Salahkah minta tolong suami? - Ifa Raziah
|
Ifa Raziah bersama suaminya Ahmad Yani.
|
Apa sebenarnya kes "spedo" suami Ifa? Macam mana isu ini boleh timbul?
Ifa sendiri pun pelik juga, tiba-tiba muncul cerita ini pula. Orang tak tahu cerita sebenarnya. Dia orang boleh cakap apa saja. Tetapi hal dalam rumah tangga kami, hanya kami yang tahu. Orang luar tak tahu, tetapi kalau orang hendak tahu sangat terpaksalah Ifa ceritakan juga. Sebenarnya selain menjadi pengurus, suami Ifa adalah rakan kongsi dalam syarikat Ifa, iaitu Ifa Raziah Entertainment. Dia yang menguruskan segala hal ehwal karier Ifa, dia buat pengurusan acara dan macam-macam lagilah.
Sebenarnya apa kerja suami Ifa sebelum ini?
Dulu dia pernah ada syarikat seni reka grafik. Suami Ifa graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dia memang banyak berkorban untuk Ifa sebenarnya tapi orang tak tahu. Masa kami tengah bercinta, Ifa sudah ada anak. Dia kasihan tengok Ifa ke hulu ke hilir seorang diri. Anak ke mana, show ke mana. Bila dapat show pula bukan di Kuala Lumpur saja tapi kena pergi seluruh negara. Pergi seorang diri tak ada teman pula tu. Jadi, lebih senang kalau dia sendiri uruskan Ifa. Urusan jadi lebih mudah selepas kami kahwin. Ifa tak payah cari pengurus lain. Senang kerja. Lagipun kami cari rezeki untuk anak-anak, rumah tangga sendiri. Jadi Ifa rasa tak salah kalau suami Ifa jadi pengurus.
Masalahnya orang hanya nampak suami Ifa mengekori Ifa saja, sebenarnya apa lagi yang dia buat?
Banyak. Malah Ifa boleh katakan cara dia bekerja lebih hebat daripada Ifa. Kerja dia lagi banyak berbanding dengan Ifa yang hanya naik pentas dan buat persembahan. Dia uruskan segala-galanya. Suami Ifa juga jadi rakan kongsi produk kecantikan Ifa sendiri iaitu Serifa yang akan berada di pasaran hujung bulan ni. Dia yang usahakan dari A sampai Z uruskan buka syarikat dan urusan dengan pengilang dan pengedar- pengedar kami di seluruh negara. Modal pun suami Ifa yang beri peruntukan. Dia yang keluarkan duit dari akaun simpanan dia untuk beri peluang kepada Ifa buka bisnes produk itu. Iyalah, Ifa bukan hanya menyanyi dan berlakon. Ada bisnes lain juga. Ifa masih jadi jurucakap untuk Natasha Sliming dan akan mengarah drama pula. Semua tu kena ada kontraknya, dia yang uruskan. Pendek kata Ifa senang dengan bantuan suami. Sejak bersama suami, kerjaya Ifa nampak peningkatan. Alhamdulillah.
Adakah orang kita tidak boleh menerima suami menjadi pengurus kepada isterinya yang menjadi artis?
Itulah masalahnya. Tetapi kalau Ifa, Ifa selesa diuruskan suami. Orang tak boleh cakap macam itu. Itu hal Ifa. Tetapi orang kena ingat, salahkah kalau Ifa minta tolong suami sendiri jadi pengurus? Dia orang kena tahu, dalam dunia ini bukan Ifa seorang sahaja artis yang diuruskan oleh suami. Ramai lagi artis yang memilih suami untuk menjadi pengurus. Antaranya Celine Dion bersama suaminya Rene Angelil, Ruth Sahanaya juga memilih suami sebagai pengurus. Dan yang paling popular di Malaysia, Anita Sarawak dan suaminya Mahathir. Jadi apa masalahnya? Ada juga artis lain yang diuruskan pula oleh isteri atau ahli keluarga sendiri macam Ameng Spring, Shamsul Ghau Ghau dan Misha Omar yang diuruskan oleh kakaknya. Datuk Siti Nurhaliza pun diuruskan oleh keluarga sendiri, jadi penyanyi No. 1 negara lagi. Jadi apa masalahnya?
Agak-agak Ifa, kenapa baru sekarang isu ini timbul?
Ifa sendiri pelik. Sebenarnya Yani sudah menguruskan kerjaya Ifa Raziah selama lima tahun. Dan dalam jangka masa lima tahun ini juga tidak pernah timbul atau diungkit soal seperti ini. Ramai juga wartawan yang kenal dengan suami Ifa, dia orang tak buat cerita pun. Tetapi sejak kontroversi yang berlaku bersama 'seseorang' baru-baru ini, bermacam-macam cerita yang kurang enak sampai ke telinga Ifa. Tapi kita tak hendaklah main tuduh-tuduh. Di samping cerita tentang suami Ifa, ada juga cerita yang mengejutkan keluar. Macam-macam hal yang timbul. Ifa sendiri pun tak sangka sampai jadi macam tu.
Apa cerita pula ni? Kongsilah dengan Pancaindera?
Ada beberapa cerita tak manis telah dengan sengaja dicetuskan. Direka-reka. Termasuklah kononnya ada orang sebar cerita kata Ifa telah diberhentikan dari program Wanita Hari Ini. Tak tahulah siapa buat mulut. Kalau sudah mulut busuk tu, busuk jugalah, Ifa tak boleh hendak halang. Tetapi Ifa berterima kasih kepada penerbit Siti Hatija Yusof dan Hartina Ayu Harun, kerana masih mempercayai kemampuan Ifa Raziah. Sebab itu orang masih boleh tengok muka Ifa setiap hari Khamis di TV3. Sempat promosi ni (ketawa).
Jadi Ifa anggap ini serangan peribadi pihak tertentu?
Kepada Ifa, ini adalah serangan peribadi yang dilakukan secara berterusan, untuk menjatuh dan memburukkan nama Ifa di persada seni. Pelbagai kata nista dilemparkan kepada Ifa sepanjang kempen "memualkan" ini. Tetapi nampaknya segala yang dikatakan tidak menjadi dan telah memakan diri sendiri. Dan apabila semua bedilan dan serangan tidak mengena, pihak tersebut cuba mengalihkan pandangan dan menghentam suami Ifa dan kerjaya Ifa pula. Memang tepatlah dengan kata-kata yang dikeluarkannya, "Kalau nak bermusuh, kita musuh betul-betul". Ifa juga telah diberitahu oleh seorang rakan, (yang juga telah menjadi salah seorang mangsa), mulut itu juga pernah berkata pada rakan Ifa "Aku kalau dah tak suka orang tu, aku akan putar belit cerita. Aku akan tokok tambah". Sekarang Ifa percaya sebab Ifa sudah terkena. Jadi renung-renungkan.
Hal-hal macam ini sebenarnya dimulakan oleh orang lain, tetapi akhirnya Ifa juga yang dianggap artis kontroversi, macam mana Ifa menerimanya?
InsyaAllah, kontroversi tak menjadi kudis pada Ifa. Selagi Ifa dan suami yakin dengan apa yang kami buat itu betul kami akan pertahankan. Segala kontroversi yang datang bukan Ifa minta. Ifa memang tak mahu dikenali sebagai artis kontroversi, tak manis. Tetapi kontroversi datang bukan kita yang cari. Orang yang buat dan kita terkena tempiasnya. Jadilah macam ini. Tak apalah Niezam, Ifa terimalah. Ifa percaya Tuhan Maha kaya, adil dan saksama. Rezeki itu Dia yang bagi, bukan orang biasa macam kita. Kalau boleh dalam kehidupan ini, Ifa tak hendak cari musuh dengan orang. Ifa ingat pesan orang tua-tua, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Kita ini kalau mudahkan jalan untuk orang, tak berdengki khianat, InsyaAllah, Tuhan akan permudahkan jalan kita pula. Itu Ifa pegang sangat.