|
Sekarang di Singapura sedang hangat tentang Pilihan Raya Umum. - Rakyat Mengundi Pada 7 Mei 2011.
Pemerintah PAP sudah kotakan semua janji
PEMERINTAH di bawah Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah mengotakan kesemua janji-janji yang diikrar sejak pilihan raya lalu.
Justeru, PAP sebagai sebuah parti berwibawa dan mempunyai rekod sejarah yang baik kini ingin membuat tawaran yang sama bagi lima tahun akan datang kepada para penduduk GRC Bishan-Toa Payoh.
Menekankan demikian semasa Hari Penamaan Calon Nama bagi GRC Bishan-Toa Payoh di Sekolah Menengah Deyi di Ang Mo Kio semalam, pemimpin pasukan PAP bagi GRC tersebut, Encik Wong Kan Seng, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata:
'Sebagai pengundi di Bishan-Toa Payoh, anda tahu apa yang telah kami lakukan sejak lima tahun lalu. Kami akan menawarkan lagi khidmat kepada anda buat lima tahun akan datang. Anda tahu apa yang sudah kami lakukan dan bandingkan dengan jelas apa yang ditawarkan parti lain kepada anda,' tambahnya dengan diiring sorak para penyokong parti tersebut.
Seorang lagi calon PAP, Dr Ng Eng Hen, yang juga Menteri Pendidikan, semasa berucap pula berkata, parti PAP diadakan bertujuan untuk berkhidmat kepada Singapura.
'Jika anda membiarkan parti-parti pembangkang menghancurkan apa yang telah kami bina selama ini, andalah juga nanti yang akan merana,' tambahnya.
Selain Encik Wong dan Dr Eng, pasukan PAP bagi GRC Bishan-Toa Payoh terdiri daripada Mayor Central Singapore, Encik Zainudin Nordin; Cik Josephine Teo dan Encik Hri Kumar Nair.
Encik Zainudin pula berkata pemerintah di bawah parti PAP telah banyak melakukan apa yang dijanjikan sejak lima tahun lalu.
'Kami akan melakukannya lagi dalam lima tahun akan datang. Untuk itu, kami perlukan sokongan padu anda bagi kebaikan Singapura dan GRC kami,' tambahnya.
Sementara itu, GRC itu ditandingi Parti Rakyat Singapura (SPP) yang terdiri daripada calon-calonnya - pemimpin parti, Encik Chiam See Tong, Encik Pwee Yek Kwan Benjamin, Encik Wilfred Leung Wei Lit, Encik Mohamad Hamim Aliyas dan Encik Lee Yeong Wee.
Dalam wawancara selepas penamaan calon, Encik Chiam, 76 tahun, berkata beliau tidak melihat sebarang halangan untuk menyertai GRC tersebut.
'Kami telah mencatatkan banyak kemajuan. Penduduk di GRC Bishan-Toa Payoh memberikan sambutan sangat mesra kepada kami. Kami yakin akan menang dalam pilihan raya kali ini,' tambahnya yang berkata beliau tidak berminat untuk menjadi anggota parlimen tanpa kawasanundi (NCMP) jika tewas dan mendapat tawaran tersebut.
Calon Melayu SPP, Encik Mohamad Hamim Aliyas, 48 tahun, seorang peniaga dan berpengalaman menguruskan Majlis Bandaran Potong Pasir pula menggesa para penyokong SPP membuat pilihan yang betul supaya dapat membawa calon-calon parti itu ke parlimen.
Semasa ditemui, Encik Hamim berkata, sambutan penduduk bagi partinya adalah baik dan memberangsangkan.
'Daripada 10 orang yang saya temui, sekurang-kurangnya enam daripadanya berkata mereka menyokong dan akan memilih kami dalam pilihan raya kali ini,' katanya yang menganggap partinya mempunyai peluang yang sama dengan PAP untuk memenangi GRC tersebut dalam pilihan raya kali ini.
Para penyokong PAP dan parti-parti pembangkang telah datang awal sekitar 10.30 pagi ke pusat penamaan calon tersebut dengan kebanyakannya datang menaiki beberapa buah bas.
Namun, pengumuman bagi calon-calon parti yang akan bertanding dalam pilihan raya umum pada 7 Mei ini hanya diumumkan sekitar 1.10 petang. |
|
|
|
|
|
|
|
Siapa bertanding di mana?
|
|
|
|
|
|
|
|
Akibat terlewat35 saat... Lee Kuan Yew Menang Tanpa Bertanding.
MEREKA tiba tepat 11.30 pagi di Sekolah Perempuan Cina Singapura (SCGS) semalam.
Kumpulan tersebut yang terdiri daripada lima anggota bebas terlepas peluang untuk bertanding di GRC Tanjong Pagar dalam pilihan raya tahun ini.
Kumpulan tersebut yang antara lain disertai Encik Ng Teck Siong, Encik Nazem Suki dan Encik Abdullah Salam dipercayai terlambat menghantar kertas pencalonan mereka.
Berita Harian difahamkan mereka terlambat 35 saat untuk menghantar kertas-kertas pencalonan mereka semasa berada di SCGS.
Mereka difahamkan berjaya mendapatkan deposit untuk bertanding, namun dipercayai gagal menghantar kertas-kertas pencalonan mereka tepat pada waktu 12 tengah hari semalam.
Usaha akhbar ini untuk menghubungi Encik Nazem untuk mendapatkan maklumat gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.
Disebabkan itu, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai oleh Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, menang tanpa bertanding untuk kali kelima semenjak 1991.
Pasukan Encik Lee termasuk, Cik Indranee Rajah, Dr Lily Neo dan dua muka baru PAP - Mejar General Chan Chun Sing dan Dr Chia Shi-Lu.
Dr Chia merupakan muka terbaru PAP selepas beliau dikerahkan untuk menggantikan Encik Baey Yam Keng.
Encik Baey telah dihantar ke GRC Tampines untuk menggantikan Encik Steve Tan yang telah mengundur diri atas sebab-sebab peribadi. |
|
|
|
|
|
|
|
SIAP BERTANDING: Encik Goh Chok Tong (dua dari kiri) bersama anggota pasukan PAP (dari kiri) BG Tan Chuan-Jin, Cik Tin Pei Ling dan Encik Seah Kian Peng, selepas mendaftarkan pencalonan mereka di Sekolah Tao Nan. -- Foto-foto TUKIMAN WARJI
GRC MARINE PARADE
Pasukan PAP dicabar selepas 19 tahun
Jadi tumpuan dengan kehadiran dua calon muda wanita
SELEPAS 19 tahun tidak berpeluang membuang undi, penduduk GRC Marine Parade kini akhirnya diberi kesempatan memilih siapa wakil mereka ke Parlimen.
Bahkan, GRC itu menjadi tumpuan seluruh Singapura kerana ia mempunyai dua calon termuda Pilihan Raya Umum (GE) pada 7 Mei ini - Cik Nicole Seah, 24 tahun, dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Cik Tin Pei Ling, 27 tahun, dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Pasukan PAP diketuai Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong, manakala NSP dipimpin mantan Anggota Parlimen (AP), Encik Cheo Chai Chen.
Semalam, sewaktu menanti proses penamaan calon selesai, kededua calon wanita berkenaan telah menarik tumpuan media dan orang ramai.
Cik Seah berkata, partinya mahu memberi peluang kepada para pengundi menentukan masa depan mereka.
'Para penduduk dan rakyat Singapura, anda kini ada pilihan. Anda sebagai rakyat Singapura berpeluang meminta pemerintah dipertanggungjawabkan dan lebih telus.
'Suara anda perlu diberi perhatian dan kami akan mendengarnya,' kata Cik Seah.
Menemui media selepas pencalonan ditutup, Cik Tin mengingatkan pengundi supaya memberi tumpuan kepada isu lebih besar.
'Politik satu perkara yang serius, kita patut beri tumpuan kepada isu, idea dan rancangan.
'Akhir kata, pilihan raya adalah pertandingan antara siapa yang mepunyai idea dan program yang lebih baik untuk para penduduk,' kata Cik Tin.
Ketika diperkenalkan sebagai calon PAP lewat bulan lalu, Cik Tin menerima pelbagai kritikan menerusi Internet khususnya daripada golongan muda yang melahirkan keprihatinan tentang dirinya.
Mereka mempersoalkan usianya, pengalaman, imej serta keupayaannya mendekati pengundi lebih tua.
Cik Tin telah berkata beliau menerima kritikan itu dengan hati terbuka dan akan mengambil kira maklum balas tulen dengan 'serius dan rendah hati'.
Cik Seah pula nampaknya popular di alam siber dengan mengumpul lebih 20,000 peminat menerusi laman Facebooknya dalam masa enam hari.
'Ini masa yang amat menarik bagi pilihan raya. Media baru akan memainkan peranan membenarkan rakyat meluahkan pandangan yang tidak dapat diluahkan sebelum ini,' kata beliau.
Selain Encik Goh dan Cik Tin, anggota lain pasukan PAP adalah Profesor Madya Fatimah Lateef, Encik Seah Kian Peng dan muka baru, Brigadier Jeneral (NS) Tan Chuan- Jin.
Encik Cheo, mantan AP Nee Soon Central bagi penggal 1991 hingga 1997, mengetuai pasukan NSP yang turut disertai Encik Abdul Salim Harun, Encik Ivan Yeo, Encik Spencer Ng dan Cik Seah.
Kedua-dua pasukan mendaftarkan pencalonan masing-masing di Sekolah Tao Nan, di Marine Parade, dan akan berkempen selama sembilan hari untuk menambat hati dan minda 154,451 pengundi GRC itu.
Kali terakhir GRC Marine Parade dipertandingkan ialah dalam pilihan raya kecil 1992.
Berucap kepada ratusan penyokong PAP selepas proses penamaan calon ditutup, Encik Goh menggesa pengundi membuat keputusan demi masa depan mereka.
'Buatlah pilihan untuk masa depan anda, keluarga anda dan kediaman anda, undilah pasukan yang boleh dipercayai dan pasukan yang anda kenal,' gesa Encik Goh diikuti sorakan gemuruh para penyokongnya.
Calon Melayu dalam pasukan PAP, Profesor Fatimah, pula mengingatkan pengundi tentang usaha yang telah beliau lakukan sejak menjadi AP lima tahun lalu.
'Saya sendiri terperanjat melihat senarai yang agak panjang mengenai isu yang telah saya bentangkan di Parlimen serta usaha yang telah saya berikan kepada para penduduk,' katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Tarikh : 30 April 2011
Padah jika setuju dengan visi WP mahukan pembangkang lebih kuat
Pemimpin PAP bidas usul ParlimenDunia Pertama
PARTI Tindakan Rakyat (PAP) semalam menyampaikan peringatan kepada para pengundi di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Aljunied dan juga rakyat Singapura akan padah sekiranya mereka bersetuju dengan visi Parti Pekerja (WP) yang ingin pembangkang lebih kuat.
Beberapa pemimpin pemerintah itu membidas visi Parlimen Dunia Pertama yang diajukan oleh WP yang berazam merampas sekurang-kurangnya satu GRC dalam pilihan raya umum ini.
WP menampilkan barisan terhandalnya, yang dipimpin Encik Low Thia Khiang, bagi mencabar pasukan PAP di GRC Aljunied.
Encik Low semalam mencabar Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, yang memimpin pasukan PAP di GRC itu, supaya memberitahu para pengundi sama ada program-program di GRC tersebut akan diberhentikan jika pembangkang menang.
Dalam menjawab dakwaan PAP bahawa WP tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membaiki taraf kehidupan para penduduk Aljunied, Encik Low berkata beliau tidak akan membuat janji-janji kosong, dan berkata partinya hanya boleh membuat komitmen sekiranya mereka dipilih dan menyenggarakan majlis bandaran.
Namun, beliau memberi jaminan kepada para pengundi bahawa GRC itu akan berada dalam pengurusan yang baik di bawah WP, seperti mana Hougang yang dijaganya selama 20 tahun.
Encik Yeo memberitahu media di Bedok Reservoir petang semalam bahawa segala program peningkatan yang sedang dilaksanakan di GRC itu akan diteruskan, namun projek-projek yang bakal dikendalikan bergantung kepada parti mana yang memenangi pilihan raya kelak.
Namun, usul Parlimen Dunia Pertama oleh WP dibidas oleh pemimpin-pemimpin PAP seperti Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong; Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong; dan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K. Shanmugam.
Encik Goh semalam menuduh WP menciplak definisi itu yang menurutnya pernah digunakan oleh seorang pemimpin pembangkang Malaysia.
Malah beliau mencadangkan adalah lebih baik mempunyai 'pemerintah taraf pertama' daripada 'parlimen dunia pertama'.
Encik Shanmugam pula ketika menemui media semalam menolak saranan WP bagi mengadakan Parlimen Dunia Pertama kerana ia boleh membawa kepada perbalahan.
Perdana Menteri Lee menerusi rapat umum pertamanya malam tadi mengingatkan rakyat bahawa dalam pilihan raya kali ini mereka memilih bukan saja sekadar seorang Anggota Parlimen (AP), malah pemerintah yang akan menerajui Singapura di masa depan.
Oleh itu mereka perlu mengundi dengan bijak, kata Encik Lee dalam rapat di Ang Mo Kio itu.
Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, yang mengunjungi Tampines Central malam tadi menasihatkan para pengundi di GRC Aljunied agar berfikir semasak-masaknya sebelum memutuskan parti pilihan masing-masing.
'Saya serahkan kepada anda jika anda memilih pasukan WP itu yang terdiri daripada seorang Anggota Parlimen, seorang anggota parlimen tanpa kawasan undi, seorang selebriti yang baru pulang selepas 30 tahun di luar negara dan dua calon yang tidak dikenali; seorang Melayu dan seorang India.
'Apakah anda sanggup mempertaruhkan masa depan anda di tangan mereka?' tanya Encik Lee. |
|
|
|
|
|
|
|
Tarikh: 30 April 2011
PM Lee: PAP telah laksanakan tanggungjawab
Katanya mutu kehidupan masyarakat Melayu juga telah meningkat
PEMERINTAH Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah menjalankan tanggungjawab dengan baik namun, ia bukan sebuah pemerintah yang sempurna, kata Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong.
Memberikan contoh kejadian pelarian Mas Selamat, Encik Lee akur bahawa pemerintah telah melakukan kesilapan dari masa ke masa.
'Namun kita akui kesilapan, membetulkannya dan mempelajari daripada kesilapan tersebut,' kata Encik Lee yang menerajui pasukan PAP yang bertanding di GRC Ang Mo Kio.
Berucap di rapat umum yang pertama bagi kempen pilihan raya ini, Encik Lee menekankan bahawa sebahagian besar kejayaan Singapura adalah atas usaha pemerintah PAP.
Demi meneruskan kemakmuran tersebut, negara ini memerlukan pasukan yang terbaik untuk menerajuinya.
Dalam ucapannya, Encik Lee membidas rancangan Parti Perkerja (WP) untuk menawan sebuah GRC dan menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha yang boleh melemahkan pasukan nasional.
'Mereka (WP) berkata Singapura perlukan pemandu bersama...
'Namun apakah akan berlaku jika pemandu dan pemandu bersama tidak setuju arah tujuan kereta itu. Kedua-duanya akan cuba menawan roda stereng tentunya berlaku kemalangan,' kata Encik Lee dalam rapat yang diadakan di Stadium Yio Chu Kang malam tadi.
Oleh itu beliau menyarankan agar pemandu dan pasukan yang terbaik dipilih untuk mengawal kenderaan tersebut.
'Jika ia melakukan tugas dengan baik, kita berinya kepercayaan untuk terus memandu jika tidak kita tukar pemandu dan pasukannya,' ujar Encik Lee.
Beliau mengingatkan rakyat bahawa pasukannya tidak bekerja sendirian.
'Kita mengalu-alukan perbincangan dan perdebatan. Apa jua keputusan pilihan raya kelak, kita akan mempunyai 18 anggota parlimen bukan pemerintah di Parlimen,' kata Encik Lee sambil berharap lebih ramai rakyat akan menyumbang idea demi memakmurkan negara.
Menyentuh tentang masyarakat Melayu pula, beliau berkata: 'Pekerja Melayu telah jalani peningkatan kemahiran dan nikmati pekerjaan lebih baik.
'Pelajar Melayu telah membuat pencapaian baik di sekolah dan menimba pengetahuan yang akan menjamin masa depan mereka.
'Ini semua membantu tingkatkan mutu kehidupan anda,' kata beliau dalam bahasa Melayu.
Encik Lee menyentuh juga mengenai kebimbangan rakyat tentang isu-isu seperti kos sara hidup.
'PAP sedang berusaha untuk mencari cara terbaik menyelesaikan masalah tersebut buat masa ini dan masa depan,' jelas Encik Lee sambil menyenaraikan pelbagai program yang telah dilaksanakan pemerintah.
Turut berucap dalam rapat sulungnya ialah calon baru PAP, Dr Intan Azura Mokhtar.
'PAP bukan parti yang bercakap tentang ideologi dan bersifat retorik tapi lebih pada mencari penyelesaian untuk manfaat rakyat,' kata Dr Intan, anggota pasukan PAP bagi GRC Ang Mo Kio.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
2 Mei 2011
SAMBUTAN GEMURUH: Sorakan lebih 8,000 hadirin mengiringi ketibaan Encik Lee dan para anggota kabinet serta calon-calon PAP ketika memasuki dewan Stadium Tertutup Kallang bagi Rapat Hari Pekerja NTUC, semalam. -- Foto TUKIMAN WARJI
SINGAPURA
Pekerjaan baik, kenaikan gaji stabil
PM Lee: Cara terbaik tangani isu kos kehidupan sebagai salah satu huraian jangka panjang
Oleh Hisham Hasim
PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata pemerintah akan terus memastikan agar rakyat Singapura mempunyai pekerjaan yang baik dan menikmati kenaikan gaji yang stabil.
Ini, kata beliau, merupakan cara yang terbaik untuk menangani isu kos kehidupan sebagai salah satu huraian jangka panjang.
'Memastikan pekerjaan yang baik - bagi masa sekarang dan masa depan pekerja - adalah tanggung jawab utama sebarang pemerintah. Inilah yang telah Parti Tindakan Rakyat (PAP) laksanakan, dan akan terus berbuat demikian. Inilah yang harus para pengundi tanyakan kepada mana-mana parti politik yang inginkan sokongan mereka - bagaimana mereka akan menjana pertumbuhan dan pekerjaan bagi rakyat Singapura,' kata Encik Lee.
Beliau berkata, strategi pemerintah membaiki taraf kehidupan rakyat telah membuahkan hasil dan ia akan menggunakan formula itu untuk terus menjana pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan kenaikan pendapatan.
Rakyat Singapura telah menikmati kadar gaji yang baik disebabkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, dan sumbangan yang berharga daripada kesatuan sekerja, kata Perdana Menteri ketika berucap di Rapat Hari Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di Stadium Tertutup Kallang, semalam.
Menerusi ucapan beliau, Encik Lee turut mengumumkan pembentukan Dana Pembangunan NTUC50 dengan matlamat mengumpul $50 juta, sempena ulang tahun ke-50 NTUC tahun ini.
Dana tersebut akan digunakan bagi dua inisiatif utama - program-program 3G dan 3F.
Program 3G adalah untuk mengembangkan keanggotaan tiga generasi seramai 1 juta orang, sementara program 3F pula untuk membangunkan barisan kepimpinan gerakan buruh di masa hadapan.
Menurut Encik Lee, pemerintah akan membantu dengan memberi tiga dolar bagi setiap dolar yang dikumpulkan - bermakna NTUC hanya perlu untuk mengumpul $12.5 juta dan pemerintah akan memberikan geran sebanyak $37.5 juta untuk mencukupkan $50 juta yang ingin dikumpul.
'Melaburlah ke dalam NTUC. Pastikan ia kukuh, relevan dan berkesan. Ia adalah pelaburan masa depan kita. Ia juga mencerminkan sokongan penuh pemerintah terhadap gerakan buruh dan pekerja Singapura,' kata Encik Lee.
Rapat semalam dihadiri sekitar 8,500 orang, terdiri daripada anggota kesatuan sekerja dan wakil perikatan tiga pihak.
Selain dalam bahasa Inggeris, Perdana Menteri turut berucap dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu.
Mengenai kenaikan kos kehidupan, Encik Lee berkata pemerintah prihatin akan isu itu.
Selain huraian jangka panjang seperti memastikan adanya peluang pekerjaan dan gaji yang baik, huraian jangka pendek bagi penduduk juga adalah penting.
Langkah-langkah jangka terdekat yang dimaksudkan beliau dan telah dilaksanakan pemerintah adalah seperti mengekalkan nilai matawang dolar Singapura kukuh, dan bantuan khusus yang disasarkan kepada golongan yang memerlukannya.
Ini termasuk Pakej Menjana dan Mengongsi Pertumbuhan (Grow and Share) untuk membantu mengurangkan beban sara hidup yang lebih tinggi ke atas rakyat.
'Saya tahu bahawa meskipun dengan adanya pakej Grow and Share, rakyat Singapura masih bimbang terhadap kos kehidupan. Pemerintah turut menyedari hakikat ini dan kita akan terus memberi tumpuan terhadapnya.
'Saya dan para menteri lain juga sedang memberikan tumpuan kepadanya, kerana kami prihatin bahawa rakyat Singapura sedang bimbang dan prihatin dan kami ingin memastikan apa pun yang boleh kami buat akan kami laksanakan.
'Justeru kami sedang memantau perkembangan yang terjadi di luar negara secara teliti yang akan menjejas harga kami dan kami sedang mencari cara-cara untuk mengurangkan kesannya dan menguruskan kos domestik kami,' kata Encik Lee.
Selain itu, pemerintah kata Encik Lee akan terus membantu pekerja meningkatkan kemahiran dan menambah daya penghasilan di samping menolong pekerja golongan lanjut usia untuk mendapatkan pekerjaan dan kekal bekerja.
Beliau menaruh keyakinan bahawa dengan kerjasama penting antara tiga pihak - Pemerintah, kesatuan sekerja dan majikan - maka isu-isu tersebut dapat diatasi.
'Itulah satu sebab utama bagaimana kita dapat keluar dari kemelut krisis global dengan cepat dan kukuh.
'Pihak kesatuan telah memberi sumbangan bernilai kepada perikatan tiga pihak kita. Masa depan Singapura bergantung kepada kesatuan-kesatuan yang dinamik yang memandang ke hadapan dan terus mempertingkatkan kehidupan pekerja,' kata Encik Lee. |
|
|
|
|
|
|
|
PM Lee: Melayu/Islam turut raih manfaat daripada kejayaan Singapura
Oleh
Hisham Hasim
MASYARAKAT Melayu/lslam turut meraih manfaat daripada kejayaan Singapura sejauh ini, dengan prestasi pekerja Melayu kini berada dalam keadaan lebih baik.
Berucap dalam bahasa Melayu pada Rapat Hari Pekerja semalam, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata ramai pekerja Melayu telah menjalani peningkatan kemahiran, melakukan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dan mampu meningkatkan mutu kehidupan mereka.
Pelajar Melayu juga maju dalam sistem pendidikan Singapura dengan lebih ramai melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, tambahnya.
'Semakin ramai yang memasuki universiti. Ramai menuntut di Politeknik kita belajar ilmu pengetahuan yang berguna dan menarik, seperti media digital, robotik dan sebagainya.
'Mereka yang berada di ITE (Institute Pendidikan Teknikal) pula mendapatkan kemahiran teknikal yang baik,' kata Encik Lee di Stadium Tertutup Kallang.
Rapat tersebut dihadiri sekitar 8,500 orang, terdiri daripada anggota kesatuan sekerja dan wakil perikatan tiga pihak.
Menurut Encik Lee, Singapura telah mengharungi krisis ekonomi global sepenuhnya dan sedang berkembang mantap.
Ini hasil daripada kerjasama baik antara tiga pihak - pemerintah, kesatuan sekerja dan majikan.
'Itulah sebabnya kita berjaya mengatasi badai ekonomi global dengan begitu cepat. Dan itulah sebabnya kita berjaya mengembangkan ekonomi kita, mencipta pekerjaan yang baik dan meningkatkan pendapatan pekerja,' kata Encik Lee.
Justeru, sempena ulang tahun ke-50 Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) tahun ini, Encik Lee memuji kongres itu kerana berjaya menjaga kepentingan pekerja dengan baik sepanjang tempoh tersebut.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan menyokong usaha NTUC mengemas kini diri demi memastikan kesatuan sekerja Singapura tetap menjadi penyumbang utama kepada kisah kejayaan Singapura.
Encik Lee turut memberi penghormatan kepada beberapa pemimpin kesatuan sekerja Melayu, yang telah membantu membina pakatan tiga pihak yang kukuh selama bertahun-tahun lamanya.
'Pemimpin kesatuan seperti Ahmad Ibrahim, Mahmud Awang, Hashim Idris, Sidek Saniff dan Othman Harun Eusofe telah bekerja keras meyakinkan majikan dan pekerja agar bekerjasama dan meluaskan manfaat bagi semua,' ujarnya. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|