SELAMAT HARI 1 MALAYSIA UNTUK SEMUA WARGA FLORIAZ!!
TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.
Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.
Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia.Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”
Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.
Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan Malaysia ini, Tunku Abdul Rahman telah mengambil tindakan dengan mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London. Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat persetujuan semua pihak.Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.
Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Malaysia ini. Usaha untuk menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk di Sabah dan Sarawak sendiri
|