CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 7-10-2012 03:20 AM | Show all posts

Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Sumbat cepat", ujar datuk lagi dalam nada suara yang agak meninggi.

Puas Dumba mencari lubang yang dikatakan itu tidak juga ditemuinya. "Kau duduk di situ dan mengisut perlahan-lahan ke arah dinding, bila aku kata berhenti kau berhenti", arahan yang dikeluarkan oleh datuk dipatuhi oleh Dumba dengan hormat. Dumba pun mengisut. Lebih kurang dalam jarak satu kaki mahu sampai ke tepi dinding, datuk menyuruh Dumba berhenti mengisut. Satu arahan lagi datuk keluarkan untuk Dumha. Datuk suruh Dumba hulurkan tangan kanannya yang memegang kain kuning ke depan. Dumba lakukan dengan teliti hingga telapak tangannya yang mengenggam kain kuning itu bertemu dengan dinding. Dumba terkejut besar, dia berhadapan dengan satu lubang kecil sebesar wang syiling lima puluh sen. Aneh, sudah bertahun-tahun aku gunakan bilik ini, tetapi aku tidak tahu yang dinding ini berlubang, bisik hati kecil Dumba. Keningnya kelihatan berkerut.

"Sumbat lubang tu', pekik datuk.

Dumba segera menyumbat lubang itu dengan kain kuning. Tiba-tiba saya dapati seluruh ruang bilik jadi gelap gelita buat beberapa saat. Bila keadaan kembali terang, Dumba segera mendapatkan datuk kembali.

"Saya tahu sekarang, bila saya duduk dengan membelakangi dinding tersebut, saya selalu merasai diri saya ini cukup bertenaga dan mampu melakukan apa saja", Dumba menyatakan pada datuk.

Saya lihat datuk tersenyum. Tanpa menyebut sesuatu datuk terus bangun. Melangkah ke tengah ruang bilik. Berdiri di situ dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh. Matanya merenung tajam pada serbuk kaca, rambut dan serbuk dari miang buluh yang berkumpul di situ. Lama juga datuk merenung benda-benda ganjil itu, serbuk kaca kelihatan berkilau-kilauan.

"Carikan aku besi berlubang sepanjang enam inci Dumba", datuk mohon pertolongan dari Dumba.

Tanpa membuang masa Dumba terus menuju ke arah peti hitam yang terletak di sudut bilik. Bila penutup peti hitam yang dibuat dari kayu Medang Sawa itu dibuka, kelihatan kepul asap yang nipis naik ke udara. Tanpa memperdulikan kepulan asap terscbut, Dumba hulurkan tangan kedalam peti tersebut. Dia berjaya mengambil dan mengeluarkan besi bulat sepanjang enam inci. Dengan tenang dia melangkah menghampiri datuk dan serahkan besi itu pada datuk. Dengan menggunakan kain hitam sebagai lapik telapak tangan, datuk menerima besi tersebut.

"Memang bekas asalnya", suara datuk merendah sambil merenung besi tersebut dari hujung ke pangkal beberapa kali.

"Memang betul", jawab Dumba.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-10-2012 03:21 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Dulu kau menerimanya dengan menggunakan besi ini, dan sekarang kita matikan kekuatannya dengan besi ini", balas datuk

"Saya mengikut saja"

"Itu yang aku harapkan dari kau Dumba"

Datuk terus membongkok sambil menyumbat sesuatu ke pangkal besi bulat tersebut. Besi bulat sepanjang enam inci itu diletakkan berdekatan dengan serbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk tegakkan badannya kembali. Berdiri dengan meletakkan telapak tangan kanan ke atas bahu kiri. Kaki kanannya dilangkah setapak ke depan. Datuk jatuhkan tangan kanan seperti keadaan asal. Lagi sekali datuk membongkok dan memusingkan badannya melepasi longgokan serbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk meniarap atas lantai. Perlahan-lahan dia menghembus benda-benda tersebut dan dengan perlahan- lahan pula benda-benda itu bergerak dan terus masuk ke dalam lubang besi sepanjang enam inci itu.

Bila semua benda-benda itu berada dalam lubang, datuk segera menyumbat bahagian pangkal lubang besi itu dengan segumpal kain hitam. Saya terkejut, dengan tiba-tiba sahaja besi sepanjang enam inci itu menjadi merah, seperti besi yang dibakar. Datuk membiarkan besi itu disitu. Bila besi itu menjadi hitam macam kayu arang, barulah datuk mengambilnya dengan menggunakan kain hitam juga.

"Ke mari Tamar", kata datuk.

Saya segera menghampirinya dan Dumba yang tidak dipanggil juga ikut menghampirinya. Datuk memandang wajah kami dengan tenang.

"Cuba lihat"

Biji mata saya dan Dumba tertumpu pada tempat yang ditunjukkan oleh datuk. Saya gelengkan kepala beberapa kali sambil menggigit lidah.

"Terbakar", kata Dumba.

"Mestilah, ini menunjukkan betapa bisanya ibu santau yang kau simpan, tempat habuk-habuk itu berkumpul jadi macam arang", balas datuk.

Dumba terdiam seketika. Wajahnya mempamerkan rasa kesal.

"Serbuk santau ini, bila dah masuk ke dalam tubuh manusia semua saluran darah jadi rosak, kau tengok Dumba betapa tidak baiknya santau kepada manusia".

Dumba hanya menggigit bibir mendengar cakap datuk itu. Saya anggukkan kepala beberapa kali. Tanpa membuang masa lagi, datuk terus memasukkan besi sepanjang enam inci ke dalam buluh kuning yang panjangnya kira-kira satu kaki, ukuran lubang buluh itu kira-kira satu hingga dua inci. Datuk balut buluh kuning itu dengan kain hitam. Buluh kuning itu datuk perolehi dari dalam bilik itu juga. Datuk letakkan buluh kuning yang sudah berbalut itu atas peti hitam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:22 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Aku harap semuanya sudah selesai segala petua dan langkah sudah aku buat sebaik-baiknya, kalau ada ujian dari syaitan kita hadapi bersama", dengan tenang datuk menujukan kata-kata itu pada Dumba.

Datuk terus melangkah ke pintu. Dia buka daun pintu lebar-lebar. Datuk berdiri disitu merenung ke langit. Daun pintu datuk rapatkan kembali. Semua gerak-geri datuk diperhatikan oleh Dumba dengan ekor matanya. Saya kira, Dumba belum begitu yakin dengan niat datuk untuk berbuat baik dengannya.

"Meniarap", pekik datuk dengan sekuat hati.

Bagaikan ada satu kuasa yang mendorongkan saya merebahkan badan dengan begitu pantas atas lantai. Dumba juga demikian. Bila saya renung arah datuk saya dapati datuk juga sudah merapatkan badannya atas lantai. Ketika itu juga saya terdengar deru angin yang cukup kuat dalam bilik tersebut, angin itu berpusing- pusing dalam empat penjuru bilik. Semua yang berada dalam bilik tersebut berterbangan. Bila bunyi deru angin itu berakhir, saya terdengar bunyi suara ledakkan yang tidak berapa kuat.

"Bangun", kata datuk.

Saya dan Dumba segera bangun. Ketika itu juga saya lihat pintu bilik terbuka dengan lebarnya, beberapa keping kertas melayang- layang keluar ikut pintu tersebut. Bila keadaan sudah kembali tenang, datuk segera menghampiri saya dan Dumba. Secara mendadak saja, hati saya menjadi cemas dan berdebar tidak menentu. Perkara yang tidak pernah saya fikirkan, berlaku di hadapan mata saya sendiri. Dumba menangis teresak-esak sambil memaut lutut datuk.

"Jangan buat begitu Dumba, cara yang kau lakukan ini seperti menyembah dan mendewa-dewakan aku, perbuatan ini salah, tidak ada yang mulia di antara kita, kerana kita semuanya hamba Allah", kata datuk.

Ternyata Dumba tidak menghiraukan kata-kata datuk itu. Dia terus memeluk lutut datuk. Dengan kasar datuk menolak Dumba hingga terlentang atas lantai. Dumba berguling-guling sambil menangis. Saya jadi kelam- kabut melihat keadaan yang serba ganjil itu. Datuk yang tadi kelihatan tenang dan lembut segera bertindak agak kasar. Tangan kanan Dumba disambarnya serta dipulaskannya ke belakang.

"Apa kena kau Dumba?"

"Masanya sudah sampai"

"Apa yang sampai?"

"Saya akan mati tuan, hari ini saya akan mati tuan"

"Mana kau tahu?"
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:23 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Saya tahu tuan, bila besi yang saya berikan pada tuan tadi dimasukkan ke dalam buluh kuning, kuasanya akan hilang. Ayah saya dulu, secara tidak sengaja telah memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, akhirnya dia mati dibunuh orang."

Datuk terus menggigit bibir sambil mengerutkan keningnya. Dia jadi serba salah bila berhadapan dengan orang yang teguh keyakinannya pada sesuatu perkara yang tidak berasas. Datuk sedar keyakinan yang ada dalam diri Dumba itu secara tidak langsung menafikan kekuasaan Allah. Meskipun tangan Dumba dipulas agak kuat, kesannya tidak ada pada Dumba. Dia terus meronta-ronta seolah-olah dia tidak mengalami sebarang rasa sakit. Dalam saat-saat yang mencemaskan itu, saya lihat datuk terus membaca surah Al-Fatihah beberapa kali. Kemudian datuk merapatkan mulutnya ke telinga Dumba sambil membaca surah Al- Ikhlas. Sebaik saja ayat-ayat dari surah itu tersebut datuk tamatkan, saya lihat Dumba terdiam. Tidak menangis dan tidak meronta-ronta lagi.

"Dumba"

"Ya"

"Tahukah kau ajal maut seseorang terletak pada Allah, tidak ada manusia di dunia ini boleh menentukan tarikh kematian seseorang, walaupun orang itu pandai melangit, kaya dengan ilmu batin, kaya dengan seribu petua dan langkah."

"Tetapi, ayah saya sudah membuktikan kebenaran itu."

"Itu terjadi secara kebetulan saja, kalau ayah awak tidak memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, dia akan mati juga, kerana janjinya sudah sampai", datuk melepaskan tangan Dumba dan termenung sejenak.

Sepasang matanya merenung wajah datuk.

"Dumba, memang menjadi tabiat orang-orang Melayu yang mengamalkan ilmu dunia, perkara yang berlaku secara kebetulan itu dianggap sebagai perkara yang benar dan mesti, mereka sudah melupakan kebesaran Allah, akal fikiran yang diberikan oleh Allah pada mereka tidak dimanfaatkan dengan sebaik- baiknya, di sinilah syaitan memesongkan iktikad kita sebagai orang Islam", datuk memberikan ceramah singkat.

Saya lihat Dumba terdiam. Dia sandarkan badannya ke dinding sambil melihat pokok- pokok buluh di dalam biliknya yang sudah lintang- pukang kedudukannya. Daun buluh juga sudah kelihatan layu. Datuk segera bangun lalu mengambil buluh kuning yang terletak atas peti hitam. Buluh kuning itu diletakkan di celah ketiak kirinya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:23 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Mari kita selesaikan kerja ni, Dumba."

"Ke mana lagi tuan."

"Jangan panggil aku tuan, panggil nama atau kawan kawan saja', ujar datuk sambil melangkah ke pintu.

Saya segera bangun begitu juga dengan Dumba. Sampai di muka pintu, datuk berhenti sebentar. Dia merenung ke arah saya dan Dumba.
"Ke mana kita nak pergi?", soal Dumba dengan nada suara yang agak cemas.

"Ke hutan mencari kolam tinggal untuk membuang ini", balas datuk sambil menunjukkan buluh kuning yang terkapit di celah ketiaknya.

Tanpa membuang masa lagi kami keluar dari bilik khas Dumba yang terlelak di bahagian belakang kedainya. Ketika melintas di ruang kedai, saya lihat ramai juga orang yang minum kopi di situ. Dumba terus menemui salah seorang pekerja sambil bercakap sesuatu. Lepas itu Dumba kembali mengekori datuk hingga ke tepi jalanraya. Datuk merenung ke langit lagi.

"Cuaca baik", katanya.

"Ke mana kita nak pergi tuk?"

"Ke bukit sana", telunjuk datuk mengarah ke sebuah bukit yang letaknya cukup jauh, nampaknya berbalam- balam dari tepi jalan.

Saya mula membayangkan tentang kesusahan yang akan dialami untuk sampai ke tempat tersebut. Saya terbayangkan pacat gunung yang laparkan darah, saya terbayang binatang-binatang buas dan akar-akar kayu. Mahu saja saya mencadangkan pada datuk, supaya membatalkan hasratnya itu. Tetapi, saya tidak berani menyuarakannya pada datuk.

"Mari, jangan buang masa lagi", datuk pun melangkahkan kaki kanannya.
Saya dan Dumba juga melangkah tetapi saya tidak berapa pasti sama ada saya melangkah kaki kanan atau kaki kiri dulu. Bagi saya, kaki kanan atau kiri tetap sama. Pokoknya, mesti sampai ke tempat yang dituju. Itu pendapat saya, pendapat seorang cucu yang berani-berani takut dengan datuknya. Satu sikap yang tidak wajar wujud dalam diri seseorang yang mahu menjadi orang berilmu macam datuk. Kerana itu agaknya, saya tidak punya cita-cita walau sebesar biji saga untuk jadi macam datuk. Tetapi, saya terhibur mengikutinya ke mana-mana. Lebih kurang setengah batu kami berjalan kaki di tepi jalan raya menuju ke arah Tajung Malim. Sampailah kami di satu selekoh berdekatan dengan sebuah bukit kecil, datuk menyuruh kami berhenti berjalan.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:24 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Kita masuk ikut ini", kata datuk.

"Awak tahu jalannya?", tanya Dumba.

"Ikut saja cakap saya", balas datuk sambil tersenyum memandang ke arah saya.

Saya keberatan sekali untuk melangkah kaki masuk ke dalam hutan kecil di tepi jalan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok yang subur. Beberapa orang pemandu kenderaan yang lalu dijalanraya merenung ke arah kami yang berdiri di tepi jalan. Mereka merasa hairan melihat kami herdiri di situ sambil merenung ke bukit kecil. Badan saya mula berpeluh dipanah matahari yang cukup terik. Melihat kedudukan matahari ketika itu, saya meramalkan sudah hampir pukul dua belas tengahari.

"Mari", datuk terus menarik tangan saya ke dalam hutan kecil.

Dumba mengikut dari belakang. Lebih kurang dua puluh minit bcrjalan, saya sudah tidak mendengar bunyi kenderaan di jalanraya. Kiri kanan saya di penuhi dcngan pokok-pokok besar yang tinggi. Cuaca agak lembab, sinar matahari tidak dapat menembusi kawasan yang kami lalui kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar. Suara burung liar bersahut- sahutan, di samping suara reriang rimba yang memanjang dan menyeramkan.

Perjalanan saya tidak begitu lancar, saya terpaksa melangkah dengan hati-hati supaya tidak tersepakkan akar-akar rotan, dan kayu yang menjalar di situ. Saya lihat Dumba tidak mengalami masalah seperti yang saya hadapi. Dia melangkah dengan rancak dan bersemangat. Tetapi, wajahnya sentiasa dibayangi rasa cemas, sesekali dia mengeluh macam orang yang putus asa. Datuk terus juga melangkah tanpa memperdulikan keadaan diri saya dan Dumba. Dia tidak mahu ambil tahu sama ada kami merasa dahaga atau letih. Perjalanan menuju ke bukit tersebut kian sukar. Dua tiga kali saya terjatuh terlanggar akar kayu. Nyamuk hutan yang besar, kian ganas menyerang saya dan Dumba. Suara nyamuk itu cukup nyaring dan kuat sekali.

"Dahaga, saya dahaga tuk", jerit saya.

Datuk mematikan langkahnya lalu menghampiri ke pokok besar yang berjuntaian dengan akar-akar sebesar lengan budak. Salah satu akar itu datuk potong dengan golok.

"Mari minum", katanya sambil menghulurkan akar yang mengeluarkan air yang jernih itu kepada saya.

Air dari akar kayu itu terus saya sedut hingga rasa dahaga hilang. Dumba juga melepaskan rasa dahaganya seperti yang saya lakukan tetapi datuk tidak berbuat demikian. Dia cuma membasuhi muka saja.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 7-10-2012 03:25 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

"Jauhkah lagi tuk?", tanya saya.

"Tak jauh lagi, kira-kira selari angin saja."

"Selari angin tu apa dia tuk?"

"Jarak selari angin tu, kira dua batu lagi", terang datuk sambil ketawa.

Saya dan Dumba mengeluh, dua batu berjalan dalam hutan bukanlah satu perkara yang senang. "Jangan duduk lama sangat, mari kita pergi sekarang", sebaik saja mendengar cakap datuk itu, saya dan Dumba segera bangun dan meneruskan perjalanan dalam hutan yang tidak berapa saya senangi itu.

Saya menyumpah-nyumpah dalam hati bila saya terpaksa mendaki bukit yang dilerengnya dipenuhi dengan pokok-pokok bertam dan kelubi yang berduri tajam. Kalau kurang hati-hati melangkah, pasti tergelincir dan jatuh dalam rimbunan pokok bertam dan kelubi. Anda tentu dapat membayangkan betapa sakitnya badan, bila duri-duri yang tajam itu menyucuk daging tubuh saya yang lembut ini. Setelah bersusah payah mendaki, akhirnya kami sampai ke puncak bukit yang tinggi menjulang itu.

Dari puncak bukit itu, saya dapat melihat hutan yang cukup luas menghijau dengan dedaun kayu. Pemandangannya amat menarik dan cantik sekali. Keadaan bertambah menyenangkan, bila angin menyentuh kulit muka dan badan, terasa sejuk dan nyaman sekali. Awan kelihatan berarak dengan tenang, tidak ada suara burung hutan atau monyet, kecuali bunyi deru angin dan sesekali kelihatan burung helang terbang rendah di bawah puncak bukit. Rasa susah dan penat saya hilang dengan sendirinya bila berhadapan dengan keadaan alam yang begitu indah. Sungguh indah ciptaan Allah keluh batin saya sendirian.

"Kalau tak silap, kita sekarang berada di sempadan antara negeri Pahang dan Selangor." ujar datuk yang tersandar di pangkal pokok besar.

Sebaik saja dia bercakap, datuk segera bangun. Dia berjalan menuju ke arah barat daya tanpa mengajak saya dan Dumba ikut serta. Dalam waktu beberapa minit datuk hilang dari pandangan kami dilindungi oleh pokok- pokok besar yang tumbuh gagah di situ. Saya dan Dumba berpandangan, bimbang juga dengan tindak-tanduk datuk itu. Rasa bimbang itu hilang bila datuk muncul dengan tiba-tiba dari arah belakang kami.

"Aku dah jumpa kolam tinggal", beritahu datuk pada kami dengan wajah yang riang.

Datuk terus mengajak kami menuju ke kolam tersebut. Jarak kolam tinggal dari tempat mula-mula kami berhenti lebih kurang lima rantai. Kedudukan kolam itu betul-betul berada di tengah puncak bukit, bentukanya macam kawah dan tebingnya agak curam sedikit tanpa ditumbuhi sebarang jenis rumput. Kolam itu tidak berapa besar, panjangnya dianggarkan sepuluh kaki dan lebarnya antara lima hingga enam kaki. Airnya cukup jernih. Bahagian atas tebing kolam itu dikelilingi oleh pokok besar dan bertam. Kerana kolam itu berada di bahagian tengah puncak bukit, airnya dapat menerima sinaran matahari dengan cukup sempurna.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:26 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

Anehnya, walaupun kolam itu dikelilingi oleh pokok- pokok besar, tidak ada sehelai pun daun dari pokok-pokok tersebut jatuh ke kolam atau tersadai di tebingnya. Saya merasakan kolam itu bagaikan dijaga oleh orang tertentu dengan begitu rapi dan baik sekali. Datuk terus berpusing di bibir kolam itu sebanyak tiga kali. Kemudian, datuk mengambil ranting kering lalu dicampakkan ke dalam kolam. Air dalam kolam berombak.

"Tempat yang sesuai", kata datuk sambil bertinggung dibibir kolam.

Sepasang matanya merenung tajam pada air kolam. Dia menajamkan mulutnya sambil menghembus angin.

"Dalam kolam ini tidak ada ikan, kolam ini juga bukan tempat binatang minum", tambah datuk lagi sambil berdiri.

Saya dan Dumba berpandangan sama sendiri. Tidak berani menyoal atau bertanya sesuatu pada datuk.

"Kita tidak boleh membuang jenis bisa ke dalam kolam yang jadi tempat binatang minum atau tempat ikan, perbuatan begitu, satu perbuatan yang kejam menyiksa makhluk lain untuk kesenangan diri sendiri, kerana itu aku ajak kau ke mari", datuk berleter lagi.

Dumba terdiam, dia nampak resah tidak menentu, macam ada sesuatu yang menekan perasaannya.

"Semuanya kita tamatkan di sini Dumba, dan kau rela aku melakukan semuanya ini?", datuk mengajukan pertanyaan sambil merenung wajah Dumba dengan tepat.

Dumba anggukkan kepala sambil menyembunyikan rasa cemasnya dari pengetahuan datuk.

"Kau takut Dumba?"

"Ya, saya kira hidup saya juga akan berakhir di sini."

"Jangan jadi bodoh.", datuk marah dengan tiba-tiba.

Suara datuk yang meninggi itu membuat Dumba terkejut. Rasa takut dan cemas hilang dari diri Dumba. Datuk segera mengambil buluh kuning yang tersepit di celah ketiaknya. Buluh itu dijulangnya tiga kali ke udara sambil mulutnya membaca sesuatu. Dengan pantas datuk mencabut sebatang pokok yang besarnya kira-kira sama besar dengan betis budak berusia enam tahun. Datuk terus mengikat buluh kuning pada bahagian akar pokok tersebut dengan tali guni. Kemudian datuk terus membenamkan akar pokok dan bawang kayu ke dalam kolam. Cara datuk membenamkan pokok tersebut juga agak ganjil, dia tidak perlu masuk ke dalam kolam. Apa yang dibuatnya ialah berlari sebanyak tujuh kali mengelilingi kolam dan akhirnya dia melompat menyeberangi kolam dari sebelah kiri ke kanan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-10-2012 03:26 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 49 ~
Rahsia sebuah kolam

Bila dia yakin yang dirinya berada betul-betul di tengah- tengah kolam, barulah pokok yang dicabutnya itu ditekan ke dalam perut kolam. Datuk berada betul-betul di bahagian tengah kolam itu tidak lama. Datuk berada di situ lebih kurang tiga minit saja. Dan keadaannya seperti orang terbang dengan kedua belah kakinya lurus ke arah tebing kolam, manakala tangannya terus menekan pokok yang masih berdaun itu ke perut kolam dengan penuh tenaga. Bila tugasnya selesai, datuk memusingkan badannya ke udara dan bergerak ke tepi tebing sebelah kiri. Dia berdiri di situ, seolah-olah dia tidak melakukan sesuatu. Semua kejadian yang saya anggap amat menakjubkan itu berlaku bagaikan mimpi di badapan mata saya dan Dumba. Datuk segera menghampiri kami.

Saya lihat pokok yang datuk cacakkan di tengah kolam itu bertukar warna. Daunnya yang hijau segar terus menjadi layu dan kering begitu juga dengan batangnya. Air dalam kolam yang tadi jernih dan tenang segera bertukar menjadi kelabu dan berbuih, macam buih sabun. Buih-buih itu pula mengeluarkan asap di permukaan kolam. Datuk melihat kejadian itu dengan tenang. Bila asap di permukaan kolam tinggal itu hilang, datuk menyuruh saya mencari pucuk bertam dan kelubi. Dumba pula disuruhnya mencari kulit pokok samak dan kulit jelutung. Kulit pokok itu harus diambil dari arah kanan ke kiri. Semua yang datuk inginkan dapat saya dan Dumba adakan. Semua ramuan itu datuk biarkan berada daIam kolam selama setengah jam. Bila tempohnya sudah cukup, air kolam kembali jernih dan pokok yang yang datuk benamkan di tengah kolam kembaIi segar.

"Dumba, ibu santau yang kau simpan ini akan kekal selama sepuluh keturunan dalam keluarga kau, bisanya macam bisa asal, kau sudah membuangnya dan ibu santau tidak akan mencari sesiapa untuk jadi tuannya", terang datuk pada Dumba.

Saya lihat Dumba menarik nafas panjang. Dia terus memeluk datuk dengan eratnya. Datuk terus menepuk-nepuk bahunya lengan penuh mesra.

"Saya terlepas dari kuasa syaitan, saya harap keturunan saya yang akan datang tidak akan jadi pembunuh akibat mewarisi ilmu santau yang tidak pernah saya minta", kata Dumba sambil mengesat air mata.

Datuk terus menasihatkan Dumba supaya bertenang. Terharu juga perasaan saya melihat peristiwa yang terjadi di antara Dumba dengan datuk di tengah hutan itu. Bila keadaan sudah tenang datuk mengambil pucuk bertam, kelubi dan kulit pokok samak serta kulit pokok jelutung. Datuk mengambil dengan tangan sambil memasukkan separuh dari kakinya ke dalam kolam.

"Dengan izin Allah yang maha besar, kerja aku berjaya", suara datuk lemah. Dia terus membaca Al-Fatihah dan doa kesyukuran.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2012 03:30 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

Mahyuddin terus merendahkan badannya, kemudian bangun secara perlahan-lahan, ketika itu mula nampak perubahan yang aneh terjadi pada diri Mahyuddin, terutama bentuk wajah dan kepalanya bertukar seakan-akan wajah harimau. Bulu yang halus berwarna merah kekuning-kuningan tumbuh di wajahnya. Rambutnya juga berwarna demikian. Bulu yang berwarna merah kekuning- kuningan itu terus merayap ke leher, ke lengan hingga ke seluruh badannya. Bentuk asal Mahyuddin sudah hilang sama sekali. Dari hujung sepuluh jari tangannya muncul kuku tajam yang meruncing, macam kuku harimau, kekuatan Mahyuddin juga kelihatan bertambah seperti kekuatan seekor harimau jantan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 01:38 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

Bila datuk merasakan tidak ada hal-hal yang perlu dilakukannya, dia pun mengajak kami pulang.

"Kalau sesiapa di antara kamu masuk ke dalam hutan dan bertemu dengan pokok yang tumbuh dalam kolam, hati- hatilah menggunakan air dari kolam tersebut”, sambil mengeliat datuk berkata begitu kepada saya.

"Kenapa tuk?"

"Orang tua-tua dulu yang kaya dengan ilmu dunianya, membuang saka ilmu dunia dengan tiga cara, terutama kalau ilmu yang dituntutnya bercanggah dengan ajaran Islam atau ilmu yang dituntutnya akan menjadi ilmu keturunan”, datuk memicit-micit bahu kirinya dengan tapak tangan.

"Ke mana ilmu salah tu dibuang tuk?", soal saya lagi.

Datuk terdiam seketika macam mengingati sesuatu. Dia terus melangkah mencari arah jalan pulang yang harus dilalui. Datuk memilih jalan pulang ikut sebelah kanan bukit, datuk tidak mahu mengikut jalan awal yang telah digunakan tadi. Apa tujuan datuk berbuat demikian, saya tidak dapat meramalkan. Mungkin ada muslihat tertentu fikir saya. Saya dongak ke langit, matahari sudah berubah kedudukannya. Tiupan angin juga tidak serancak tadi. Mengikut kedudukan matahari, saya kira waktu zohor sudah hampir dan saya dapat menduga bahawa datuk mahu mencari jalan dekat supaya cepat sampai ke rumah. Dia mahu berada di rumah sebelum waktu zohor berakhir.

"Tempat yang dipilih ialah Kuala Sungai yang bertemu dengan laut, dan ketiga seperti yang aku lakukan tadi”, secara mendadak datuk menjawab pertanyaan saya yang terputus tadi.

Jawapan yang saya nantikan tu datuk berikan ketika saya bergayut pada sebatang pokok untuk turun dari puncak bukit. Saya tersenyum sendirian, dengan sikap datuk. Kenapa untuk menjawab pertanyaan yang mudah itu mesti memakan masa yang agak lama.

Saya rasa menuruni bukit lebih sukar dari mendakinya. Sebabnya, ketika menuruni bukit kita harus pandai mengimbangi badan, kalau kurang pandai boleh membuat kita terlajak ke depan yang boleh menyebabkan kita terlanggar batu atau pokok. Anehnya kesukaran yang saya hadapi itu, tidak menjadi masalah buat datuk. Dia boleh berjalan dengan cepatnya. Akhirnya, kami sampai ke kaki bukit. Perjalanan seterusnya tidaklah berapa sukar. Tetapi, sendi kedua belah kaki saya mula berasa sengal dan sakit-sakit.

"Hati-hati minum air kolam yang ada pokok tumbuh di dalamnya, mana tahu kalau pokok itu dijadikan penekan ibu ilmu salah, kalau orang yang membuang ilmu bisa itu tidak menawarnya akan membawa padah pada orang yang meminumnya”, datuk mengingatkan saya dan Dumba, ketika itu kami sudah agak jauh meninggalkan bukit yang telah kami daki tadi.

Suara kenderaan mula terdengar sayup-sayup menendang gegendang telinga. Langkah saya terus rancak, kalau diturutkan hati mahu saja saya berlari supaya segera sampai ke tepi jalanraya. Rupanya langkah saya yang rancak dan bersemangat itu tidak boleh dilanjutkan lagi. Ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk menyuruh saya dan Dumba berlindung di balik pokok besar. Tindakan datuk itu amat mengejutkan. Wajahnya kelihatan cemas sedikit. Dari balik pokok besar saya dan Dumba melihat dengan teliti tingkah laku datuk yang berdiri di kawasan yang agak lapang itu. Datuk meletakkan tangan kanannya ke cuping telinga kiri, macam mendengar sesuatu. Datuk melangkah dua tapak arah ke kanan. Berhenti di situ sambil merenung dedaun pokok yang bergoyang di kiri kanannya kerana dirempuh angin.

"Silakan, kalau masih sangsi”, suara datuk cukup lantang.

Saya tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan oleh datuk. Dumba renung muka saya dengan penuh rasa ragu dan bimbang. Saya cuma tersenyum saja. Tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah datuk. Saya lihat, datuk menapak dua langkah ke kiri pula, berhenti di situ dengan tenang. Macam menanti sesuatu. Siapakah yang datuk tunggu dan nanti dalam hutan begini, kata hati saya.

"Silakan”, ulang datuk lagi.

"Ya, aku datang dan bertemu lagi dengan kau”, terdengar suara dari arah kanan datuk.

Saya terkejut, apa yang saya lihat ialah batang tubuh Mahyuddin, berdiri sambil memeluk tubuh. Mahyuddin memintas di depan datuk. Berdiri berdepan dengan datuk sambil memeluk tubuh. Gerak-gerinya cukup pantas, macam orang muda yang berusia tiga puluhan. Sinar matanya cukup garang. Tidak terpamer segaris senyum pun di wajahnya. Keadaan yang saya lihat itu amat membimbangkan. Pertemuan datuk dengan Mahyuddin kali ini bukanlah pertemuan seorang sahabat dengan sahabat, tetapi pertemuan dua orang musuh yang sudah lama menaruh dendam. Saya berdoa pada Allah, semoga Allah yang Maha Besar akan membiarkan kesabaran pada datuk, mudah-mudahan datuk tidak akan bertindak liar. Saya tidak mahu datuk menjadi mangsa Mahyuddin. Rupanya, doa saya diperkenankan oleh Allah. Datuk kelihatan cukup tenang, meskipun Mahyuddin bersikap agak kasar dengan tujuan menaikkan rasa marah dan geram di hati datuk. Semuanya tidak mendatangkan kesan, datuk tetap berlembut dan sabar. Tindakan datuk itu memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan penakut. Satu hal yang pasti, meskipun datuk mengalah dia tetap berjaga-jaga. Setiap langkah Mahyuddin bagaikan sudah dibacanya terlebih dahulu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 01:51 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

"Kau bersubahat, kau melindungi Dumba manusia pembunuh”, kata Mahyuddin dengan nada suara yang keras.

Badannya kelihatan mengeletar, matanya bertambah merah.

"Nanti dulu, biar aku terangkan keadaan sebenarnya."

"Sudah, kau menyimpan ibu santau itu di sini."

"Tidak Mahyuddin, kau silap."

"Sudah, jangan berdusta. Manusia pura-pura, kau munafik."

"Mahyuddin dengar dulu."

"Sudah”

Mata Mahyuddin mula menentang biji mata datuk untuk beberapa saat dengan harapan untuk menewaskan datuk. Usaha itu gagal, datuk masih macam keadaan biasa, masih mampu melahirkan senyum untuk Mahyuddin.

"Biarkan aku selesaikan Dumba di sini, jangan kau lindungi dia, kalau kau berkeras buruk padahnya", Mahyuddin melahirkan cita- citanya yang sebenar tanpa selindung-selindung lagi.

Datuk meraba dahi luasnya berkali-kali. Memang datuk berada dalam saat-saat yang paling genting sekali.

Andainya datuk tersalah langkah atau tersilap cakap, dirinya akan terjerat. Datuk terus duduk bersila atas tanah. Saya kira, tindakan datuk tidak kena pada tempatnya. Dia seolah-olah menyerah nyawanya pada Mahyuddin, betapa tidak dengan sekali terkam bersama parang di lengan, leher datuk akan pulus. Anehnya, Mahyuddin tidak menyerang datuk. Dia membiarkan datuk duduk dengan aman di atas tanah. Mungkin Mahyuddin berpendapat bukanlah langkah atau prinsip seorang pendekar menyerang orang yang tidak melawan. Kemenangan yang diperolehi secara itu bukanlah satu kemenangan yang terpuji tetapi, satu kemenangan yang keji. Datuk masih lagi duduk bersila, perasaannya berperang sama sendiri, apakah wajar dia menyerahkan Dumba pada Mahyuddin begitu saja? Memang, kalau dia mahu mencari jalan senang, serahkan Dumba pada Mahyuddin habis perkara, mereka tidak bermusuh. Tetapi, cara itu bukanlah satu cara yang baik. Apalah untungnya menyerahkan orang yang sudah insaf atas perbuatannya yang lalu pada musuh ketatnya.

Membunuh manusia yang seagama kerana dendam bukanlah ajaran agama Islam. Orang yang sudah insaf itu harus diberikan kesempatan membetulkan dirinya. Siapa tahu, orang yang sudah insaf atas perbuatannya akan menjadi manusia yang baik dan berguna pada bangsa dan agama. Semua persoalan itu menghantui diri datuk. Dia harus memberi satu keputusan yang tegas. Dia juga harus menanggung sebarang akibat dari keputusan yang dibuatnya. Tiba-tiba datuk melompat dan berdiri kembali. Kali ini tidak ada senyum yang terpancar di wajahnya. Datuk kelihatan begitu serius merenung wajah Mahyuddin.

"Tidak, Dumba dalam perlindungan aku, dia harus diberi kesempatan membetulkan dirinya”, kata datuk sambil melipat lengan bajunya hingga ke paras siku.

Mahyuddin kelihatan tergamam dengan tindakan datuk itu.

"Tak apa”, balas Mahyuddin, dia mula mengangkat kedua belah tangannya ke depan.

Sepasang kakinya mula bergerak memijak pokok- pokok kecil. Mahyuddin kelihatan menggigil dan wajahnya nampak merah. Mahyuddin sudah naik angin, kemarahannya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Dia membuka silat sambil mematah-matahkan pokok- pokok yang tumbuh liar di kiri kanannya. Melihat rentak dan bunga silat yang dihasilkan oleh Mahyuddin itu, datuk menduga Mahyuddin bukan orang sebarangan, ilmu silat alau pendekar yang ada pada dirinya melambangkan yang dirinya memiliki ilmu kelas tinggi di dalam salah satu aliran silat. Datuk membiarkan Mahyuddin membuka rentak dan langkah silat dengan tujuan membaca kepandaian yang dimiliki oleh Mahyuddin.

"Aku tahu sekarang, dia membawa aliran silat harimau yang disebut Cilek Babiat oleh orang-orang Mendailing (Mandailing)”, bisik hati kecil datuk, datuk bersedia unluk mengelakkan diri dari serangan Mahyuddin.

Datuk tahu benar, silat jenis itu hanya terdapat di kalangan masyarakat Mendailing saja. Bukan satu perkara yang mudah untuk sampai ke taraf pendekar dalam jurusan ilmu silat Cilek Babiat, banyak rintangan dan dugaan yang harus dilalui. Datuk melangkah ke kanan dengan kedua belah tangannya berkembang di bahagian paras dada. Kaki kanannya bergerak ke depan dalam keadaan yang tidak lurus, begitu juga dengan kaki kirinya yang bertugas sebagai tupang (penyokong) pada kaki kanannya. Gerakan datuk begitu hati- hati sekali. Dalam saat yang sama juga datuk cuba mengunci dan mematikan langkah Mahyuddin secara batin. Usaha datuk itu gagal sama sekali. Datuk mula merasakan semua usaha yang dilakukannya tidak menjadi. Datuk berada di dalam keadaan yang agak sukar. Sebagai manusia yang tidak mengenal erti putus asa datuk terus berusaha sambil berdoa, supaya segala usahanya, itu direstui Allah. Datuk tidak mahu menyerahkan begitu saja pada Mahyuddin. Datuk juga sedar, orang-orang yang tinggi pengetahuannya, dalam ilmu silat Cilek Babiat (silat harimau) dalam waktu tertentu akan bertukar menjadi seekor harimau yang ganas. Datuk tahu, Mahyuddin boleh melakukan perkara demikian sekiranya dia terdesak.

"Sebelum terjadi, aku mesti hati-hati, cara yang paling baik menimbulkan kemarahannya supaya dia jadi harimau”, datuk membuat keputusan dengan langkah silatnya yang teratur itu.

Sambil mempertahankan diri, datuk terus mencari akal bagaimana mahu menimbulkan kemarahan yang meluap-luap dalam diri Mahyuddin. Datuk terus mendongakkan kepalanya ke langit melihat matahari yang kedudukannya sudah agak condong ke barat. Angin juga bertiup dalam keadaan yang lemah. Kerana kedudukan matahari sudah condong membuat pokok-pokok atau manusia yang kena panahan matahari mencipta bayang- bayang di bumi. Sumpahan atau pantang pada orang-orang yang menuntut ilmu silat Cilek Babiat atau silat harimau bila pihak musuh menindih bayangnya. Datuk tahu benar tentang pantang larang itu, dia mahu mengambil kesempatan dari pantang-larang itu. Di bawah hembusan angin hutan yang lemah itu, datuk melompat dan menerkam ke arah Mahyuddin hingga bayang-bayang datuk dapat menindih bayang-bayang Mahyuddin. Dalam saat yang agak kelam- kabut itu, datuk menyeru nama Dumba dan menyuruhnya keluar dari tempat persembunyiannya. Dumba meluru keluar.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 01:55 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

"Awak mencabar saya”, kata Mahyuddin dengan nada suara yang cukup keras.

Dia melompat, semua tumbuh- tumbuhan yang terdapat di sekeliling ditendang hingga tercabut. Kali ini Mahyuddin tidak menyerang datuk. Dia hanya berdiri sambiI membuka sepuluh jari tangannya. Badan Mahyuddin mengeletar, sepuluh jari tangannya bergoyang.

"Dumba, kembali ke tempat kamu”, kata datuk. Dumba segera bersembunyi.

Mahyuddin membongkokkan badannya, sambil bergerak dalam langkah silat yang teratur, sepasang matanya yang tajam dan merah tetap merenung muka datuk.

. "Eeee hemmmm ... “, jerit Mahyuddin dan datuk saya lihat tersandar di perdu pokok besar, seolah-olah bahagian dadanya ditendang oleh sesuatu.

Datuk terus bertahan di situ. Gerak kaki datuk terasa amat lemah. Mahyuddin dengan perlahan-lahan rapat ke arah datuk sambil mengembangkan sepuluh jari tangannya. Jejari itu bergerak-gerak bagaikan mahu mengoyak kulit dada datuk yang tersandar di perdu pokok besar itu. Datuk masih lagi bertenang. Mata datuk tetap mengawasi langkah kaki Mahyuddin yang bergerak setapak dalam langkah silat harimau.

Tiba-tiba Mahyuddin memberhentikan gerakan langkahnya. Dia merenung muka datuk dengan tepat sekali. Datuk terus menentang mata Mahyuddin yang kelihatan berkaca-kaca bersama-sama dengan urat mata yang merah. Datuk kelihatan seperti orang lemas. Mahyuddin terus merendahkan badannya, kemudian bangun secara perlahan-lahan, ketika itu saya mula nampak perubahan yang aneh terjadi pada diri Mahyuddin, terutama bentuk wajah dan kepalanya bertukar seakan-akan wajah harimau. Bulu yang halus berwarna merah kekuning-kuningan tumbuh di wajahnya. Rambutnya juga berwarna demikian. Bulu yang berwarna merah kekuning- kuningan itu terus merayap ke leher, ke lengan hingga ke seluruh badannya. Bentuk asal Mahyuddin sudah hilang sama sekali. Dari hujung sepuluh jari tangannya muncul kuku tajam yang meruncing, macam kuku harimau, kekuatan Mahyuddin juga kelihatan bertambah seperti kekuatan seekor harimau jantan.

Saya mengurut dada beberapa kali, kasihan melihat datuk yang tidak boleh bergerak itu, sebenarnya datuk masih boleh meninggalkan perdu pokok besar itu jika dia mahu berbuat demikian. Anehnya, kenapa datuk tidak mahu menyelamatkan dirinya yang berada dalam bahaya itu? Timbul pertanyaan dalam diri saya. Dalam kepayahan itu, saya lihat datuk tidak mengalihkan wajah dan matanya dari merenung wajah Mahyuddin yang bertubuh harimau itu. Mulut datuk kelihatan bergerak- gerak, tentunya datuk membaca sesuatu. Mahyuddin yang sudah menjadi harimau itu terus marah sambil cuba mencakar wajah datuk. Saya terkejut, Mahyuddin berhenti merapati datuk. Dia terpaku di situ, sinar matanya yang garang tiba-tiba menjadi layu.

Walaupun Mahyuddin tidak melangkah, mata datuk tetap merenung wajah Mahyuddin yang kelihatan mula bertukar kepada wajah asalnya. Mahyuddin terpacak di situ dengan nafas yang tercungap-cungap. Bila datuk merasakan yang dirinya berada dalam keadaan selamat, barulah datuk bergerak dari pangkal pokok besar itu. Datuk terus menghampiri Mahyuddin. Datuk hulurkan tangan sambil berselawat sebanyak tiga kali. Huluran tangan datuk itu disambut oleh Mahyuddin. Masa berjabat tangan itu datuk dan Mahyuddin mengucapkan dua kalimat syahadah dengan jelas.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 01:56 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

"Kita orang Islam, tidak ada permusuhan dan dendam sesama orang Islam. Setiap orang Islam adalah bersaudara, bila dua orang Islam bergaduh, tempatnya ialah neraka sama ada yang membunuh atau terbunuh”, dengan mendadak Mahyuddin bersuara, tekanan suaranya agak lemah kepenatan.

Saya lihat Mahyuddin seperti mengalami sesuatu, dia kelihatan susah bernafas macam orang kelemasan. Mahyuddin terus duduk atas tanah.

"Bertenang Mahyuddin, hilangkan perasaan marah kamu yang masih ada sisanya dalam hati”, kata datuk.

"Ya, aku sedang berusaha ke arah itu. Aku sedang berikhtiar untuk mengembalikan seluruh semangat aku seperti sediakala."

"Baguslah, aku tahu orang- orang yang menuntut ilmu silat harimau ke peringkat tinggi akan menjadi manusia harimau bila dilanda marah yang amat sangat atau dirinya terancam. “

"Aku kira kesalahan aku boleh kau maafkan”, nada suara datuk cukup lembut, macam jejaka kacak memujuk dara pujaan hati yang tersinggung.

"Aku maafkan”, jawab Mahyuddin pendek.

Datuk memanggil saya dan Dumba. Kami pun keluar dari tempat persembunyian. Datuk suruh Dumba duduk sebelah Mahyuddin. Pada mulanya Dumba agak keberatan mematuhi cakap datuk itu. Dumba masih ragu-ragu dengan kejujuran dan keikhlasan hati Mahyuddin. Setelah datuk paksa, barulah Dumba duduk dekat Mahyuddin. Rasa bimbang segera lari dari hati Dumba bila Mahyuddin menghulurkan tangan padanya sambil membaca selawat. Saya terus merenung Mahyuddin dengan rasa kagum atas kebolehan yang ada pada dirinya. Tidak hairanlah, dia baleh menewaskan tentera Jepun dengan mudah.

"Maafkan saya Mahyuddin, saya nak bertanya sedikit”, datuk renung muka Mahyuddin.

"Sila sahabat."

"Awak bukan orang Bangkahulu sejati?"

"Mana sahabat tau?"

"Biasanya ilmu silat Cilek Babiat diamalkan orang-orang dari daerah Mahyuddin, Sumatera.

"Tepat sekali, saya dilahir dan dibesarkan di Kampung Hutabargot, kemudian merantau ke Bangkahulu. Di tempat asal saya memelihara dan menunggang harimau bukanlah satu hal yang aneh, sudah jadi perkara biasa”, Mahyuddin menerangkan pada datuk dengan wajah yang berseri-seri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 01:56 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

Saya dan Dumba berpandangan. Datuk mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Beberapa helai rambut tua lekat di jari datuk. Rambut itu berterbangan menuju ke arah selatan. Sinar matahari kian meredup, dan rasa panas di tubuh mula berkurangan.

"Orang-orang Mendailing di tempat asal saya menyebut harimau sebagai Na Betengi yang bermaksud yang kuat perkasa”, tokok Mahyuddin lagi.

Datuk anggukkan kepala. Saya bangun dan mengeliat untuk menghilangkan rasa lenguh. Saya duduk kembali.

"Walaupun harimau dimuliakan, tetapi martabat harimau jauh lebih rendah, dibandingkan dengan martabat mannsia. Harimau tidak kuat menentang muka manusia, kerana itu harimau menyerang manusia dari belakang”

Saya lihat air muka Mahyuddin berubah, dia terkejut mendengar cakap datuk tadi. Kemudian dia tersenyum tenang.

"Sahabat tahu kunci dan kelemahan ilmu silat saya, sebab itu sahabat menentang muka saya ketika berlawan, saya yakin sahabat mempunyai pengetahuan yang luas tentang asal-usul harimau. Sahabat orang Mendailing?", begitu ghairah Mahyuddin bersuara, dia terus berubah tempat, duduk bertentang muka dengan datuk.

"Saya berasal dari Jambi. Barangkali datuk nenek saya berasal dari tempat yang sama dengan awak”, pendek datuk menjawab.

"Tahu asal-usul harimau?"

"Tahu."

"Apa dia?"
"Harimau makhluk Allah sama seperti manusia. Tetapi manusia itu dijadikan oleh Allah sebaik-baik kejadian, ini kelebihan manusia”, datuk menyapu peluh yang tumbuh di dahi dengan telapak tangan kanannya.

Mahyuddin terdiam. Kemudian tanpa diminta oleh sesiapa, datuk terus memperkatakan tentang martabat manusia, dari segi martabatnya manusia terletak di tengah- tengah antara martabat binatang dan martabat malaikat. Dari segi keperluan makanan dan keturunan, manusia adalah dianggap sebagai tumbuhan. Dari segi bergerak dan merasa mengikut pilihan, manusia dianggap sebagai binatang. Dari segi rupa dan bentuk, manusia seperti gambar yang terukir. Tetapi, keistimewaan manusia ialah mengetahui tentang hakikat benda-benda. Manusia yang menggunakan seluruh anggota dan tenaganya untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan beramal, adalah serupa dengan malaikat. Semua pendapat yang datuk bentang itu berdasarkan pembacaan dari kitab-kitab agama terutama karya Imam Al-Ghazali. Tidak ada di antara kami yang ingin bertanya berhubung dengan perkara yang dihuraikan oleh datuk itu. Masing-masing terpegun, macam kena pukau.

“Tahukah kamu, Saiyidatuna Aisyah telah meriwayatkan Sabda Rasullullah yang bermaksud lebih kurang begini: Manusia itu kedua matanya sebagai petunjuk, kedua telinganya sebagai corong, lidahnya sebagai jurubahasa, kedua tangannya sebagai sayap, kedua kakinya sebagai pembawa utusan dan hatinya sebagai raja. Jika raja itu baik, maka baiklah tentera-tenteranya”, sambung datuk lagi sambil bangun.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 01:57 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

Datuk merenung ke arah Mahyuddin dan Dumba yang sedang meraba-raba dagu masing-masing. Datuk mengeliat untuk menghilangkan rasa lenguh.

"Aku harap, jangan ada di antara kamu yang bertanya perbezaan martabat binatang dengan manusia”, tambah datuk.
Kemudian datuk mencadangkan supaya kami pulang ke rumah. Cadangan datuk itu tidak mendapat sebarang bangkangan. Kami pun mula menapak meninggalkan kawasan tersebut. Satu perkara yang amat menyenangkan hati saya dalam perjalanan pulang atas sikap ramah yang diperlihatkan oleh Mahyuddin. Dia terus bercerita tentang manusia dan harimau.

"Di tempat saya, orang-orang yang memelihara harimau ataupun manusia harimau ataupun dikira sebagai manusia yang berilmu tinggi, biasanya tidak banyak cakap, selalu merendah diri”, kata Mahyuddin memulakan kisahnya dibawah sinar matahari yang tidak berapa garang.

Saya berusaha dengan seboleh-bolehnya supaya berada dekatnya untuk mendengar cerita. Akibat terlalu ghairah mahu mendengar cerita dari Mahyuddin saya terlanggarkan batang buruk hingga terjatuh dua tiga kali. Datuk tersenyurn saja melihat telatah saya yang agak lucu itu. Semua pokok-pokok kecil saya langgar tanpa menghitung atau mengira yang diri saya akan sakit dibidas oleh pokok-pokok yang saya rempuh itu. Menurut Mahyuddin untuk memelihara harimau atau menjadi manusia harimau seseorang itu mesti bertapa selama berbulan-bulan di dalam hutan.

"Setelah bertapa berbulan- bulan, berjaya mengatasi segala cubaan dan dugaan, seekor harimau akan mendekati si pertapa dan menyerahkan diri. Harimau itu terus ditunggangnya hingga sampai kekampung”, kata Mahyuddin sambil melompat parit kecil di depan.

Datuk tidak pula menyoal mahu bertanya sesuatu ketika Mahyuddin bercerita. Datuk hanya mendengar sambil melangkah dengan tenang. Dumba pula begitu berminat mendengar cerita Mahyuddin. Kalau boleh dia mahu Mahyuddin terus bercerita tanpa berhenti-henti.

"Susah tak pelihara harirnau?", saya menyoal cara mendadak.
"Memelihara harimau berbeza dengan memelihara kambing atau kerbau, memelihara harimau secara sembunyi- sembunyi. Harimau yang dipelihara hidup bebas dalam hutan. Bila kita perlukan panggil saja, pasti dia tiba."

"Faedahnya yang kita perolehi darinya?"

"Boleh dijadikan kawan, boleh disuruh menangkap ikan, menjaga rumah dan naik atas belakang”, Mahyuddin ketawa sambil menepuk- nepuk bahu saya.

"Perkara yang jelas, setiap pemelihara harimau tidak mempunyai tujuan jahat. Lagi apa yang mahu kau tanya pada aku, hai cucu seorang sahabat”, Mahyuddin berhenti berjalan, dia merenung wajah saya sambil berkata: "Kau mahu jadi manusia harimau?"

"Tak mahu."

Serentak dengan itu saya terdengar suara datuk dan Dumba ketawa panjang. Bagi menghilangkan rasa malu, saya buat-buat ketawa. Akhirnya kami sampai ke tepi jalanraya. Kami berhenti di situ buat beberapa minit. Sebenarnya, saya masih belum puas hati dengan apa yang saya tanyakan pada Mahyuddin. Masih ada lagi soalan-soalan yang mahu saya hadapkan padanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 8-10-2012 01:57 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

"Cukuplah kita berehat, mari kita melangkah”, datuk mengeluarkan perintah.

Dan perintah itu kami patuhi. SambiI berjalan saya terus bertanya dengan Mahyuddin secara perlahan-Iahan. Apakah ilmu memelihara harimau atau silat harimau dapat diwariskan pada orang lain?

"Ada yang boleh, ada yang tidak”, bisik Mahyuddin.

"Macam mana begitu?"

"Mengikut cara ilmu itu diperolehi ketika menuntut. Kalau sudah berjanji mahu mewariskan pada orang lain bolehlah diwariskan, kalau tidak maka tak boleh."

"Begitu."

"Jadi manusia harimau pula macam mana?"

"Lagi susah, kena menuntut."

Tiba-tiba datuk menepuk bahu saya dari belakang. Dengan kasar dia memisahkan saya dengan Mahyuddin. Rupa-rupanya datuk kurang senang dengan sikap saya itu.

"Tamar, apa yang kau tanyakan itu tak berfaedah untuk diri kamu, kamu tidak mustahak mengetahui semuanya itu”, suara datuk keras.

Saya terdiam. Mahyuddin tersenyum merenung arah datuk.

"Biar saya terangkan sahabat. Cucu sahabat bertanya tentang manusia harimau. Untuk jadi manusia harimau harus belajar silat harimau sampai ke peringkat paling tinggi. Itu saja yang mahu saya jelaskan padanya”, kata Mahyuddin pada datuk.

"Jangan layan sangat cucu saya tu. Dia tu kadang-kadang melalut tak tentu pasal."

"Tak apa, dia sekadar bertanya”, Mahyuddin segera menarik saya ke depan.

Saya dan Mahyuddin berjalan bersaingan. Datuk berjalan di belakang kami. Saya merasa bertuah kerana datuk tidak menolak permintaan Mahyuddin.

"Di kampung asal saya memang ada orang yang mewariskan harimau perliharaan umpamanya dari ayah ke anak hingga ke cucu- cicitnya. Kerana itu di kawasan kebun penduduk di sana selalu ditemui harimau yang sudah tua berkeliaran dengan keadaan kakinya yang pincang. Itulah harimau yang di wariskan dari ayah ke anak atau cucu”, saya amat puas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Mahyuddin itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 01:58 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 50 ~
Manusia harimau

Lepas itu, saya tidak lagi mengajukan apa-apa pertanyaan pada Mahyuddin, malah memisahkan diri darinya. Saya lebih senang berjalan bersaingan dengan Dumba di belakang. Biarlah datuk dengan Mahyuddin di hadapan. Akhirnya, kami sampai ke tempat asal. Dumba berpisah dengan kami. Dia menuju ke kedainya. Saya, datuk dan Mahyuddin terus menuju ke masjid. Kami menunaikan sembahyang Asar, kemudian baru mengqada sembahyang Zohor yang tertinggal.
"Mari ke rumah saya”, bisik Mahyuddin pada datuk setelah menunaikan kerja yang wajib.

Datuk terdiam, matanya merenung ke arah saya yang duduk bersandar di dinding masjid.
"Apa halnya? Dah petang begini saya malas nak bergerak ke mana-mana, niat hati tu nak balik saja ke kampung”, balas datuk.

"Ada hal yang mahu saya bincangkan dengan awak?"

"Bincang apa?

Awak dengan Dumba sudah elok."

"Ada hal lain, marilah."

Datuk termenung panjang, macam memikirkan sesuatu. Perasaannya berbalah sama sendiri, sama ada dia mahu menunaikan permintaan Mahyuddin atau tidak. Datuk terus melangkah menuju ke pintu masjid dengan diikuti oleh Mahyuddin. Mereka berhenti di situ, merenung ke halaman masjid yang lapang. Mereka tidak bercakap walau sepatah apa pun. Akhirnya, datuk dan saya serta Mahyuddin berdiri di halaman masjid. Saya terasa lapang kerana angin petang yang bertiup waktu itu memberikan rasa segar pada diri saya.

"Macam mana? Boleh pergi ke rumah saya?"

"Boleh”, balas datuk.

Saya lihat wajah Mahyuddin cukup riang. Dia terus menepuk-nepuk bahu datuk beberapa kali. Kemudian dia jadi kepala jalan membawa kami ke rumahnya. Bila saya dan datuk masuk ke rumahnya, saya dapati sudah ada hidangan ringan untuk makan petang tersedia di ruang tengah. Siapakah yang menyediakan semuanya itu? Apakah hidangan itu dihantar oleh harimau peliharaan Mahyuddin? Timbul pertanyaan dalam hati saya. Saya terus duduk bersila menghadapi hidangan yang tersedia.

"Minumlah”, pelawa Mahyuddin.

Datuk anggukkan kepala tanpa menyentuh cawan yang diisi dengan air teh panas. Bila datuk enggan meminum teh yang tersedia, Mahyuddin terus bertindak dengan meminumnya terlebih dahulu dan Mahyuddin yakin dengan perbuatannya itu akan menyakinkan hati datuk bahawa air teh yang tersedia tidak mengandungi racun.

"Kita tahu air teh ini bersih. Jangan ragu dengan kejujuran saya, tapi saya tidak berapa gemar minum teh sebelah petang”, kata datuk.

Mahyuddin tersenyum sambil menghulurkan cawan teh kepada saya, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, air teh itu terus saya hirup.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 02:01 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 51 ~
Rahsia seorang sahabat

Bebaskan diri dari rasa cepat marah, orang yang cepat marah adalah tempat syaitan bermain yang menjadikan kita menyimpan perasaan hasad dan dendam

Isikan dada dengan rasa sabar kerana sabar itu akan membuat kita mengenali diri sendiri yang serba kurang dan secara tidak langsung membuat kita berfikir, bahawa tidak ada yang lebih berkuasa di dunia ini selain daripada Allah
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2012 10:58 PM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 51 ~
Rahsia seorang sahabat

Tiba-tiba saya tersedak. Mata dan hidung terus berair. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke wajah saya. Renungannya begitu tajam. Tangan kanan saya yang memegang cawan teh terus menggeletar. Perlahan-lahan cawan itu saya letakkan kembali ke tempat asalnya (dalam talam kecil). Mahyuddin terus menepuk belakang saya perlahan-lahan, kemudian dia mengurut- ngurut dua tiga kali di bahagian tengah tulang belakang. Perjalanan nafas terasa normal kembali.

"Tak apa, tersedak tengah minum, menurut kata orang tua-tua, ada orang yang menyebut nama kamu Tamar”, ujar Mahyuddin.

"Itu tandanya, minum tak menyebut kalimah Allah, cuba baca Bismillah tadi, tentu tidak begitu jadinya”, sahut datuk.


Saya segera berpaling ke arahnya. Saya menggigit bibir, renungan datuk tidak lagi setajam tadi. Tetapi, saya tahu datuk begitu kesal dengan sikap yang telah saya lakukan itu.

"Dia tak sengaja, usahlah dikesalkan”, Mahyuddin bersuara.

"Saya tahu, kalau dari sekarang tidak ditegur nanti perbuatan itu diulang lagi. Malu kita bila disebut orang membela cucu yang tak tahu adat dan tak senonoh”, jawab datuk.

"Sudahlah, masih boleh dibetulkan”, balas Mahyuddin sambil tersenyum pada datuk.

Dari tingkap yang terdedah, saya dapat melihat awan petang yang berarak perlahan-lahan arah ke selatan, sesekali ternampak burung gagak terbang rendah mencari ulat di daun pisang nangka dan embun. Kerana datuk tidak menjamah pisang goreng dan air teh, Mahyuddin terpaksa membawa barang- barang itu ke dapur. Datuk sandarkan badan pada dinding rumah. Dahinya kelihatan berkedut macam memikirkan sesuatu, saya masih lagi melihat gumpalan awan serta burung gagak yang terbang bebas di luar.

"Kalau mengantuk bawa baring dulu”, kata Mahyuddin pada datuk.

Saya bagaikan terkejut dan merasa hairan, bila masanya Mahyuddin melintas di hadapan saya dari ruang dapur menuju ke ruang tengah. Berdasarkan pada tempat yang saya duduk itu, sesiapa saja yang mahu pergi ke dapur atau dari dapur mahu ke ruang tengah mesti melintas di hadapan saya. Ah, ini memang perkara pelik, macam mana saya tak boleh sedar langsung Mahyuddin melintas. Agaknya, dia mahu menguji kepandaian datuk lagi. Memanglah manusia Mahyuddin ini tidak boleh dipercayai. Semua persoalan itu bermain-main dalam kepala saya. Rasa curiga berbunga kembali dalam hati. Datuk harus diberitahu tentang hal ini, biar datuk bertindak segera, kalau lambat bertindak nanti celaka menimpa diri.

"Apa yang kau fikir Tamar?", tanya datuk dengan mendadak.

"Mahyuddin tuk”, kata saya semacam berbisik.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2025 06:56 PM GMT+8 , Processed in 0.073160 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list