Lebih menarik, 'Aku Bukan Ustazah' merupakan satu-satunya drama Melayu yang berjaya mengungguli carta berprestij berkenaan, sekaligus membuktikan drama ini paling popular dalam kalangan penonton.
Drama 'Aku Bukan Ustazah' terus mengukir sejarah dalam dunia hiburan tempatan dengan fenomena yang luar biasa. Tidak hanya popular di Malaysia, drama ini kini turut menjadi kegilaan penonton di negara seberang.
Drama lakonan Erysha Emyra, MK K-Clique, Zahiril Adzim, Shaza Bae dan ramai lagi berjaya menembus sempadan bangsa dan agama, menarik perhatian pelbagai kelompok masyarakat sehingga menjadi perbualan ramai.
Untuk rekod, drama ini memulakan tayangan perdana di Slot Akasia, TV3 dari 3 Mei hingga 11 Jun 2024 dan arahan oleh Idora Abdul Rahman terbitan Global Station Sdn. Bhd.
Drama ini mengisahkan perjalanan seorang gadis bernama Aminah (Erysha Emyra) yang mengenakan niqab, tetapi berpaling dari pegangan agamanya akibat fitnah manusia.
Akibat tindakan seorang lelaki bernama Adam (MK K-Clique), martabatnya sebagai seorang niqabis tercalar dan diinjak-injak, menyebabkan dia bertekad untuk mencari jalan hidupnya sendiri.
Dari situlah bermula perjalanan hidupnya bersama teman-teman yang memiliki keyakinan yang berbeza. Aminah hampir terjerumus ke dalam lembah kesalahan akibat perasaannya yang terkeliru.
Dia pun membuat keputusan untuk mengubah dirinya, menanggalkan identiti "Aminah" dan mengambil nama baru, "Miya". Dalam perjalanan ini, dia akan menemukan cinta sejati dan menghadapi konflik dalam hubungan serta ujian keimanan.
Rata-rata netizen dari Indonesia, Singapura dan Brunei turut menyuarakan kekaguman mereka terhadap plot dan jalan cerita yang penuh dengan emosi dan konflik yang nyata relevan untuk semua.
Apa yang lebih menarik, beberapa klip pendek mengenai drama ini menjadi viral sehingga segelintir penonton dalam kalangan kaum Cina dan India memberi reaksi yang agak panas, hingga ada yang ‘marah-marah’ dan ‘geram’ dengan watak yang terdapat di dalam drama ini!
Satu lagi pencapaian menarik yang perlu diberi perhatian, 'Aku Bukan Ustazah' berjaya menarik minat kelompok golongan lelaki daripada pelbagai peringkat umur, termasuk abang-abang motor yang selama ini mungkin tidak begitu terdedah dengan drama Melayu! Berdasarkan beberapa video viral sebelum ini, kita boleh lihat betapa drama ini berjaya 'mengikat' hati mereka.
Satu lagi aspek yang membuatkan drama ini berbeza dan terus menjadi fenomena adalah keberkesanan setiap karakter, baik watak utama mahupun watak sampingan. Setiap karakter tidak hanya sekadar memenuhi peranan dalam cerita, tetapi mereka berjaya ‘hidup’ dan memberi impak mendalam kepada penonton.
Dari watak utama yang penuh dengan cabaran dan emosi, hingga watak sampingan yang tidak kurang pentingnya, semuanya berhasil menambat hati setiap penonton. Bahkan, watak-watak ini turut trending di media sosial, dengan para penonton mengadakan perbincangan dan teori-teori sendiri tentang perkembangan karakter-karakter ini.
Selain itu, fenomena drama ini turut memperlihatkan peningkatan fanbase yang sangat mengagumkan. Peminat dari seluruh pelosok tanah air, bahkan dari luar negara, kini menjadi sebahagian daripada perjalanan drama ini.
Dari segi interaksi di media sosial, drama ini dapat dilihat mencipta sebuah komuniti besar yang aktif berkongsi pendapat, teori, dan emosi mereka terhadap jalan cerita serta perkembangan setiap episod.
Says.com