|
Parah dilibas kipas
Oleh Hayati Ibrahim
[email protected]
DENGKIL: Mengerikan apabila kipas dalam kelas sebuah sekolah, dekat sini, yang sedang berpusing ligat, tiba-tiba terhempas di atas meja seorang pelajar menyebabkan satu daripada bilah kipas tersagat sehingga mengoyak pipi, mulut dan menampakkan tulang rahang pelajar berkenaan, kelmarin.
Sebelum kejadian, Fahmi Harith Abu Bakar, 13, sedang asyik mendengar penerangan guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Malaysia dalam kelas sebelum kipas yang sedang berpusing ligat itu jatuh, kira-kira jam 6 petang.
Kejadian yang mengejutkan itu menyebabkan mangsa, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, dekat sini, terpaksa menerima lebih 10 jahitan di pipi dan di luar serta dalam mulut apabila bilah kipas itu melayang mengenai mukanya.
Fahmi Haritah berkata, ketika kejadian, dia sedang berbincang dengan rakan mengenai topik yang diajar guru sebelum kipas di siling terjatuh di atas meja dan terkena pipi.
“Saya terus terjatuh di lantai dan menyedari banyak darah keluar dari mulut, tetapi tidak rasa sakit sebelum dipapah guru dan rakan ke Klinik Kesihatan Dengkil untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pembantu perubatan di klinik terbabit kemudian merujuk kesnya ke Hospital Putrajaya, dekat sini, apabila mendapati kecederaan dialami agak serius.
Fahmi Harith yang ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, petang semalam, masih trauma dengan mukanya membengkak dan terpaksa makan serta minum menggunakan penyedut minuman.
Anak keempat daripada enam beradik itu terpaksa berbaring akibat kesakitan dialami selain sukar bercakap.
Katanya, dia tidak menyangka kipas yang disangkut kukuh di siling itu boleh jatuh.
“Secara kasarnya kipas itu berada dalam keadaan elok dan tidak rosak, tak sangka pula ia boleh terjatuh. Namun, saya bersyukur tidak mengalami kecederaan teruk,” katanya yang mendapat cuti sakit sehingga akhir sesi persekolahan tahun ini.
Sementara itu, bapa mangsa, Abu Bakar Mustafa, 45, berkata dia menerima panggilan dari pihak sekolah kira-kira jam 6.10 petang memaklumkan anaknya terbabit kemalangan di sekolah.
“Pada mulanya, saya ingat anak bergaduh dengan rakan atau terbabit dengan kemalangan lain, tetapi terkejut apabila mendapati kecederaan anak saya berpunca daripada bilah kipas yang jatuh.
“Saya berterima kasih pada guru berkenaan kerana cepat menghantar anak ke klinik untuk rawatan. Malah, pihak sekolah juga terus menghubungi saya untuk memaklumkan kejadian itu sebaik saja ia berlaku,” katanya.
Menurutnya, dia tidak bercadang membuat laporan polis kerana ia hanya satu kemalangan yang tidak membabitkan mana-mana pihak.
“Saya tak nak menuding jari kepada mana-mana pihak, cuma semua pihak perlu mengambil iktibar dari kemalangan ini dan memeriksa peralatan secara berkala supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya yang juga bertugas sebagai seorang guru.
Pengetua, Ahmad Badri Mardi ketika dihubungi berkata, kemalangan itu tidak dijangka kerana peralatan di sekolah terbabit sentiasa diperiksa untuk memastikan tahap keselamatannya terjamin.
“Pihak sekolah sentiasa mengamalkan 3K (Kebersihan, Keselamatan dan Kesihatan) untuk memastikan peralatan, kawasan sekolah dan setiap sudut di sekolah berada dalam keadaan selamat untuk pelajar,” katanya. |
|