CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
 Author| Post time 25-2-2013 12:23 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

Apa yang telah saya alami bersama guru silat sebentar tadi, saya ceritakan pada datuk. Panas juga hati saya melihat sikap datuk. Dia seperti tidak kisah dengan apa yang saya katakan. Datuk seolah-olah menganggap apa yang saya sampaikan padanya satu cerita dongeng yang tidak wujud. Datuk lagi sekali mendekati raga rotan yang berisi burung puyuh. Kali ini, dia bertindak di luar apa yang saya fikirkan. Datuk terus menangkap burung puyuh. Diangkat tinggi-tinggi melepasi kepalanya. Kemudian disusupnya ke celah kangkang sebanyak tiga kali berturut. Akhirnya,kepala burung puyuh diludah lima kali berturut-turut. Datuk terus mendekati tingkap. Berdiri di situ dalam rimbasan tempias hujan yang menggila, lampu dalam rumah terus padam. Kilat terus mencabar dengan hebatnya.

Dari pancaran cahaya kilat itu, saya dapat melihat wajah datuk yang serius, rambutnya agak mengerbang disentuh angin malam menggila. Bersama pancaran kilat dan tempias hujan serta hembusan angin, datuk mencampakkan burung puyuh keluar. Sebaik sahaja burung puyuh itu terlepas dari tangannya terdengar bunyi petir yang amat kuat, dituruti dengan bunyi suara orang ketawa dan menangis memanjang.

“Mana katak sial, biar aku lanyak sampai mampus,” guru silat terus bangun.

Calar di wajah dan dadanya terus hilang. Bajunya yang koyak dibabagian dada sudah bercantum kembali. Lampu yang padam menyala semula.

“Bersabar, jangan turutkan perasaan,” datuk menenangkan perasaan guru silat.

Saya menghela nafas panjang. Datuk mengajak guru silat duduk di ruang tengah rumah

“Duduk di sini, kita ikhtiar untuk menyelesaikan semuanya,” tambah datuk.

Guru silat terus anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang dikatakan oleh datuk. Hujan lebat, petir dan halilintar mula berkurangan tetapi rasa dingin tetap menguasai diri saya. Datuk memperkemaskan silanya. Datuk menyuruh saya merapatkan semua tingkap yang terbuka. Perintahnya, saya patuhi dengan perasaan cemas dan takut. Megah juga rasa hati, bila semua daun tingkap berhasil saya rapatkan dengan baiknya. Saya terus mendekati datuk dan guru silat. Bersila macam mereka.

“Belum pernah saya mengalami perkara macam ini,” ujar guru silat.

Matanya liar merenung ke kiri dan ke kanan. “Ini juga satu pengalaman dalam hidup kamu.”

“Saya faham. Apa yang patut kita buat."

“Tak ada apa yang patut kita buat sekarang kita tidur dan lupakan semua yang terjadi.”

“Haaaaaaaa,” mulut guru silat terlopong dengan rasa cemas.

Datuk tersenyum panjang. Keadaan yang agak tenang itu berkocak kembali, diganggu oleh tendangan yang kuat. Bomoh tua terpacak di ambang pintu. Tidak terdapat kesan air hujan di pakaiannya meskipun hujan turun dengan lebat. Kedatangan bomoh tua yang tidak diduga itu mencemaskan perasaan kami.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-2-2013 12:24 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

“Ada apa hal datang waktu begini?” Soal datuk.

“Mencari burung puyuh saya yang hilang.” jawabnya.

“Burung puyuh?”

Ulang guru silat dan bersedia untuk menyambung kata- katanya kembali tetapi, tidak diteruskan kerana datuk mengenyitkan mata ke arahnya dua kali berturut-turut.

“Kami tak nampak burung tu di sini,” datuk memberikan jawapan.

Terbayang keraguan dan kesangsian di wajah bomoh tua. Tanpa mengucapkan sesuatu bomoh tua terus meninggalkan kami sambil menjeling ke arah daun pintu yang terkopak. Tugas membaiki pintu yang terkopak dilakukan oleh guru silat.

“Pelik juga saya memikirkan apa yang terjadi,” rungut guru silat.

Datuk tidak memberikan sebarang pendapat berhubung dengan rungutan yang diluahkan oleh guru silat. Datuk terus menyandarkan badannya ke dinding sambil mengedutkan dahi. Hujan dan petir terus berhenti sama sekali.

Kokok ayam mula terdengar sayup- sayup. Saya terus merebahkan badan dan kelopak mata terasa amat berat. Bila saja mahu terlelap, saya terdengar suara guru silat dalam keadaan yang cemas. Kelopak mata segera saya buka lebar- lebar.

Datuk saya lihat mash tersandar di dinding dengan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat. Saya renung ke arah guru silat. Tanpa mengucapkan sesuatu, guru silat meluruskan telunjuknya pada benda yang tergantung di tulang bumbung rumah. Apa yang saya lihat ialah sekujur tubuh manusia tergantung di situ dengan tali terjerut di lehernya.

Saya lihat kaki orang yang tergantung itu bergerak-gerak, macam berjalan di awang- awangan. Bila saya renung ke mukanya, darah saya tersirap badan saya menggeletar. Saya segera memejamkan mata, tidak sanggup saya melihat lidahnya yang terjelir keluar dengan sepasang biji matanya tersembul, bahagian mata hitamnya bagaikan mahu tercabut dan terbuai-buai sedangkan bahagian mata putihnya seperti melekat pada kedua belah pipinya. Sepasang tangannya bergerak ke kanan dan ke kiri.

Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya terdengar bunyi benda jatuh, bila saya buka kelopak mata dan melihat ke arah benda yang jatuh itu, saya terlihat orang yang tergantung sudah berada di lantai. Bangun perlahan-lahan seperti menerkam ke arah guru silat. Dan guru silat yang selama ini saya kagumi kehandalannya mengatur langkah dan buah silat ternyata tidak sanggup menentang makhluk yang menuju ke arahnya.

Guru silat terus cabut dan melanggar dinding rumah, dinding rumah terkopak dan guru silat tercampak ke tanah bersama jeritan yang memanjang di malam yang sudah mendekati waktu subuh. Anehnya, bila guru silat jatuh ke tanah, manusia yang terjatuh di lantai terus hilang. Saya sudah tidak terdaya mahu bergerak, saya cuba menjerit tetapi suara saya tidak keluar. Dalam keadaan yang berhempas-pulas untuk mendekati datuk itu, saya lihat datuk terjaga sambil mengucap beberapa kali.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2013 12:27 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

“Aku tertidur dan mimpi yang bukan-bukan,” kata datuk lalu menggesel-gesel kelopak matanya.

Renung kiri, renung kanan mencari guru silat.

“Mana dia guru silat Tamar?”

“Terjun ke tanah ikut dinding.”

“Kenapa ikut dinding, bukankah pintu ada,” datuk segera merenung ke arah dinding yang terlopong.

Saya hampir mahu ketawa melihat telatah datuk yang agak terkejut dengan peristiwa tersebut. Terdengar suara guru silat mengeluh di tanah. Datuk dan saya segera mendapatkan guru silat yang menggeliat menahan kesakitan. Waktu saya dan datuk menghampiri guru silat, terdengar azan subuh. Langit subuh kelihatan cerah dan bersih.

“Kau luka?” Tanya datuk.

“Tak ada, cuma pangkal paha saya yang sakit.”

“Kenapa kamu pecahkan dinding?”

“Entah,” guru silat menjawab pendek dan terus membongkok dan meluruskan badannya beberapakali hingga mulutnya mengeluarkan sendawa yang panjang macam orang kekenyangan.

Saya ketawa dengan telatahnya. Dengan terjengkut- jengkut guru silat melangkah mengikut datuk menuju ke perigi mengambil air sembahyang. Setelah sembahyang subuh, datuk terus mandi embun dan guru silat membuka beberapa langkah bunga silat dengan tujuan untuk menguatkan tubuhnya.

Lebih kurang pukul tujuh pagi, kami bertiga menuju ke sebuah warung untuk sarapan. Datuk hanya minum kopi pekat dan sepotong pulut udang. Beberapa orang pelanggan yang datang ke warung menegur guru silat. Salah seorang lelaki menegurnya berbadan tegap. Berjambang tanpa misai.

“Dah banyak malam kau dudak di rumah lama, pesaka orang tua kamu, wah kamu memang berani,” ujar lelaki itu sambil menepuk bahunya.

Guru silat ketawa kecil.

“Rumah orang tua sendiri, apa yang ditakutkan,” guru silat membalas cakap kawannya.

Datuk dan saya berpandangan saya merasakan macam ada sesuatu rahsia yang tersembunyi di rumah yang kami duduk. Muka kawan guru silat saya renung.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2013 12:28 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

“Kalau sampai tiga orang duduk di situ, tak hairanlah kalau kami tak mengalami apa-apa kejadian buruk,” tambah guru silat dengan nada suara separuh meninggi.

Ekor matanya menjeling lembut ke arah saya dan datuk. Saya meraba pinggir bibir yang mulai dirayapi tunggul misai sulung. Sambil meraba itu, saya membayangkan bila misai saya tumbuh dengan suburnya, akan saya bentuk menjadi misai yang menarik macam misai seniman P Ramlee yang berbentuk huruf M. Bila saya tersenyum, misai saya akan mengembang cantik. Pasti, ada orang yang memuji dan mengagumi misai milik saya itu. Saya senyum sendirian melayani angan-angan yang bermain dalam tempurung kepala.

“Kau hati-hatilah, rumah lama memang ada penunggu. Lebih-lebih lagi kalau rumah tu ada orang mati berdarah,” sambung kawan guru silat dan membunuh angan-angan yang berlegar-legar dalam kepala saya.

Hati saya bertambah yakin pasti ada sesuatu yang luar biasa berlaku di rumah tersebut tetapi, guru silat sengaja tidak mahu menceritakan pada saya dan datuk. Perbuatannya itu membuat saya kurang percaya dan yakin atas kebaikan yang diperlihatkannya pada saya dan datuk. Siapa tahu, guru silat yang kelihatan baik itu sebenarnya berniat kurang baik terhadap saya dan datuk. Mungkin ia mengundang saya dan datuk datang ke kampungnya untuk mengubat adik iparnya hanya sebagai alasan untuk memperdayakan kami.

“Aku nak tengok berapa lama kamu boleh duduk di rumah orang tua kamu,” kawan guru silat ketawa kecil.

“Dengan izin Allah, aku boleh duduk beberapa lama yang aku suka,” balas guru silat sambil merenung muka datuk.

“Cakap dia betul, kalau diizinkan Allah tidak ada yang ganggu kami,” cara mengejut datuk meningkah cakap guru silat.

Saya lihat wajah kawan guru silat segera berubah. Mungkin perubahan itu terjadi, kerana ia tidak menduga datuk yang sejak tadi membatu mahu ikut campur dalam percakapan di warung. Kawan-kawan si guru silat menanti wajah datuk sejenak, macam mencari sesuatu di wajah datuk.

“Mungkin, pak cik betul, mungkin tidak, kadang- kadang manusia selalu bercakap macam pak cik untuk menutup kelemahan diri sendiri, cuba berlagak berani dalam takut.” dengan tenang kawan guru silat meluahkan kata- kata yang saya kira agak keterlaluan untuk seorang tua seperti datuk.

Kagum juga saya melihat telatah datuk, tidak memperlihatkan rasa marah. Malah dengan sopan bahu kawan guru silat itu ditepuknya berkali-kali. Guru silat terus meughirup kopi dengan tenang tanpa mahu merenung ke arah pelanggan yang masuk ke warung kopi. Entah mengapa, guru silat bertindak demikian. Kebanyakan pelanggan yang datang menegurnya dengan hormat tetapi tidak dijawabnya. Sesekali guru silat itu melepaskan keluhan kecil dengan wajah yang tidak damai.

“Semua orang di sini kenal saya, maklumlah kampung halaman sendiri,” guru silat seperti mengeluh dan kata- katanya itu sampai ke telinga kawannya.

“Itu kenyataan,” sahut kawannya.

Guru silat mengedutkan keningnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2013 12:31 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

Muka kawannya ditatap lagi dengan sinai mata yang garang. Kawannya terus menghulurkan tangan sambil berkata: “Maafkan aku kalau apa yang aku katakan tadi menyinggung perasaan kamu, aku tahu kamu tak suka kisah lama diungkit- ungkit kembali.”

“Ya, tapi aku tak terdaya menutup mulut orang.”

“Kau hadapilah semuanya dengan tenang, aku nak balik.”

“Nanti sebelah petang kalau ada masa aku datang ke rumah kamu,” kawannya terus menepuk bahunya dua kali berturut- turut.

Dan kawannya meninggalkan warung. Guru silat melihat dengan tenang ke arah motosikal yang terletak di tepi jalan. Guru silat melambaikan tangan ketika kawannya memandu motosikal ke arah pekan Bukit Mertajam. Bila motor kawannya hilang dari pandangan, guru silat segera merenung ke arah datuk.

“Macam mana, kalan kita balik,” guru silat mengajukan pertanyaan pada datuk.

Saya segera minum sisa air kopi dalam cawan.

“Ya, kita balik” sahut datuk.

“Pak Achin, tolong kira berapa semuanya,” teriak guru silat pada pemilik warung.

Pemilik warung segera menghampirinya.

“Seringgit lima kupang semuanya,” kata pemilik warung.

Guru silat keluarkan wang dan saku. Dengan senyum pemilik warung menerima wang tersebut. Mereka berjabat tangan sejenak.

“Jangan lupa esok datang lagi minum di sini.”

“lnsya-Allah, kalau panjang umur kami datang,” datuk menjawab.

Pemilik warung tersengih sambil merenung ke muka guru silat.

“Apa rumah lama tu dah tak buat kacau lagi?”

Pemilik warung mengajukan pertanyaan. Muka guru silat yang tadi dihiasi dengan senyum segera bertukar menjadi resah dan cemas.

“Tak ada perkara lain yang Pak Achin nak tanya?”

“Bukan apa-apa, cuma nak tahu aje.”

“Entah, saya tak tahu,” suara guru silat keras.

Pemilik warung tercengang. Guru silat segera menarik tangan datuk keluar dari warung. Saya terpaksa mengikut. Lebih kurang sepuluh rantai meninggalkan waning, datuk segera menyoal guru silat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2013 12:32 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

“Apa rahsia yang ada di rumah kamu?”

“Hum,” guru silat berhenti melangkah.

“Tak ada apa-apa,” katanya selamba.

“Mustahil, kalau tak ada apa-apa tentu orang tak menyebutnya, usahlah merahsiakan semuanya dari aku.” tambah datuk lagi.

Guru silat merenung ke arah kiri jalan raya agak sepi dengan sebarang kenderaan.

“Bapa saudara saya...,” guru silat berhenti bercakap,

“Kenapa dengan bapa saudara kamu?”

“Gantung diri di rumah tu.” guru silat membuka rahsia.

“Puncanya?” Datuk mendesak.

“Saya sendiri, tak tahu.”

Hati saya terasa lapang. Guru silat sudah menyelesaikan keraguan yang menyelubungi diri saya. Tetapi perasaan seram tetap menguasai hati kecil saya membuat saya enggan melangkah pulang ke rumah arwah orang tua guru silat. Datuk terus menggosok pangkal telinga kanannya sambil mengedutkan dahi.

“Jangan berhenti, terus jalan,” kata datuk bila melihat guru silat mahu memberhentikan langkahnya.

Saya terus meraba pangkal kening yang mula ditumbuhi peluh-peluh halus. Matahari terus bersinar garang. Langit cerah dengan gumpal awan yang putih bersih.

“Saya tak suka mengingati semua yang terjadi tetapi, orang lain yang memaksa saya untuk mengingati semua kisah pahit itu.” sepasang kelopak mata guru silat bergerak lemah.

Air mukanya membayangkan rasa kesal yang amat pahit.

“Sudahlah, usah fikirkan semuanya itu,” datuk terus memujuknya.

“Saya cuba melupakannya tetapi, bila ada peristiwa macam ini, hati saya terasa sakit.”

“Sabarlah,” tingkah datuk.

Setelah itu perjalanan jadi rancak. Tidak ada perkara yang mahu diperkatakan. Masing-masing melayani perasaan yang bersarang di tempurung kepala.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 25-2-2013 12:33 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

“Kita tak usah balik ke rumah,” satu cadangan yang tidak diduga datang dari guru silat.

Mengejutkan hati dan perasaan saya serta datuk.

“Habis kita nak ke mana?” Soal saya tanpa sabar.

“Ke rumah adik saya,” jawab guru silat secepat kilat.

“Bagus juga, kalau begitu aku setuju,” balas datuk.

Kami pun berbelok ke kanan menuju ke rumah adik guru silat. Sebaik saja, sampai dekat pokok ara besar. Bomoh tua muncul di depan kami. Wajahnya nampak cemas tetapi dipaksanya tersenyum. Muka kami ditentangnya sejenak. Direnung ke atas, ke bawah berkali-kali, bagaikan meragui diri kami.

“Nak kemana?”

Bomoh tua bertanya sambil melipat lengan baju kanannya separas siku. Hujung seliparnya menekan rerumput hijau di gigi jalan.

“Kamu dipanggil untuk mengubatnya?”

Bomoh tua mengajukan pertanyaan. Biji matanya menatap tubuh datuk dan atas ke bawah, dan bawah ke atas macam mencari sesuatu di tubuh datuk yang terpaku di depannya.

“Kami tak dipanggil. Sebagai abang saya mesti menengok adik ipar saya,” jelas guru silat.

“Bukankah adik ipar awak dalam jagaan saya.”

“Ya saya tahu,” guru silat angguk kepala.

“Kau tahu pantang- larangnya?” “Apa pantang-larangnya?”

Guru silat seperti terkejut.

“Kamu tak boleh tengok adik ipar waktu matahari belum condong.”

“Hum...,” guru silat seakan- akan mengeluh dan terus merenung muka datuk dan saya.

Dari kerutan di dahi datuk, saya dapat menduga rasa hairan dan terkejut bersarang dalam dadanya. Saya kira belum pernah datuk menemui dukun dan bomoh yang ada pantang- larang untuk melihat orang sakit. Datuk menentang biji mata bornoh tua dengan tepat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2013 12:34 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

“Tengok saudara sendiri pun tak boleh,” datuk mengecilkan mata kanan.

Guru silat terus termenung, terkejut dengan pantang- larang yang tidak pernah difikirkannya selama ini.

“Berubat dengan saya, ikut syarat saya,” suara bomoh tua bertambah keras.

Datuk terus mendekati guru silat. Mereka berbisik sejenak. Bomoh tua kelihatañ resah.

“Biarlah, saya langgar syarat, saya nak tengok adik ipar saya,” ternyata kata-kata yang diucapkan oleh guru silat it menimbulkan semacam kemarahan pada bomoh tua.

Mukanya jadi merah dan nafasnya tercungap- cungap, bila melihat datuk dan guru silat meneruskan perjalanan.

“Eh, nanti dulu,” jerit bomoh tua.

Laungannya tidak diperhiraukan. Kami terus melangkah dalam panas yang kian terik. Angin ketika itu, tidak terasa bertiup. Badan saya terus berpeluh.

“Eh nanti dulu,” pekik bomoh tua lagi.

Laungannya tidak kami pedulikan. Kami terus melangkah.

“Padah buruknya, adik ipar kamu yang terima,” kata-kata itu membuat guru silat berhenti melangkah lalu menoleh belakang merenung bomoh tua yang sedang membuka sepasang tangannya dengan lebar, macam burung membuka sayap.

“Jangan pedulikan, teruskan hajat kita,” bisik datuk pada guru silat.

“Tapi, saya bimbang.”

“Jangan bimbang, dia manusia biasa macam kita,” datuk memberikan semangat dan memaksa guru silat meneruskan langkah yang terhenti.

Guru silat menurut saja arahan datuk. Dua tiga kali saya mengesat peluh yang mercik di dahi begitu juga dengan datuk yang tidak putus-putus melurut rambut di pangkal telinga kanannya dengan tapak tangan kiri. Suara bomoh tua sudah tidak kedengaran lagi dan kami merasakan perjalanan terasa aman dan damai. Tidak ada gangguan dari sesiapa.

Saya merasa bertuah dalam cuaca yang terik itu, terasa hembusan angin menyentuh kulit muka. Rambut yang terjuntai atas dahi terbuai-buai. Kami memasuki sebuah lorong kecil yang di kiri kanannya ditumbuhi dengan pepohon senduduk yang merimbun. Dari kanan lorong saya terdengar bunyi sesuatu yang bergerak aras dedaun kening. Bila di renung tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-2-2013 12:35 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 86 ~
Lidahnya keluar panjang

“Aduh,” jerit guru silat serentak dengan itu saya lihat guru silat terjatuh atas tanah.

Saya jadi cemas tetapi, datuk bertindak cepat membangunkan guru silat serta memberi rawatan mengejut padanya. Saya menjeling ke kanan sepasang kaki yang dibalut dengan seluar kelabu tegak kaku di depan saya. Dan bahagian atas lutut terdapat kain pelekat dua warna, putih dan biru dalam bentuk kotak kecil. Warna putih dalam kotak dikelilingj oleh garis-garis biru halus. Keadaan kain itu, seperti orang mengikat kain samping.

“Aku terpaksa bertindak untuk menjaga nama baik dan pantang-larang aku,” cepat-cepat saya dongakkan kepala.

Mata saya dengan mata bomoh tua bertembung. Dengan tenang bomoh tua mengapit rokok daun ke bibir. Perlahan-lahan ia mengalih pandangan matanya pada guru silat.

“Kau jangan tunjuk pandai di sini,” bomoh tua seperti mengherdik datuk yang dalam keadaan terpinga- pinga.

“Apa salah dia tuk bomoh?” Tanya guru silat.

Malang sungguh nasib guru silat, pertanyaan ikhlas dijawab dengan buah silat dari kanan tetapi, guru silat yang sudah bersedia terus membuang dan menepis buah silat dari bomoh tua. Tindakan itu memanaskan lagi hati bomoh tua yang memang sudah panas. Mungkin, ia merasai dirinya tercabar. Bomoh tua terus membalas dengan pukulan buah silat yang kencang.

Satu pergaduhan di bawah pancaran matahari pagi terjadi di depan mata saya dan datuk. Dua manusia yang memang handal dalam bidang mempertahankan diri bertarung dengan hebat seolah-olah pertarungan itu tidak akan berhenti selagi salah seorang daripada yang bertarung itu rebah atau tewas.

“Ah,” jerit bomoh tua, serentak dengan itu rumput di kiri kanan lorong terus layu, macam terkena bahang api yang amat kuat.

Guru silat masih dalam bentuk kekuda pertahanan silat yang cukup kejap. Siku kanannya rapat ke dada dengan genggaman penumbuk harimau jantan, manakala tangan kanannya ke depan dengan telapak tangan terkembang, macam ekor ikan menolak arus air.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-2-2013 02:39 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

Dari ilmu yang saya perolehi ternyata guru silat mempergunakan rentak dan buah silat mendinding diri sambil mencari tempat yang baik untuk melepaskan satu pukulan, biasanya pukulan begitu hanya akan digunakan bila keadaan sudah terdesak.

“Hai...,” pekik bomoh tua.

Sekujur tubuhnya hilang dari pandangan saya. Bomoh tua muncul di belakang datuk dan saya. Wajahnya mula berpeluh.

Tanpa menoleh ke arah bomoh tua, datuk terus bersuara dengan lantang: “Sudahlah, buat apa kita bergaduh sama sendiri, tak ada untungnya, rugi bangsa sendiri.”

“Ini urusan aku.”

“Ini nasihat, terpulanglah pada awak sama ada nak percaya atau tidak,” balas datuk lalu berpaling ke arah bomoh tua.

Aneh bomoh tua sudah tidak berada di situ lagi. Dalam beberapa detik saja bomoh tua munculkan diri di sebelah kanan guru silat. Kemudian terus hilang dan tempat yang ditinggalkannya kelihatan asap nipis mengembang atas permukaan rumput kiri kanan jalan. Datuk terus mendekati guru silat.

“Mari kita ke rumah adik ipar awak,” datuk tarik tangan guru silat.

Kami meneruskan perjalanan ke rumah adik ipar guru silat. Bila kami sampai di halaman rumah, seekor katak puru melompat di depan kami dua tiga kali dan terus menghilang di bawah dedaun kering. Bomoh tua muncul di anak tangga pertama dan terus memijak anak tangga dan masuk ke rumah tanpa memanggil nama tuan rumah. Kehadiran bomob tua yang mendadak itu, tidak diperhiraukan oleh datuk. Setelah memberi salam pada tuan rumah dan menerima jawapan kami dijemput ke dalam rumah.

“Mana bomoh tadi,” tanya guru silat dan adik iparnya yang terbaring tercengang.

Renung kiri, renung kanan. Isterinya yang berada di sisinya berhenti menyuapkan nasi bubur ke mulutnya.

“Tak ada sesiapa yang datang,” ujar isteri si sakit pada abangnya si guru silat.

Saya memandang ke arah datuk penuh, tanda tanya. Datuk bagaikan tahu dengan apa yang bergoak dalam dada segera memberi jawapan.

“Cuma sangkaan kita saja dia datang.”

“Tapi, kita nampak dia naik ke rumah,” kata guru silat.

“Itu hanya pandangan mata kita saja, maklumlah kita berpanas, pandangan kita juga boleh jadi bermacam-macam.”

“Hum...,” keluh guru silat dan terus duduk.

“Selepas kami balik, macam mana keadaannya,” datuk ajukan pertanyaan pada isteri si sakit

“Tak boleh tidur, badan saya terasa bisa-bisa dan mahu marah tak tentu fasal,” si sakit menjawab.

“Saya juga tak boleh tidur, setiap kali mahu tidur saya rasa macam ada orang berjalan dalam rumah,” celah isteri Si sakit.

Menurutnya, ia terpaksa berjaga hingga siang, kecuali waktu menjelang pagi baru terlelap. Keterangan yang disampaikan oleh isteri si sakit membuat datuk dan guru silat termenung panjang. Bahang panas dari luar terasa amat perit di seluruh tubuh. Isteri si sakit bangun dan terus menuju ke dapur. Datang kembali membawa tiga cawan kopi bersama sepiring kuih.

“Begini saja, lupakan semuanya, mari kita berikhtiar ikut petua dan cara tradisional,” datuk menawarkan diri.

“Apa yang perlu saya buat” tanya isteri Si sakit.

Datuk termenung sejenak. Mengedutkan dahi sambil meraba pangkal dagunya berkali-kali. Guru silat juga termenung.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-3-2013 01:41 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

“Saya ingat kita cuba buat ubat mengeluarkan panas dari badannya, sediakan pucuk pisang yang belum kembang dan mempulur batang pisang, satu baldi air dari kaki bukit” datuk mengeluarkan arahan.

“Lain-lain tak ada?” tanya guru silat.

“Tak ada, cuma itu saja petua yang saya tahu.”

“Bila nak di mulakan?” Guru silat bertanya lagi.

“Lepas waktu Asar.”

“Kalau begitu, saya sediakan barang yang dihajati,” itu janji isteri Si sakit.

Datuk anggukkan kepala tanda setuju. Setelah memberikan syarat serta pesan, datukpun mengajak kami pulang dan berjanji pada isteri si sakit akan datang selepas waktu Asar. Perjalanan kali ini terasa tenang dan aman tidak ada sebarang gangguan yang tidak diingini.

Sebaik saja sampai di rumah pesaka, saya terus duduk berehat di bahagian anjung rumah, melihat dedaun kelapa yang bergerak lembut disentuh angin. Datuk kembali membaca Quran. Guru silat pula berkeadaan agak luar biasa. Seluruh bilik yang ada dalam rumah diperiksa. Semua barang dalam bilik yang tidak digunakan terus dikeluarkan diletakkan di ruang tengah. Antara barang yang menarik minat saya ialah sebatang tongkat yang kepalanya diukir seperti ular berkepala dua.

“Cantik,” kata saya.

“Ya,” jawab guru silat,

“tapi tongkat ini jarang digunakan oleh ayah saya,” tambah guru silat sambil membelek-belek bahagian hujung tongkat yang dibuat dari kayu keras dan tahan lama.

“Kalau tak digunakan, buat apa disimpan?” Saya terus merisik rahsia.

Guru silat menggigit hujung kuku ibu jari kanan sambil tersenyum ke arah saya. Pada hemat saya orang yang membuat tongkat tersebut memang seorang yang teliti dan rajin. Bukanlah satu perkara mudah untuk mencari kayu keras yang berurat cantik. Kemudian kayu itu dibentuk menjadi batang tongkat yang menarik, berkepalakan ukuran ular kepala dua.

Di bahagian hujung dilekatkan dengan timah warna kuning. Di bahagian badan tongkat diukir dengan awan larat, lalu disapu dengan sejenis cecair untuk mengilatkannya. “Sebenarnya, tongkat ni tongkat pesaka diwarisi oleh orang tua saya dari nenek,” ada sedikit kebanggaan dalan nada suara guru silat ketika menceritakan riwayat tongkat di depannya itu.

“Kalau begitu, sudah banyak keturunan yang menyimpannya?” Tanya saya.

“Kira-kiranya begitulah, kalau tak silap saya umurnya dah lebih dari tiga ratus tahun.”

“Hebat, kalau dah begitu, kenapa tak disimpan di tempat yang baik dan boleh dijadikan bahan sejarah keturunan tuk guru,” saya meluahkan pendapat yang ikhlas.

Guru silat termenung, kemudian Ia mengeluh kecil macam ada sesuatu yang terbuku dalam kalbunya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-3-2013 01:42 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

“Satu pendapat yang baik, says juga pernah terfikir macam tu, tapi...,” guru silat tidak meneruskan kata- katanya.

“Kenapa?” Saya terus mendesak.

“Tak ada waris yang mahu menyimpannya, kata mereka, tongkat ni keras ada pembawanya, kalau tak tahan orang yang menyimpannya, boleh jatuh sakit.”

“Huh...,” saya tersentak dengan keterangan itu.
Saya termenung, memikirkan kata-kata yang diluahkan oleh guru silat itu. Apakah dia bercakap benar atau sekadar mahu memperolok-olokkan saya. Guru silat segera mengambil sehelai kain dan terus menggosok batang tongkat. Badan tongkat nampak bersinar dan urat- urat kayu yang berselirat kelihatan terserlah.

“Sekarang, saya nak campakkan tongkat ni ke dalam sungai,” guru silat raba kepala tongkat dan terus berdiri.

Saya terus menggigit lidah.

“Tak ada faedahnya menyimpan tongkat ni, buat menyusahkan hati kaum keluarga saja,” tambah guru silat dan terus sandarkan tongkat ke dinding.

Ia mula mengemaskan barang-barang yang berselerak. Dimasukkan ke dalam peti kayu hitam dan terus ditempatkan di sudut ruang.

“Opppp” guru silat terus melompat dan buka silat. Ia terkejut besar kerana tongkat yang disandarkan tepi dinding jatuh sendiri.

Datuk tersenyum berdepan dengan peristiwa yang amat melucukan itu. Guru sila matikan langkah silat dan ia turut senyum dan akhirnya ketawa kecil.

“Terkejut” katanya pada datuk menutup kelemahan diri sendiri.

“Hum,” datuk anggukkan kepala.

“Saya nak ajak Tamar buang tongkat ke sungai,” guru silat minta kebenaran dari datuk.

Saya lihat datuk kedutkan kening kemudian sepasang matanya tertumpu ke arah saya sejenak, lepas itu datuk renung tongkat atas lantai berkali-kali.

“Macam mana boleh tak?”
Guru silat minta kepastian

. “Boleh,” jawab datuk.

“Huh...,” batin saya bersorak riang.

“Apa kau tak sayang dengan tongkat lama tu,” soal datuk dengan tenang pada guru silat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-3-2013 01:43 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

Perlahan-lahan guru silat gelengkan kepala sambil bersuara: “Tidak, tak ada faedahnya disimpan menyusahkan keturunan.”

“Kalau dah begitu keputusannya, terpulanglah pada kamu aku tak masuk campur,” ungkap datuk tenang.

“Mari,” guru silat tarik tangan saya.

Tanpa buang masa saya terus bangun ikut langkah guru silat. IKAN Setelah melalui kawasan yang ditumbuhi dengan pokok dengan pepohon senduduk, kami sampai ke tebing sungai yang airnya mengalir jernih. Anak-anak ikan bagaikan berlari-lari di celah-celah bebatu yang tertegun menahan arus air sungai yang deras dan dalam itu.

“Di situ tempat kamu, bukan di rumah,” suara guru silat agak keras dan terus mengangkat tongkat berkepala ular separas dada.

Tongkat itu terus dicampakkannya ke dalam sungai. Tongkat tenggelam timbul lalu melanggar bebatu besar. Akhirnya hilang dari penglihatan saya dan guru silat.

“Biar dihanyutkan air sungai hingga ke laut Selat Melaka,” guru silat bersuara penuh kepuasan.

Ia tersenyum dan mencekak pinggang di tepi tebing sambil kaki kanannya memijak seketul batu yang berada di tepi tebing.

“Ini sebagai permulaan,” bisik guru silat pada saya ketika melintasi sebatang parit kecil yang mengalirkan air ke sawah.

“Lepas tu nak buat apa pula?”

“Semua yang ada dalam peti hitam nak aku buangkan ke laut.”

“Bukankah itu barang-barang lama yang berharga.”

“Pada orang lain mungkin berharga, pada aku tak ada nilainya,” suara guru silat meninggi sambil menyapu peluh di dahi dengan jari kelingkingnya.

Saya tidak kuasa membantah cakapnya. Ternyata sikap saya itu menyenangkan hatinya. Guru silat terus bersiul-siul kecil.

“Semuanya dah selesai?” sambut datuk di kaki tangga dengan segaris senyum terpamer di bibir.

Saya anggukkan kepala tetapi, guru silat terus mengedutkan dahi luasnya sepasang kening lebatnya turut bergerak macam ada sesuatu yang difikirkannya. Guru silat berhenti di kepala tangga menatap wajah datuk sejenak.

“Sudah,” katanya pendek.

“Baguslah, aku harap kamu tak menyesali perbuatan yang kamu buat ni,” sanggah datuk.

“Tidak,” satu ketegasan terungkap dari mulut guru silat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-3-2013 01:44 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

Penuh ketenangan dan yakin dengan apa yang dilakukannya itu memang kena pada tempatnya. Tanpa banyak cakap guru silat terus naik ke rumah dan duduk di ruang tengah lalu menyandarkan badan ke dinding. Saya juga turut berbuat demikian. Setelah menunaikan sembahyang Asar, kami bertiga segera bersiap untuk pergi ke rumah si sakit. Tidak ada persediaan tertentu yang datuk lakukan. Saya menarik nafas dalam-dalam, bila terlihat di tangan datuk ada besi kecil sepanjang dua inci.

“Dari mana dapat besi itu,” secara spontan guru silat mengajukan pertanyaan. Matanya tertumpu pada besi di tangan kanan datuk.

Perlahan-lahan datuk menatap besi tersebut, beberapa saat kemudian datuk menjelaskan, besi tersebut ditemuinya di bawah tangga. Ia tertarik lantas mengambilnya.

“Besi itu juga nak dibawa ke sana?”

Guru silat minta kepastian.

“Rasanya, memang ada niat nak membawanya,” jawab datuk.

“Menyusahkan saja.”

“Kadang-kadang besi buruk macam ni ada juga gunanya.”

“Terpulanglah pada awak,” nada suara guru silat agak kecewa.

“Mari kita pergi,” ajak datuk. Saya dan guru silat segera memenuhinya.

Kerana pancaran matahari tidak begitu keras, perjalanan ke rumah si sakit terasa seronok dan tenang. Datuk dan guru silat jalan bersaingan, saya mengekor dari belakang. Tidak ada perkara penting dan menarik yang dibualkan sepanjang perjalanan. Guru silat lebih suka menceritakan tentang sawah padi, tentang zaman kanak-kanaknya waktu di kampung.

Kadang-kadang datuk dan guru silat ketawa, bila berdepan dengan kisah-kisah yang lucu. Saya cuma tumpang senyum dari belakang tetapi, mata saya tetap liar merenung ke arah pepohon ke kiri kanan jalan. Seronok rasa hati melihat beburung melompat di ranting dan dahan kayu. Angin petang yang bertiup lembut menghantarkan sebuah kesegaran di tubuh.

“Apa pendapat awak tentang bomoh tua tu?”
Terdengar pertanyaan dari guru silat.

Datuk tidak menjawab pentanyaan tersebut tetapi, datuk memperlahankan langkahnya, matanya renung kiri kanan, macam mencari sesuatu.

“Bagaimana pendapat awak tentang bomoh tua tu?”

Ulang guru silat minta sebuah kepastian yang jitu. Datuk tetap kelihatan tenang. Langkahnya kembali bertenaga dan penuh semangat. la seolah-olah merasakan pertanyaan itu tidak wajar dijawab. Satu pentanyaan yang sengaja diada-adakan untuk mengisi masa.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-3-2013 01:44 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

“Bagaimana?”

Untuk kali ketiga guru silat minta kepastian.

“Tak ada apa-apa, dia hanya manusia biasa,” jawab datuk dalam nada suara yang merendah.

“Tapi, saya rasa dia tu lain macam aje, mahu cari musuh dengan kita.”

“Itu pendapat kamu, sudahlah. Pedulikan tentang dirinya, banyak hal lain yang nak kita fikirkan,” datuk terus tepuk belakang guru silat.

Rupanya tepukan datuk itu mematikan hasrat hati guru silat untuk memperkatakan tentang diri bomoh tua. Saya kira guru silat puas hati. Saya berharap, selepas ini tidak ada pertanyaan yang ada berhubung-kait dengan bomoh tua itu akan dibangkitkan oleh guru silat. Sesungguhnya saya sudah muak dan bosan dengan pertanyaan seperti itu.
Ternyata harapan saya terkabul. Mereka tidak lagi memperkatakan perkara yang tidak saya senangi itu.

“Saya ingatkan tadi tak datang,” riang benar suara isteri Si sakit menyambut kami di muka pintu.

Datuk tidak menjawab cuma tersenyum sambil meraba besi kecil yang berada dalam saku bajunya.

“Kalau dah janji tu, hujan ribut pun kami datang,” secara mendadak guru silat bersuara yang diakhiri dengan ketawa kecil.

Saya dan datuk berpandangan lalu tersenyum. Kami pun naik ke rumah Si sakit. Semua barang-barang yang dipesan oleh datuk sudah berada di ruang tengah rumah. Diisi dalam talam tembaga. Datuk dan guru silat terus duduk bersimpuh depan dulang tembaga. Isteri Si sakit terus ke dapur untuk membuat kopi. Saya sandarkan badan ke dinding sambil merenung ke arah dedaun di depan rumah yang melintuk-liuk disentuh angin petang. Hembusan angin terasa menyentuh wajah saya. Datuk dengan tenang menggosok pucuk pisang dengan belakang tangan kirinya sebanyak tiga kali. Selepas itu ia menjentik mempulur batang pisang dengan ibu jari kaki kanan tiga kali berturut-turut. Kelopak bibirnya kelihatan bergerak perlahan-lahan.

“Bawa barang-barang ni ke tempat si sakit,” ujar datuk.

Saya dan guru silat segera membawa pucuk pisang dan mempulurnya dekat si sakit. Beberapa saat kemudian, isteri Si sakit datang lalu meletakkan air kopi di tempat kami mula-mula duduk tadi. Datuk menyuruh isteri si sakit membentangkan tikar mengkuang di tengah ruang rumah. Perintah datuk dipatuhi.

“Bukakan, pucuk pisang tu, letakkan atas tikar, kemudian letakkan si sakit atas pucuk pisang itu,” mata datuk tajam merenung muka guru silat.

Saya lihat guru silat mengangguk. Tidak lama kemudian, isteri si sakit dan guru silat mengangkat si sakit dan terus diletakkan atas pucuk pisang. Datuk pula meletakkan mempulur batang pisang atas dada Si sakit, diatur memanjang hingga ke pergelangan kaki si sakit. Si sakit tidak membantah, merelakan dirinya diperlakukan apa saja, asalkan sakitnya sembuh.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-3-2013 01:45 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

Sepuluh minit sudah berlalu, si sakit kelihatan resah. Mukanya berkerut, hujung hidungnya kelihatan merah macam udang kena bakar. Dari lubang hidungnya keluar air jernih. Perut buncit nampak berombak. Kulit perutnya juga jadi merah.

“Tunggu di sini, jangan ke mana-mana,” kata datuk lalu turun ke halaman rumah.

Datuk berlari ke sebelah kanan rumah masuk dalam semak samun. Datuk keluar dari semak samun dengan sedahan daun gelenggang di tangan. Datuk naik ke rumah dan letak daun gelenggang atas perut Si sakit.

“Kenapa tak cakap awal-awal, kalau cakap tadi, saya boleh cari dan sediakan,” isteri si sakit bersuara dalam nada kesal.

Sepasang matanya, merenung sayu ke wajah datuk yang begitu minta dengan kata-kata yang diluahkannya.

“Kalau cakap tadi tentu tak susah,” isteri si sakit berusaha menarik perhatian datuk.

Kali ini perlahan-lahan datuk angkat muka lalu menentang wajah isteri si sakit. Datuk menarik nafas panjang- panjang.

“Bukan niat nak tunjuk pandai atau nak sakitkan hati tuan rumah, memang begitu caranya,” nada suara datuk lemah, terbayang rasa kesal dalam kerdipan matanya. Isteri si sakit termenung panjang. Guru silat segera mendekati isteri si sakit dan membisikkan sesuatu ke telinga isteri si sakit segera anggukkan kepala. Pucuk pisang yang hijau segera kelihatan beransur kecut dan bertukar menjadi hitam, begitu juga dengan mempulur batang pisang.

Apa yang menakjubkan saya getah yang terdapat pada mempulur tersebut tidak meleleh atau mengenai badan Si sakit, malah getah pisang itu terus beku dan menjadi seketul. Si sakit terus menggeliat ke kiri dan ke kanan. Dia terus berdengkur dan wajahnya berkerut bagaikan menahan rasa sakit yang amat sangat. Saya pandang muka datuk dan guru silat.

Kulit perut si sakit yang bengkak kelihatan bertambah merah macam buah tomato yang cukup masak. Saya jadi takut melihatnya. Pucuk pisang kelihatan seperti terbakar. Mempulur batang pisang yang ada atas badan si sakit terus menjadi hitam macam kayu arang dan kelihatan berasap. Saya tidak sanggup merenung perut si sakit, kulit perutnya bertambah tegang dan merah. Urat-urat perutnya juga kelihatan mengeras dan menegang. Saya berdoa, semoga perut si sakit tidak akan meletup. Saya memejamkan mata.

Tiba-tiba saya terdengar si sakit bertempik, serentak dengan itu mempulur pisang yang berada di atas tubuhnya berterbangan lalu mengenai dinding rumah. Datuk segera menerkam ke arahnya dan mengambil daun gelenggang yang jatuh di sisinya. Tiga helai daun gelenggang datuk aturkan sebaris atas dahi si sakit. Perlahan-lahan datuk tepuk dahi si sakit lima kali berturut-turut. Si sakit terus batuk bertalu-talu. Saya lihat kulit tubuhnya yang tadi merah menyala mula beransur pulih dan akhirnya kemerahan yang terdapat di tubuhnya terus ghaib.

“Air,” minta Si sakit.

“Berikan air, campurkan dengan air limau dan halia, sebelum diberikan padanya, serahkan pada saya dulu,” itu permintaan datuk.

“Baik.” Isteri Si Sakit segera bangun.

“Bagaimana, ada harapan panasnya keluar dari badan,” tiba-tiba saja guru silat bertanya pada datuk.

Datuk gosok batang hidungnya berkali-kali sambil menarik nafas. Saya terus merenung keluar dan sesekali menjeling ke arah si sakit yang terkapar menyerahkan dirinya pada keadaan. Isteri si sakit datang lalu menyerahkan gelas yang berisi air pada datuk. Datuk meletakkan punggung gelas itu atas telapak tangan kirinya kira-kira dua minit. Kemudian saya terdengar datuk membaca surah Al- Fatihah tiga kali berturut- turut.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-3-2013 01:46 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

“Berikan padanya,” datuk serahkan gelas itu pada isteri si sakit, kemudian isteri si sakit terus membantu suaminya meneguk air dalam gelas.

Saya lihat suaminya terus minum penuh nafsu. Seluruh badannya kelihatan seperti berasap. Datuk segera mendekati si sakit lantas memicit pergelangan kaki Si sakit. Si sakit mengeluh menahan kesakitan.

“Bawa dia ke tempat asalnya,” kata datuk sambil mengangkat tubuh si sakit dengan dibantu oleh guru silat dan isteri si sakit.

Saya segera mengambil pucuk pisang yang hangus itu dan dibuang melalui tingkap, begitu juga dengan mempulur batang pisang. Dalam beberapa saat saja keadaan rumah itu kembali bersih.

“Cuba petua saya ni, mudah- mudahan bengkak perutnya boleh hilang.”

“Cuba ambil daun gelenggang tua dan rebus, airnya diminum tiga kali sehari, kemudian daun yang direbus itu disapukan pada perutnya yang bengkak dan buncit, dengan izin Allah bengkak perutnya akan sembuh, cubalah. Ini ikhiar kita,” datuk memberikan panduan.

Cepat kilat guru silat renung ke arah saya. Kami berbalas senyum. Ibu jari tangan segera saya tegakkan. Guru silat anggukkan kepala. Di wajahnya terbayang kepuasan yang amat sangat kerana datuk sudi berikhtiar dan berusaha untuk mengubati si sakit.

“Lagi ada apa-apa yang mesti saya buat,” tanya isteri si sakit.

Datuk gelengkan kepala sambil meraba-raba pangkal dagunya berkali-kali. Mata datuk tertumpu ke arah si sakit yang kelihatan tenang.

“Apa yang awak pesan, saya patuh,” itu janji isteri Si sakit.

“Buatlah itu dulu, saya masih berusaha,” janji datuk yang amat menyenangkan buat si sakit dan isterinya.

Matahari petang kian condong. Kicau burung terdengar riang. Beberapa ekor burung gagak liar berbunyi sambil hinggap di dahan mempelam dan cempaka. Hembusan angin terasa amat lemah sekali. Saya lihat jam lama yang tersangkut di dinding rumah. Sudah hampir pukul enam setengah petang. Rasa bosan mula bersarang dalam dada saya. Mahu rasanya mengajak datuk pulang.

“Minum, air kopi dah sejuk,” guru silat mewakili isteri si sakit menjemput kami.

Datuk cuma menghirup dua kali saja kopi panas yang sudah beransur sejuk itu. Datuk mintak diri dan isteri si sakit mengizinkannya dengan iringan senyum.

“Malam ni datang lagi?” Tanya isteri si sakit.

“Saya tak tahu nak kata apa, kena tanya dia,” guru silat menuding jari telunjuknya ke arah datuk yang berdiri di kaki tangga.

“Kalau tak ada apa-apa, lepas Isyak kami datang,” kata datuk lalu melangkah.

Baru tiga langkah datuk melangkah, dia segera kedutkan kening sambil meraba besi kecil dalam sakunya. Langkahnya terhenti, guru silat dan saya agak terkejut dan ragu dengan tindakan mengejut dari datuk itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-3-2013 01:46 AM | Show all posts
Bercakap dengan jin ~ 87 ~
Tongkat ular

Lebih mengejutkan lagi, bila datuk berpatah balik ke kaki tangga. Berhenti di situ, datuk keluarkan besi kecil dari sakunya. Datuk keliling rumah tiga kali berturut- turut, langkah pertama dimulainya dengan kaki kanan, menuju ke arah matahari naik.

Bila semuanya sudah selesai. Datuk terus menuju ke pohon rambai yang jaraknya lebih kurang tiga puluh kaki dari sudut sebelah kiri rumah. Datuk berdiri dekat perdu rambai. Dengan tenang datuk duduk membongkok lalu menggali tanah di situ dengan besi kecil yang dibawanya. Saya dan guru silat segera berlari menghampirinya, tanpa menghiraukan kami, datuk terus menggali tanah di pangkai perdu rambai. Mukanya kelihatan merah dengan peluh-peluh halus meruap di kiri kanan pipinya.

“Apa yang dicari?”

Tercungap- cungap guru silat menyoal.

“Hum...,” keluh datuk dan terus mengorek.

“Boleh saya tolong.”

“Tak payah, tunggu saja di sini, tengok dan perhati apa yang aku buat, bila aku minta tolong kamu tolong.”

“Saya faham,” guru silat mengalah.

“Hum...,” nada suara datuk terkulum.

Ia terus menggali tanah di pangkal perdu rambai sedalam yang boleh.

“Lihat,” suara datuk separuh meninggi.

Datuk segera menatang satu bungkusan sebesar penumbuk. Saya dan guru silat berpandangan. Tidak berani mahu mengajukan sebarang pertanyaan pada datuk. Dengan hati-hati datuk letakkan bungkusan itu atas tanah. Sukar untuk mempastikan warna kain pembalut bungkusan tersebut akibat dilekati tanah yang tebal.
Reply

Use magic Report

Post time 4-3-2013 02:56 PM | Show all posts
salam en rdzacces...

saya peminat cerita ni sejak sekolah rendah lagi. tapi curi2 baca dari pakcik sebab zaman tu susah kan.. saya rasa seronok sangat bila dapat baca buku ni lagi.. terima kasih.. gembira sangat2.. semoga Allah permudahkan segala urusan dunia akhirat buat tuan. dan harap la cerita ni akan bersambung lagi..

saya da jadi peminat setia rumah ni walaupun SR je.. da hampir sebulan rasanya dan sangup on9 kejap2 sebab cerita tgh bestkan..hehehehehe

pape pun.. Terima kasih tuan rumah.. salammmm
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-3-2013 11:00 PM | Show all posts
Salaam
Semoga anda di rahmati Allah swt ...
Di antara cerita ini ada saya selitkan pengetahuan dan ilmu yang saya dapati sendiri ...
Sekurang kurangnya ada yang mengerti dan akan membuat seperti yang di tunjukkan jika terdapat kecemasan mistik....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2025 11:33 AM GMT+8 , Processed in 0.098182 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list