KUALA SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit sedalam 3.6 meter (m) di Jalan Masjid Kampung Sungai Tengi, Tanjung Karang di sini, hari ini.
Mayat mangsa berusia 32 tahun ditemui kira-kira pukul 3 petang pada jarak 100 m selepas hanyut dari lokasi kenderaan terbabas.
Pencarian mangsa dikatakan mengambil masa lebih 8 jam oleh pihak bomba.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihak menerima panggilan kecemasan pukul 5.56 pagi berhubung kemalangan tersebut.
Katanya, seramai 13 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Kesemuanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Hyundai Accent telah terbabas ke dalam parit sedalam 3.6 meter.
“Menurut keterangan saksi terdapat seorang lelaki di dalam kereta semasa berlakunya kejadian itu,” katanya hari ini.
Beliau menambah, kereta mangsa berjaya dibawa naik pukul 8.55 pagi namun didapati mangsa tiada di dalam kenderaan.
Ujarnya, usaha pencarian dilakukan oleh unit PPDA sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira 100 m di timbunan rumput dari kawasan kemalangan.
“Mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2025/02/05/8-jam-cari-mayat-mangsa-kereta-terbabas-dalam-parit/