Share
Tweet
Share
Sudirman Mohd Tahir
[email protected]
ANAK ketiga penyanyi Lan Kristal, Muhammad Akid Qassyaff, 3, menerima tujuh jahitan di dahi selepas terjatuh di rumahnya di Puchong, Selangor, petang semalam.
Isteri Lan, Nur Sheila Hassim, 32, berkata, dia dan Lan mendapat berita itu kira-kira jam 2 petang semalam ketika mereka baru tiba di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bagi persediaan membuat persembahan pada program Gegar Vaganza 4 (GV4) yang berlangsung malam tadi.
“Saya menyangka ia hanya luka biasa, tetapi apabila emak menghantar gambar anak, saya lihat lukanya memang teruk.
“Kami terus bergegas pulang dan membawa anak ke sebuah pusat perubatan di Bandar Sunway. Anak dimasukkan ke bilik pembedahan dan menerima tujuh jahitan,” katanya.
Sheila berkata, bagaimanapun Lan terpaksa bergegas semula ke Bukit Jalil untuk GV4.
Menurut Sheila, proses rawatan anaknya hanya selesai pada jam 9.20 malam tadi.
“Memandangkan hari ini (semalam) hari cuti hujung minggu, jadi jururawat bertugas terpaksa menunggu doktor ‘on call’ tiba. Sebelum itu, anak di masukkan ke wad biasa bagi mencuci luka berkenaan.
“Apa pun, saya bersyukur semuanya sudah selamat walaupun pada mulanya agak cemas juga,” katanya.
Sheila berkata, anaknya mula sedar kira-kira jam 1 pagi tadi dan sudah dibenarkan pulang pagi hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 12:56 PM