menjadi viral sejak semalam.
Menurutnya, menuntut ilmu dalam Islam hukumnya adalah harus, namun dalam konteks ini, ia harus disusuli dengan penjelasan yang teliti dan teratur bagi mengelakkan kesulitan pada masa akan datang.
“Dalam hal begini, pendidik harus main peranan untuk menjelaskan dengan betul berkenaan pendedahan seks ini. Sebab dalam Islam sendiri memang ada sebut sperma, ovum dan sebagainya yang boleh membawa kepada kehamilan.
“Jadi menjadi tanggungjawab untuk menjelaskan kepada murid berkenaan perkara tersebut beserta dengan keburukan dan kebaikannya.
“Sekiranya pendidikan itu akan membawa kebaikan seperti pengawalan kepada zina dan sebagainya, ianya harus. Tetapi jika ia akan membawa kepada keburukan, itu harus dikawal,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Jelasnya, Islam telah mengajar mengenai pendidikan sebegini seawal usia 10 tahun lagi apabila mengikut syariat anak lelaki dan perempuan perlu diasingkan tempat tidur pada umur tersebut.
Ini termasuk adab-adab untuk masuk ke bilik ibu bapa sesudah mummayiz, menutup aurat sebaik akil baligh dan sebagainya.
“Jadi pada saya tidak ada masalah selagi mana ibu bapa tahu peranan mereka untuk menjaga dan mendidik anak-anak.
“Dan tanggungjawab itu tidak terhenti di situ, di mana pendidik juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk mendidik anak murid mereka,” jelasnya. Terdahulu, The Rakyat Post melaporkan kekecohan di laman Facebook berhubung keratan gambar kartun berserta dialog mengenai seks yang diambil daripada buku teks Pendidikan Kesihatan Tahun 5.
Dalam Facebook PenMerah.com, pengguna bernama Ustaz Syed Bakri memuat naik satu gambar yang menjelaskan proses hubungan kelamin. Rata-rata pembaca tidak bersetuju dengan isi kandungan buku itu yang disifatkan terlalu awal untuk murid berusia 11 tahun.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia akan menyemak semula dakwaan buku teks Pendidikan Kesihatan Tahun 5 yang dikatakan menyentuh mengenai pendedahan proses seks kepada murid sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata pihaknya akan menyemak semula dakwaan tersebut sebelum memberi keterangan. “Kami ingin tahu pendedahan apa yang dimaksudkan dan menyemak semula sebelum memberi keterangan,” katanya.
TRP |