PERNAH dibelasah dan ditampar berkali-kali oleh senior ketika melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana mengetuk pintu bilik mereka setiap kali masuk waktu solat Subuh, tidak sekali-kali melunturkan semangat pendakwah muda, Ustaz Ebit Liew, 30, dalam menegakkan syiar Islam.
Mengimbas kembali kenangan pahit manis dalam menjalankan dakwah ketika belajar, Ebit berkata ketika dia mengambil pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan di UPM, beliau dan beberapa rakan pernah menganjurkan dakwah maraton dari pagi hingga malam dan hanya berhenti untuk makan serta solat.
"Cabaran tetap ada. Ketika kami berdakwah di bilik pelajar tiba-tiba seorang senior pulang dan membaling bantal ke arah saya dan terus membelasah saya. Ikutkan darah muda mahu juga saya membalas tetapi mengenangkan ketika saya sedang berdakwah, terpaksa menahan diri," katanya.
Bukan itu saja, ketika semester pertama, beliau mengakui pernah ditampar beberapa kali oleh abang senior kerana marah setiap kali masuk waktu solat Subuh beliau mengetuk bilik mereka."Jika dikenang, memang banyak rintangan tetapi manisnya selepas itu, ramai yang mengikut ke surau berjemaah termasuk pelajar TESL yang sememangnya terkenal dengan gaya dan kehebatan mereka berbahasa Inggeris.
"Pernah saya menerima sepucuk surat daripada pelajar wanita yang memarahi saya kerana disebabkan saya, seorang pelajar TESL yang menjadi pujaan mereka berubah dan memakai jubah sehingga menyebabkan penampilannya tidak lagi hebat seperti sebelum itu," katanya yang berasal dari Muadzam Shah, Pahang.
Ceritanya, dalam ramai yang mengikut dakwahnya, termasuk seorang pelajar nakal di UPM yang terkenal kerana menjual CD lucah.
"Dia datang menemui saya jam pada 2 pagi dan menangis kerana dikeji dan dihina pelajar lain termasuk pelajar pengajian Islam kerana tiada ilmu tetapi mahu mengajak orang solat berjemaah. Saya pun mengajaknya berjumpa kumpulan pelajar pengajian Islam itu dengan membawa buku dan pen.
"Setiba kami di bilik mereka, saya minta mereka mengajar kami sifat 20 Allah dan mereka memberi alasan mereka tidak ingat. Jadi, ini sekali gus mengubat perasaan kecewa rakan saya itu dan kembali bersemangat untuk berdakwah. Saya tidak hairan jika ilmu agama banyak tetapi tidak mengamalkannya," katanya.
Mula berjinak dalam bidang dakwah seawal usia 12 tahun, Ebit banyak belajar daripada guru Matematiknya, Muhamad Noor yang sentiasa berdakwah dan menerapkan ilmu serta akhlak baik dalam kalangan pelajar.
"Cikgu Muhamad sering memberikan nasihat mengenai akibat jika tinggal solat satu waktu boleh masuk ke neraka hingga 80 tahun. Saya menangis dan risau. Sejak itu, saya mula ke surau dan masjid berjemaah," katanya.
Walaupun bapa berketurunan Cina, Ibrahim Liew , 78, menganut Islam ketika mengahwini ibu yang juga Cina dari Indonesia, Samsinar Hakim, 65, tetapi pada awalnya keluarganya tidak benar-benar mengamalkan Islam.
"Guru saya itu pernah berpesan untuk berdakwah bukan hanya sampai habis sekolah tetapi hingga akhir hayat. Buktinya sehingga kini, guru itu masih lagi berhubung dengan saya dan keluarga dan sering datang menziarahi rumah kami.
"Bapa saya orang biasa, tetapi Cikgu Muhamad datang ke rumah dan mengajak bapa menjadi penterjemah bahasa Mandarin kerana beliau mahu berdakwah di Hong Kong. Bapa saya rasa terlalu terharu kerana berasakan diri dihargai walaupun hanya orang biasa," katanya yang turut mempunyai enam lagi adik beradik beragama Buddha daripada perkahwinan pertama bapanya, selain enam beradik seibu sebapa.
Sejak lima tahun kebelakangan ini, katanya, hubungan beliau dan enam adik beradik yang berlainan agama semakin rapat walaupun kebanyakan mereka menetap di Johor dan Singapura.
Walaupun tidak mendapat pendidikan bidang agama secara formal, Ebit mula mendalami ilmu agama sejak berusia 13 tahun di beberapa madrasah di Pakistan dan Thailand. Setiap kali cuti sekolah beliau akan ke negara berkenaan untuk mengikuti pengajian agama bersama jemaah tabligh.
Dakwahnya bukan hanya terhad dalam kalangan rakan sebaya tetapi juga golongan mat rempit dan penagih dadah yang gemar melepak di tepi jalan. Paling membahagiakan, apabila ada penagih dadah yang kembali ke pangkal jalan.
Antara kenangan dakwahnya ialah apabila wanita Perancis duduk di sebelahnya sepanjang enam jam perjalanan dari Pakistan ke Kuala Lumpur.
"Sepanjang berbual berkisar agama. Tiba waktu solat Subuh, saya bangun mengambil wuduk bersolat seperti biasa di kawasan yang agak lapang bersebelahan tempat anak kapal menyiapkan hidangan.
"Selesai solat wanita itu bertanyakan saya bermacam soalan mengenai Islam dan solat. Di akhir perjalanan beliau mengucap dua kalimah syahadah. Saya kemudian memberikan nombor telefon rakan pelajar Malaysia di Perancis untuk dihubungi. Rakan saya ini seorang lelaki yang pemalu dan baik hati, akhirnya mereka berdua berkahwin," katanya.