Ini dari Berita Harian jumaat lepas
BANGI, 20 Muharram 1438H, Jumaat – Jemaah Malaysia yang mahu menunaikan umrah kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hijrah akan dikenakan kadar baharu visa iaitu RM2,250, mulai November ini. Memetik laporan Berita Harian berkata, beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah telah mengesahkan menerima surat pemberitahuan daripada kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Haji Arab Saudi berhubung dasar baharu itu. Menurut notis tersebut, jemaah yang pernah menunaikan umrah pada tahun Hijrah iaitu 1435H, 1436H dan 1437H dan mahu menunaikan buat kali kedua mulai bulan depan, akan dikenakan bayaran Visa Umrah sebanyak RM2,250. Bagaimanapun, pengunjung yang kali pertama memasuki Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj berkenaan. Jurucakap Tabung Haji Travel berkata, menerusi notis berkenaan, pihaknya diminta untuk memaklumkan kepada jemaah umrah berhubung kadar visa tersebut. “Turut disertakan prosedur semakan jemaah yang ada kekerapan menunaikan umrah dalam sistem Bab Al Umrah,” katanya. Sebelum ini, dilaporkan bahawa kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan caj baharu visa yang diputuskan bulan lalu oleh Kabinet bertujuan meningkatkan pendapatan bukan berasas minyak.
|