Bayaran akhir STR 2024 dibayar mulai esok secara berperingkat
![](https://assets.bharian.com.my/images/author/Fahmy%20A%20Rosli.jpg)
Oleh Fahmy A Rosli - November 6, 2024 @ 5:50pm[email protected]
KUALA LUMPUR: Bayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 akan disalurkan secara berperingkat mulai esok kepada 8.7 juta penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Mulai 9 Disember ini, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan tunai tambahan sekali beri (one-off) Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lapan juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar, mengikut kaedah pembayaran STR.
Baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima bantuan SARA, sepanjang tahun.
Menurut Kementerian Kewangan, dengan penambahan ini, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini.
"Ia selaras dengan keprihatinan Kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat," kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.
Pembayaran terakhir STR membabitkan peruntukan sebanyak RM3.4 billion.
Setakat ini, kerajaan sudah menyalurkan hampir RM10 billion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun ini berbanding RM8 billion pada 2023.
Mengenai STR 2025, kerajaan mengambil pendekatan untuk membuka pendaftaran sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
Kementerian itu menjelaskan yang langkah itu bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada rekod dalam pangkalan data kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing, selain membenarkan penerima sedia ada membuat kemaskini sekiranya mempunyai perubahan maklumat.
"Bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan, selain data daripada beberapa agensi kerajaan lain untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, kementerian menasihat penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
Sebagai perlindungan daripada kes penipuan, kementerian tidak membuat sebarang penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej WhatsApp yang meminta maklumat peribadi daripada individu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1320580/bayaran-akhir-str-2024-dibayar-mulai-esok-secara-berperingkat
|