|
Zulfahmi harap Litar Estoril kering
2011/04/25
KUALA LUMPURL: Pelumba tunggal MotoGP negara kategori 125cc, Mohd Zulfahmi Khairuddin, mengharapkan keadaan cuaca yang baik dan litar kering pada perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Portugal di Litar Estoril hujung minggu ini.
Muhammad Zulfahmi yang berjaya mengutip enam mata pada perlumbaan Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez, mengakui keputusan cemerlang beliau itu dibantu oleh keadaan hujan dan litar basah.
Click Here
"Memang prestasi saya lebih baik dan peluang saya lebih cerah di litar basah tetapi Litar Estoril terlalu mencabar untuk mana-mana pelumba jika hujan.
"Adalah tersangat sukar untuk berlumba di Estoril dalam keadaan hujan. Jadi, biarlah Grand Prix Portugal hujung minggu ini berlangsung dalam cuaca yang baik dan litar kering," kata pelumba pasukan AirAsia-SIC-AJO itu dalam satu kenyataan dikeluarkan promoter perlumbaan, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC).
Pelumba berusia 19 tahun itu akan berlepas ke Portugal esok selepas pulang ke tanah air untuk bercuti sebaik tamat perlumbaan di Jerez.
Beliau kembali ke Malaysia berikutan penangguhan saingan perlumbaan pusingan ketiga iaitu Grand Prix Jepun di Litar Motegi akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu bulan lalu.
Perlumbaan Grand Prix Jepun kini diletakkan sebagai pusingan ke-15 dalam kalendar saingan musim ini, tiga minggu sebelum berlangsungnya Grand Prix Motorsikal Malaysia Shell Advance di Litar Sepang pada 21 hingga 23 Okt.
Muhammad Zulfahmi berkata: "Estoril adalah litar yang cukup teknikal...banyak selekoh yang laju dan juga selekoh perlahan. Trek di Estoril lebih kurang dengan trek Eropah lain yang tidak begitu lebar.
"Kerana itu, ia menuntut persembahan yang sempurna. Tiada kesilapan walaupun kecil kerana sedikit kesilapan akan menyebabkan anda kehilangan beberapa saat. Bayangkanlah kalau kita berlumba dalam keadaan litar basah atau hujan, memang senang untuk buat kesilapan."
Selepas dua perlumbaan musim ini, Muhammad Zulfahmi berada di tempat ke-15 dalam kedudukan pelumba kategori 125cc dunia dengan mengumpul enam mata.
Pendahulu setakat ini ialah pelumba Sepanyol, Nicolas Terol daripada Bankia Aspar Team 125cc dengan 50 mata. - BERNAMA
===============
tabik spring utk zulfahmi |
|