CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 31-8-2012 02:54 AM | Show all posts
Selingan Merdeka

Bercakap dengan jin ~ 31 ~ Bomoh Hujan Kena Uji

Majlis perkhawinan itu bertambah rancak dengan kehadiran pancaragam dari Taiping itu yang membawakan lagu-lagu rancak dan irama Melayu asli yang disampaikan para penyanyi dari pancaragam tersebut, antara penyanyinya ialah Kamal Harun, Aida Suhana dan Zainal Udah. Walaupun begitu rancak pancaragam dari Taiping mempersembahkan permainannya, saya lihat Pak Mardan tetap gelisah, begitu juga dengan datuk.

Bagi menghilangkan rasa resah itu Pak Mardan terpaksa menghisap rokok tembak berbelas-belas batang. Pak Mardan menarik tangan datuk untuk pergi ke satu sudut.

"Aku rasa ada sesuatu yang tak kena malam ni”, Pak Mardan menyatakan pada datuk.

Datuk termenung panjang mendengar cakap Pak Mardan itu. Dia meraba pangkal kening kanan tujuh kali, meraba telinga kiri lima kali.

"Usah bimbang, kalau ada yang perlu saya tolong tetap saya tolong”, kata datuk.

Walaupun begitu wajahnya saya lihat agak sugul sedikit.

"Malam ini ada majlis bersanding?", datuk menyoal Pak Mardan.

"Ada. Sekejap lagi pengantin lelaki datang”

"Kalau begitu eloklah kita kita beringat-ingat, manalah tahu kalau ada hal buruk terjadi"

"Saya faham tu” Pak Mardan dan datuk duduk kembali di tempat asal.

Bila orang ramai mula datang mahu melihat pengantin naik pelamin, tiba-tiba hujan turun mencurah-curah bersama dentuman petir dan guruh. Muka Pak Mardan kelihatan pucat, dia lalu membisikkan pada datuk bahawa hujan yang turun malam itu, bukan sebarang hujan. Pak Mardan yakin hujan itu dibuat oleh manusia dengan kuasa ilmu halus yang tujuannya tidak baik.

Hujan jenis ini amat berbahaya buat manusia, sebabnya di dalam air hujan itu terkandung berbagai-bagai kekotoran buatan manusia, begitulah Pak Mardan memberitahu datuk.

"Kau tunggu di sini Mardan”, kata datuk, sebaik sahaja ungkapan itu berakhir, saya dapati datuk ghaib dari penglihatan saya.

Pak Mardan terpinga-pinga. Lebih kurang lima minit datuk menghilangkan diri. Dia muncul kembali dihadapan saya dan Pak Mardan.

"Aku setuju dengan kau Mardan, kita hadapi semuanya ini”, tekanan suara datuk mula meninggi.

Lalu datuk minta Pak Mardan mencari baldi plastik untuk menadah air yang turun dari curung (hujung) atap. Bila air sudah penuh satu baldi, datuk merendamkan tangan kirinya ke dalam baldi itu. Pak Mardan dan saya jadi terkejut bila melihat tangan datuk hitam dan air dalam baldi bergolak. Muka datuk merah padam mulutnya membaca sesuatu, tiba-tiba baldi plastik itu pecah.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 31-8-2012 02:55 AM | Show all posts
Selingan Merdeka

Bercakap dengan jin ~ 31 ~ Bomoh Hujan Kena Uji

"Aku rasa kau saja selesaikan semua urusan ini. Kau sudah tahu hujan itu buatan manusia jahat", datuk memberikan amanat pada Pak Mardan.

Dengan senang hati Pak Mardan menerimanya dan meminta saya membantunya.

"Bantulah dia Tamar. Aku ada, bukan apa-apa kau hanya melihat saja”, datuk memberikan keizinan pada saya.

Dia juga memberikan saya beberapa butir batu gunung yang putih untuk di taruh dalam kocek baju.

"Mardan, dalam dugaan aku, orang ini mengirimkan guna- guna melalui hujan buatannya pada pengantin perempuan”, pesan datuk pada Pak Mardan.

Saya lihat Pak Mardan anggukkan kepala lalu meminta baldi plastik yang baru dari tuan rumah. Dia menadah air hujan hingga penuh satu baldi. Kemudian Pak Mardan mengajak saya masuk kerumah dan terus ke bilik pengantin.

"Usah bimbang, aku ni pangkat datuk pada kau”, Pak Mardan memberitahu pada pengantin perempuan yang duduk terseliput di hadapan katil.

Kemudian Pak Mardan meminta pada pengiring pengantin supaya membawa pengantin itu ke bilik lain. Permintaan Pak Mardan dituruti. Tinggalah saya dan Pak Mardan dalam bilik itu. Pak Mardan terus membasuh seluruh mukanya dengan air hujan di dalam baldi. Dia kemudiannya memusatkan seluruh pancaindera dan membaca mantera yang dipelajari dari gurunya. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak sebanyak 29 kali. Bila mulutnya bergerak untuk kali yang ketiga puluh, saya terdengar bisik-bisik halus dari jauh yang tidak menentu. Tetapi akhirnya saya dengar nama Halimah disebut-sebut.

"Apa yang kau dengar?", Pak Mardan menyoal saya.

"Orang memanggil nama Halimah"

"Halimah tu nama pengantin tadi, kita masih ada masa untuk berusaha"

"Kau tunggu di sini" Pak Mardan terus keluar.

Saya mula terasa khayal tidak menentu, bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Rasa khayal itu segera hilang bila Pak Mardan menepuk bahu kiri saya. Bila saya menoleh ke belakang, pengantin perempuan sudah ada dalam bilik. Pak Mardan menyuruh pengantin perempuan itu duduk di tepi katil. Dia juga menyuruh tuan punya rumah memberitahu orang ramai dan pihak pengantin lelaki acara bersanding terpaksa ditangguh dengan alasan Halimah sakit. Pak Mardan menyuruh Halimah memegang besi kuning yang diberikan oleh Pak Mardan padanya.

"Kau pegang besi kuning tu kuat-kuat, jangan kau lepaskan walau ada yang terjadi. Kau jangan menjerit”, itulah pesan Pak Mardan pada Halimah.

Saya lihat Halimah anggukkan kepala. Kemudian saya dan Pak Mardan keluar dari bilik pengantin. Pak Mardan membimbit baldi. Hujan dan petir terus menjadi-jadi.

"Ke mana Pak Mardan?"

"Ke bahagian belakang rumah"

Saya dan Pak Mardan memijak anak tangga dengan teliti. Bila sampai dihadapan datuk, Pak Mardan tersenyum.

"Buatlah apa yang patut. Aku menanti di sini kerana perbuatan jahat dibuat melalui air hujan eloklah kausaja yang selesaikan. Kau lebih arif dari aku”, cukup tenang datuk bercakap dan Pak Mardan menerimanya dengan rasa yang tenang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-8-2012 03:12 AM | Show all posts
Selingan Syawal

Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

"Aku hanya datang untuk membetulkan mana yang silap”, kata datuk pada lembaga itu yang bergerak ke kanan sambil tersenyum dan terus hilang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:13 PM | Show all posts
Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu


Datuk menggigit bibir. Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu. Dari wajah Norlin, mata datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.

"Mahu halau siapa? Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini?", ulang datuk dengan nada suara yang cukup lembut.

"Ada. Dia selalu ganggu saya, kalau diusir diaaaa...", dan Norlin terus menghentak- hentakkan kaki ke lantai sambil meronta-ronta.

Ibunya terus memeluk dengan erat dan kemas. Datuk terdiam, tidak tahu apa yang harus di buatnya. Suara bising di bilik atas membangunkan Pak Ayub Naim dan isterinya yang tidur di bilik bawah. Mereka naik ke bilik Norlin. Waktu Pak Ayub dan isterinya sampai, Norbaya sedang menyapu peluh yang tumbuh di dahi Norlin.

Isteri Pak Ayub Naim terus bertanya: "Apa yang dah jadi Norlin?"

"Saya takut makcik", suara Norlin terketar-ketar.

Kemudian Norbaya memberitahu isteri Pak Ayub Naim bahawa kakaknya seperti melihat sesuatu di luar bilik mahu mengacaunya. Norbaya terus membaca ayat- ayat suci, tiba-tiba dia mendapati Norlin jatuh pengsan.

"Badannya terus jadi panas makcik", ujar Norbaya.

Isteri Pak Ayub Naim resah dan berkata pada suaminya: "Apa yang harus kita buat?"

Pak Ayub Naim terdiam. Dia berjalan berpusing-pusing di hadapan Tok Kaya Sendi Diraja lalu berhenti di hadapan datuk.

"Norlin diganggu oleh sesuatu. Setahu aku, penjaga rumah tua ni tidak akan membuat kacau, apa lagi terhadap keluarga Tok Kaya", tutur Pak Ayub Naim.

Mukanya merenung muka datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub terus menyambung: "Kalau pun dia menampakkan dirinya, itu sebagai tanda salam perkenalan.”

Isteri Pak Ayub Naim secara tiba-tiba berdiri. Matanya mula merah merenung ke wajah Norlin.

"Sama ada salam perkenalan atau tidak, dia tetap syaitan. Saya tahu setiap kali Norlin cuti dia jadi korban", nada suara isteri Pak Ayub Naim cukup keras.

Semua yang ada dalam bilik itu berpandangan sesama sendiri.

"Kita harus mengatasi masalah ini. Saya tak mahu anak saya jadi korban”, kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.

"Siapa orangnya boleh menolong kita?", sahut Pak Ayub Naim.

Pertanyaan Pak Ayub Naim tidak mendapat jawapan. Datuk terus bercakap sesuatu dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Kemudian Tok Kaya Sendi Diraja pula membisikkan sesuatu ke telinga Pak Ayub Naim.

"Baik", tiba-tiba suara Pak Ayub Naim meninggi lalu keluar dari bilik.

Sepuluh minit kemudian Pak Ayub Naim masuk ke bilik dengan membawa air dalam mangkuk putih.

"Berikan padanya", ujar Tok Kaya Sendi Diraja.

Pak Ayub Naim meletakkan mangkuk putih berisi air di hadapan datuk. Datuk memasukkan separuh jari hantunya kedalam mangkuk putih.

"Ambil air ini dan sapukan ke mukanya", beritahu datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja.

Perintah datuk segera dilakukan. Bila jari jemari isteri Tok Kaya Sendi Diraja menyapu air ke muka Norlin, saya lihat Norlin lemah dan terus terlena. Norlin pun diletakkan ke atas katil dengan di temani oleh ibunya. Tok Kaya Sendi Diraja, datuk dan Pak Ayub Naim keluar dari situ dan terus menuju ke bilik saya dan datuk menginap. Mereka berbincang panjang.
Datuk dengan rasa rendah hati ingin membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh keluarga Tok Kaya Sendi Diraja.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:17 PM | Show all posts
Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

"Saya sekadar mencuba. Sama ada jadi atau tidak terletak pada kuasa Allah. Kalau Allah memberkati, kita akan berjaya”, ujar datuk.

"Saya faham”, sahut Tok Kaya Sendi Diraja.

"Mencuba apa salahnya”, celah Pak Ayub Naim pula.

Akhirnya mereka pun berpisah. Esoknya Norlin terus jatuh sakit. Tubuhnya sekejap panas, sekejap sejuk. Datuk tidak melakukan sesuatu pada sebelah paginya bagi mengubati sakit Norlin. Menurut datuk Norlin demam kerana lemah semangat.

Pada sebelah petangnya, baru datuk memulakan tugasnya. ltupun sesudah membuat beberapa persiapan rapi di biliknya. Datuk meminta izin pada Tok Kaya Sendi Diraja untuk masuk ke bilik Norlin.

"Silakan, emaknya ada di dalam”, Kata Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja.

”Jangan tegur apa yang saya lakukan”, dengan tenang datuk mengingatkan kepada saya dan Tok Kaya Sendi Diraja.

Dengan tenang datuk melangkah. Berdiri betul-betul di tengah pintu bilik. Dia memusingkan badannya dari kiri ke kanan. Dia mengeluarkan kain hitam dari pinggang lalu melemparkan ke ruang tengah rumah. Lepas itu, datuk pun mempersilakan Tok Kaya Sendi Diraja dan saya menghampiri Norlin. Tiba-tiba wajah Norlin berubah menjadi takut dan cemas. Dia merasakan Datuk mahu mengganggunya.

Namun begitu dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan, datuk memegang urat nadi di tangan kanan Norlin. Mulut datuk terus terkumat-kamit. Matanya sekejap terpejam, sekejap terbuka. Datuk memperhatikan wajah Norlin dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Saya lihat datuk menarik nafas panjang. Datuk mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Saya terdengar bunyi jam tua di tengah ruang berbunyi lima kali.

Angin petang terasa masuk dengan deras kedalam bilik. Ada bunyi suara burung gagak liar di pucuk kekabu. Meski pun diluar cuaca cukup panas dan cerah, tetapi diruang itu tetap kelihatan muram, malah ada beberapa bahagian rumah itu bagaikan tidak kena sinar matahari. Sedang saya dan Tok Kaya Sendi Diraja serta isterinya melihat datuk menjalankan tugasnya dengan tekun. Terdengar bunyi bingkai gambar terhempas di lantai. Kaca dari bingkai gambar itu bagaikan bergerak sendiri menuju ke arah tiang seri rumah. Bila Tok Kaya Sendi Diraja mahu merapatinya, datuk segera menahan.

"Jangan”

"Kenapa?"

"Barangkali dia mahu menguji kita"

"Apa yang patut kita lakukan?"

"Tidak ada apa yang yang perlu kita lakukan”, datuk memberi penjelasan pada Tok Kaya Sendi di Diraja.

Dan Tok Kaya Sendi Diraja pun anggukkan kepalanya dua tiga kali. Waktu isteri Tok Kaya Sendi Diraja membetulkan duduknya kerana lenguh lama duduk bertempuh, pintu bilik berbunyi dengan kuatnya macam dihempas oleh tangan manusia.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:18 PM | Show all posts
Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

Gegarannya menjatuhkan botol-botol kecil yang terletak di atas meja hias Norlin. Bulu roma saya mula tegak. Datuk masih lagi tenang. Mata Norlin tidak seliar tadi. Kedua dua biji matanya merenung lelangit rumah. Norlin tidak tahu apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia seolah-olah berada di dunia lain. Datuk memberi isyarat kepada Tok Kaya Sendi Diraja supaya mendekatinya.

"Bagaimana?", soal Tok Kaya Sendi Diraja pada Datuk.

Datuk pun mendekatkan mulutnya ke telinga Tok Kaya Sendi Diraja lalu berbisik: "Memang ada yang mengacaunya."

"Siapa?

Penunggu rumah ini, dia tu rajakah,puterikah atau apa?"

Nampak benar tidak sabarnya Tok Kaya Sendi Diraja bila berhadapan dengan masalah yang rumit itu. Datuk mula resah. Memang pantang benar bagi dirinya bila dia menjalankan tugas, di ganggu dengan beberapa soalan atau pertanyaan.

Perbuatan begitu boleh mengganggu tumpuan fikiran pada kerja yang dilakukan.

"Saya tak dapat mengatakan siapa orangnya. Ada baiknya Tok Kaya tengok sendiri."

"Tengok sendiri? Apa saya seorang sajakah?"

"Tidak. Bersama dengan orang yang ada di sini."

Mendengar jawapan dari datuk itu, Tok Kaya Sendi Diraja merenung muka isterinya. Mereka nampak cemas dan gusar sekali. Norlin masih terkapar di atas katil. Matanya tidak lagi tertumpu pada lelangit rumah. Datuk memberi isyarat supaya saya menghampirinya.

"Ada apa tok?"

"Kau duduk dekat aku”, suaranya cukup tegas.

Saya angguk kepala dengan lemah. Ekor datuk merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.

"Usah bimbang. Tok Kaya dan yang lain-lain harus mandi dengan air bunga tujuh jenis”, beritahu datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja dengan wajah yang selamba.

Datuk lalu minta mangkuk putih berisi air bersama dengan bunga kemboja, bunga raya dan bunga tanjung. Tidak sampai sepuluh minit, semua barang yang di kehendaki oleh datuk tersedia di hadapannya.

Tiga kuntum buang yang berlainan jenis itu datuk taburkan ke atas air dalam mangkuk putih. Jam tua di tengah ruang rumah berbunyi lagi sebanyak enam kali.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 1-9-2012 05:19 PM | Show all posts

Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu


Cuaca di luar tidak secerah tadi. Keadaan dalam rumah bertambah suram. Kami terdengar bunyi deru angin menguasai perut rumah. Bunyinya cukup kuat. Datuk menyuruh kami menghadapi keadaan itu dengan tenang. Dan datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk memejamkan matanya sambil menarik nafas dengan tenang. Mulutnya terkumat- kamit membaca sesuatu. Nafasnya kian kencang. Wajah datuk berkerut. Kemudian datuk meraba telinga kirinya tiga kali berturut-turut. Wajahnya kelihatan beransur tenang dan tarikan nafasnya bertambah aman. Datuk pun membuka matanya dengan perlahan- lahan dan merenung ke kiri dan ke kanan. Wajah saya dan wajah Tok Kaya Sendi Diraja direnung dengan tajam oleh datuk.

"Begini Tok Kaya. Penunggu ini sedia menemui kita”, kata datuk.

"Bila?", soal saya tidak sabar.

"Malam ini, kira-kira pukul sembilan”, jawapan datuk itu ternyata menimbulkan kebimbangan di hati Tok Kaya Sendi Diraja, lalu dia mengemukakan pertanyaan.

"Di mana?"

"Di ruang rumah ini", jawab datuk dengan nada suara yang agak keras.

Bagaikan ada sesuatu kuasa ghaib, Norlin yang terlentang di atas katil bangun dengan tiba-tiba. Dia nampak sihat dan melangkah dengan tenang di hadapan datuk.
"Penunggu rumah sudah membebaskannya. Bawalah dia ke bilik mandi”, datuk memberitahu isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
Arahan datuk itu segera dipatuhi. Kemudian, datuk mengajak saya turun dari bilik Norlin.
"Saya dan cucu mahu memetik bunga tujuh jenis, jadi Tok Kaya tak payahlah ikut”, beritahu datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja.
"Silakan."

"Tapi jangan lupa. Lepas sembahyang Isyak datang jumpa saya ambil air bunga."

"Mesti”, datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja pun ketawa.

Dengan pertolongan Pak Ayub Naim, saya dan datuk terus pergi ke Kampung Keramat Pulai. Pak Ayub Naim terus membawa kami ke satu kawasan di kaki gunung. Menurut PakAyub Naim semua jenis bunga yang tumbuh di kawasan itu boleh dipetik.

"Tak payah minta kebenaran dari tuannya?", tanya datuk penuh keraguan.

Pak Ayub Naim tersenyum.

"Tanah ini, tanah Tok Kaya sendiri, ambillah."

"Senang hati saya. Kita nak buat ubat mesti dapat izin, kalau dah Tok Kaya punya senanglah kita berunding”, datuk mengakhiri cakapnya dengan ketawa kecil.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:19 PM | Show all posts

Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

Kawasan di kaki gunung itu memang lapang. Di gunung paling hujung ada tempat orang memecah batu. Banyak anak muda Keramat Pulai yang bekerja dengan syarikat pemecah batu disitu.

Arah ke selatan terdapat kawasan kolam lombong tinggal dengan air yang membiru. Terdapat beberapa orang kampung dari Keramat Pulai memancing di kolam lombong tinggal itu. Satu perkara yang menarik, semua jenis bunga terdapat di kawasan tanah lapang tersebut.

Sesekali bila angin datang saya dapat menghidu baru yang cukup wangi. Datuk pun sudah dapat mengumpulkan tujuh jenis bunga. Semuanya datuk masukkan ke dalam bekas khas. Ketika itu, kaki langit sudah bertukar warna. Puncak gunung yang tadi kelihatan hijau dengan tumbuh-tumbuhan bertukar menjadi hitam sekata.

"Siapa yang tanam pokok- pokok bunga di sini?", soal datuk pada Pak Ayub Naim.

Lelaki tua yang sudah beruban itu kerutkan dahi luasnya sebentar.

"Arwah ayah Tok Kaya, masa hayatnya dia selalu jalan di sini setiap malam Jumaat, waktu bulan penuh."

"Buat apa dia ke sini?"

"Itu saya kurang periksa pula."

Mendengar jawapan itu, datuk tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Tetapi cakap Pak Ayub Naim itu menimbulkan beberapa persoalan dalam diri saya. Apakah arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja mempunyai hubungan sulit dengan makhluk asing? Apakah pokok-pokok bunga yang di tanam di kawasan kaki gunung itu mempunyai tujuan yang tertentu? Cukup sukar untuk saya memberi jawapan pada pertanyaan yang timbul dalam diri saya itu.

Kami pun meninggalkan kawasan kaki gunung itu. Waktu saya dan datuk serta Pak Ayub Naim melintasi jambatan yang merintangi sebuah anak sungai, suara azan terdengar dari surau kecil yang terletak di tepi sungai. Datuk pun memutuskan untuk menunaikan fardhu Maghrib di surau Keramat Pulai. Selepas menunaikan fardhu Maghrib, kami meneruskan pejalanan ke rumah Tok Kaya Sendi Diraja. Kali ini saya tidak mahu naik basikal yang di kayuh oleh datuk. Saya memutuskan mahu naik basikal yang di bawa oleh Pak Ayub Naim.

"Kenapa?"

"Saya mahu bercakap dengan Pak Ayub Naim"

"Hum, terpulanglah. Boleh ke bawa cucu kami Ayub?"

"Boleh, apa salahnya”

Saya pun terus melompat ke atas lanting basikal. Entah macam mana, Pak Ayub Naim terus bercerita tentang keistimewaan arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja. Menurut Pak Ayub Naim, ayah Tok Kaya Sendi Diraja pemah mendapat harta karun di kaki gunung iaitu tempayan tembaga yang sumbing mulutnya. Tempayan itu tidak di bawa pulang. Ditempatkan di satu kawasan dan dimandikan dengan air bunga-bungaan selepas sembahyang Jumaat.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-9-2012 05:20 PM | Show all posts
Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

Sejak bertemu tempayan tentang itu, pemiagaannya bertambah maju. Lombong bijih terus dibuka hingga ke Jeram Mengkuang dekat Bidor. Bila ayah Tok Kaya Sendi Raya meninggal dunia, tempayan tembaga itu terus ghaib entah ke mana.

Lebih kurang pukul sembilan malam, sesudah dimandikan dengan air bunga tujuh jenis, Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya kelihatan tenang dan penuh semangat untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Begitu juga dengan Norbaya, Norlin dan Pak Ayub Naim suami isteri. Semuanya duduk di atas tikar mengkuang panjang dua belas. Norlin mengadu pada datuk yang dirinya terasa pening. Datuk pun menyuruh dia baring dekat ibunya. Sesuai dengan permintaan datuk, hanya tiga batang liIin sahaja yang di pasang menjadikan suasana agak samar-samar. Datuk pun duduk lurus-lurus. Mulut datuk terkumat-kumit.
Suasana cukup sunyi, macam berada di tanah perkuburan di waktu petang. Hanya bunyi tekanan nafas sahaja yang kedengaran. Entah dari mana, tiba-tiba terdengar sayup- sayup suara lolongan anjing. Cukup menghairankan, sekitar kawasan itu tidak ada orang yang memelihara anjing. Udara mendadak sahaja menjadi sejuk. Apa terdengar suara orang mengeluh dari bilik sebelah. Norlin tiba-tiba bangun lalu memandang wajah ibunya.

"Bersedialah, sebentar lagi dia akan datang”, ujar datuk perlahan-lahan tetapi cukup tegas.

Apa yang dikatakan oleh datuk itu memang benar. Di hadapan, secara perlahan- lahan muncul semacam gumpalan kabus, bergulung- gulung dan kemudian menipis pula secara perlahan-Iahan. Bila gumpalan kabus itu hilang, muka isteri Tok Kaya Sendi Diraja berubah menjadi pucat begitu juga dengan Norlin. Ada lembaga berbentuk bayi terapung- apung tanpa seurat benang pun. Matanya yang bercahaya itu memandang wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri. Dari situ beralih pula ke muka Norlin.

"Siapa namamu anak yang baik?”, tanya datuk.

"Saya belum ada nama”, jawab bayi itu.

Tidak terkeluar dari mulut bayi tersebut, tetapi datangnya dari satu arah yang lain dan bergema pula. Datuk terus merenung ke arah bayi itu.

"Apakah kau yang punya rumah ini?”, tanya datuk.

Badan datuk saya lihat mula menggigil bagaikan di goncang oleh sesuatu.

"Kau tinggal menetap di sini?", soal datuk lagi.

"Tidak”, terdengar suara gema yang agak jauh.

"Kenapa kau ganggu Norlin?"

"Saya cuma nak jumpa emak saya, isteri Tok Kaya Sendi Diraja"

Isteri Tok Kaya Sendi Diraja mula mengelabah, kemudian terpekik tertahan-tahan. Datuk memberi isyarat pada semua yang ada di situ supaya bertentang. Tetapi perubahan wajah jelas kelihatan pada Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:20 PM | Show all posts
Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

"Apa fasal kau mahu menemui ibumu?"

"Saya minta di pertanggungjawabkan"

"Maksudmu aku faham"

"Kenapa saya dibunuh?"

"Jadi ibumu telah membunuhmu?"

"Ya. Waktu saya tujuh bulan dalam kandungan dengan pertolongan doktor, saya di keluarkan dari rahim secara paksa"

Sebaik sahaja suara itu hilang, diganti pula dengan suara tangisan. Suara itu terdengar sayup-sayup dan amat memilukan. Datuk meletakkan kedua belah tangannya atas tempurung lutut. Salah satu dari pada api lilin dihadapannya di padamkan.

"Kau mahu membalas dendam datang ke sini?"

"Bukan itu maksud saya"

"Jadi apa tujuan mu yang sebenar?"

"Saya memerlukan nama, dan pengakuan dari ibu yang sebenar dan kaum keluarga"
"Baiklah, selain dari aku dan cucuku, ada ayah, emak dan kakak atau adik kau. Mereka sudah mengakui kau sebagai keluarga mereka”,ujar datuk sambil merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja.

Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri serta- merta anggukkan kepala. Datuk mengigit bibir lalu bertanya: "Siapakah orang yang selalu muncul di sini, seperti yang pernah ditemui oleh cucuku dan orang lain itu?"

Bayi itu kelihatan berpusing- pusing, lalu berdiri dekat tiang seri. Dia seakan-akan ketawa menghadapi ke arah kami. Terdengar bunyi angin yang cukup kuat. Semua yang ada di ruang rumah berterbangan. Walaupun begitu api lilin tidak padam.

"Mereka adalah waris dari keturunan datuk nenekku, merekalah yang memberi jalan kemewahan pada keturunan ayah dan ibuku. Dan merekalah yang mendesak aku supaya menemui ibuku yang sebenar."

Terdengar gema suara dari arah kiri datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:21 PM | Show all posts
Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

"Baiklah, mereka sudah tahu sekarang. Mereka akui kau adalah keturunan mereka. Pulanglah jangan ganggu kakakmu Norlin”, datuk terus bersuara.

"Aku mahu bersalam dengan mereka”,minta bayi itu.

"Silakan”

Keluarga Tok Kaya Sendi Diraja menghulurkan tangan, ternyata mereka tidak bersalaman dengan bayi itu. Mereka hanya macam terasa angin yang tenang mengenai jari-jemari mereka. Seperti waktu mula muncul, bayi itu terus berubah menjadi gumpalan yang kabur, kemudian menipis, dan akhimya terus menghilang. Setelah beberapa detik berlalu, datuk kembali bertafakur dan membaca sesuatu. Dengan nada suara yang parau dan mengandungi maksud tertentu, datuk bersuara: “Bangunlah wahai hati nurani yang tidak di kuasai oleh nafsu. Bangun dan temuilah kami"

Suasana bertambah sepi. Tidak ada seorang pun yang sedar tentang isteri Tok Kaya Sendi Diraja yang jatuh pengsan. Datuk meletakkan tangannya ke atas dahi isteri Tok Kaya Sendi Diraja.

”Saya tak tahu masa bila dia pengsan”, kata Tok Kaya Sendi Diraja.

"Jangan khuatir, kita mencari jalan yang baik”, balas datuk lalu menepuk tikar mengkuang panjang dua belas.

Isteri Tok Kaya Sendi Diraja bangun. Duduk bersila, wajahnya pucat. Sepasang matanya merenung mata datuk.

"Siapakah yang datang tadi?

Hati nurani cik puan yang tidak di kuasai oleh nafsu?", tanya datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja.

Dia mengangguk. Wajahnya resah tidak menentu. "Kau menggugur anakmu waktu berusia tujuh bulan?"

Isteri Tok Kaya Sendi Diraja angguk kepala.

"Kenapa kau berlaku sekejam itu?"

"Sebelum saya kahwin dengan Tok Kaya Sendi Diraja, saya jadi tukang masaknya. Kemudian terjadi perkara yang tidak baik, saya terus diam di bahagian atas rumah ini. Apabila genap tujuh bulan, saya dengan persetujuan Tok Kaya Sendi Diraja menggugurkan bayi ini dengan seorang doktor swasta di Kuala Kangsar"

Satu pengakuan yang jujur dari isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dan Tok Kaya mengakui apa yang dikatakan oleh isterinya itu memang benar. Datuk pun merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.

"Awak berdua sudah melakukan dosa”, ujar datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja. Isteri dan suami berpandangan sama sendiri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:21 PM | Show all posts
Selingan Syawal   Bercakap dengan jin ~ 32 ~ Roh bayi cari ibu

Sekarang semua peristiwa buruk itu sudah tidak menjadi rahsia lagi buat keluarga diri Tok Kaya Sendi Diraja. Tok Kaya Sendi Diraja menundukkan mukanya dan dia baru sedar, bahawa kekayaan yang ada tidak dapat menutup perbuatan terkutuknya.

"Lupakan semuanya itu. Yang berdosa tetap berdosa. Hanya Allah yang Maha Besar lagi Penyayang sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan kamu berdua”, tambah datuk.

Tok Kaya terus menarik tangan datuk pergi ke ruang bawah. Saya mengikutinya dari belakang. Saya tidak tahu apa yang mereka bicarakan. Selepas bercakap datuk pun mengajak saya ke biliknya. Sebaik sahaja pintu bilik di buka, wajah lelaki yang garang berbadan besar tercegat di dalam bilik. Datuk berhenti di hadapannya. Datuk pun memejamkan mata.

"Aku hanya datang untuk membetulkan mana yang silap”, kata datuk pada lembaga itu yang bergerak ke kanan sambil tersenyum dan terus hilang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2012 05:24 PM | Show all posts
Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat
Tiba-tiba pintu masjid terbuka dengan lebarnya kemudian terkatup dengan sendirinya,
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-9-2012 11:50 PM | Show all posts

Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat


Pak Mardan dan saya terus ke bahagian belakang rumah. Lama juga Pak Mardan berlegar-legar di situ. Hujan terus turun mencurah-curah. Petir dan kilat sabung- menyabung di malam yang pekat. Saya dan Pak Mardan naik ke bilik pengantin. Halimah masih memegang besi kuning erat-erat. Pak Mardan meletakkan baldi di sudut bilik dan terus duduk di situ.

"Kau Tamar, duduk dekat lutut aku ni”, Pak Mardan memerintah dan saya patuh pada perintahnya.

Pak Mardan merenung ke muka Halimah yang sudah kelihatan cemas. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak- gerak. Saya tidak tahu apa yang di bacanya.
"Kau jangan tegur apa yang kami buat Halimah. Aku tahu sebahagian dari anak rambut kamu sudah terkena tempias air hujan”, suara Pak Mardan parau. Matanya mula bersinar garang.

Pak Mardan terus bersemadi di depan baldi di plastik berwarna merah. Dalam masa itu Pak Mardan menumpukan seluruh per¬ hatian pada ilmu yang di tuntut dari gurunya, saya lihat baldi dalam air plastik merah bergerak macam air sedang mendidih. Di luar hujan terus mencurahcurah, cahaya petir jelas kelihatan menyelinap ke dalam bilik pengantin. Kerana saya ada mendapat petua sedikit dari datuk bagaimana mahu me¬ numpukan seluruh pancaindera pada alam lain, saya segera melakukannya. Memang saya terasa yang diri saya terpisah dari keadaan keliling. Saya berhadapan dengan satu alam yang sunyi dan tenang. Lebih kurang setengah jam kemudian, saya terdengar sayup-sayup bunyi berdesing. Makin lama, makin jelas bunyi itu seperti benda yang sedang terbang menuju ke arah bilik pengantin. Tidak lama kemudian terdengar bunyi ledakan yang cukup kuat di atas bumbung rumah, bunyinya macam letupan meriam buluh. Serentak dengan ledakan itu, saya terdengar bunyi besi-besi kecil berlaga sesama sendiri. Saya juga terdengar bunyi logam berjatuhan dari tulang bumbung berhampiran dengan hujung kaki Halimah. Bila saya membuka mata, saya dapati Halimah tidak sedarkan diri. Di hujung kakinya terdapat berpuluh- puluh batang paku, kaca dan jarum karat berserakan. Pak Mardan segera menghampiri saya. "Kalaulah kita terlewat Tamar, aku tidak dapat membayangkan apa yang terjadi”, ujar Pak Mardan pada saya sambiI meraba pangkal kening sebelah kiri. Bunyi suara hujan diluar mula berkurangan. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil betul-betul di hujung kepala lutut Pak Mardan. Saya lihat Pak Mardan rebah atas lantai, mukanya segera bertukar menjadi kehitam-hitaman. Saya mengelabah, paku dan besi buruk serta jarum karat bagaikan bergerak-gerak ke arah saya dan Pak Mardan.

"Datukkkk tolongggg”, pekik saya dengan sekuat hati.

Ketika itu saya rasa batang leher saya cukup panas, bila menelan air liur terasa pedih. Punggung saya bagaikan berada di atas bara api. Dalam keadaan yang gawat itu, saya dapati datuk sudah pun berdiri diambang pintu.

"Bertenang”, kata datuk lalu melemparkan kain hitam yang terselepang di dada atas lantai.

Pak Mardan boleh bergerak dan duduk semula seperti asli. Leher saya tidak terasa panas lagi, punggung saya kembali berada di atas papan lantai.

"Kau saja selesaikan perkara ini Mardan”, kata datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-9-2012 11:52 PM | Show all posts
Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat

Pak Mardan anggukkan kepala. Datuk terus duduk bersila di tengah pintu. Halimah masih lagi terkapar di kaki katil macam mayat. Tetapi besi kuning masih berada dalam dalam genggamannya.

"Bantu saya kalau saya tewas”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

"Saya akan bantu mana yang patut, Allah bersama kita”, balas datuk.

Pak Mardan pejamkan mata, saya juga begitu. Tidak ada sesuatu yang aneh berlaku. Pak Mardan menampar paha kanan saya sekuat hati.

"Begini saja. Kau dan aku sama-sama melihat air dalam baldi”, bisik Pak Mardan sambil merenung ke wajah datuk.

Dan datuk bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Pak Mardan pada saya. Datuk anggukkan kepala kepada saya dengan maksud supaya mematuhi apa yang diperintahkan Pak Mardan. Saya pun merenung ke arah air di dalam baldi, saya lihat air di dalam baldi bergerak macam air sedang mendidih, mengeluarkan asap tebal macam asap rokok, berlegar- Iegar di permukanan baldi, asap itu naik meninggi dan akhirnya terus hilang. Saya mula terhidu bau hamis, seperti bau darah seekor ayam yang baru disembelih. Kepala saya terasa pening tetapi saya masih lagi dapat mendengar bunyi hujan yang kian berkurangan diluar. Pandangan saya jadi berpinar- pinar. Dalam samar-samar itu, saya lihat bayangan wajah seorang lelaki yang tidak saya kenali. Dalam keadaan saya terkhayal itu, saya lihat Pak Mardan menepuk air di dalam bilik. Kemudian Pak Mardan menutup permukaan baldi dengan kain putih. Datuk melihat saja dengan apa yang dilakukan oleh Pak Mardan. Halimah mula bergerak dan melepaskan besi kuning yang di genggamnya.

"Kau terlepas dari bahaya Halimah”, kata Pak Mardan dan menyuruh Halimah beredar dari situ.

Hujan berhenti terus. Orang ramai mula membetulkan kain-kain khemah yang jatuh dirempuh angin. Pancaragam dari Taiping diminta meneruskan permainannya kembali. Pak Mardan terus menemui ayah Halimah dan minta meneruskan acara yang telah ditetapkan. Walaupun acara bersanding agak lewat diadakan dari masa yang ditetapkan, orang ramai tidak merasa kecewa malah memuji pihak tuan rumah yang sanggup mengadakan majlis tersebut. Upacara bersanding berjalan dengan penuh kemeriahan.

"Semuanya sudah selamat”, kata datuk pada Pak Mardan yang ketawa kecil melihat pengantin perempuan dan lelaki di atas pelamin.

Bila upacara bersanding selesai, Pak Mardan terus menerpa ke bilik Halimah untuk mengutip paku dan besi yang berserakan. Malam itu saya dan datuk serta Pak Mardan tidur di masjid.

Pada mulanya pihak tuan rumah melarang kami tidur di masjid. Setelah diberitahu oleh Pak Mardan bahawa tindakan itu bukanlah berniat mahu memalukan tuan rumah, tetapi bertujuan menghindarkan sesuatu yang buruk terjadi kalau Pak Mardan masih ada di situ, orang yang berniat jahat terhadap Halimah akan mengulangi perbuatan terkutuknya. Alasan itu, dapat diterima oleh pihak tuan rumah dengan baik. Banyak perkara yang ditanya oleh datuk pada Pak Mardan berhubung dengan ilmu menahan hujan. Saya lihat datuk cukup berminat belajar sesuatu dari Pak Mardan. Rasa meluat mula datang dalam hati saya terhadap sikap datuk itu. Apa perlunya datuk mencari ilmu lagi? Apakah dia tidak terfikir usianya sudah lanjut? Apakah ilmunya yang ada tidak mencukupi? tanya saya dalam hati sambil menyandarkan badan pada pada tiang seri masjid.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-9-2012 11:55 PM | Show all posts
Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat

"Saya bukan apa-apa, sekadar mahu tahu saja. Bukankah belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan itu memang dituntut oleh agama Islam”, saya terdengar suara datuk agak meninggi.

"Memang”, sahut Pak Mardan.

"Saya teringat tentang Surah Ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud lebih kurang begini: Wahai para jin dan manusia! Kalau kamu sanggup menembus sempadan langit dan bumi, maka tembuslah. Kau tak akan sanggup melintasi melainkan dengan kekuatan”, ujar datuk dengan tenang.

Pak Mardan tersenyum seraya berkata, "Maksud kekuatan dari ayat itu ialah ilmu pengetahuan"

"Betul. Tepat sekali cakap awak tu”, sahut datuk.

Kedua-duanya saling tepuk ¬ menepuk antara satu sama lain. Melihat dari cara mereka bercakap itu, saya segera membuat kesimpulan antara datuk dan Pak Mardan memang terdapat rasa persefahaman. Tetapi secara tidak langsung antara mereka masih mahu menunjukkan yang diri masing-masing sama-sama tahu. Dan saya kira kalau datuk masih meneruskan sikapnya itu, Pak Mardan tidak begitu mudah mahu melahirkan sesuatu yang dia tahu pada datuk. Suasana di luar masjid cukup gelap. Suara cengkerik dan katak bersahut-sahutan. Saya merasa kedinginan dan kelopak mata mula rasa agak berat. Dua kali saya menguap panjang. Barangkali datuk mula sedar bahawa Pak Mardan tergolong dalam golo¬ ngan orang yang agak sombong dan membanggakan diri, yang mengakui dirinya tidak begitu pandai tentang hal-hal ilmu dunia.

"Saya ni baru sangat dalam hal ini. Ilmu dunia tidak sebanyak mana, ilmu akhirat lagi kurang, saya masih belajar”, begitu lemah nada suara datuk.

Ekor matanya menjeling ke arah saya dalam sinaran lampu gasolin yang sekejap terang dan sekejap gelap. Mendengar kata-kata datuk itu, Pak Mardan termenung panjang. Dia kerutkan kedua belah keningnya, macam memikirkan sesuatu.

“Saya tidak ada kuasa untuk menahan hujan”, katanya lemah.

"Jadi apa yang awak buat?", sanggah datuk.

"Awak ini macam tak tahu pula, bukankah AIlah berkuasa atas segala-galanya. Saya mohon doa pada Allah minta hujan jangan turun di suatu kawasan"

"Lagi apa yang awak buat?"

"Mengamalkan beberapa petua dari nenek moyang itu saja. Setakat ini permohonan saya diberkati, itu saja yang buat"

Datuk anggukkan kepala mendengar keterangan dari Pak Mardan. Tetapi datuk merasakan Pak Mardan menyembunyikan sesuatu darinya. Kerana itu datuk agak keberatan bila Pak Mardan menyuruh dia baring di atas lantai masjid. Datuk terus melawan dia bercakap hingga Pak Mardan memberitahu datuk yang dia memang menuntut ilmu menahan hujan dari seorang bomoh hujan yang berasal dari Selatan Siam, iaitu di negeri Patani.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-9-2012 11:57 PM | Show all posts
Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat

"Tiga tahun aku tinggal di sana”, Pak Mardan memberi keterangannya pada datuk.

Menurut Pak Mardan, ayahnya dulu salah seorang pendekar yang terkenal di Perak. Berjaya memotong leher pihak lawan dalam perang Larut. Ayahnya telah diberikan 50 ekar tanah sawah oleh Sultan Perak masa itu, sebagai mengenangkan jasanya. Tanah itu dikecualikan dari sebarang cukai. Bila tanah itu bertukar pada dirinya, Pak Mardan menjualkan tanah itu pada seorang jutawan Melayu dari Kuala Kangsar. Hasil wang dari jualan tanah itu, Pak Mardan membeli tanah lain di Kampung Kota. Saya tidak tahu, bagaimana datuk memujuk Pak Mardan hingga dia sanggup memberikan pada datuk beberapa petua dan amalan yang mesti dilakukan untuk menahan hujan. Pak Mardan juga memberitahu datuk yang dirinya ada menyimpan ilmu melompat yang dituntutnya dari arwah ayahnya dulu.

"Ilmu tu dinamakan lompat sekayu kain. Masa perang Larut dulu, ilmu itu telah digunakan oleh ayah saya bagi menewaskan pihak lawan”, Pak Mardan tersenyum bangga menceritakan tentang keperwiraan ayahnya.

Datuk mengurut-urut dada. Kemudian dia tersenyum sinis. Pak Mardan kurang senang dengan sikap datuk itu, lalu dia menentang biji mata datuk lama-lama. Datuk juga berbuat demikian. Dari gerakan dan kelipan mata Pak Mardan, datuk dapat membaca pembawa atau peribadi Pak Mardan. Datuk tahu Pak Mardan orangnya pantang dicabar. Kesempatan itu datuk gunakan untuk menguji sejauh mana kebenaran kata-kata Pak Mardan.

"Aku tak yakin kau ada ilmu melompat sekayu kain”, amat lantang suara datuk.

Tiba-tiba saja Pak Mardan bangun. Dia beliakkan mata kearah datuk.

"Awak mahu saya buktikan?"

"Itulah yang sebaiknya?"

"Mari keluar" Pak Mardan keluar dari masjid.

Datuk pun begitu. Saya jadi serba salah. Dalam samar- samar lampu gasolin saya lihat jam tua yang tersangkut di tiang seri. Jarum pendek dan panjang menunjukan ke angka dua belas. Rasa dingin cukup hebat menggigit kulit badan saya. Bibir saya mengeletar. Suara katak dan cengkerik kian bertambah hebat. Datuk menghampiri Pak Mardan dengan tenang.

"Begini saja, sekarang pukul dua belas tepat. Pesan guru saya, tidak baik melakukan sesuatu tepat jam dua belas malam atau siang, banyak buruk dari baiknya”, beritahu datuk pada Pak Mardan.

Nampaknya Pak Mardan tidak membuat sebarang bantahan pada datuk. Sementara menanti jarum jam berganjak dari pukul 12.00 ke pukul 12.02 minit, datuk duduk di kaki tangga masjid. Pak Mardan berdiri di halaman masjid. Dia sudah pun memakai baju hitam dan seluar serta berselepang kain kuning. Dia membelakangi datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-9-2012 12:01 AM | Show all posts
Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat



Saya lihat datuk melepaskan sesuatu macam bola api ke arah kaki kiri Pak Mardan. Pak Mardan menjerit lalu melompat melepasi bumbung masjid. Pak Mardan bagaikan terbang di udara. Tubuhnya nampak bulat macam seketul kayu itu menuju ke arah pokok pisang tempat sundang terletak tadi. Lebih kurang dalam jarak empat kaki mahu sampai ke perdu pokok pisang, Pak Mardan hulurkan kaki kanannya. Dari kaki kanannya itu saya lihat keluar cahaya bulat dan memanjang, macam api andang. Saya dengar pekikan dari Pak Mardan cukup lantang, serentak dengan itu terdengar satu letupan kecil. Saya lihat pokok pisang rebah ke bumi dan terbakar. Dalam beberapa saat saja saya lihat Pak Mardan dan datuk berdakap-dakapan di halaman masjid.

"Jangan menguji saya sampai macam itu. Nasib baik saya dapat arahkan pada perdu pokok pisang, kalau pada awak sudah lain jadinya”, ucap Pak Mardan sambiI menukar baju hitam kepada baju kemeja putih.

"Saya tahu. Saya cuma menguji bukan bergaduh”, balas datuk,

"awak bukan calang-calang orang"

"Ah, tiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Macam kau dengan aku ni ada kelebihan dan ada kekurangannya. Yang sempurna dan gagah hanya Allah yang Maha Besar”, sebaik saja mengakhiri cakap itu, lagi sekali Pak Mardan memeluk tubuh datuk.

Kami masuk ke masjid. Ketika saya mahu merebahkan badan di sisi datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-9-2012 12:02 AM | Show all posts
Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat

"Datuk mahu bergaduh?", tanya saya pada datuk.
"Tidak. Sekadar mahu menguji. Setahu aku seorang pendekar atau pahlawan tidak akan menunjukkan kebolehannya di khalayak ramai. Pahlawan selalu bersikap macam harimau menyimpan kuku”, kata datuk.

Cakap datuk itu memang benar. Sudah setengah jam masa berlalu Pak Mardan tidak juga menunjukkan kebolehan dan kemampuannya. Datuk pun mula bertindak. Dia mencabar Pak Mardan dengan membalingkan sebilah sundang ke arah belakang Pak Mardan. Dalam gelap itu Pak Mardan berjaya menyambar sundang dengan tangan kanannya lalu membalingkan ke arah datuk kembali dan datuk bagaikan kilat menangkap hulu sundang lalu ditikamkan ke batang pisang. Sundang terus melekat di situ. Saya segera masuk ke masjid dan membawa lampu gasolin keluar. Saya letakkan di atas simen kolah tempat orang mengambil air sembahyang.

Cahaya dari gasolin itu menerangi sebahagian daripada halaman masjid. Datuk terus menyerang Pak Mardan. Tujuan datuk berbuat demikian supaya Pak Mardan naik semangat. Tujuan datuk memang berjaya. Pak Mardan lalu membuat serangan balas yang cukup hebat, buah silat yang dilepaskan pada datuk cukup tajam dan cepat. Datuk terus mengelak dan menepis hingga buah-buah silat yang ditujukan padanya tidak menjamah badan. Datuk lalu mencabut sundang dari batang pisang, menerkam ke arah Pak Mardan. Cepat-cepat Pak Mardan melompat separas kepala datuk lalu menyepak pergelangan tangan datuk dari udara. Pak Mardan tidak berjaya, saya lihat dia bagaikan terapung-apung di udara membuka silat baru, kemudian kakinya menjamah kaki bumi.

Pak Mardan menghampiri saya, muka saya direnungnya lama-lama. "Belajarlah sesuatu dari datuk kamu"

"Datuk kedekut dengan ilmu"

"Betulkah cakap cucu awak ini? Tak patut buat begini”, Pak Mardan mengajukan pertanyaan pada datuk.

Saya lihat datuk tersenyum.

"Tak betul tu. Ada saya curahkan ilmu penjaga diri dan beberapa petua untuknya. Saya rasa itu sudah cukup yang lain tak mustahak. Saya dah pesan gunakan ilmu itu bila ada musuh atau masa terdesak, tidak boleh di gunakan sebarangan”, ternyata penjelasan datuk itu memuaskan hati Pak Mardan.

"Zaman kami muda-muda dulu, kalau tak cukup syarat dengan ilmu di dada kami tidak merantau. Tetapi, anak - anak muda sekarang ini lain pula. Adat budaya dan cakap orang tua-tua di lupakan, sudah mahu merantau. Baru ada ilmu tak sampai sebuku sudah tunjuk pandai”, Pak Mardan macam merungut.

Datuk anggukkan kepala mengiakan cakapnya. Saya menguap lagi, kelopak mata terasa cukup berat. Suara datuk dan Pak Mardan yang sedang bercakap saya dengar kian lama, kian jauh dan akhirnya saya tidak terdengar apa-apa lagi.

"Bangun, bangun”, saya dengar suara datuk meninggi dan badan saya digoncang oleh Pak Mardan.

Saya membuka mata dalam gelap. Lampu gasolin tu sudah lama padam. Rasa marah mula datang dalam hati, bagaimana saya tidak marah, kalau tengah sedap tidur terpaksa bangun.

"Kenapa tok?"

"Bangun, jangan banyak cakap"
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-9-2012 12:03 AM | Show all posts
Selingan Syawal   
Bercakap dengan jin ~ 33 ~
Muntahkan ulat dan paku karat

Hasrat saya untuk mengajukan pertanyaan mati bila terdengar nada suara datuk begitu keras. Datuk menyuruh saya dan Pak Mardan berpisah. Saya disuruh merangkak ke arah utara masjid, Pak Mardan ke selatan dan datuk sendiri merangkak ke arah pintu masjid. Suara katak dan cengkerik di luar masjid berambah hebat. Saya mula terdengar deru angin melanggar ranting dan dahan kayu. Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak. Dari tingkap masjid yang terbuka di tolak oleh angin, saya lihat ada api bergerak dalam gelap mengelilingi masjid. Tiba-tiba pintu masjid terbuka dengan lebarnya kemudian terkatup dengan sendirinya, macam ada tenaga manusia menolaknya dari luar.

"Apa hajat?", teriak datuk sekuat hati. Dan api yang bergerak mengelilingi masjid terus padam.

"Apa hajat?", ulang datuk lagi.

Saya lihat cahaya api itu datang kembali berada betul- betul di luar pintu masjid. Teriakan datuk tidak mendapat jawapan. Pak Mardan tanpa disuruh terus menghidupkan lampu gasolin. Lampu itu dibawa ke pintu masjid. Bila melihat cahaya lampu gasolin itu hati saya mula rasa tenteram. Kerana Pak Mardan sudah berdiri di samping datuk, saya segera menghampiri mereka.

"Kau nampak apa tu?", Pak Mardan menepuk bahu saya.

Dengan pertolongan cahaya lampu gasolin, saya dapat melihat dengan jelas sebatang kayu terpacak di halaman masjid, di hujung kayu bahagian atas terletak tengkorak manusia. Saya pandang wajah datuk. Dia nampak serius, saya pandang wajah Pak Mardan, ada tanda- tanda keresahan dimukanya.

"Datanglah, apa hajat kamu?", pekik datuk lagi dan lampu gasolin terus malap.

Kayu di tengah halaman masjid mengeluarkan cahaya api. Bunyi tapak kaki manusia memijak dahan dan ranting- ranting kering mula kedengaran dari tiap penjuru masjid, saya terasa bagaikan ada beribu manusia yang bergerak di sekeliling masjid. Datuk terus bertafakur lebih kurang lima minit. Bila dia membuka mata, lampu gasolin yang malap bersinar terang. Di halaman masjid terdapat seorang manusia berdiri di sisi kayu yang ada tengkorak.

"lnilah orang yang saya lihat dalam baldi di rumah pengantin tadi”, bisik Pak Mardan pada datuk.

Dengan tenang datuk anggukkan kepala lalu keluar dari masjid. Datuk berdiri berhadapan dengan orang itu. Suara katak dan cengkerik kian hebat. Angin juga mula bertiup agak ganas. Bila angin berhenti bertiup, hujan pun turun menambahkan rasa sejuk pada diri saya. Titik hujan yang halus itu terus menjadi kasar. Pak Mardan segera menarik tangan datuk. Orang yang berdiri dengan kayu itu terus memeluk tubuhnya. Titik-titik hujan tidak mengenai tubuhnya.

"Masuk, orang ini mahu membalas dendam”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

Saya lihat datuk termenung sejenak. Dengan tenang datuk memegang kain hitam di kepala. Kain hitam itu dibukanya. Datuk simpulkan kain hitam itu hingga menjadi seketul, macam buku benang.

"Kalau niat kau baik, engkau tidak apa-apa. Tetapi kalau niat kau buruk kau akan binasa”, ujar datuk pada lelaki ditengah halaman dari muka pintu masjid.

Datuk lemparkan kain itu ke arah lelaki tersebut. Bila kain itu jatuh di hujung kaki lelaki itu, kelihatan asap berkepul- kepul naik ke udara. Batang tubuh lelaki itu hilang dalam kepulan asap. Pak Mardan terus duduk lalu membaca beberapa mentera hingga hujan yang mula teduh berhenti sama sekali. Bila kepulan asap itu hilang, tengkorak yang yang berada di hujung kayu jatuh ke atas tanah. Batang tubuh lelaki itu segera bertukar menjadi hitam. Lidah lelaki itu terjujur keluar macam lidah anjing yang kehausan, biji matanya mula merah. Datuk menepuk tangan kanannya tiga kali ke bendul masjid. Orang lelaki di tengah halaman mula batuk dan muntah darah dua kali. Pak Mardan segera mengambil air dari dalam kolah satu gayung dan menyerahkan pada datuk.

"Tawarkan dia”, Pak Mardan menyarankan dan datuk terus menunaikannya.

Setelah datuk membaca sesuatu pada air didalam gayung, saya pula ditugaskan menyimbah air kebadan lelaki itu. Bila air dalam gayung terkena badan lelaki itu, kulitnya yang hitam segera bertukar macam biasa, dia sudah tidak muntah lagi. Pak Mardan menghampiri lelaki itu. Sebelum berdiri di hadapan lelaki tersebut, Pak Mardan terlebih dahulu membaca beberapa mentera. Dia menguncikan semua pancaindera lelaki tersebut. Saya merasa terkejut, bila secara tiba-tiba Pak Mardan mendapatkan datuk semula.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-1-2025 01:05 PM GMT+8 , Processed in 0.062594 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list