|
Real tawar RM248j untuk Fabregas
| FABREGAS menjadi sasaran utama Real Madrid apabila pasaran perpindahan pemain musim baru dibuka.
|
MADRID - Read Madrid sedang menyiapkan 60 juta euro (RM248 juta) untuk mendapatkan bintang tengah dan kapten Arsenal, Cesc Fabregas.
Jika perjanjian menjadi kenyataan, Fabregas akan ke Real, manakala penyerang Perancis, Karim Benzema pula akan meninggalkan Real untuk menyertai Arsenal, lapor akhbar Sepanyol semalam.
Fabregas, yang sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk beraksi buat musuh ketat Real, Barcelona kini menjadi sasaran utama kelab gergasi Sepanyol itu.
Akhbar harian tempatan, Marca berkata, Real akan berusaha mendapatkan pemain antarabangsa Sepanyol berusia 23 tahun itu untuk musim depan.
Tawaran RM248 juta Real adalah harga yang jauh lebih tinggi berbanding yang sedia ditawarkan oleh Barcelona untuk mendapatkan bekas pemainnya itu.
Benzema, yang selama ini kurang mendapat perhatian pengurus Real, Jose Mourinho terpaksa menjadi 'korban' untuk ke London sebagai sebahagian daripada perjanjian.
Jurulatih Arsenal, Arsene Wenger sebelum ini berjaya menghalang Fabregas daripada menyertai Barcelona pada hujung musim lalu, meskipun kapten Gunners telah melaungkan hasrat untuk kembali ke pangkuan kelab di mana dia memulakan kariernya pada zaman remaja.
"Saya adalah penyokong Barcelona. Saya merupakan sebahagian daripada kelab ini, sama seperti datuk, pakcik dan sepupu saya. Kami adalah Catalan,'' ujar Fabregas tahun lalu.
Akhbar yang berpengkalan di Barcelona, Mundo Deportivo semalam melaporkan, meskipun rundingan perpindahan tahun lalu menemui kegagalan, namun Fabregas masih mempunyai "perjanjian perpindahan dengan Barca".
"Kedua-dua kelab hanya perlu mencapai perjanjian mengenai jumlah kewangan yang terlibat dalam operasi ini,'' tulis akhbar tersebut.
Menurut akhbar itu lagi, Fabregas mengharapkan jurulatih Barcelona, Pep Guardiola akan meningkatkan tekanan kepada Arsenal bagi pihak dirinya. - AFP |
|