Kes bunuh Sabari: Boleh tuduh suspek, tetapi pengakuan di mahkamah penting - Peguam
Sabari (foto kecil) dicampak ke Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat. - NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Pendakwaan terhadap suspek kes bunuh pesara pegawai kewangan FELCRA, Sabari Baharom, boleh diteruskan dengan syarat adanya pengakuan direkodkan daripada tertuduh di mahkamah. Peguam, Hermes Media Putra Ibrahim, berkata penting sekali untuk merekodkan pengakuan sewaktu peringkat mahkamah ketika tertuduh didakwa, meskipun peringkat siasatan polis sebelum ini sudah ada pengakuan daripada suspek. Mengulas lanjut, katanya, ini kerana sebelum pendakwaan dibuat di mahkamah, ada kemungkinan tertuduh menukar pengakuan dibuat sebelum ini iaitu daripada mengaku bersalah kepada tidak bersalah. "Bagi saya walaupun ada pengakuan di hadapan polis, pihak pendakwaan pasti akan minta pegawai penyiasat kes untuk mendapatkan bukti-bukti tambahan," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kes bunuh Sabari yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun mayat mangsa yang dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di Kampung Empa, Jitra, dekat sini belum ditemukan. Media sebelum ini melaporkan polis Kedah mengesahkan Sabari dicampak ke Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat. Maklumat diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan pada 27 September lalu, namun jasad mangsa belum ditemui meskipun usaha pencarian digerakkan selama tiga hari antara 30 September hingga 2 Oktober lalu. Sabari dilapor hilang dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini selepas gagal dihubungi. Persoalan timbul apabila sebuah kereta Proton Waja milik Sabari ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik namun mangsa tiada di situ.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1307411/kes-bunuh-sabari-boleh-tuduh-suspek-tetapi-pengakuan-di-mahkamah-penting
|