|
Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`
[Copy link]
|
|
Bercakap dengan jin ~66 ~
Pendekar terbang
“Boleh kau tunjukkan tempatnya pada kami,” nada suara datuk mula lembut.
Kali ini datuk tidak merenung ke arah Daud. Datuk renung dinding. Saya lihat Daud merenung muka datuk. Perlahan-lahan Daud menjuihkan bibirnya ke depan, ia semacam memperkecil-kecilkan datuk.
“Pendekar Kamal, tidak mudah dijumpai atau ditemui. Lebih-lebih lagi, kalau orang yang mahu menemuinya mempunyai niat tertentu,” Daud segera bangun.
Melangkah dua tapak ke arah saya, berdiri di sisi saya. Tiba- tiba perasaan saya jadi gementar. Saya jeling ulas-ulas lengan Daud yang menonjol dan keras. Orangnya cukup tinggi hampir lima kaki tujuh inci. Saya jeling dadanya yang berbulu. Saya kira, kalau ia menghentakkan siku kanannya ke dada saya, pasti saya tersungkur.
“Saya tidak akan menunjukkan tempat Pendekar Kamal, walaupun tempatnya saya tahu,” cara mendadak sahaja Daud menjerit.
Ia terus menendang pelipat kaki saya, saya terus jatuh. Daud terus menendang apa sahaja yang ada di depannya. Saya cuba bangun. Belumpun sempat saya berdiri dengan betul, satu penendang hinggap di bahagian kanan perut saya. Saya terus menggulung- gulung atas lantai menahan kesakitan. Perut terasa senak. Daud terus melompat dan menyambar lembing.
“Sesiapa yang mahu kacau guru aku, aku bunuh sampai mampus,”
Daud mengacukan mata lembing ke arah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim tenang sahaja. Melihat datuk dan Haji Salim terpaku dengan tindakannya itu, Daud mula memperlihatkan taringnya. Ia melompat atas pelantar lalu mengambil parang panjang. Lembing di tangan terus dibuang.
“Daud,” jerit Haji Salim.
Serentak itu Haji Salim melompat lalu melepaskan penampar sulungnya yang lembut ke pipi kiri Daud. Tidak saya duga sama sekali penampar yang lembut itu boleh menyebabkan Daud jatuh tersungkur. Daud mengeletek macam ikan keli kena pukul. Mulut Daud kelihatan berbuih-buih sambil mengeluarkan suara dengkur, tidak ubah macam bunyi lembu yang kena sembelih.
“Macam mana awak buat budak ni Haji?” tanya datuk.
“Saya lepaskan bisa biar dia tahu tua-tua saya, bukan tua saja. Tua-tua saya, tua berisi.”
“Awak sudah keterlaluan.”
“Saya tahu. Melihatkan sikapnya yang takbur saya terpaksa menamparnya dengan bisa tangan.”
“Awak yang melepaskan bisa tangan, saya tidak upaya menawarnya. Awak tawarlah sendiri.” Haji Salim mendekatkan telapak tangan kirinya yang menampar muka Daud ke bibirnya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~66 ~
Pendekar terbang
Saya lihat bibirnya bergerak-gerak, kemudian jejarinya terus dicium. Haji Salim rapat ke arah Daud. Tangan kirinya diletakkan ke pipi Daud. Badan Daud yang menggeletar kembali macam biasa. Mulutnya yang berbuih, sudah tidak berbuih lagi. Dengkurnya yang meninggi mula menurun. Daud membuka mata dan terus duduk termenung, tidak ubah macam ayam mabuk tahi.
“Budak tu belum cukup pulih. Kalau dibiarkan begitu dia akan jadi bodoh seumur hidup,” datuk mengingatkan Haji Salim.
Saya lihat Haji Salim anggukkan kepala. Ia meninggalkan kami di ruang kerjanya, menuju ke ruang dapur. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh Haji Salim di ruang dapurnya. Haji Salim menemui kami kembali. Di tangannya ada secawan air putih. Ia terus menghampiri Daud. Kepala Daud digosoknya beberapa kali.
“Minum air ini,” ia memujuk.
Daud terus mengambil cawan di tangan Haji Salim. Tanpa berfikir panjang, Daud terus meneguk air di cawan sampai habis. Dalam sekelip mata sahaja, Daud terus bangun dan bertenaga kembali. Mata Daud kelihatan merah. Ia mula bertempik dan menyambar parang semula. Kali ini, terus menyerang dengan melulu. Saya terpaksa lari keluar. Daud memilih datuk sebagai sasaran utamanya. Ia terus menyerang bertubi-tubi.
Setiap kali Daud melibaskan parang panjangnya, datuk terpaksa melompat ke kiri, melompat ke kanan. Datuk terus menyusup ke bawah pelantar dan melindungkan badannya dengan papan. Datuk terus bersembunyi di situ. Melihat datuk menyusup bawah pelantar, Daud bertambah marah. Ia terus menjerit-jerit sambil memukul dadanya dengan hulu parang. Ia menoleh ke kanan lalu menyerang Haji Salim dengan bertubi-tubi. Macam datuk juga, Haji Salim terpaksa mengelak ke mana sahaja, asalkan mata parangnya tidak menjamah tubuhnya. Kekuatan Daud sungguh berbisa. Langkahnya cukup cepat macam kilat. Telapak kakinya seolah-olah tidak memijak lantai. Wajahnya cukup garang dan menggerunkan sesiapa yang melihatnya.
“Jangan apa-apakan budak itu, dia dah kemasukan syaitan. Pertahankan diri awak dari kena parangnya,” jerit datuk dari bawah pelantar mengingatkan Haji Salim.
Datuk tidak mahu Haji Salim bertindak sebarangan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
Mujurlah ingatan datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.
“Ah, haji laknat,” pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.
Daud melepaskan tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan badannya. Mata parang panjang singgah di papan diding dan terus melekat di situ. Daud menarik parang panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan serangan kilat. Haji Salim mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi mempertahankan diri begitu terhad. Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk menamatkan riwayat Haji Salim. Dalam keadaan yang terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud. Haji Salim berjaya mengguling-gulingkan badannya hingga beralih tempat ke arah pintu keluar. Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar. Dalam masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji Salim.
Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata parang di tangan Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim. Saya lihat darah memuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil menjilat-jilat kesah darah Haji Salim yang melekat di mata parang panjang. Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud. Daud ditolaknya hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus merampas parang panjang dari tangan Daud.
“Kau sudah melampau,” jerkah datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun.
Haji Salim segera mengambil kain untuk membalut luka di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam ruang kerja Haji Salim.
“Mengapa ini kau lakukan pada aku Daud,” Haji Salim renung muka Daud.
Saya lihat Daud terus membisu. Ia berdiri kaku sambil menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya. Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari datuk.
“Ah,” jerit Daud lalu menumbuk pangkal tengkuk datuk.
Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan datuk dan terus bertempik dengan sekuat hati. Daud terus keluar dari ruang tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan penduduk Kampung Mandi Upih. Sambil berlari Daud terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu- mahunya. Pokok pisang, dahan rambutan dan manggis jadi mangsanya. Tidak memadai dengan itu Daud terus membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
“Kita tangkap dia,” kata datuk.
Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut datuk memburu Daud yang lari menuju ke Kampung Gaduh. Saya tercungap-cungap dan berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, datuk tetap memaksa saya. Dari Kampung Gaduh, Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang. Dari Kampung Kilang ia terus mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan di Ulu Licin. Saya, Haji Salim dan datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim, orang-orang kampung sudah berkumpul. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi. Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci.
Selesai Haji Salim bercakap, datuk pula mengambil peranan, memeberikan penerangan selanjutnya. Saya lihat, baik datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka ketahui. Mereka tidak memburuk-burukkan Daud, mereka sekadar berkata bahawa Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di kampung.
“Usah bimbang. Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa,” beritahu datuk pada mereka.
Semuanya anggukkan kepala tanda setuju.
“Kami harap kalau ada hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak- anak dara sunti kami jadi korban tidak tentu fasal,” cara mendadak salah seorang daripada mereka bersuara.
Orang yang bersuara itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai tongkat.
“Mana yang kami tahu, kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah akan melindungi kita semua,” balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.
Orang-orang kampung puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai. Anehnya, tidak ada seorangpun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut. Mungkin mereka tidak nampak atau perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim. Satu hal yang pasti, sama ada datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan kemampuan diri masing-masing di mata orang kampung.
“Bagaimana dengan luka tu masih terasakah bisanya?” tanya datuk pada Haji Salim, bila keadaan suasana sekitar beransur aman.
“Tak apa, esok sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri,” jawab Haji Salim dengan tenang.
“Kalau begitu, biarlah kami pulang,” ujar datuk.
“Silakan, tapi…,” Haji Salim tidak meneruskan kata- katanya.
Ia termenung panjang sambil menatap batang tubuh datuk, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Melihat keadaan Haji Salim yang lain macam itu, datuk terus mengajukan pertanyaan.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
“Kenapa Haji?”
“Saya terasa badan kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut.”
“Agaknya bisa parang panjang.”
“Bukan.”
“Kalau bukan itu, apa dia?”
“Setiap kali saya teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa berpusing.”
“Bukan apa-apa tu, darah terlalu banyak keluar.”
“Boleh jadi betul, boleh jadi tidak cakap awak tu.”
“Terpulanglah pada awak,” balas datuk.
Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.
“Kampung kita dalam bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak,” Haji Salim menyambung perbualan yang terputus.
“Jumpa di mana? Di surau atau di rumah saya.”
“Di rumah awak. Ada rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah.”
“Baiklah.”
Saya dan datuk pun mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa pedih. Awan kelihatan putih bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa panas pada diri saya. Saya terus berjalan mengekori datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung merbah dan murai melompat di dahan. Kepala saya terus menggambarkan wajah guru Daud. Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu tengkuk saya meremang. Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak berani mengingati nama Daud dan gurunya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
Kami sampai di rumah. Saya terus mandi, begitu juga dengan datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh oleh nenek membersihkan kawasan rumah. Pada mulanya saya enggan melakukannya. Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya menyatakan kesanggupan.
Menjelang waktu Asar, seluruh kawasan rumah bersih. Tidak ada daun di halaman, tidak ada dahan atau ranting kayu yang berserakkan. Semuanya sudah dikumpul dan dibakar. Semut dan nyamuk habis lari. Ular dan kala terus membawa diri. Nenek memujuk saya sebagai orang yang rajin. Memang leceh bila nenek memberitahu saya upahnya akan dibayar selepas musim menuai.
Saya dan nenek terus bertengkar kecil. Tetapi, saya merasakan pertengkaran kecil itu menguntungkan saya. Sebabnya, lepas bertengkar nenek menaikkan upah dari lima ringgit menjadi tujuh ringgit. Nenek terus bayar tunai tanpa mahu menanti musim menuai. Ada syarat yang nenek kenakan. Syaratnya bukan susah. Lepas sembahyang Asar nanti, saya dimestikan membelah tujuh batang kayu getah untuk dijadikan kayu api. Masa itu wang tujuh ringgit cukup tinggi nilainya sama dengan nilai lima belas ringgit sekarang. Saya boleh membeli baju, seluar dan sepasang sepatu getah Fung Keong bertapak tebal atau saya boleh pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu dan tidur di hotel kelas rendah.
“Kau pergi sembayang dulu, lepas sembahyang selesai kerja tu,” ujar nenek.
Tanpa membuang masa saya terus mandi dan mengambil air sembahyang. Bila saya masuk ke ruang tengah datuk sudahpun menanti. Ia menjadi imam dan saya jadi makmumnya. Setelah memberi salam terakhir, saya hulurkan tangan pada datuk untuk bersalam. Waktu itu saya terlihat ada seorang lelaki duduk di sisi saya. Ia juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan datuk. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu datang. Ia memakai pakaian serba hijau. Dan serban hijaunya terikat kemas di kepala. Saya yakin orang inilah yang muncul di depan datuk kira- kira sebulan yang lalu. Saya tidak memperhiraukannya. Datuk menyambut salam dari saya. Dada saya berdebar kerana datuk tidak terkejut dengan kehadiran orang itu. Datuk menyambut salam darinya. Tetapi, bila telapak tangannya mahu menyentuh telapak tangan datuk, cepat- cepat orang itu menarik tangannya dan terus menyembunyikannya ke dalam saku bajunya. Orang itu memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu menentang wajah datuk. Orang itu lebih senang melihat sinar matahari yang beransur reda di luar.
“Kau benar-benar mahu menjahanamkan aku,” orang itu bersuara dengan tenang tanpa merenung wajah datuk.
Bila dilihatnya datuk tidak mengindahkan cakapnya, ia terus menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Datuk terus membaca doa hingga tamat.
“Jangan begitu, akibatnya buruk,” tambah orang itu lagi.
“Maksud kamu?” soal datuk.
“Kau menyeksa anak murid aku.”
“Siapa anak murid kamu?”
“Daud.”
“Daud?” ulang datuk dengan rasa gugup.
“Ya. Itu saja yang mahu aku ingatkan kamu. Aku nak balik ke Ulu Kelubi,” orang itu segera bangun, melangkah ke pintu.
Berdiri di situ sejenak merenung ke dalam rumah. Ia terus memijak anak tangga. Dalam beberapa minit sahaja orang itu hilang dari pandangan saya dan datuk. Datuk terus menemui nenek. Mereka bercakap seketika. Datuk kembali ke ruang tengah mengenakan baju putih ke badan. Ia sarung seluar warna kelabu. Tanpa menegur saya datuk turun dari rumah. Saya segera menemui nenek.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
“Datuk nak ke mana nek?”
“Katanya nak pergi ke Kampung Ulu Kelubi, apa pula halnya tak beritahu aku.”
“Ha, saya nak ikut,” jerit saya lalu meninggalkan nenek.
Datuk terus saya buru. Datuk singgah di rumah Haji Salim sebentar. Dilihatnya Haji Salim terbaring di atas pelantar. Datuk rasa badan Haji Salim. Ternyata badan Haji Salim panas, keliling lengannya yang kena parang mula membengkak. Haji Salim tidak dapat menggerakkan tangannya.
“Badan aku tak berapa sihat, kau seorang saja pergi ke Kampung Ulu Kelubi, jumpa Lebai Din. Cucu kamu tahu rumahnya,” ujar Haji Salim sambil merenung ke arah saya.
Datuk anggukkan kepala. Ia tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun untuk saya. Tetapi, dari kerdipan mata dan air mukanya, saya yakin datuk merestui saya mengikutinya.
Kami terus ke rumah Lebai Din. Saya terus memperkenalkan datuk dengan Lebai Din. Mereka terus bercakap penuh mesra, ada nasihat tertentu yang disampaikan oleh Lebai Din pada datuk. Semuanya di dengar oleh datuk dengan teliti.
“Hati-hatilah dengan orang itu. Saya tak boleh melihat rupanya tetapi setiap kali ia bercakap dengan saya, saya rasa dia bukan sebarang orang. Banyak ilmu salah yang dimilikunya,” terang Lebai Din.
“Saya bukan apa-apa. Saya cuma nak berjumpa dan bercakap-cakap panjang dengannya,” jawab datuk.
“Kalau niat awak baik, Allah menyebelahi awak.”
“Saya berdoa Allah akan melindungi saya,” suara datuk merendah.
Kami pun terus meninggalkan rumah Lebai Din. Saya dan datuk terpaksa meredah kebun getah yang cukup luas. Pokok getah tua yang berbatang besar masih mampu mengeluarkan susu getah yang banyak. Dedaunnya kelihatan menghijau serta bergoyang- goyang di tolak angin petang. Kulit buah getah berserakkan atas rumput. Pot-pot getah bertaburan di pangkal pokok getah. Langkah datuk cukup cepat, ia kelihatan bagaikan tidak menghadapi masalah memijak ranting dan kayu yang lintang pukang di celah- celah nirai getah. Saya terpaksa melangkah dengan hati-hati, silap langkah saya akan tersepakkan tunggul atau akar yang merayap di bumi. Berjalan di celah-celah nirai pokok getah terasa amat seronok.
Cahaya matahari tidak menjamah muka kerana dihalang oleh dedaun getah yang lebat dan berlapis-lapis. Saya dan datuk sampai ke kepala sawah. Dari situ kami melihat ke arah sebuah pondok lama yang terletak di tengah-tengah sawah. Pondok itu didirikan di atas sebidang tanah yang agak tinggi dari permukaan sawah. Kawasannya agak luas. Ada pokok kelapa gading yang berbuah lebat di samping beberapa batang pokok rumbia. Untuk ke pondok lama tersebut, kami terpaksa melalui batas yang sempit dan memanjang. Di kiri kanan batas yang penuh dengan pokok-pokok padi yang baru bunting, anak- anak ikan haruan dan keli berlari liar di celah-celah padi.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
Angin yang bertiup membuat air dalam sawah bergelombang. Saya dan datuk terpaksa memijak batas dengan teliti serta mengimbangi badan. Kalau tidak pandai mengimbangi badan pasti jatuh ke dalam pohon padi. Seluruh badan akan basah kena air sawah. Lumpur sawah akan masuk ke mata. Saya menarik nafas panjang kerana berjaya sampai ke kawasan pondok lama.
Saya lihat pintu dan tingap pondok lama tertutup rapat. Rumput tumbuh subur hingga ke bawah pondok. Saya renung ke arah datuk yang berdiri di sisi saya. Datuk anggukkan kepala memberi syarat, supaya mara ke arah pondok. Saya terus mengekori datuk hingga ke kaki tangga pondok lama. Tanpa di sangka-sangka, pintu pondok lama terbuka sendiri. Seorang lelaki tua duduk di muka pintu. Bau hapak mula datang menerkam lubang hidung. Tekak saya mula terasa loya dan mahu muntah.
Orang tua itu menjuntai kaki kanannya. Saya lihat ada tokak di buah betisnya, beberapa ekor ulat macam ulat nangka jatuh ke tanah. Ulat yang masih lekat di tokaknya terus bergerak- gerak memakan daging buah betisnya. Memang menggelikan melihat ulat-ulat hidup yang jumlahnya bukan sedikit bergerak. Saya tergamam bila orang tua itu mengambil ulat-ulat yang jatuh atas tangga lalu menaruh kembali pada tokaknya.
“Apa hajat?” tanyanya pada datuk.
“Tadi kita berjumpa tapi tak puas. Fasal itu saya datang lagi ke sini.”
“Oh, awak salah orang.”
“Tidak.” “Awak yakin.”
“Saya yakin awaklah yang datang ke rumah saya dan sembahyang bersama.”
Mendengar cakap datuk itu, orang tua tersebut terdiam. Wajahnya yang kasar dan keras, penuh dengan parut berubah menjadi pucat. Memang, kalau direnung wajah orang tua itu lama- lama terasa seram sekali. Sepasang matanya kelihatan besar. Kiri dan kanan di bawah kelopak matanya ada kulit tumbuh yang berlapis- lapis. Kulit itu kelihatan lembik. Kulit pipi sebelah kanannya menggerutu dan lembik macam telinga gajah. Manakala kulit pipi sebelah kiri terdapat seketul tahi lalat hitam, sebesar telur ayam. Tahi lalat yang melekat di pipi macam terjuntai-juntai. Bila ia bergerak ke kanan atau ke kiri, tahi lalatnya itu kelihatan terbuai-buai. Di bawah dagunya tumbuh daging tebal yang berair. Dan parut kelihatan di mana-mana atas kulit mukanya. Bibir atas dan bibir bawahnya tebal. Hidungnya dempak dan besar. Sebelah keningnya tidak berbulu.
“Sial,” pekiknya lalu menutup pintu.
Datuk dan saya berpandangan. Matahari petang bertambah condong, angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kelapa melintuk ke kiri, melintuk ke kanan mengikut arahan tiupan angin.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
“Ya, aku datang,” saya dan datuk pusing badan ke kiri.
Di situ muncul seorang lelaki berpakaian serba hijau. Ia memberi salam pada datuk, segera datuk menjawabnya. Orang itu tersenyum.
“Sudahlah Kamal, kau jangan memperdayakan aku lagi,” datuk segera menyinsing lengan.
Saya terus lari ke pangkal pokok kelapa. Sandarkan badan di situ.
“Mana murid kamu yang membuka rahsianya, kau perdayakan mereka, kau pura-pura mengajar agama dan silat. Ajaran agama yang kau bawa bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Kau tidak mengajak mereka pada kebaikan, kau mengajak mereka pada jalan kejahatan untuk kepentingan dirimu.”
“Kau silap kawan.”
“Aku tidak silap Kamal. Kau memang orang yang tahu tentang agama dan mempelajari agama secara mendalam. Sayangnya kau jadikan agama sebagai alat untuk memenuhi kemahuan kamu.”
“Buktinya?”
“Tak payah aku terangkan. Kau ke mari kerana mencari aku untuk membalas dendam. Banyak rancangan kau yang aku gagalkan.”
“Ya,” jawab orang itu.
Serentak dengan itu, pakaian hijau yang membalut tubuhnya terbuka. Dan badannya terus dibalut dengan pakaian serba hitam. Di kepalanya terletak tanjak berwarna hitam, kain sampingnya juga hitam. Kaki seluarnya kecil dan agak singkat. Ia berdiri berpeluk tubuh, macam seorang pendekar.
“Dia pakai pakaian dua lapis, tapi macam mana ia membuka pakaian hijau di badannya,” hati saya tertanya dan terus berubah tempat.
Dari pangkal pokok kelapa duduk di anak tangga. Saya menarik nafas dengan tenang. Saya tahu sebentar lagi, saya akan menyaksikan satu pertarungan yang hebat.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” kata orang itu sambil merenung ke arah sebatang pokok pisang dara.
Tiba-tiba pokok pisang dara itu patah dua. Orang itu memperlihatkan kemampuan kuasa matanya di depan datuk. Tidak memadai dengan itu, ia renung ke arah seekor tupai yang sedang melompat dari hujung dahan mempelam menuju ke hujung pelepah rumbia. Tupai itu jatuh atas tanah, mengeletek tidak tentu arah dan terus mati. Melihatkan kehebatan yang diperlihatkan oleh orang itu, saya rasa datuk bukanlah tandingannya. Ilmu kebatinan yang dimiliknya sungguh hebat sekali. Saya segera menghampiri datuk. Saya mengajak datuk pulang. Bagi saya, kalau dengan Daud datuk mengalah, betapa pula ia akan menentang gurunya. Saya tidak mahu melihat datuk yang saya sayangi kalah untuk kali keduanya. Bukan zamannya untuk datuk beradu kekuatan lagi, usianya kian bertambah tua.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
“Pulang saja tuk.”
“Kau diam, orang pengecut bukan keturunan aku,” tengking datuk.
Saya termangu-mangu bila ditengking begitu. Kamal terus memperlihatkan kemampuannya lagi. Ia membuka langkah silat sambil menarik kaki seluarnya yang menyimpan tokak. Anehnya, tokaknya memang tidak kelihatan. Kakinya tetap elok macam kaki orang biasa. Tidak ada tokak, tidak ada ulat macam ulat nangka. Kamal membengkokkan badannya. Kedua belah tangannya dibuka lebar-lebar. Ia terus melompat separas pucuk padi. Ia berjalan dan bersilat atas pucuk-pucuk padi yang menghijau. Tidak ada pokok padi yang patah atau daunnya relai. Keadaan Kamal seperti orang memperlihatkan senaman aerobik. Dari atas pucuk-pucuk padi Kamal melompat lagi. Kami ini ia berada di awang-awangan terus membuka silatnya. Ia seolah-olah seperti orang terbang bergerak ke sana, bergerak ke sini, di udara dengan bebas. Tiba-tiba Kamal menghilangkan diri.
“Bagaimana?” katanya dengan muncul dari arah belakang saya.
Kali ini badannya diselimut dengan kain hitam. Cuma bahagian mukanya sahaja yang kelihatan. Bila saya melihat keadaannya begitu, saya teringat orang yang berjubah hitam di kubur lama. Suaranya juga macam suara orang di kubur lama. Datuk segera menoleh ke arahnya. Kamal mendepangkan kedua belah tangannya. Dari celah-celah kain hitam yang menyelimuti seluruh tubuhnya keluar beberapa ekor ulat dan lipan. Merayap atas kain hitam, tidak tentu arah.
“Syaitannya cukup kuat,” kata datuk sambil menggigit bibir.
Saya terdiam dan terus merenung ke arah tingkap pondok yang terbuka dengan sendirinya. Di situ saya lihat Daud tersengih. Ia melontarkan sebatang kayu ke arah Kamal. Kamal terus menyambutnya, dengan kayu itu Kamal terus menyerang datuk.
“Persediaan kita belum cukup Tamar, mari kita balik,” kata datuk pada saya.
Datuk terus meniti batas menuju ke arah kebun getah dengan layu. Saya terpaksa berlari. Sayup- sayup saya terdengar suara ketawa Kamal dan Daud.
Sebelum matahari berada di puncak bukit, saya dan datuk sudah pun berada di rumah. Nenek memberitahu datuk yang Haji Salim sakit tenat. Luka di lengan kanannya terus dihurungi ulat-ulat yang besar. Ulat-ulat itu membiak dengan cepat sekali memakan daging lengan dan menghisap darah Haji Salim.
“Badannya tidak bermaya, mukanya pucat,” beritahu nenek pada datuk.
Tanpa membuang masa, kami pergi ke rumah Haji Salim. Memang benar cakap nenek, Haji Salim terkapar di pelantar di depan isterinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~67 ~
Pelihara ulat tokak
“Kita bawa saja ke hospital,” kata isteri Haji Salim pada datuk.
“Nanti dulu. Ini sihir, mana boleh luka baru terus berulat. Ambilkan saya satu baldi air, tujuh helai daun limau purut, tujuh helai pucuk ubi gajah, taruhkan semuanya itu dalam baldi air tadi,” beritahu datuk pada isteri Haji Salim.
Sementara menanti barang- barang yang dipesan itu tiba, datuk terus memeriksa lengan Haji Salim yang luka. Saya lihat ulat-ulat itu sama panjang dan bentuknya serupa dengan ulat-ulat yang terdapat pada tokak di kaki Kamal. Luka di lengan Haji Salim mula mengeluarkan bau hapak.
“Haji,” seru datuk.
Haji Salim membuka mata dan merenung sayu ke arah datuk.
“Terasa bisa seluruh badan,” soal datuk lagi.
“Ya, kau usahakan. Ini kerja sihir. Ada orang yang mengamalkan ilmu tuju ulat. Orang ini mengamalkan Ilmu Cenderaular, semuanya bertuhankan syaitan,” kata Haji Salim.
Datuk menarik nafas panjang. Barang-barang yang dipesan oleh datuk pada isteri Haji Salim pun tiba. Datuk terus bersila menghadapi baldi yang berisi air, pucuk ubi gajah dan daun limau purut. Perkara pertama yang datuk lakukan membaca ayat fatihah seribu kali. Kemudian, ia membaca surah yasin, tiga kali berturut.
“Bersedia Haji, kami nak jiruskan air ke badan,” datuk bangun lalu menjinjing baldi berisi air.
Perlahan-lahan datuk tumpahkan air ke tubuh Haji Salim yang dimulai dari ubun- ubun kepala membawa ke hujung kaki. Selesai sahaja datuk melakukan semuanya itu, badan Haji Salim terus menggeletar. Dan ulat-ulat yang mengerumuni luka di lengannya terus gugur satu persatu atas lantai pelantar.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Cuba kau tengok Tamar, apa yang jatuh atas lantai,” cukup lembut datuk mengeluarkan perintah.
Dengan rasa jijik saya segera mematuhi cakap datuk. Saya periksa ulat-ulat yang ada atas lantai.
“Bukan ulat tuk,” beritahu saya terketar-ketar.
“Kalau bukan ulat, apa bendanya?”
“Benang putih yang sudah reput dan bercerai-cerai, kalau dikumpulkan jumlahnya dekat tiga buku benang.”
“Sebenarnya, penglihatan kita sudah disihir. Benang nampak macam ulat,” datuk terus renung ke muka isteri Haji Salim.
Datuk juga menyuruh isteri Haji Salim mencari tiga pucuk pisang tanduk yang belum kembang penuh. Isteri Haji Salim menyediakan bahan-bahan tersebut. Tubuh Haji Salim diletakkan atas pucuk pisang tersebut, manakala kepalanya dilapik dengan badan kukur kelapa. Mata kukur yang bergigi seratus dicabut. Diikat pada ibu kaki kanan dan kiri Haji Salim. Tubuh Haji Salim tidak menggeletar lagi. Ia terbaring kaku, macam orang pengsan. Beberapa minit kemudian, Haji Salim membuka mata. Mukanya yang pucat kembali menjadi merah. Pucuk pisang yang melapik badannya terus kecut dan layu, seperti kena api. Haji Salim terus duduk. Bengkak di lengannya terus surut. Wajah datuk direnung oleh Haji Salim seketika, seolah-olah mengucapkan ribuan terima kasih. Datuk terus memeluk tubuh Haji Salim erat-erat.
“Kita sedar kita kena sihir, tapi tak terdaya melawannya. Pengaruh syaitan tu cukup kuat. Kita jadi lupa dengan beberapa ayat Quran yang perlu dibaca bila terasa diri disihir orang,” beritahu Haji Salim pada datuk dalam keadaan suara yang terputus- putus.
Datuk terus menepuk-nepuk belakang Haji Salim sambil berkata: “Rawatlah luka awak tu. Kalau tak boleh pergi saja ke klinik kerajaan.” “Rasanya, boleh dibuat cara kampung.”
“Buatlah mana yang patut. Asalkan luka awak sembuh.”
“Saya cuba. Dengan izin Allah, tetap sembuh.”
Saya cuma tersenyum sahaja mendengarkan perbualan datuk dengan Haji Salim. Isteri Haji Salim juga tersenyum. Senyumnya tentu lebih lebar daripada saya. Suaminya sudah beransur pulih. Datuk juga menceritakan pada Haji Salim tentang usahanya mencari rumah Dukun Pendekar yang mencari guru pada Daud. Haji Salim anggukkan kepala.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Saya tidak mampu melawannya. Ilmu batinnya yang diapit syaitan cukup kuat,” terang datuk dengan wajah kesal.
“Berusaha dan berikhtiarlah. Kalau dibiarkan ramai orang yang jahanam.”
“Tengoklah, sebelah malam nanti saya pergi lagi ke pondoknya.”
“Kalau begitu, biar saya ikut sama.”
“Tak payahlah, diri awak belum cukup baik.”
“Apa yang boleh saya tolong?”
“Awak doakan kejayaan saya.”
“Saya berjanji.”
Datuk terus bersalam dengan Haji Salim. Kami meninggalkan rumah Haji Salim. Waktu saya sampai di kaki tangga rumah datuk, matahari sudah pun berada di kaki langit. Beberapa ekor burung gagak berterbangan menuju ke sarang. Kelawar mula mengembangkan kepak mahu memulakan tugas mencari rezeki. Saya renung ke langit, cukup bersih. Saya lihat keluang terus terbang berkawan- kawan mencari bunga durian. Cara kebetulan waktu itu musim durian berbunga di kampung saya. Terdengar sayup-sayup tembakan senapang kampung berlaras satu, berturut-turutan. Dan fahamlah saya tembakan itu dilepaskan oleh beberapa orang Cina yang datang dari Sitiawan dan Air Tawar yang suka makan daging keluang.
“Cepat mandi. Maghrib dah tiba, kita nak pergi ke surau sekarang. Kau lambat, kau tinggal,” sergah datuk dari anjung rumah.
Ia sudah siap mandi dan mengenakan pakaian yang rapi.
“Malam ini, ada guru agama dari Jabatan Agama Islam mengajar rukun haji dan mandi mayat,” sambung datuk lagi.
Tanpa membuang masa saya terus mandi. Tergesa-gesa sarungkan kain pelekat dan baju Melayu. Kepala saya terus diserkup dengan ketayap putih.
Saya meninggalkan surau kira-kira jam sebelas lebih. Lepas makan malam, saya terus masuk ke bilik tidur. Datuk terus membaca Quran di ruang tengah. Mungkin badan terlalu letih, saya terus terlelap. Saya terjaga, bila datuk menyentapkan kaki kanan saya agak kuat dari biasa. Tanpa fikir panjang, saya terus duduk.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Cepat sangat Subuh datang.”
“Bukan Subuh. Baru pukul tiga pagi. Bangun ikut aku.”
“Ke mana tuk?”
“Bangun, jangan banyak cakap.”
Saya terus bangun dan tukar pakaian. Kemudian terus mengikut datuk menuju ke pondok lama di tengah sawah. Berjalan, dalam keadaan yang agak gelap dalam suasana yang dingin memang terasa sukar sekali. Dua tiga kali saya terjatuh kerana tersepakkan tunggul dan ranting kayu.
“Melangkah dengan teliti,” beritahu datuk bila kami sampai di halaman pondok lama.
Semua pintu dan tingkap pondok tertutup rapat. Dari celah-celah papan dinding yang susunannya tidak teratur dan rapat, terlihat cahaya pelita minyak tanah. Saya dan datuk mengintai ke dalam pondok melalui celah- celah papan dinding. Ada dua tubuh bengkok terkapar atas lantai, macam angka lima yang jaraknya tidak jauh dari pelita minyak tanah. Mereka memakai baju dan seluar hitam. Saya kenal mereka. Lelaki yang meletakkan tangannya atas leher sambil mengeluarkan dengkur yang kecil itu ialah Daud. Manakala lelaki yang merapatkan kepala lututnya dengan pangkal dagu dan tidak berdengkur itu ialah Kamal, guru pada Daud. Tidak jauh dari pelita minyak tanah, di sebelah kanan terdapat beberapa keping daging kering yang nipis, diletakkan atas daun pisang. Sekali pandang daging itu bentuknya macam paru goreng. Tidak jauh dari daging kering terdapat dupa yang diisi dengan bara. Dupa itu mengeluarkan asap yang nipis bersama bau kemenyan.
“Apa benda yang macam daging kering tu tuk?”
“Cuba kau kira, berapa jumlah daging kering tu,” selesai mendengar cakap datuk itu, saya terus menghitung daging kering tersebut.
“Ada tujuh keping tuk.”
“Maknanya, mereka sudah memotong tujuh lidah anak dara sunti.”
“Ah…,” keluh saya cemas.
Badan saya mula terasa seram sejuk. Perkara-perkara yang buruk dan menakutkan mula terbayang dalam kepala.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Mereka baru lepas memuja lidah,” bisik datuk ke telinga saya.
Datuk terus menggaru pangkal pipi kanannya yang digigit nyamuk. Seekor katak puru melompat tidak jauh dari kaki saya. Beberapa ekor nyamuk mula menggigit cuping telinga saya. Angin pukul tiga pagi terus bertiup garang. Dedaun rumbia berlaga sama sendiri, begitu juga dengan daun kelapa. Dahan dan ranting kering terus gugur ke bumi. Bunyi dedaun rimba, daun kelapa dan reranting yang jatuh itu bila berpadu menimbulkan bunyi yang tidak menentu. Sesekali terdengar macam bunyi suara bayi menangis. Bila diteliti terdengar seperti bunyi orang mengeluh menahan kesakitan. Ada masanya pula macam bunyi orang ketawa. Disebabkan saya tahu punca dari semuanya itu adalah dari dedaun dan ranting jatuh yang ditiup angin, hati saya tidaklah cemas sangat tetapi debarnya tetap ada. Tiba-tiba saya lihat Kamal bangun. Ia membuka seluarnya dan bertelanjang bulat. Saya menutup muka bila ia menghalakan anunya yang hodoh ke arah saya.
“Sial, haram jadah,” kutuk saya.
Datuk tersenyum melihat telatah saya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi air, saya membuka mata. Ya Allah, kenapa begitu buruk benar perangai Kamal. Ia kencing berdiri dalam pondok yang jadi tempat tidurnya. Kamal sarung seluarnya kembali. Ia duduk sambil mengutip ulat-ulat tokak yang jatuh atas lantai, ditaruh ke dalam tokaknya kembali.
“Masuklah kenapa mengintai, perbuatan tu tak baik,” cara mendadak sahaja Kamal bersuara.
Saya tahu, kata-kata itu ditujukan pada datuk dan saya. Cepat-cepat bahu datuk saya cuit.
“Jangan silap, dia bukan bercakap dengan kita. Dia bercakap dengan orang lain.”
“Ah, dengan siapa tuk.”
“Kau cakaplah.”
Cakap datuk itu memang tepat, saya lihat salah satu lidah yang ada di depannya bergerak-gerak. Lidah itu berpusing-pusing di depan Kamal sebentar. Kemudian lidah itu terus berdampar atas dupa. Bara dalam dupa terus padam. Kepulan asap bertambah tebal keluar dari dupa. Dari gumpalan asap itu, saya lihat ada kepala manusia terawang-awangan. Dari mulutnya terjelir lidah yang panjang dan menitik darah segar ke dalam dupa. Kepala yang botak licin dengan dua mata terpelohong ke dalam berpusing-pusing atas dupa. Berhenti bila mata yang berlubang itu menentang mata Kamal. Daud terus berdengkur, tidak tahu apa yang berlaku pada sisinya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Kamu lapar?” tanya Kamal.
Lidah yang terjulur dari kepala yang licin itu tersentap ke dalam. Dari matanya yang terpelohong ke dalam memancarkan cahaya bara yang menyilaukan pandangan saya. Perlahan-lahan Kamal mengangkat kakinya tokak itu ke arah bara. Beberapa detik kemudian, lidah dari kepala botak terjulur kembali. Kali ini lebih panjang dan lebar dari tadi. Lidah yang merah segar itu terus menjilat-jilat tokak di kaki Kamal, macam lidah kucing menjilat susu yang tumpah. Beratus-ratus ekor ulat dari tokak Kamal berlari atas lidah dan hilang ditelan oleh kepala licin. Perkara itu berlangsung kira dua tiga minit sahaja. Semua ulat-ulat di tokak Kamal hilang. Kamal menarik kakinya kembali. Tanpa dikejutkan oleh sesiapa, Daud terus bangun dan melukakan ibu jari kakinya dengan pisau lipat. Darah merah memancut dari ibu kaki. Sebelum darah itu menitik ke atas lantai, Daud menghalakan ibu jari pada lidah dari kepala botak. Keadaan Daud dan Kamal berbeza sekali. Ulat di tokak Kamal dijilat dengan lidah tetapi darah Daud terus disedut dengan rakusnya oleh kepala di atas dupa. Masa darahnya disedut, Daud tetap senyum.
“Tarik kaki kamu,”
Kamal mengeluarkan arahan.
Cepat- cepat Daud menyentap kakinya. Kepala licin di atas dupa berpusing lagi. Asap kian tebal dan menghitam. Asap yang menebal di dupa mula menipis. Kepala manusia yang menggerunkan itu masih berada di situ. Kali ini ia tidak berpusing. Kepalanya yang botak licin mula ditumbuhi oleh rambut yang hitam lebat dan panjang sampai ke atas lantai. Dan rambut itu seolah-olah menjadi tiang untuk kepala tanpa badan itu berada dalam keadaan tegak.
“Lidah anak dara sunti masih belum cukup 44. Kalau tak cukup apa yang kamu tuntut tidak akan menjadi. Kamu tidak akan menjadi kaya- raya. Kamu tidak akan dapat harta karun. Kamu tak boleh hidup sampai dunia kiamat,” terdengar suara parau yang keras.
Tidak tahu dari arah mada datangnya. Tetapi yang pasti, mulut dari kepala yang kaku atas dupa itu bergerak-gerak. Matanya nampak berkedip-kedip sekali sekala.
“Apa yang kamu dapat sekarang cuma separuh sahaja. Pantangnya kamu tidak boleh kena air dan pasir yang timbul di tengah sungai. Semua pantang itu menjadi tawar bila dapat 44 lidah anak dara sunti,” bergema lagi suara parau yang keras.
Kamal termenung dan merenung muka Daud. Kamal terus mengangkat kedua belah tapak tangannya ke dahi.
Ia menyembah kepala di atas dupa sambil berkata: “Kami dalam bahaya di sini, Mahaguru.”
“Aku tahu, kamu harus pindah. Cari mangsa di tempat lain.”
“Ya Mahaguru.”
“Kamu sekarang diintip musuh.”
“Ha…,” Kamal terus melompat seketika.
Kemudian duduk kembali dengan tenang. Asap dalam dupa berhenti. Kepala yang ada di situ terus hilang. Apa yang saya lihat sekarang, ialah keping lidah yang terawang-awang dan kembali terkapar di atas lantai bersama lidah-lidah kering yang lain.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Sebelum mereka menyerang kita, elok kita balik,” kata datuk.
Kami tergesa-gesa pulang. Waktu kami meniti atas batas bendang, kami melihat sejenis cahaya yang memanjang memancar di atas bumbung pondok lama. Cahaya itu bergumpal-gumpal di situ dan bentuknya macam kepala ribut.
“Syaitan,” tutur datuk sebaik sahaja sampai ke kawasan kebun getah.
Saya menoleh melihat cahaya yang sudah bertukar rupa. Kali ini muncul dari tulang bumbung pondok lama. Bentuk cahaya itu sebesar telur ayam, merah menyala dalam jumlah antara sepuluh hingga dua puluh biji. Cahaya bulat itu kelihatan bergolek-golek atas atap rumbia. Kemudian bertukar jadi memanjang dan tajam menuju ke dada langit dalam bentuk ekor ikan pari. Sekali pandang macam bunga api dengan berbagai-bagai warna. Bila cahaya yang menuju ke dada langit itu hilang, saya dapati api membakar daun- daun getah yang kering di sekeliling saya. Api itu terus marak. Katak dan cengkerik bertempiaran lari menyelamatkan diri.
“Jangan peduli dengan api tu,” kata datuk lalu menarik tangan saya untuk merempuh api.
Saya keberatan untuk melakukannya. Saya bimbang kalau kaki seluar saya disambar api, badan saya pasti terbakar.
“Ikut aku, jangan banyak fikir,” tambah datuk lagi dengan nada suara yang keras.
Badan saya mula berpeluh. Bahang api membuat saya jadi tidak tentu arah. Api terus marak, kiri kanan, depan dan belakang penuh dengan api.
“Kita tersepit tuk, kita boleh mati di sini tuk!” kata saya.
“Kalau Allah berkehendakkan kita hidup, kita tetap selamat. Tapi saya bimbang.”
“Apa yang kau bimbangkan?” sergah datuk sambil menjengilkan sepasang matanya.
Saya terus terdiam. Di langit, bulan sabit mula muncul. Awan putih berarak tenang di langit biru. Angin dinihari terus bertiup menggugurkan dedaun getah yang sudah tua. Peluh dingin terus menguasai sekujur tubuh saya. Pejam celik saya menatap wajah datuk dalam keadaan yang selamba. Api kian menghampiri diri saya dan datuk. Perlahan- lahan datuk membongkokkan badan mengambil sekepal tanah. Dengan tenang tanah yang dikepal itu terus diserakkan ke arah api yang mengelilingi kami.
“Biasanya dengan cara ini dapat menahan perbuatan syaitan,” kata datuk sambil merenung ke arah saya yang sedang menyapu peluh di dahi dengan telapak tangan.
Tiba-tiba datuk kelihatan resah. Api tidak juga padam malah kian meninggi. Gegendang telinga saya menangkap suara orang ketawa yang dibawa oleh angin dinihari.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Terlalu kebal ilmunya Tamar.”
“Apa yang mesti tuk buat.”
“Sabar. Allah memberkati orang yang berusaha.”
“Hum….,” keluh saya separuh kecewa.
Datuk membongkok lagi. Kalau sebentar tadi ia mengepal tanah dengan tangan kanan, kali ini ia mengepal tanah dengan tangan kiri dan tanah itu terus diserakkannya dari arah kiri membawa ke kanan. Saya terkejut, api yang menjulang terus menjadi kecil dan akhirnya padam.
“Kita tak boleh tunggu lama di sini,” datuk terus menarik tangan kanan saya.
Sepasang bibir datuk terus bergerak- gerak. Apa yang dibacanya saya tidak tahu.
“Jangan tengok,” suara datuk meninggi, bila ia melihat saya enggan melangkah dan masih merenung ke arah dedaun getah kering yang bertaburan atas tanah.
Saya merasa pelik kerana tidak terdapat kesan abu atau dedaun kering yang rentung dimamah api.
“Langkah cepat,” datuk mendesak dan perintahnya itu saya patuhi.
Kami terus melangkah dalam nirai getah. Langkah datuk terlalu cepat. Saya tercungap-cungap mengikutnya dari belakang.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
Angin dinihari terus bertiup menggugurkan dedaun getah tua. Suara kokok ayam sayup-sayup terdengar. Suara burung tukang muncul sekali sekala bersama dengan laungan anjing. Suasana demikian membekalkan rasa cemas dan bimbang dalam diri saya. Dua tiga kali perasaan saya tersentak, bila beberapa ekor katak puru yang memburu serangga melompat berhampiran kaki seluar saya. Memang timbul niat mahu memijaknya supaya katak- katak itu mati. Tetapi bila teringat pesan datuk yang melarang membunuh binatang tanpa sebab, hasrat itu segera saya batalkan.
“Berhenti,” kata datuk.
Saya pun berhenti melangkah. Angin dinihari yang bertiup membekalkan rasa sejuk ke seluruh tubuh. Datuk meletakkan telapak tangan kanan ke atas kening kirinya untuk beberapa saat. Dahinya nampak berkedut. Dari kening kiri datuk ubah telapak tangannya ke atas dada sebelah kanan. Perlahan- lahan datuk menjatuhkan tangan kanan dan sepasang mata lembutnya meratah wajah saya.
“Kenapa tuk?” “Daging dada aku bergerak- gerak.”
“Apa alamatnya tuk?”
“Mengikut petua orang tua- tua, ada bahaya yang tidak diduga,” suara datuk lemah.
Sebaik sahaja berhenti bercakap, saya terlihat seketul benda putih sebesar telur ayam melayang-layang di udara. Paling menceaskan hati saya, benda putih itu menuju ke arah saya dan datuk.
“Ambil daun getah kering, kepitkan ke celah ketiak dan meniarap serta berlindung di balik pokok yang kecil,” datuk mgeneluarkan arahan.
Kelam kabut saya mencari daun getah kering dan mematuhi dengan apa yang dikatakan oleh datuk. Benang putih itu berputar- putar atas kepala kami sambil mengeluarkan suara macam dengung kumbang yang amat kuat. Bila suara dengung itu berkurangan benda putih itu mengeluarkan cahaya api dan jatuh kira-kira sepuluh kaki di depan saya dan datuk. Di tempat benda itu jatuh segera terbakar. Sebelum api itu melarat datuk segera mengepal tanah dan melemparkan ke arah api tersebut. Api segera padam.
“Mari kita lihat apa bendanya, Tamar.”
“Takut tuk, barangkali bom tangan.”
“Kau merepek Tamar,” ujar datuk bersama ketawa kecil.
Saya dan datuk pun mengatur langkah menuju ke tempat benda putih itu jatuh. Belum pun saya dapat mempastikan benda tersebut, datuk segera menutupnya dengan kain merah dan membungkusnya.
|
|
|
|
|
|
|
|
Bercakap dengan jin ~ 68 ~
Puja lidah anak dara
“Apa bendanya tu tuk?”
“Nanti sampai di rumah kamu boleh tengok.”
“Di sini ada pantang larangnya tuk?”
“Ah, kamu memang banyak mulut. Tanya itu, tanya ini. Apa kamu tak boleh diam.”
Saya segera menutup mulut dengan telapak tangan. Tidak berani menentang biji mata datuk yang terbeliak bagaikan memancarkan cahaya yang panas. Saya terus mengekornya dari belakang dengan meninggalkan perdu pohon getah yang tertegun kaku. Dahan getah yang berlapis terus bergerak bila disentuh angin lalu mengeluarkan suara macam budak menangis. Entah mengapa, setiap kali saya melangkah dada saya terus berdebar. Macam ada sesuatu yang memperlihatkan gerak geri saya dan datuk. Saya dongak ke langit, awan tetap bersih, bulan sabit tetap ada. Lolongan anjing tetap berterusan.
“Tamar,” jerit datuk sekuat hati.
Saya lihat datuk rebah ke bumi sambil memegang bahu kanannya. Datuk cuba bangun ternyata ia tidak mampu berbuat demikian. Saya jadi tidak tentu arah. Tidak tahu apa yang patut saya lakukan.
“Ada orang menendang aku cara curi Tamar.”
“Siapa orangnya?”
“Aku tak tahu,” suara datuk tersangkut-sangkut macam menahan
kesakitan yang amat sangat.
“Jangan dekat aku Tamar. Kau bediri di situ, buka seluar kamu, kau telanjang di situ. Angkat kaki kanan kamu separas lutut,” kata datuk bila saya mahu bergerak menghampirinya.
“Sejuk tuk, saya malu anu saya kena angin.”
“Hei, ikut cakap aku, kalau kamu mahu hidup.”
“Ah,” keluh saya sambil melucutkan seluar.
Bila saya berdiri dalam keadaan bogel, bulu roma di betis dan paha terus berdiri akibat dirempuh angin dinihari. Badan saya menggeletar. Tidak sanggup saya merenung bahagian tubuh saya yang terdedah. Datuk terus mengguling- gulingkan badannya di tanah. Saya tidak tahu, kenapa datuk melakukan semuanya itu. satu hal yang pasti setelah berguling sebanyak lima kali, datuk dapat bangun dan berdiri dengan baik sekali. Gembira hati saya, datuk yang kelihatan tenang sambil menekan pangkal belikatnya dengan kedua belah tangan. Kami mengatur langkah kembali. Ketika itu juga, kami terdengar bunyi tapak kaki orang berlari dengan memijak daun-daun getah yang kering.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|