MAKASSAR - INDONESIA. Jumlah korban bencana gempa dan tsunami di Indonesia telah mencecah 832 orang dan angka tersebut dijangka meningkat, menurut agensi bencana, hari ini.
Data diperoleh agensi itu mendapati kebanyakan kematian direkodkan di Palu, dua hari selepas gelombang setinggi 1.5 meter melanda bandar yang mempunyai populasi 350,000 penduduk.
Sementara itu, rakaman Metro TV yang memaparkan komuniti tepi pantai di Donggala, kawasan paling hampir dengan pusat gempa menunjukkan kebanyakan penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi selepas gempa kuat tersebut berlaku.
"Apabila goncangan itu dirasai semakin kuat, kami semua larikan diri ke bukit," kata penduduk dikenali sebagai Iswan.
Di Palu, bantuan telah mula dihantar dan pasukan tentera dikerah untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (Sar) mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan termasuk kira-kira 150 penginap hotel.
"Kami berjaya menarik keluar seorang wanita dengan selamat di Hotel Roa-Roa, malam kelmarin. Kami turut mendengar suara orang meminta tolong," kata ketua agensi mencari dan menyelamat nasional, Muhammad Syaugi.
Jelasnya, mereka memerlukan bantuan jentera berat untuk membersihkan sisa runtuhan.
Sebuah halaman Facebook turut diwujudkan untuk membantu individu yang mencari ahli keluarga mereka yang hilang.
Ketika ini, penduduk juga memerlukan bantuan segera seperti bekalan makanan, air bersih dan tempat berlindung. - Agensi