c. kaedah tanaman (jika bergambar ekstra +kedit)
Penanaman
Dokong boleh dibiak dengan tiga cara, iaitu anak pokok biji, anak pokok cantuman baji dan keratan.
Penyediaan anak pokok dari biji
Buah dari pokok dokong kering berkualiti yang telah dikenalpasti diambil untuk mendapatkan bijinya. Biasanya sekilo buah akan menghasilkan 4-6 biji yang besar dan bernas. Hanya buah yang besar dan bentuk tidak seimbang sahaja yang ada biji besar dan dipilih sebagai sumber untuk mendapatkan biji.
Biji buah dibuang dan bijinya dibersihkan dan disemai dalam kotak pasir yang telah disediakan lebih awal dan diberi rawatan racun kulat. Biji ditanam sedalam 1 cm dan diletak secara mendatar. Tutup biji-biji ini dengan pasir dan berikan lindungan dari cahaya matahari. Siram 2 kali sehari. Satu biji boleh mengeluarkan lebih dari satu anak pokok. Dalam tempoh 8-10 minggu, anak pokok yang cergas boleh diasingkan dari pokok kecil lain dalam satu biji dan diubah ke polibeg. Anak pokok yang masih kecil boleh disemaikan kembali ke pasir sehingga ia mencapai tahap dua helai daun sebelum diubah ke polibeg. Selepas 8-10 bulan didalam polibeg, anak pokok semaian dokong akan mencapai peringkat umur untuk ditanam, iaitu ketinggian melebih 20 cm dan sekurang-kurangnya 8 helai daun. Untuk mempercepatkan tumbesaran dan mengurangkan tempoh di dalam polibeg ini, semburan dengan baja foliar seminggu sekali adalah disyorkan.
Penyediaan anak benih secara tampang (cantuman baji)
Semua spesies dalam genus Lansium boleh digunakan sebagai pokok penanti. Langsat dan duku Kelantan (duku Dewan) merupakan pokok penanti yang paling sesuai. Pokok penanti berumur 1-2 tahun, mempunyai batang bergaris pusat 6-8 mm serta sihat dan tidak berpenyakit boleh dipilih untuk cantuman baji. Daun pokok penanti dibuang, batangnya dipotong pada paras lebih kurang 10 cm dari paras tanah dan kemudian dibelah tengah sedalam 2 cm dengan menggunakan pisau tajam.
Pucuk dari pokok dokong kering yang terpilih, bergaris pusat 6-8 mm, mempunyai 3-4 mata tunas, panjang antara 15-20 cm dan sekurang-kurangnya dua helai daun hendaklah digunakan. Daun besar boleh dikerat supaya tinggal 1/2 - 1/3 saiz asal untuk mengurangkan perpeluhan. Pucuk yang baik ialah separuh keras. Pangkal pucuk dipotong runcing sepanjang 2 cm berbentuk 'V'. Masukkan ke dalam belahan di pokok penanti. Untuk memastikan kejayaan cantuman, kambium dari pucuk dan pokok penanti mesti bertemu. Tempat cantuman ini diikat dengan tali rafia dengan kuat. Siram air hingga polibeg betul-betul lembab. Tutup dengan beg plastik untuk mengekalkan kelembapan. Selenggarakan selama 4-6 bulan sebelum ia sesuai ditanam di ladang. (Lihat rajah cantuman baji)
Penyediaan anak benih secara keratan
Dokong boleh dibiak dengan cara keratan, akan tetapi teknik ini belum diamalkan secara meluas. Pucuk-pucuk yang keras dari pokok dokong kering terpilih boleh digunakan. Pilih keratan berukuran lebih kurang 20 cm panjang dan bergaris pusat 6-8 mm mempunyai 2-3 ruas buku dan juga 2-4 helai daun. Keratan dibuat di bawah buku daun 1/2-1/3 bahagian daun-daun dibuang supaya mengurangkan transpirasi dan menjimatkan ruang di dalam kotak pembiakan.
Celup keratan ke dalam lauran 10,000 ppm Indole-Butyric Acid (hormon penggalak akar) selama 15 saat dan seterusnya tanam atas batas atau kotak pasir sungai yang diletak di dalam rumah pembab kabus. Rumah pelembab dan pasir perlu sentiasa basah dan lembab. Selaps 70 hari, keratan yang berakar boleh diubah ke ladang. Polibeg ini disimpan dalam rumah pelembab selama 2 minggu sebelum dipindahkan ke rumah teduhan biasa. Selepas 3-4 bulan, pokok keratan akan mengeluarkan pucuk serta daun baru dan boleh ditanam di ladang. Oleh kerana pokok keratan ini tidak mempunyai akar tunjang, penanaman dalam sistem kepadatan tinggi disyorkan.
Penanaman di ladang
Jarak yang dicadangkan ialah 6m x 6m hingga 10m x 10m. Pada amnya jarak yang disyorkan ialah 7m x 7m dan ia bergantung kepada kesuburan tanah. Lubang berukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m. Tanah lapisan atas diasingkan dengan lapisan bawah dan biar lubang 2-3 minggu untuk didedahkan kepada cahaya matahari. Selepas itu, lubang tersebut dikambus dengan tanah lapisan atas yang telah digaul dengan 200 gm CIRP dan 10 kg. baja organik atau kompos. Ini diikuti dengan tanah lapisan bawah.
Sebelum menanam, pokok dalam polibeg disiram dan polibeg ditanggalkan dengan teliti supaya tidak merosakkan gumpalan tanah dan akar. Pokok ditanam secara tegak dan lubang ditimbus hingga 3 cm dari permukaan tanah polibeg. Tanah di sekeliling pokok dipadatkan dan sungkupan yang terdiri dari sabut, rumput kering dan lain-lain boleh diletakkan di pangkal pokok. Jika anak pokok agak tinggi (lebih dari 0.5m) sokongan menggunakan pancang kayu digunakan untuk mengelakkan pokok tumbang.
Keperluan Lindungan Atau Naungan
Pada tiga tahun pertama penanaman di ladang, pokok dokong memerlukan 40-60% teduhan supaya pertumbuhan subur dan cepat. Biasanya pokok Gliricidia, petai, petai belalang dan pisang adalah tanaman lindungan yang sesuai. Tanaman lindungan perlu ditanam sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum dokong ditanam dan jarak antara pokok lindungan dan dokong hendaklah melebih 2.5 meter supaya mengelakkan persaingan.
Pemangkasan
Dalam tempoh 6 bulan diladang, pengurusan pokok lindungan adalah penting untuk memberi naungan yang sesuai dan mengurangkan persaingan. Cabang-cabang yang menganggu pertumbuhan dokong harus dipangkas dan pokok lindungan boleh ditebang secara beransur-ansur mulai tahun ketiga.
Program Pembajaan
3 bulan sekali terutama pada awal
musim hujan.
Baja Organik ditabur 2 kali setahun
dengan kadar 10 kg/pokok
Baja Organik 3 kali setahun seperti berikut:-
1/2 bahagian selepas musim buah.
1/4 bahagian 2 bulan sebelum berbunga
1/4 bahagian selepas berputik.
Baja organik ditabur 2 kali setahun
dengan kadar 10 kg/pokok.
Keperluan Air
1-2 tahun - 9-11 liter/pokok/hari
8-12 tahun - 40-48 liter/pokok/hari
20-22 tahun - 97-116 liter/pokok/hari
Hasil Dokong
Pokok dokong mula berbuah selepas 5-6 tahun ditanam. Di peringkat awal berbuah, anggaran hasilnya ialah 3 tan sehektar (123 pokok sehektar dengan jarak tanaman 9m x 9m). Dokong mencapai pengeluaran hasil optimum mulai tahun ke 14. Anggaran hasil sebanyak 14 tan metrik sehektar.
Penuaian
Penuaian buah dokong dilakukan dengan memotong tangkai buah menggunakan gunting atau pisau. Buah yahg dituai dimasukkan ke dalam baldi plastik dengan cermat bagi mengelakkan buah tercedera. Gunakan tangga sekiranya pokok dokong yang hendak dituai itu tinggi.
Pengendalian Lepastuai
Selepas penuaian, buah dokong perlu dikendalikan dengan baik kerana ini akan menentukan gred, harga dan pasarannya. Pengendalian lepastuai yang kurang baik akan merendahkan gred buah dan seterusnya mengurangkan pendapatan.