|
(Ulasan ini dari - liverpoolkita.blogspot.com)
LIVERPOOL 4-1 WEST BROM
Pemilik Liverpool John W Henry menulis dalam Twitter "Luis, Ahli Silap Mata". Tapi sampai bila kita nak tengok silap mata Suarez, harapnya sampai hujung musim kot jika Henry suka akan silap mata dari Suarez. Liverpool tanpa Suarez memang masih boleh menang, tetapi dengan beliau pasukan kita menang tetapi lebih menghiburkan. Aksi beliau memang memukau, kerana setiap gerakan yang dilakukan penuh dengan muslihat. Kalau siapa minat Maradona, maka Suarez ialah bayang-bayang beliau, walaupun Suarez ada gaya sendiri. Gelecek semua boleh gelecek tapi nak bagi bola lekat dikaki serta tarik bola macam ada besi berani dalam kasut, tak ramai pemain boleh buat.
Gol pertama Suarez memang gaya klasik pemain latin. Larian solo beliau menggelecek Yaakob dan paling membuatkan semua tercengang bagaimana dia main bola celah kangkang Olsson dengan sentuhan lembut dan ambil balik untuk melakukan rembatan padu melepasi Myhill, goli WBA. Itu baru buah mula, gol kedua pun memang klasik, apabila hantaran Cissokho ditanduk dengan selamba betul-betul antara kotak D sambil diperhatikan bek WBA yang tak seorang pun mengejar atau mengekang Suarez. Gol ketiga untuk melengkapkan hatrik, masih dengan tandukan namun ianya hasil sepakan percuma Kapten Gerrard yang memang cun dan pejam mata boleh tanduk gol sebab, bola macam cari kepala Suarez. Sturridge yang melepaskan banyak peluang, tak mahu kalah dengan Suarez dengan sepakan lob bila dia nampak Myhill keluar. Gol Saguhati, penalti adalah buah tangan untuk WBA walaupun Lucas melakukan terjahan bersih sesuci embun pagi.
Lucas amat penting dalam pasukan. Ketiadaan beliau masa lawan Newcastle, dirasai kerana posisi tengah bertahan adalah hak mutlak beliau. Henderson serta Gerrard tak mampu memahami kehendak dan keperluan taktikal seperti Lucas bagi melindungi barisan bawah. Menjadi pemain yang melakukan kerja hina dan sering disalahkan peminat jika dia melakukan kekasaran dan memberikan sepakan percuma, adalah biasa bagi Lucas. Lain pula bagi Henderson, kerana kelebihan mampu bermain dalam pelbagai posisi, kita lupa yang semasa di Sunderland, dia adalah perancang pemain tengah kreatif. Namun masa lawan WBA walaupun kreativiti beliau amat minima, namun kerja keras mengasak dari sepertiga kawasan lawan memberikan kesenangan untuk Kapten Gerrard mencorak permainan dan bebas bergerak untuk membantu serangan.
Pemain sayap belakang kita mungkin nampak tak banyak memberikan sumbangan secara ttersurat. Tapi dengan adanya posisi tersebut ibarat melastik dua burung dengan sebiji guli, menyerang tanpa perlukan pemain sayap tulen dan bertahan bukan sahaja dikawsan sendiri tetapi menghadkan bek sisi lawan dari mula menyerang dari bawah. Namun jika kembalinya Enrique, mesti sedikit panadol diperlukan Brendan kerana pening nak pilih siapa calon cocok, kerana Enrique mantap menyerang tetapi Cissokho memberikan ketenangan untuk bahagian bawah dengan ciri bertahan yang baik. Di sebelah satu lagi, Johnson nampak macam cedera balik dan Kelly melakukan penampilan pertama musim ini, namun dia nampak masih berkarat dan tak sesuai dikanan. Oleh kerana Wisdom dipinjamkan ke Derby County, apa salahnya Llori menjadi bekap Johnson saya mahu tengok.
Sehingga sekarang Liverpool berada ditangga kedua dengan masih kurang 2 mata dari Arsenal, kerana Chelsea dan Man City masih berentap. Namun perlawanan selepas ini adalah perlawanan menarik kerana pasukan kita akan ke Stadium Emirates, London untuk misi merampas takhta. Dengan persembahan dan keputusan yang memberangsangkan kali ini, serta kembalinya Coutinho, misi mustahil di London akan menyaksikan samada pasukan kita bersedia untuk kembali sebagai gergasi bolasepak Inggeris.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|