|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~ 43 ~
Buaya Jadi jadian
Mereka pun membawa mayat budak lelaki itu ke rumah ibunya. Dan buaya yang menyerahkan mayat budak itu terus hilang dari penglihatan saya dan datuk. Sebagai tanda yang tugasnya sudah selesai, lagi sekali datuk mengepal tanah dan mencampakkan ke dalam sungai. Bila tanah itu bertemu dengan air sungai, dengan sekelip mata saja timbul berpuluh-puluh ekor buaya di permukaan air Sungai Tanjung Ara, buaya-buaya itu mempamirkan badan masing- masing sambil melibas- libaskan ekornya pada permukaan air sungai.
Melihat keadaan yang ganjil itu, wajah datuk segera berubah menjadi cemas tidak menentu. Dia merenung muka saya.
"Sebenarnya, ada orang tertentu yang menaikkan semangat buaya, itu supaya menjadi ganas”, kata datuk sambil menarik tangan saya pulang ke rumah Alang Botak.
Petang itu juga mayat budak lelaki yang jadi korban buaya dikebumikan. Dan lelaki malang itu terus menerima rawatan dari datuk. Sebelum menjelang waktu Maghrib lelaki malang itu kembali sihat dan terus membantu kerja-kerja kenduri-kenduri di rumah Alang Botak.
Sepanjang malam itu orang-orang yang berada di rumah Alang terus memperkatakan tentang peristiwa yang berlaku pada sebelah siang tadi. Sesungguhnya, peristiwa yang terjadi itu mencatatkan kemeriahan suasana kenduri di rumah Alang Botak yang kemuncaknya akan berlangsung pada esoknya. Bagi menjaga keselamatan diri orang ramai, pengumuman segera dikeluarkan oleh ketua kampung, yang menasihatkan orang-orang kampung supaya jangan mandi di sungai. Malah, anak lelaki Alang Botak yang bakal jadi raja sehari itu dilarang sama sekali melintas di atas jambatan, begitu juga dengan pibak pengantin perempuan.
Hari itu, adalah kemuncak segala kemeriahan di rumah Alang Botak. Pagi-pagi rumahnya sudah dikunjungi orang ramai. Kira-kira pukul sepuluh pagi, macam-macam permainan diadakan di balai yang dimulai dengan silat, tarian zapin dan permainan dabus. Kira-kira pukul dua belas tengahari, kampung kecil itu menjadi gempar kerana ada orang yang mengingkari pesanan ketua kampung, akibatnya dua orang sudah menjadi mangsa buaya.
Pukul satu tepat, tiga orang lagi menjadi korban buaya. Buaya-buaya di Sungai Tanjung Ara mula mengamuk. Siapa saja yang berdiri di tebing akan akan terus di libas oleh buaya-buaya itu dengan ekornya. Datuk sudah tidak mampu mengatasi masalah itu. Dia mengaku, ilmu dunia yang ada pada dirinya tidak boleh mengalahkan buaya- buaya tersebut. Dengan bantuan orang-orang kampung, tebing sungai itu lalu dipagari dengan kawat berduri. Apa yang terjadi tidak mengganggu-gugat rancangan yang sudah di atur.
Acara persandingan terus dijalankan. Bila acara persandingan itu tamat, satu mesyuarat kecil telah diadakan di halaman rumah Alang Botak untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang sedang di hadapi. Dalam mesyuarat itu orang- orang kampung meminta datuk menggunakan kebolehannya untuk menghalau buaya-buaya ganas tersebut. Datuk tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Menurut datuk, kebolehan yang ada pada dirinya masih belum cukup unutk menjinakkan buaya- buaya ganas itu. Kejujuran yang datuk tunjukkan tidak dapat diterima oleh orang- orang kampung.
"Kamu sudah membuktikan di depan mata kami, usahlah kamu berdalih. Agaknya kamu yang memuja buaya- buaya tu supaya menjadi ganas. Sebelum kamu datang buaya-buaya itu tidak mengacau kami”, seorang lebai muda menghujah datuk di hadapan orang ramai.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 43 ~
Buaya Jadi jadian
Pendapat lebai muda itu mendapat sokongan sebagaian besar dari orang-orang kampung. Datuk berada dalam suasana yang serba salah.
"Apa yang saya lakukan semalam, sekadar mendapatkan mayat budak itu. Dari percubaan pertama itu saya dapat mengesan yang buaya-buaya itu diarah oleh orang-orang tertentu yang dapat mempengaruhi buaya supaya menganas”, datuk memberi penjelasan dalam percubaan membersihkan nama dan dirinya.
"Mungkin di antara buaya- buaya itu, ada buaya jadi- jadian”, tambah datuk.
Orang ramai terdiam sejenak, mereka berpandangan sarna sendiri dan berbisik -bisik. Lebai muda yang berkulit cerah bangun lagi. Keadaannya lebih bersopan santun dari tadi. Dia memperkenalkan dirinya.
"Maafkan saya, kalau perbuatan saya tadi menyakitkan hati tuan, nama saya Kamaruddin dan saya bekas anggota tentera laut dan sekarang membuat kerja menangkap udang di Sungai Tanjung Ara ni, apakah yang patut kita lakukan sekarang?"
Datuk merenung muka lebai muda itu sejenak. Datuk merasakan lebai muda itu memang jujur orangnya. Tidak berdolak-dalik atau mahu menguji datuk, dia bercakap apa yang difikirkannya patut dicakapkan, sesuai dengan keadaan dirinya yang baru berusia lebih kurang empat puluh tahun.
"Kita cari pawang buaya yang handal”, kata datuk.
"Kalau begitu kita panggil Saadun Juling”, jawab salah seorang penduduk kampung.
"Dia tu tinggal di mana?", lebai muda bertanya.
"Di Sungai Rotan”, jawab orang yang mengeluarkan cadangan.
"Saya setuju dan saya boleh membantunya”, datuk memberikan pengakuan.
Kata sepakat pun di buat. Beberapa orang penduduk kampung Tanjung Ara disuruh pergi ke Sungai Rotan menjemput Saadun Juling. Permintaan itu tidak dihampakan oleh Saadun Juling. Dua hari kemudian, pawang buaya itu sudah pun berada di Tanjung Ara. Datuk terus mendampinginya. Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung, dia tidak dapat melakukan kerjanya dengan secepat mungkin.
Dia perlu mengambil masa kira-kira tiga minggu. Selama dia menjalankan tugasnya itu, dia minta orang- orang kampung menanggung makan minum dan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan, antaranya orang- orang kampung dilarang berjalan malam, kecuali dirinya.
Seminggu sudah berlalu Saadun Juling hanya asyik berjalan di sepanjang tebing sungai. Kadang-kadang dia menyorok di balik pokok besar mengintai perempuan mandi dan membasuh kain di sungai. Ada kalanya, dia berdiri di tebing sungai bercakap dengan air. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, sejak Saadun Juling berada di Tanjung Ara, buaya- buaya sulit untuk dilihat. Tidak lagi mengganggu orang- orang kampung yang mandi di sungai. Orang-orang yang bekerja menangkap udang galah mendapat hasil yang berlipat ganda.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 43 ~
Buaya Jadi jadian
Hal ini meyakinkan orang-orang kampung yang Saadun Juling itu seorang pawang buaya yang handal. Masuk minggu yang kedua, seorang suami di kampung itu mengadu pada datuk secara sulit-sulit tentang isterinya yang telah berjaya dipujuk rayu oleh pawang buaya hingga melakukan hubungan suIit. Dan si suami tidak dapat berbuat apa-apa, setiap kali dia memandang atau berhadapan dengan pawang buaya untuk mempersoalkan kedudukan yang sebenar, dia jadi kasihan dan berasa takut yang tidak bersebab. Si suami cuba membentangkan masalah dirinya pada orang- orang kampung, mereka tidak dapat menerima lalu menuduh si suami itu berniat jahat terhadap pawang buaya yang mahu mengembalikan suasana aman di Tanjung Ara.
"Masa bila dia membuat hubungan sulit tu?", tanya datuk pada si suami.
"Malam”
"Waktu tu, kau berada di mana?"
"Di rumah?"
"Kenapa kau tidak bertindak?"
"Saya macam kena pukau. Tidak boleh bangun dari tempat tidur dan tidak boleh bersuara”
Datuk terdiam mendengar cakap si suami itu. Ada rasa simpati terpamir di wajah datuk.
"Kau bersabar, jangan bertindak terburu-buru. Jika perkara ini benar aku akan menolong kau. Aku tidak mahu perkara maksiat terjadi di sini. Kerja-kerja yang didorong oleh syaitan harus kita tentang”
"Macam mana nak menentangnya?"
"Kau berjanji jangan beritahu sesiapa apa yang mahu aku lakukan”
"Saya berjanji”
"Pawang tu tinggal di surau. Malam ni aku nak mengintip gerak gerinya”
"Awak akan binasa, kalau melanggar pantangnya”
"Allah lebih berkuasa darinya. Allah memberkati kerja-kerja yang baik dan jujur. Allah mengeji perbuatan zina. Kalau kita tidak menegakkan kebenaran, Allah akan mendakwa kita di akhirat kelak, kerana kita tahu perbuatan itu ditegah oleh Allah”
"Saya faham”
"Kau pulanglah dulu”, kata datuk, si suami itu terus pulang.
Pertemuan datuk dengan si suami itu tidak diketahui oleh sesiapa, walaupun pertemuan itu diadakan di rumah Alang Botak. Dan Alang Botak menganggap pertemuan itu adalah pertemuan biasa.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:20 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal |
Datuk masih lagi berdiri di anjung rumah Alang Botak. Kedua belah tapak tangannya menekan kayu palang yang memisahkan bahagian dalam anjung dengan bahagian luar rumah. Mata datuk merenung tajam ke arah batang tubuh si suami malang yang dijamah oleh sinaran matahari petang yang lembut. Batang tubuh si suami malang hilang dari pandangan datuk di balik pokok besar, dekat liku jalan yang tajam. Datuk mengeluh kecil sambil menggamit saya yang sedang berlari bersama kenalan-kenalan baru mengelilingi pokok asam belimbing buluh di tengah halaman rumah Alang Botak.
"Ada apa tok?", tanya saya di kaki tangga sambil menyapu peluh di dahi dengan telapak tangan kanan.
Datuk senyum sambil meraba misai bengkoknya.
"Jangan terlalu riang bermain. Tok takut hilang riang datang duka”, katanya dengan tenang.
Saya gigit bibir dan termenung panjang sambil berfikir, kenapa datuk harus mengeluarkan ingatan itu pada saya? Apakah dia sudah dapat mencium nasib malang yang akan menimpa diri saya? Pertanyaan itu terus berlegar- legar dalam kepala saya tanpa menemui sebarang jawapan.
"Sudah, jangan termenung”, kata datuk sambil menepuk bahu kanan saya.
Sesungguhnya, saya tidak sedar bila masanya datuk turun ke tanah lalu berdiri di sisi saya.
"Mari ikut aku ke tebing sungai”, tambahnya lalu mengatur langkah
. Saya pusing kekanan lalu mengekorinya dari belakang. Langkah datuk cukup pantas. Kenalan-kenalan baru saya cuma melihat saja telatah saya dan datuk. Meskipun matahari petang memancar redup, bahang panas terasa juga menjamah kulit badan. Muka saya berpeluh, ketiak terasa bergetah begitu juga dengan bahagian belakang saya. Langkah datuk cukup cepat.
Bagi mempersimbangkan langkahnya dengan langkah saya, saya terpaksa berlari- lari anak. Saya dan datuk sampai ke tebing sungai Tanjung Ara. Air sungai kelihatan tenang dan nampak bermanik-manik disentuh sinar matahari. Rumput- rumput hijau di tebing terus merunduk bila kami pijak, tetapi, bangun semula bila kami mengatur tapak kaki ke arah lain.
Saya macam orang bodoh dibuat oleh datuk. Dia tidak berkata walau sepatah pun. Matanya tetap merenung ke arah riak air sungai yang beralun lembut. Meskipun dia melangkah tanpa merenung bumi, datuk bagaikan ada panca indera yang keenam, boleh mengelakkan dirinya dari melanggar tunggul buruk atau lubang yang banyak terdapat di tebing sungai. Sudah berantai-rantai berjalan di tepi tebing sungai menuju ke hulu. Belum terdapat tanda-tanda yang datuk akan berhenti melangkah. Kedua belah pangkal paha saya mula terasa sakit. Angin petang yang bertiup tidak dapat menghilangkan rasa resah dalam diri saya. Saya resah mengikut cara datuk berjalan, saya resah kalau buaya timbul lalu ekornya memukul badan saya yang berjalan di tepi tebing sungai.
"Aw...”, jerit saya sekuat hati, kaki kanan saya bagaikan dipukul dengan kayu keras.
Tanah tebing tempat saya berdiri kelihatan rebak dan air sungai bergelombang kuat. Saya sudah tidak mampu berdiri lagi. Pandangan saya mula berkunang-kunang. Satu pukulan datang lagi. Kali ini lebih kuat dari pukulan yang pertama. Badan saya bagaikan ditarik oleh sesuatu yang mendorong sebahagian daripada badan saya tercampak ke dalam sungai. Saya terus menjerit dan mulai terasa lemas. Air sungai terus menyumbat lubang hidung dan mulut saya. Badan saya bagaikan dibelit oleh sesuatu yang secara tidak langsung menekan dan menarik saya ke tengah sungai. Saya berjuang dengan menggunakan segala kekuatan yang terdapat dalam diri saya supaya badan saya jangan tenggelam.
"Tolong saya tok, tolong”, kata saya dalam keadaan tercungap-cungap.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:21 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
Antara tenggelam dan timbul itu, saya masih lagi dapat melihat batang tubuh datuk di tepi tebing dalam keadaan yang samar-samar.
"Sabar Tamar”, kata datuk lalu dia melemparkan kain ikat kepalanya ke arah saya.
Cepat-cepat kain ikat kepala yang berwama merah itu saya sambar. Saya berpaut pada kain itu sekuat hati. Kemudian badan saya bagaikan terbang ke udara lalu jatuh betul-betul di kaki datuk.
"Kau sakit”, tanya datuk.
Saya anggukkan kepala. Datuk segera mengambil sekepal rumput hijau lalu menyapu ke muka saya tiga kali berturutturut. Kemudian datuk menyuruh saya mengu¬ nyah dan menelan rumput hijau. Pada mulanya, tekak saya tidak dapat meneri¬ manya kerana rasa rumput itu pahit dan payau. Bila rumput itu saya telan, secara tiba-tiba saya terkencing dan terus muntah.
"Bisanya sudah aku tawarkan tetapi paha kanan kau luka kena giginya”, datuk bersuara tenang.
Saya masih lagi terlentang di bumi merenung awan dan langit. Rasa sakit mula terasa di paha kanan saya. Datuk terus meraba paha saya dan darah mula membasahi rumput-rumput hijau yang segar di situ. Kain lilit kepala tempat saya bergantung tadi, masih berada dalam tangan datuk. Saya merasa hairan, kain lilit kepala yang tidak sepanjang mana itu boleh menyelamatkan saya. Bagaimana kain merah itu boleh panjang dan menjadi tali untuk menolong saya?, timbul pertanyaan dalam hati. Datuk terus memetik daun serunai laut, pucuk mengkuang hutan dan pucuk gelenggang. Semua jenis daun itu datuk satukan dan terus diramasnya hinga sebati dan kemudian diperahnya. Air dari perahan daun itu datuk sapukan ke bahagian paha yang luka. Darah segar berhenti keluar, rasa sakit tidak terasa, diganti dengan rasa sejuk dan segar.
Datuk segera menyuruh saya duduk di bawah pokok pulai. Datuk kembali ke tepi sungai. Duduk bertenggung di situ. Beberapa saat kemudian seekor buaya timbul dan rapat ke tebing sungai. Datuk berkata sesuatu dan buaya itu membuka mulutnya luas-luas. Datuk hulurkan tangannya ke dalam mulut buaya macam mengambil sesuatu. Datuk berlari ke arah saya. Tangan yang diselukkannya ke dalam mulut buaya itu, segera disapukan ke paha saya yang luka. Tiga kali datuk berbuat demikian hingga saya terasa yang diri saya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Saya boleh bangun dan cuba berlari, rasa sakit tidak saya alami. Datuk mendapatkan buaya yang sedang membuka mulut itu. Datuk tepuk kepalanya tiga kali, hingga buaya itu merapatkan mulutnya lalu tenggelam ke dalam air.
"Masih ada buaya yang tidak dapat dipujanya. Tidak dapat diambil semangatnya dan buaya itu akan jadi sahabat kita”, ujar datuk pada saya sambiI melihat bekas gigitan buaya di paha saya.
Parutnya hingga kini kekal di paha saya, berwarna kehitam- hitaman dan kulit parut itu timbul sebesar jari kelingking yang memanjang bentuknya. Datuk terus memimpin saya ke rumah Alang Botak. Sambil merawat saya malam itu, datuk menceritakan apa yang berlaku atas diri saya pada Alang Botak. Bila Alang Botak mendesak datuk supaya melaporkan hal itu pada pawang buaya (Saadun Juling), datuk menolak dan meminta Alang Botak me¬ rahsiakan kejadian. Datuk tidak mahu kejadian itu akan jadi buah mulut orang kampung yang boleh menghilangkan rasa keyakinan orang-orang kampung terhadap kemampuan pawang buaya tersebut.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:22 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
Malam itu, kalau tidak silap saya malam Selasa, lebih kurang pukul dua belas tepat, datuk membangunkan saya. Dia suruh saya bersiap.
"Ke mana tok tengah malam buta begini?"
"Aku nak meronda kampung”
"Sebab?"
Datuk tidak menjawab pertanyaan saya. Dia duduk disudut bilik sambil melilitkan kain merah ke kepala. Kemudian mulutnya kumat- kamit macam membaca sesuatu.
"Sudah sampai masa pertukarannya, antara penggantian masa dari dua belas kedua belas, dari bulan muram ke bulan bercahaya dari laluan kuasa syaitan kepada manusia”
Saya dengar suara datuk bercakap sendirian. Bila habis bercakap jam dinding rumah Alang Botak berbunyi dua belas kali. Saya terdengar desiran angin malam melanggar daun-daun di luar rumah. Saya terasa seram sendirian. Saya juga terdengar bunyi suara kocakkan air sungai yang hebat dituruti dengan bunyi orang memukul air sungai dengan papan, bunyinya bersahut-sahutan dan memanjang bercampur dengan tiupan serunai batang padi. Bulu roma saya mula berdiri. Bunyi desiran angin bertambah kuat membawa suara lolongan anjing liar yang mendayu-dayu.
"Sekarang sudah pukul dua belas dua minit tengah malam, yang bertukar sudah berlaku, kita pergi sekarang Tamar”, datuk mengeluarkan perintah dan dia sudah pun membuka pintu.
Berdiri di situ merenung malam yang kelam. Datuk melangkah, saya pun melangkah. Tujuh biji anak tangga kami pijak hingga akhirnya, tapak kaki saya dan datuk bertemu tanah. Embun jantan yang menitik menyentuh kulit telinga dan hidung. Kedinginan mula terasa menggigit tubuh. Bunyi kocakkan air dan tiupan serunai batang padi sudah tiada kedengaran lagi. Tetapi, desiran dedaun yang disentuh angin tetap juga kedengaran. Di langit tiada sebiji pun bintang. Dan cengkerik terus bernyanyi. Katak puru terus melompat.
"Kau jangan banyak soal dan banyak tanya, ikut saja apa yang aku buat”, satu ingatan dari datuk.
Saya anggukkan kepala. Kami pun berjalan melintasi pepohon kecil yang tumbuh di kiri kanan jalan enam kaki. Sekali-sekala badan saya dilanggar oleh kelawar liar yang terbang malam. Dari celah-celah pepohon yang kecil yang tumbuh merimbun itu terdengar suara burung segan. Berjalan malam di tengah hawa yang dingin begitu amat menyiksakan. Bibir saya terketar-ketar. Sekarang, kami terpaksa menempuh kawasan yang penuh dengan pokokpokok kelapa. Beberapa biji buah kelapa mambung jatuh, mengejutkan hati saya. Semangat terasa hilang.
Akhirnya, saya dapat mengesan ke mana datuk mahu membawa saya malam itu. Ternyata kami sedang menuju ke sebuah surau lama yang tidak digunakan di kampung itu. Di bahagian belakang surau itu terdapat sebuah pondok yang bersambung dengan surau tersebut. Disitulah pawang buaya Saadun Juling di tempatkan oleh orang- orang kampung.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:23 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
"Berhenti”, ujar datuk, sebaik saja sampai ke perdu pokok kelapa gading.
Saya pun berhenti melangkah. Datuk terus duduk bersila dibawah pokok kelapa. Saya pun begitu. Dari pondok di belakang surau terdengar bunyi orang menepuk tapak tangan yang diikuti dengan suara orang menyebut sesuatu, suara itu sekejap meninggi sekejap menurun macam orang membaca Quran. Kalau didengar dengan teliti, ternyata orang itu bukan membaca Quran, tetapi menyeru sesuatu yang sengaja dibuat macam orang membaca Quran. Ada panjang, ada pendeknya.
"Rapat ke pondok, jangan berjalan. Kita merangkak perlahan-lahan jangan sampai terdengar olehnya”, datuk pun mula merangkak atas pasir.
Datuk jadi kepala jalan dan saya menuruti dari belakang. Bila sampai di bawah pondok, kami segera bangun. Dari celah-celah dinding tepus, saya dan datuk mengintai ke dalam pondok. Angin malam kian kurang bertiup, suara anjing liar cukup jelas kedengaran bersama dengan suara burung hantu dan jampuk. Suara itu tingkah meningkah, bersahut-sahutan macam satu irama muzik di majlis pesta. Keadaan bertambah seram dan menakutkan bila suara anjing, burung hantu dan jampuk itu disambut oleh suara dari dalam pondok yang gementar dan parau bunyinya.
"Tamar, kau lihat sini”, bisik datuk dan menyuruh saya mengintai ke dalam pondok.
Saya terkejut besar. Pawang buaya Saadun Juling yang tidak pernah saya tegur sapa itu sedang duduk bersimpuh menghadapi sebatang lilin besar berwarna merah. Di hujung kedua belah lututnya terdapat lilin kecil yang diletakkan atas papan. Kedua- dua lilin itu mengeluarkan cahaya yang malap. Cahaya dari lilin besar cukup jelas memperlihatkan dada Saadun Juling yang bidang. Kepalanya hilang di selubung oleh kain hitam yang lunjung (tajam ke atas macam pucung). Di bahagian kain yang menutup mata, hidung dan mulut dilubangkan yang di kiri kanan lubang itu di lapisi dengan kain putih mengikuti selebar mana lubang uitu dibuat. Memang menyeramkan melihat keadaan Saadun Juling, dalam keadaan demikian, kepalanya bergoyang ke kiri dan ke kanan macam orang ratib sambil mengeluarkan suara yang serak dan parau. Dua tiga ekor kelawar liar berterbangan dalam pondok. Dua tiga ekor cicak mula datang ke arah Saadun Juling. Cicak-cicak itu beratur di hadapannya. Salah seekor dari cicak itu yang bentuk badannya agak besar dari cicak biasa segera menjungkitkan ekornya, berpusing-pusing macam gasing. Pada mulanya cicak itu berpusing ligat, kemudian beransur perlahan-Iahan. Sebelum cicak itu berhenti berpusing Saadun Juling segera menangkapnya. Saadun Juling dekatkan cicak itu ke api lilin besar.
Ketika itu cicak-cicak yang tidak ditangkap segera menghilangkan diri, lilin di kiri kanan lututnya segera padam. Suasana dalam pondok bertambah kelam, ketika itu terdengar bunyi deru air yang amat kuat, seolah-olah lantai pondok itu menjadi aliran air sungai. Terdengar bunyi ekor buaya memukul air bertalu-talu. Seluruh badan Saadun Juling jadi basah kuyup oleh air yang dari mana datangnya, saya sendiri tidak tahu.
Dalam cahaya samar-samar itu, saya lihat ada bayang-bayang buaya duduk tertungguk di hadapan Saadun Juling. Warna buaya itu tidak berapa jelas. Bila bayang buaya itu hilang, terdengar suara orang ketawa memanjang dari setiap sudut pondok, sarang labah-labah berterbangan atas lantai. Badan saya jadi berpeluh, saya terasa ada sesuatu yang lalu di sisi saya yang tidak dapat saya lihat dengan mata kasar. Ada bunyi benda merangkak atas pasir menuju ke sungai. Suara burung hantu kian kuat berbunyi, lolongan anjing bertambah sayu dan langit yang tadi muram mula cerah. Saya renung ke kanan, saya lihat datuk meraba hujung kening kanannya tiga kali berturut-turut, masa itu juga lubang telinga saya menangkap bunyi deru angin yang amat kuat.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:24 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
Setelah beberapa tahun kemudian saya tahu juga kegunaan cuIa buaya itu. Menurut kepercayaan tradisional, cuIa buaya jantan itu setelah disalai atau dikeringkan, kemudian direndamkan ke dalam air sejuk atau air panas, dan airnya diminum bagi mendapatkan kekuatan luar biasa pada alat kelamin lelaki bila melakukan hubungan jenis. Saadun Juling menyimpan kembali semua barang-barang yang dibungkusnya. Dia mengenakan baju Melayu cekak musang ke badannya. Dengan tenang dia meninggalkan pondok menuju ke tebing sungai.
Datuk dan saya mengikutinya dari belakang. Sampai di tebing sungai, Saadun berdiri dekat tunggul buruk sambil memeluk tubuh. Dia toleh kiri, toleh kanan bagi memastikan tidak ada orang yang mengintip dirinya. Bila sudah yakin tidak ada orang yang mengintipnya, dia pun terus membongkok di tepi tebing sungai menepuk air sungai tiga kali berturut-turut. Air sungai bergelora, semua pokok keladi dan mengkuang di gigi sungai bergerak-gerak. Bila gelora air sungai menjadi tenang, berpuluh-puluh ekor buaya timbul di . permukaan sungai.
Saadun Juling duduk bersimpuh di atas tebing sambil bersuara: “Jum Kali jum, laut Khalzum dari bukit Kaf ke Jabal Nur Bahtera Noh jadi penyelamat. Aku tahu asal usulmu terselamat dari bencana neraka seorang anak bernaung di bahtera Noh. Dengar kata Noh, dengar kataku. Ucapku, adalah ucap Sulaiman, terkunci gerakmu, mendengar kataku berkat doa, Asyahadu anla illaha… Jangan ganggu umat Adam, selagi belum aku perintahkan, pulanglah...”
Sebaik saja pawang buaya Saadun Juling selesai bercakap, buaya-buaya itu terus hilang. Suasana di sekitar sungai kembali damai. Saadun Juling bertempik dengan sekuat hatinya. Dia terjun ke dalam sungai berenang dan mandi dengan bebasnya di malam yang dingin. Buaya tetap mengiringinya bila dia berenang ke tengah sungai. Bila selesai mandi dan berenang, Saadun Juling segera naik ke darat. Kenakan seluar dan baju, langkahnya cukup rancak menuju ke sebuah rumah di pinggir kampung. Dia terus ketuk pintu rumah yang berdindingkan papan berlidah. Seorang perempuan muda berkemban membuka pintu. Mereka bertukar-tukar senyum. Perempuan muda itu duduk di muka pintu. Saadun Juling pula duduk di anak tangga paling akhir. Perempuan muda itu hulurkan tangannya dan Saadun Juling menggosok-gosok tangan perempuan muda itu.
"Suami kau sudah tidur?"
"Sudah”
"Malam ini aku datang lagi. Kau pasti merasa bahagia”
"Hum...”, suara perempuan muda itu penuh manja.
Saya lihat Saadun Juling mengeluarkan sesuatu dari dalam sakunya lalu mengenakan pada bahu perempaun muda. Dan perempuan muda itu kelihatan seperti orang berkhayal.
"Sial. Dia mengenakan minyak ekor buaya pada perempuan itu. Minyak ekor buaya yang sudah dijampi bila terkena pada kulit perempuan, boleh membuat perempuan itu menyerah dan berkhayal”, rungut datuk sambil menggenggam penumbuk.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:25 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
Mukanya merah padam. Sesungguhnya datuk memang tidak boleh berhadapan dengan manusia yang menggunakan kepandaian dan kebolehan untuk memperdayakan sesama manusia. Bagi datuk, setiap orang atau anggota masyarakat yang ada kebolehan tersendiri sewajarnya menggunakan kebolehannya itu untuk menolong sesama manusia, bukannya untuk digunakan bagi kepentingan diri sendiri.
"Manusia dibekalkan oleh Allah dengan akal dan fikiran. Tahu membezakan yang buruk dan yang baik. Tetapi, manusia selalu memilih yang buruk kerana yang buruk itu indah bagi syaitan. Aku tak mahu kejadian begini berlaku di hadapan mata aku”, tambah datuk, badannya mula mengeletar menahan perasaan marah.
Dua tiga batang pokok keduduk dan pokok rambutan yang sebesar pangkal lengan datuk cabut hingga ke akar umbi, matanya mula merah wajahnya amat menyeramkan, nada suaranya cukup keras. Datuk cuba menahan sabar sedaya upaya yang boleh.
Kesabaran datuk sudah tidak boleh ditahan lagi bila dia melihat Saadun Juling menarik wanita muda itu ke dalam rumah. Datuk segera bertempik, Saadun Juling terkejut lalu terjun ke tanah. Perempuan muda yang berkemban juga terkejut, dia bagaikan tersedar dari khayalan. Perempuan itu menangis di ambang pintu. Suaminya keluar lalu memimpin perempuan muda ke dalam rumah. Saadun Juling hilang dalam gelap. Datuk terus menemui suami perempuan muda itu.
"Aku harap kau tidak menceritakan semuanya ini pada orang lain. Aku sedang berusaha menolong kau, bawalah isteri kamu ke tempat tidur. Basuh mukanya dengan air dan suruh dia ambil air sembahyang, aku selesaikan kerja aku malam ini”, ujar datuk pada suami perempuan muda itu.
Si suami yang malang itu anggukkan kepala dan berjanji akan mematuhi apa yang datuk sarankan padanya.
"Mari kita cari pawang sial tu”, datuk renung muka saya.
Tangan saya di tariknya. Saya kira datuk akan terus menuju ke pondok di belakang surau. Rupanya, datuk melencong ke kiri menuju ke tebing sungai. Di tebing sungai itu Saadun Juling sedang memerintahkan buaya-buaya supaya mengganas, sambar apa saja yang ada di tebing sungai tidak kira manusia atau binatang ternakan.
"Saadun hentikan perbuatan syaitan itu”, pekik datuk.
Saadun Juling tersenyum dan membiarkan datuk serta saya menghampirinya yang berdiri di tebing sungai. Dalam perhitungannya, bila datuk berdiri di tebing sungai, buaya-buaya akan melompat kedarat lalu menyambar paha datuk. Perhitungan Saadun tidak menjadi kenyataan . Memang buaya-buaya itu timbul tetapi, tidak ada seekor pun yang mahu menyerang datuk dan saya. Melihat keadaan itu, Saadun Juling jadi resah.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:26 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
Datuk kian hampir padanya. Saadun Juling meraba pangkal pinggangnya, macam mencari sesuatu. Datuk terus melangkah, lagi lima tapak datuk melangkah pasti muka Saadun Juling dengan datuk akan berlaga. Badan saya mula menggigil, hawa malam yang dingin kian terasa mencucuk kulit tubuh saya. Kepala buaya kelihatan timbul di permukaan sungai, suara kokok ayam mula terdengar bertalu-talu, suara ungka dan burung tukang juga terdengar sayup-sayup datang dari kaki bukit.
"Kita bersahabat Saadun, dalam hidup aku tidak ada musuh sesama orang Islam kerana setiap orang Islam itu adalah bersaudara”, datuk menghulurkan tangan.
Saadun Juling terdiam, mulutnya bergerak-gerak, dia mahu menggunakan segala kebolehan yang ada pada dirinya untuk menguji datuk. Tiba-tiba dalam gelap itu, satu pukulan yang keras hinggap di kepala datuk. Pukulan itu tidak mendatangkan sebarang kesan pada datuk.
Saya terkejut, Saadun Juling hilang dari pandangan, tempat dia berdiri segera di ganti oleh seorang tua yang berjanggut panjang. Orang tua berjanggut panjang itu berdiri beberapa detik saja di situ. Bila orang tua itu hilang, batang tubuh Saadun Juling terpacak di situ.
"Saadun, kuasa yang abadi dalam dunia ini ialah kuasa Allah, kuasa syaitan hanya sifat sementara saja. Bila datang yang hak, kuasanya tidak bermakna lagi, aku tidak mahu bergaduh atau bermusuh sesama Islam”, kata datuk lagi.
Saadun Juling tetap membisu seribu bahasa. Saadun Juling masih juga menunjukkan sikap permusuhan. Datuk segera membongkok. Hujung ibu jari kanannya di teka ke bumi hingga tenggelam separas kuku, bila ibu jari itu di cabutnya kembali, Saadun Juling jadi lemah, tidak mampu berdiri. Datuk segera memangku tubuhnya dan di bawa pulang ke pondok di belakang surau. Datuk letakkan batang tubuh Saadun Juling di tengah ruang pondok. Lebih dari sepuluh minit datuk mengurut seluruh tubuh Saadun Juling hingga dia pulih seperti sediakala. Bila dia sedar datuk memberi Saadun minum air panas.
Di kaki langit, cahaya subuh mula bangkit, suara ayam berkokok mula hilang, tidak lama kemudian terdengar suara Azan subuh dilaungkan dari menara masjid. Datuk segera mengambil air sembahyang dan melakukan sembahyang subuh di pondok tempat Saadun Juling menginap. Bila keadaan hari sudah beransur cerah, datuk terus mandi embun, kemudian kembali ke rumah Alang Botak. Datuk sedikit pun tidak bimbang atau cemas membiarkan Saadun Juling sendirian di pondok tersebut tanpa mengikat kaki atau tangannya.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:27 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 43 ~
Pawang buaya - The Scandal
Menurut datuk, kekuatan Saadun Juling tidak akan pulih, selagi rambutnya tidak kena cahaya matahari. Sebaik saja saya dan datuk sampai di anak tangga rumah, Alang Botak sudah menanti kami di ambang pintu, dia menyatakan rasa cemas dan bimbangnya kerana datuk dan saya tidak turut sama sembahyang subuh di masjid.
"Ke mana sepanjang malam tadi, saya sedar masa awak berdua keluarmalam tadi?", soal Alang Botak.
"Ada hal sedikit”, jelas datuk.
Kami terus memijak anak tangga. Bila sampai ke dalam rumah, sarapan pagi sudah tersedia. Nenek sudah pun menuangkan kopi ke dalam cawan. Saya terus sarapan tetapi datuk cuma minum air sejuk saja. Lebih kurang pukul tujuh pagi, saya dan datuk terus menuju ke pondok tempat Saadun Juling menginap.
Ketika saya dan datuk melintas di hadapan dewan orang ramai kampung tersebut, beberapa orang penduduk segera memberitahu datuk, bahawa buaya kembali mengganas, memukul apa saja yang berdiri di tepi tebing. Datuk menyuruh mereka bersabar hingga pawang buaya, Saadun Juling bertindak.
"Kenapa tok cakap macam tu pada dia orang. Tok kan tahu pawang tu memang tak berapa baik orangnya”, saya minta kepastian dari datuk.
Datuk renung muka saya sambil tersenyum dia berkata: "Tak baik membuka keburukan seorang pada orang lain”
Saya terdiam. Akhirnya saya dan datuk sampai ke pondok tempat Saadun Juling terbaring. Datuk terus menghampirinya, dia kelihatan letih dan wajahnya nampak lesu. Matanya tidak bercahaya langsung. Datuk segera memicit buah betisnya dua tiga kali. Di luar, matahari pagi mula memancar. Datuk segera mengusung Saadun Juling ke tanah.
Sebelum itu, datuk terlebih dahulu menggosok mukanya dengan kain ikat kepala sebanyak tiga kali berturut-turut. Saadun Juling di biarkan duduk di atas tanah, bila sinar matahari pagi menjamah rambutnya, Saadun Juling mula menggeliat dan mukanya kembali merah. Dalam beberapa saat saja, dia sudah boleh bangun dan bercakap.
"Kenapa awak buat saya begini? Saya dijemput untuk menghalau buaya, ini balasan awak terhadap saya”, itulah kata-kata pertama yang ditujukan oleh Saadun Juling pada datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
Saya lihat datuk tetap bersikap tenang. Dia terus mengikut langkah Saadun Juling yang menuju ke pondok. Bila Saadun Juling mahu masuk ke rumah datuk menghalangnya dengan berdiri di muka pintu. Saadun Juling terpaksa berdiri di atas tanah dan datuk berdiri di ambang pintu pondok.
"Kenapa awak harus menipu diri sendiri?", suara datuk lantang.
"Maksud awak?"
"Awak berlagak jadi orang baik, sedangkan hati awak kotor. Awak bersikap mahu menolong orang tetapi, hati kecil awak telah melakukan kejahatan. Di mana keikhlasan diri awak?”
"Saya tak faham”
"Awak goda isteri orang untuk berzina”
Tangan kanan datuk memegang jenang pintu pondok. Wajah Saadun Juling kelihatan pucat. Dia kelihatan resah dan terus merenung tanah.
"Awak bukannya menghalau buaya tetapi awak ganaskan buaya, kemudian awak pujuk buaya-buaya di sini mendengar cakap awak dengan tujuan supaya orang percayakan awak. Bila orang sudah percaya awak perdayakan mereka. Orang lain boleh awak tipu, tapi saya bukan orangnya. Kalau awak benar, buktikan kebenaran awak tu”, datuk mencabar Saadun Juling.
Memang di luar dugaan saya yang Saadun Juling sangup menjawab cabaran datuk itu.
"Boleh, mari kita ke sungai sekarang”, katanya.
"Mari”, sahut datuk dengan tenang.
Kami bertiga pun segera menuju ke sungai . Sampai di sungai, Saadun Juling terus menyeru semangat buaya, dan buaya-buaya pun timbul, berbaris macam kayu buruk.
"Awak tengok, semua buaya dalam sungai ini saya kuasai dan buaya-buaya ini akan meninggalkan tempat ini. Kalau saya bohong dan menipu ada buaya yang tidak mendengar cakap saya”
"Betulkah ni Saadun?"
"Betul, saya bekerja kerana Allah. Kalau awak boleh buktikan perbuatan saya ni salah, saya mengikut cakap awak”
"Saadun, dalam membuat kerja-kerja begini, janganlah mempermainkan nama Allah nanti kita dikutuknya”
"Ah… buktikan kerja saya ni tidak ikhlas, usah banyak cakap”
"Kalau awak berhajat, boleh saya lakukan, ingat perbuatan kita ini mencari kebenaran, bukan mahu menunjuk pandai”
"Saya setuju”
Datuk segera berdiri di tepi tebing. Datuk membaca surah Al-Fatihah dan beberapa surah yang lain termasuklah ayat Qursi. Datuk berhenti membaca dan terus mengambil segenggam tanah lalu di buang ke dalam sungai.
Beberapa saat kemudian, seekor buaya timbul terus membuka mulutnya ke arah datuk. Datuk mencampakkan sehelai daun ke dalam mulut buaya itu. Dengan tenang buaya itu merapatkan mulutnya lalu bercampur dengan buaya-buaya lain yang timbul di permukaan sungai.
"Bagaimana Saadun? Apa kau masih tidak mahu mengakui perbuatan terkutuk itu, apa kau mahu aku hebahkan perkara ini pada orang lain?", tanya datuk pada Saadun Juling.
Saya terdiam. Datuk gosok batang hidungnya dua tiga kali. Saadun Juling tidak juga mahu mengakui segala kesilapan yang sudah dilakukan. Kemudian datuk terus memujuk Saadun Juling supaya berhenti daripada melakukan kerja-kerja yang tidak terpuji itu. Datuk lalu menyebut padanya tentang maksud dari Surah At-tin yang bermaksud lebih kurang begini: Sesungguhnya Allah itu mencipta manusia sebaik- baik kejadian, kemudian Allah akan mencampakkan mereka ke tempat yang paling rendah sekali, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:28 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 44 ~
Pawang buaya - The Scandal
"Saadun, marilah kita gunakan segala ilmu dan kepandaian pemberian Allah ini untuk menolong sesama manusia, bukan menjahanamkan mereka”, pujuk datuk Saadun Juling yang mengeluh dan termenung panjang.
"Kejahatan terlalu panjang umurnya berbanding kebaikan, jadi masa yang pendek itu harus kita isi dengan perjuangan menegakkan kebaikan”, tambah datuk lagi.
Saya lihat Saadun Juling mula resah. Saadun Juling termenung panjang, matanya merenung ke arah air sungai yang nampak berkilau-kilau disinar matahari pagi. Buaya- buaya yang timbul sudah menghilangkan diri. Air Sungai Tanjung Ara tetap mengalir tenang. Cahaya matahari yang memancar terik itu membentuk bayang- bayang kami yang pendek di bumi.
"Kau fikir dan tanyalah dirimu sendiri, apakah kamu mahu mengakhiri hidupmu dengan cara begini. Ingatilah alam dunia ini sentiasa bersifat baru, tidak ada yang kekal. Yang abadi hanyalah Allah jua”, kata datuk lagi.
Saadun Juling tetap membisu seribu bahasa. Datuk terus bertindak, tangan kanan Saadun Juling disambarnya lalu dipulas ke belakang. Saadun Juling terkial-kial menahan kesakitan.
"Aku tak menghalang kau nak membuat jahat kerana itu adalah tanggungjawab kau dengan Allah. Tetapi, kalau kau mahu melakukan sesuatu yang tidak senonoh di sini aku akan jadi penghalangnya”, nada suara datuk mula keras.
Tangan Saadun Juling dilepaskannya. Mungkin Saadun Juling merasa insaf atau merasakan dirinya tidak selamat selagi tidak berterus terang dengan datuk. Dia lalu memilih jalan yang mudah, dia mengakui ilmu yang di tuntutnya itu memang bercanggah dengan hukum agama dan tatasusila kehidupan. Tetapi, dia tidak boleh berpisah dengan semuanya itu, kalau dia tidak melakukan sesuatu mengikut ilmu yang dituntutnya, badannya sakit-sakit dan batuk darah.
"Dari mana kamu menuntut ilmu ini Saadun?"
"Dari kawan baik ayah saya yang berasal dari Kuala Tari, Acheh, Sumatera”
"Apa pantangnya?"
"Saya tidak boleh kahwin seumur hidup. Kalau aku mahu memenuhkan tuntutan nafsuku, aku mesti menggoda atau merayu perempuan yang sudah bersuami sampai aku berjaya tidur dengannya. Aku juga dilarang melakukan hubungan jenis dengan janda muda walau secantik manapun”, Saadun bersuara dengan tenang.
Datuk mendengarnya dengan teliti. Saadun Juling juga menceritakan bagaimana dia jatuh hati dengan seorang janda muda di Kuala Sepetang dan hampir mahu melangsungkan perkahwinan dengannya. Akibatnya dia hampir dibaham oleh buaya ketika menangkap buaya di Sungai Krian.
"Sekarang, aku minta kau menangkap buaya yang ganas dan buaya-buaya lain jangan kau ganggu atau kau puja semangatnya”, datuk melahirkan permintaannya dan juga permintaan orang- orang kampung.
Saadun Juling terdiam. Dia macam keberatan mahu melaksanakan permintaan datuk itu.
"Engkau sebenarnya menjadi buaya. Salah seekor dari buaya itu sudah kau satukan dengan semangat kau. Aku tahu buaya itu berwarna putih dan kau memberitahu pada orang-orang di sini yang buaya itu buaya keramat. Mana ada buaya keramat cuma kau yang mengkeramatkan”, datuk membuka rahsia.
Saadun Juling menggigit bibir.
Last edited by rdzaccess on 3-10-2012 09:29 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 45 ~
Badan pawang berasap
Datuk terus menggosok- gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Matahari pagi kian meninggi, sudah berada di paras pucuk kelapa bercabang dua dan sinarnya terus menjamah pada air sungai yang bergelombang kecil itu. Memang tidak ada seorang pun penduduk Kampung Tanjung Ara yang mengetahui kami berada di kawasan itu. Kedudukannya agak tersorok dan dilindungi oleh beberapa pohon-pohon besar yang di gayuti oleh akar sebesar lengan budak. Manakala bibir tebing tempat kami berdiri pula, berkeadaan seperti sebuah teluk kecil yang pantainya berpasir halus. Melihat pada keadaan tempat tersebut dan bentuk pasir yang terdapat di situ, temyata kawasan tesebut menjadi tempat buaya berjemur dan bertelur.
"Bagaimana? Apa kau mahu menyangkal dengan apa yang aku katakan itu?", datuk terus renung wajah Saadun Juling.
Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Saadun Juling pada pertanyaan itu. Datuk lalu mengerutkan dahinya hingga kelihatan berlapis dua. Saadun Juling secara mendadak mengenggam penumbuk dan menahan nafas hingga mukanya kelihatan merah. Bila Saadun Juling melepaskan nafasnya terdengar macam bunyi suara buaya mendengkur dan wajahnya kelihatan garang sekali, biji matanya terbeliak mempamirkan urat mata yang merah berlajur atas selaput mata putihnya. Kelopak matanya nampak berlapis macam kulit buaya tua.
"Aku tahu kau marahkan aku Saadun. Tetapi, cuba kau fikir berapa lama kau mahu melakukan kerja terkutuk ini?"
"Itu urusan aku”
"Dan urusan aku pula menyelamatkan orang-orang di sini”
Lagi sekali Saadun Juling terdiam. Perlahan-lahan dia melangkah ke hadapan sambil membelakangi datuk. Dalam sekelip mata saja, Saadun memusingkan badannya lalu berdiri berhadapan dengan datuk sambiI membongkokkan badannya, tetapi biji matanya tetap menentang biji mata datuk. Dada saya mula berdebar dan hati kecil saya bagaikan dapat meramalkan yang Sadun Juling akan bertindak di luar rasa peri kemanusiaan. Datuk masih lagi berdiri dengan tenang, mata datuk tidak berkelip-kelip ke arah biji mata Saadun Juling yang kelihatan agak tersembul dan bersinar-sinar, macam mata kucing hutan terkena suluh lampu picit.
"Aeiiii…”, pekik Saadun Juling sambil melompat lalu melepaskan satu tendangan kilat ke dada datuk.
Kerana tendangan itu terlalu kencang dan kuat, datuk jatuh ke bumi. Dalam keadaan yang serba cemas itu, Saadun Juling berpusing ke arah saya lalu melepaskan penumbuk sulungnya ke pipi kanan saya, pandangan saya jadi berpinar- pinar, pipi mula terasa bengkak dan menebal. Saya terjatuh atas rumpun lalang liar, saya tidak berdaya mahu bangun. Saadun Juling terus menyerang datuk dengan bertubi-tubi, menyepak dan menendang ikut suka hatinya pada tubuh datuk yang tersungkur di bumi. Datuk tidak membalas serangannya yang begitu cepat bagaikan kilat itu, datuk lebih banyak mengelak dan mempertahankan dirinya. Saadun Juling memperlihatkan kehandalannya mengalahkan pihak lawan, gerak tangan dan kakinya macam kibasan ekor buaya, muka datuk mula dibasahi darah. Datuk kelihatan tidak bermaya dan Saadun Juling kian ganas, terus menyerang tanpa belas kasihan.
"Aieee...”, jerit Saadun Juling dengan lantang, ketika itu saya lihat batang tubuhnya sudah berada diawang- awangan dan bersedia untuk menendang pangkal leher datuk.
Kalau tendangan itu tepat pada sasarannya, pasti nyawa datuk melayang dari badan. Bila tendangan dari Saadun Juling hampir ke batang leher, datuk segera mengelak dengan memusingkan badannya ke arah perdu pokok bunga tanjung. Usaha datuk itu berjaya, Saadun Juling tertendang perdu bunga tanjung. Kerana tendangan itu terlalu kuat sebahagian dari pada kulit perdu bunga Tanjung terkopak.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 45 ~
Badan pawang berasap
Saadun Juling menjalar atas bumi seketika, kemudian dia merangkak macam buaya untuk menyerang datuk. Dengan cepat datuk bangun lalu melompat ke atas belakang Saadun Juling. Kedua belah tangan datuk memegang rambut Saadun Juling di bahagian ubun-ubun kepala. Saadun Juling tidak melawan, dia terkapar atas bumi dengan kedua belah tangannya terkedang, macam katak mati dilanggar tayar lori.
"Saadun, aku tahu di mana kekuatan dan sumpah ilmu kamu”, kata datuk sambil bangun.
Di tangan datuk saya lihat tergengam rambut Saadun Juling, tanpa banyak cakap Saadun Juling terus bangun dan duduk bersandar di perdu bunga tanjung. Dia kelihatan letih benar, nafasnya tercungap-cungap. Datuk terus membersihkan darah di muka dengan daun serunai laut. Kemudian daun itu diramas-ramasnya, lalu disapukan ke bahagian muka yang bengkak. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bengkak dan lebam di mukanya terus hilang. Ketika datuk mengubat mukanya dengan daun serunai laut, rambut Saadun Juling di sembunyikan di celah ketiak kanan.
"Saadun, aku minta pada kamu supaya jangan memuja semangat buaya yang boleh menyusahkan orang-orang di sini”, datuk merayu dengan nada suara yang lembut .
Saadun Juling juihkan bibir bawahnya ke hadapan. Datuk terus termenung panjang.
"Saadun, jangan jadikan diri kamu tempat orang meletakkan sumpah dan cara kau mencari rezeki begini tidak berkat, rezeki yang kau terima panas. Kau tak akan boleh hidup senang”, tambah datuk lagi dengan wajah yang tenang.
Saadun Juling tetap membisu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya mahu patuh dengan permintaan datuk. Datuk jadi serba salah, segala usahanya menemui jalan buntu. Datuk terus membasuh muka dengan air sungai. Lama juga datuk merenung bayang wajahnya dalam air, setelah itu dia memetik daun keladi liar yang tumbuh di tebing sungai, daun keladi itu terus diisinya dengan air sambil mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu. Dengan kedua belah tangannya, dia menatang air di dalam daun keladi dengan hati-hati (kerana dia tidak mahu rambut Saadun Juling yang disembunyikannya di celah ketiak itu jatuh ke tanah).
Bila datuk sudah hampir dengan Saadun Juling yang tercungap-cungap di pangkal pokok itu, datuk segera mencurahkan air dalam daun keladi ke muka Saadun Juling. Saya lihat muka Saadun Juling pucat seketika, kemudian baru berdarah kembali. Sebelum Saadun Juling berkata sesuatu, datuk terus menepuk dahi Saadun Juling sebanyak tiga kali berturut- turut sambil membaca selawat nabi.
"Biarkan dia di situ. Aku sudah melembutkan hatinya. Semoga niat baik aku diberkati oleh Allah”, ujar datuk pada saya.
Datuk terus duduk di sisi saya sambil melagakan ibu jari dengan jari telunjuk, macam orang membilang tasbih.
"Saadun, marilah kita berbuat baik sesama manusia dan mencari rezeki yang halal, tidak memeras orang lain secara terhormat untuk kepentingan diri kita sendiri”, kata datuk sambil merenung ke muka Saadun Juling.
Saya lihat Saadun Juling menarik nafas panjang sambil merenung ke arah langit yang terang benderang itu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 45 ~
Badan pawang berasap
"Aku minta kau menghentikan perbuatan jahat dan menghalau buaya dari sini, itu saja permintaan aku Saadun, satu permintaan yang cukup mudah”, saya terdengar suara datuk mula meninggi.
Saadun Juling menjeling tajam ke wajah datuk.
"Mudah bagi kau, tapi susah bagi aku”, suara Saadun Juling mula keras.
"Maksud kau?"
"Kalau aku menurut cakap kau, ertinya aku menyerah nyawa pada buaya, aku akan mati”
"Hidup mati kau, bukan kuasa buaya, nyawa seseorang tergantung pada Allah”
"Kalau kau pandai, kau sendiri halau buaya di sungai. Aku tak mahu, kau jangan halang kerja aku”
"Eh, Saadun aku bukan pawang buaya macam kau, apa yang aku lakukan selama ini ialah petua untuk menjinakkan buaya, petua tu aku perolehi dari orang tua- tua, itu saja yang ada pada diriku”
Matahari kian panas bersinar, angin yang bertiup sekitar kawasan itu tidak dapat memberikan rasa sejuk pada diri saya. Setiap kali saya menggerakkan kulit muka, akan terasa sakit dan pedih akibat kena penumbuk sulung dari Saadun Juling. Bila saya raba dengan tapak tangan bahagian kulit yang pedih itu, terasa tebal dan membengkak.
"Tak apa Saadun, aku rnengajak cara baik kau tak mahu. Mulai saat ini kita bermusuh, kalau aku lalai akan jadi habuan kau dan kalau kau pula lalai, kau akan jadi habuan aku. Ingat kejahatan kamu akan aku ceritakan pada orang-orang di sini”, datuk mengugut Saadun Juling.
Rambut Saadun Juling yang disembunyikan di bawah ketiak dikeluarkan untuk disimpan dalam saku baju hitamnya, kemudian datuk mengajak saya pulang. Baru lima langkah melangkah, Saadun Juling menerpa ke arah datuk sambil menghulurkan ulu golok pada datuk. Saya dan datuk tergamam. Langkah kami terus mati. Datuk dan saya berpandangan, secara perlahan-Iahan saya melangkah tiga tapak ke belakang. Bukan kerana takut, cuma bersiap sedia untuk lari, kalau Saadun Juling mengamuk dengan tiba-tiba.
"Untuk apa Saadun?"
"Potong rambut saya di bahagian tengkuk. Mulakan dari kiri ke kanan, jangan sampai sehelai pun rambut saya jatuh ke tanah”
Datuk pun segera mengambil golok dari tangan Saadun Juling. Datuk renung rambut Saadun Juling yang panjang dan lebat itu. Dengan hati-hati datuk mematuhi arahan yang dikatakan oleh Saadun Juling.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 45 ~
Badan pawang berasap
Rambut yang sudah di potong itu segera di serahkan pada Saadun Juling kembali, kemudian dia membungkusnya dengan kain hitam
"Mari kita duduk”, ujar Saadun Juling.
Panas kian terik. Lima minit masa berlalu, kami tidak bercakap walau sepatah pun. Curna Saadun Juling saja yang memandang liar ke kiri dan ke kanan. Dari saku baju sebelah kirinya, Saadun Juling mengeluarkan kotak kecil. Kotak itu diserahkan pada datuk.
"Bukalah kotak itu”, katanya.
Datuk pun membuka kotak tersebut. Di dalamnya termuat sebilah pisau cukur bersarung hitam, segumpal rambut, sebutir telur buaya yang masih baik keadaannya serta dua bilah gigi buaya yang sudah berlubang, pada lubang itu dicucuk dengan benang hitam, bila disarungkan ke leher akan menjadi kalung.
"Ini ibu geliga buaya”, Saadun Juling menunjukkan pada datuk satu benda putih yang berkilat dan bentuknya seperti batu sebesar ibu jari.
Benda putih itu dikeluarkan oleh Saadun Juling dari sebelah rusuk kirinya. Datuk anggukkan kepala mendengar penerangan dari Saadun Juling, saya cuma melihat dan memasang telinga sahaja.
“Semangat buaya yang saya puja berada di sini, sekarang biarlah saya pulangkan padanya kembali dan saya minta pada buaya-buaya di sini pindah ke tempat lain”, muka datuk berubah mendengar kata-kata itu.
Saadun Juling terus mengambil sekepal pasir dan sehelai daun keladi. Pasir yang di genggamnya itu ditaruh atas daun keladi dan ibu geliga buaya ditaruh di tengah- tengah pasir lalu dibungkus dengan daun keladi. Bungkusan itu di genggamnya sebentar sambil mulutnya menyebut sesuatu yang sukar saya fahami, bahasa yang di ucapkan bercampur aduk, ada bahasa Siam, ada bahasa Jawa dan bahasa Acheh. Bila semuanya sudah selesai, bungkusan itu dilemparkan ke dalam sungai. Dalam sekelip mata saja, air sungai bergelombang. Bila gelombang air sungai berakhir, berpuluh-puluh ekor buaya timbul. Semua kepala buaya itu menghadap ke hilir.
"Pindahlah kamu dari sini, aku bukan bapak kamu lagi, pergilah ke mana-mana”, jerit Saadun Juling.
Ternyata buaya-buaya di sungai itu mendengar cakapnya, buaya-buaya itu bergerak menuju ke kuala. Saya kagum dengan ke¬ bolehan luar biasa yang dimiliki oleh Saadun Juling. Saya kira rasa kagum itu terjadi juga pada diri datuk. Sebabnya, apa yang dilakukan oleh Saadun Juling datuk perhatikan dengan penuh minat. Saadun Juling masih lagi merenung air sungai yang kelihatan agak tenang. Kelopak matanya tidak berkedip. Tiba-tiba air sungai bergelombang kembali, seekor buaya sebesar batang kelapa timbul di permukaan sungai, buaya itu berenang ke tepi sungai.
"Berhenti dan tunjukkan badan kamu”, kata Saadun Juling, buaya itu segera menimbulkan seluruh badannya.
Warna badan buaya itu agak keputih- putihan sedikit dan pergerakkan kaki serta ekornya tidak sepantas macam buya-buaya yang lain.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 45 ~
Badan pawang berasap
"Aku tidak memerlukan kamu lagi, aku kembalikan semangat kamu yang aku pinjam pada kamu kembali, sumpah yang kita buat sudah tidak ada lagi, kau berhak memakan daging aku dan aku berhak membunuh kamu”, Saadun Juling terus berkata-kata dengan buaya tersebut.
Saya lihat buaya itu terus menyelam dan ghaib. Di tempat buaya itu menyelam muncul sepotong kayu hitam macam kayu arang yang pan¬ jangnya kira-kira dua kaki. Kayu itu berpusing-pusing di situ dengan ligatnya sambil mengeluarkan asap yang nipis di permukaan sungai. Asap itu nampak memanjang naik ke udara. Beberapa saat kemudian asap itu hilang, dan Saadun Juling terus jatuh ke tanah. Badan Saadun Juling kelihatan kaku, tidak bergerak dan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat. Dari sinar matahari yang cukup terik itu, saya lihat seluruh badan Saadun Juling mengeluarkan wap seperti wap dari ketul asis. Bila wap itu hilang Saadun Juling mula bergerak dan terus bangun. Dengan langkah yang tenang dia mendekati datuk.
"Kamu lihat buaya putih tadi?"
"Ya”
"Sebenamya badan buaya itu tidak putih cuma penglihatan kita saja yang membuat kita menyangka buaya itu putih”
"Maksud kau Saadun?"
“Itulah buaya jadi-jadian yang aku puja dari puntung kayu hanyut di tengah sungai waktu malam, sebelum puntung itu aku puja, puntung itu aku serahkan pada guruku untuk ditapa selama tujuh minggu dalam lubuk yang airnya berpusing, setelah dipujanya barulah diserahkan pada aku untuk memujanya dengan beberapa syarat yang tertentu”
Datuk renung wajah Saadun Juling lama-lama, kemudian datuk tersenyum sambil meraba pipi kanannya berkali- kali. Datuk hulurkan tangan pada Saadun Juling, cepat- cepat Saadun Juling menyambut huluran tangan datuk itu. Mereka berjabat salam penuh mesra sambi ketawa penuh makna.
"Kita bersahabat ,tetapi kalau kau tersilap langkah ertinya kau habuan aku. Begitu juga dengan aku kalau tersilap langkah akan jadi habuan kamu, " kata-kata itu diucapkan oleh Saadun Juling dengan penuh semangat.
"Kalau itu sebagai satu syarat untuk kita bersahabat, aku terima Saadun”, balas datuk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 45 ~
Badan pawang berasap
"Memang itu syaratnya, aku senang bila kau terima syarat tersebut”, sahut Saadun Juling.
Seram juga mendengar janji dua orang yang mahu bersa¬ habat ini, pelik dan ganjil sekali buat diri saya. Saadun Juling terus melangkah beberapa tapak ke belakang dan ke hadapan di depan datuk. Kerana datuk masih duduk bersila di tanah, langkah yang di atur oleh Saadun Juling itu diperhatikannya dengan ekor mata sambil bersedia kalau langkah itu akan bertukar menjadi buah silat lalu mencari sasaran di tubuh datuk. Mujurlah langkah Saadun Juling tetap dengan langkahnya, tidak ada tanda-tanda akan bertukar menjadi buah silat membuat perasaan datuk jadi tenang. Dalam keadaan yang begitu tenang Saadun Juling terus melompat dengan tiba-tiba dan terus duduk bersila di hadapan datuk. Saadun Juling hulurkan kepalanya yang berambut panjang serta lebat itu pada datuk.
"Gunakan pisau cukur tadi dan cukurlah rambut ini, aku mahu membuang segala ilmu yang aku tuntut”, wajah datuk kelihatan berubah, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dituturkan oleh Saadun Juling padanya.
"Kau mahu mempermainkan aku atau kau memang berhajat betul”
"Aku bercakap benar, segala kekuatan ilmu yang aku tuntut terletak pada rambutku. Sebab itulah aku menyimpan rambut panjang, ada tujuan dan gunanya, kata orang ada muslihatnya”
"Begitu. Fahamlah aku sekarang”
"Eh, kau memang bijak, pura- pura tidak tahu. Padahal kau sendiri tahu, bila kau menarik rambut aku tadi aku sudah tahu yang kau sudah mengetahui rahsia diri aku”
Datuk tersenyum mendengar kata-kata dari Saadun Juling itu. Datuk tidak dapat berdalih lagi, secara terus terang datuk mengatakan pada Saadun Juling, segala rahsia kekuatan itu diketahuinya setelah melihat cara-cara Saadun Juling berjalan serta cara kerdipan mata Saadun Juling. Secara jujur pula Saadun Juling mengakui, sebab utama dia mahu mengikut cakap datuk kerana datuk mengetahui rahsia kekuatan dirinya. Andainya datuk tidak mengetahui rahsia itu dia bermusuh dengan datuk hingga hari kiamat. Tanpa membuang masa lagi, datuk pun mencukur rambut Saadun Juling dengan meninggalkan rambut bahagian ubun-ubun kepala dalam bentuk bulat, kerana rambut yang tinggal itu panjang membuat saya teringat pada rambut kaun Red Indian di Amerika yang selalu saya Iihat dalam filem cowboy. Saya tersenyum, memang bodoh kelihatannya bila orang tua berjambul dengan rambut panjang, sebabnya, datuk meninggalkan rambut tersebut adalah atas permintaan Saadun Juling sendiri.
"Sekarang cukurlah rambut yang tinggal itu dan kau bersedialah mengelakkan diri kau dari terkena badinya”, kata Saadun Juling sambil menyuruh datuk mengambil segumpal rambut, telur buaya dan dua bilah gigi buaya dari dalam kotak kecil.
Kalung dari gigi buaya disangkutkan ke lehernya, manakala segumpal rambut dan telur buaya diletakkan atas daun keladi dan daun keladi yang diisikan dengan barang tersebut pun diletakkan di bawah paha kanan Saadun Juling.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|