KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan, syarikat subsidiari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan distruktur semula melalui proses penggabungan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penutupan syarikat yang tidak berdaya maju serta membebankan akaun kumpulan Nafas juga akan dilaksanakan.
-ADVERTISEMENT-
“Ini merupakan antara lapan strategi dan hala tuju dalam merangka penambahbaikan Nafas bagi memastikan pertubuhan itu dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya.
“Kajian semula terhadap perniagaan dan projek semasa, turut akan dilaksanakan bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai strategi pembaharuan menyeluruh untuk melindungi reputasi dan integriti Nafas serta memulihkan keyakinan ahli di samping memantapkan pengurusan serta operasi Nafas.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Ronald berhubung isu edaran baja yang masih tertunggak di beberapa negeri, Arthur memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan bagi mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan Nafas.
Katanya, jawatankuasa khas itu juga akan merangka cadangan pelan perniagaan Nafas bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sebelum ini Nafas telah digantung perlembagaannya berkuat kuasa 1 Nov 2024 kerana kepentingan am peladang itu sendiri dan sehingga kini semakan serta siasatan ke atas tatakelola dan tadbir urus Nafas telah selesai dilaksanakan bagi mengenal pasti dan menambah baik pelaksanaan operasi serta pengurusannya. -KOSMO! ONLINE.
https://www.kosmo.com.my/2025/02/05/nafas-akan-disruktur-semula/