Gandingan pertama Aaron Aziz dan Nora Danish
SYED MUSSADDAD SYED MAHDI | 23 November 2014 1:07 PM

PERTEMBUNGAN antara jiwa lama dan jiwa baru menjadi inti pati kepada super telefilem Cikgu Timah Sekolah Bandar yang baru sahaja habis menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Kuang, Selangor baru-baru ini.
Mengisahkan tentang guru yang datang dari latar belakang yang berbeza, super telefilem ini digarap dengan sentuhan komedi dan lebih santai tanpa perlu memikirkan banyak perkara. Bukan bertujuan untuk memandang sinis kepada kerjaya guru super telefilem ini hanya mengambil kisah latar belakang sekolah dan guru-guru sebagai asas dan diolah menjadi sebuah cerita. Pun begitu sudah pasti tumpuan lebih terarah kepada gandingan utama Aaron Aziz dan Nora Danish yang pertama kali berlakon bersama di bawah terbitan Million Pictures Sdn. Bhd. ini.
Aaron yang membawakan watak Cikgu Shaari lebih gemarkan kepada perkara lama termasuklah dari segi percakapan, pakaian dan perbuatan yang mirip guru-guru tahun 1960-an.
Bertugas sebagai guru besar, Cikgu Shaari membentuk persekitaran sekolah gaya lama termasuklah kepada guru-guru lain yang terpaksa memakai baju kebaya dan baju kemeja kota-kotak fesyen lama.
Anaknya lakonan Rykal Iskandar turut terkena tempias yang terpaksa mengikut cara bapanya berfesyen walaupun dia mahukan kebebasan sama seperti kanak-kanak yang lain.
Keadaan mula berubah apabila Cikgu Timah lakonan Nora Danish ditukarkan ke sekolah berkenaan. Dia yang lebih moden dan urban menghadapi masalah besar untuk bertugas di sekolah barunya itu.
Pelbagai kejadian dan masalah timbul saat berhadapan dengan persekitaran lama di sekolah itu yang menjadi daya penarik kepada super telefilem Cikgu Timah Sekolah Bandar ini lagi.
Bagi Aaron Aziz pastinya super telefilem ini memberikan cabaran besar kepadanya memandangkan dia terpaksa bercakap cara lama, berpakaian fesyen lama tetapi masih mengikut lunas-lunas seorang guru.
“Memang ini kali pertama saya membawakan watak sebagai seorang guru tetapi tidak mengikut perkembangan terkini. Tak ada masalah pun tetapi saya perlu menjaga batas-batas agar tidak terlalu berlebihan.
“Selebihnya tak ada masalah besar memandangkan barisan pelakon yang terlibat juga berpengalaman dan menjadikan suasana penggambaran lebih menarik dengan kerenah masing-masing,” jelas Aaron lagi.
Pun begitu Nora Danish pula menyifatkan gandingan kali pertamanya bersama Aaron sebagai pertemuan yang menarik memandangkan masing-masing tidak pernah berlakon bersama dalam mana-mana drama mahu pun filem.
Menyifatkan perkara itu bukan masalah yang besar untuknya, Nora menegaskan tidak menghadapi apa-apa masalah sepanjang 14 hari tempoh penggambaran Cikgu Timah Sekolah Bandar berlangsung.
“Ini cerita komedi dan pastinya cabaran lebih besar dirasai saat melakonkan babak-babak lucu antara kami. Selebihnya tak ada masalah besar pun memandangkan semua orang gembira berada di set,” jelas Nora lagi.
Selain mereka berdua, super telefilem ini turut dibintangi oleh Zarina Zainoordin, Achong, Rykal Iskandar, Sunshine Devi Eric dan pelakon lain.
Cabaran utama
BAGI orang nombor satu Million Pictures Sdn. Bhd., Hana Hussain pastinya super telefilem ini merupakan buah tangan ke 25 untuk syarikatnya yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun yang lalu.
Menyifatkan pembikinan Cikgu Timah Sekolah Bandar sebagai satu cabaran besar buat syarikatnya memandangkan format untuk menjayakan super telefilem ini perlu menggunakan perincian perfileman.
“Memang kita mengeluarkan belanja yang besar untuk kru dan kelengkapan penggambaran sehingga mencecah RM40,000. Segala-galanya berlainan jika mahu dibandingkan dengan penerbitan drama biasa.
“Tapi itu bukan masalah besar memandangkan segala-galanya kita sediakan demi memastikan super telefilem ini mengikut format yang telah ditetapkan oleh pihak stesen televisyen,” luah Hana yang bertindak selaku penerbit lagi.
Selain menggunakan latar belakang Sekolah Menengah St. John, Kuala Lumpur sebagai latar utama, mereka turut menggunakan lokasi Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (1) sebagai latar masa.
Selain itu penyanyi Nomad turut menyumbangkan sebuah lagu yang berjudul Dia yang akan menjadi lagu tema bagi produksi ini yang baru sahaja menjalani penggambaran video muzik di Bali, Indonesia.
Cikgu Timah Sekolah Bandar yang diarahkan oleh Azhar Khalid (Apache) ini bakal ditayangkan pada bulan Mei 2015 menerusi saluran Astro First.
|