Siapa sangka dan siapa menduga, insan seni yang mula bertapak dalam industri sekitar tujuh tahun lalu mampu terbang setinggi awan mencipta sejarah tersendiri yang membanggakan.
Melihat kejayaan demi kejayaan ditempa oleh pengacara ini, pasti hati peminat yang juga tulang belakangnya dalam mengharungi ombak dunia seni yang penuh liku berbunga bangga.
Bersua bicara dengan pemilik empayar tudung, Naelofar Hijab ini, dia kekal pada paksi jiwa hambanya. Setiap butir kata yang keluar dari mulutnya mencerminkan kebijaksanaannya.
Tidak mudah dilentur dek kerana kata-lata kecaman mahupun persepsi nakal netizen, Neelofa terus berdiri megah atas kepercayaan diri dan kemahuannya untuk terus terbang menerjah awan.
“Semasa menerima panggilan AirAsia buat pertama kalinya, saya betul-betul terkejut dan tidak percaya. Kenapa saya? Apa yang membuatkan mereka percaya dengan kemampuan saya?
“Bila fikir balik, saya terus yakinkan diri. Kalau mereka percaya dengan kredibiliti dan kesungguhan saya, kenapa perlu ragui kemampuan diri? Banyak saya kena belajar dan itu satu cabaran.
“Pelantikan ini sungguh bermakna dalam hidup saya. Kalau saya bayar RM1 juta pun, belum tentu saya akan dapat peluang yang sama. Ilmu dan pengalaman itu yang paling berharga,” katanya memulakan bicara.
Sama sekali tidak menyembunyikan riak teruja dan gembira tatkala disoal bertubi-tubi tentang pelantikannya, Neelofa menganggap tanggungjawab mewakili suara anak muda harus digalas dengan sempurna.
Mengakui tidak akan membawa perubahan besar dalam pengurusan syarikat penerbangan itu, pelakon Suri Hati Mr. Pilot ini mahu menambah lebih warna dalam sistem pemasaran AirAsia yang sedia maklum cukup berjaya.
“Orang anggap saya akan mengubah keseluruhan pengurusan AirAsia, tetapi itu bukan sebab saya dilantik. Saya mewakili generasi Y untuk menyuarakan pendapat dan idea bernas.
“Ada orang tanya, selepas ini semua pekerja AirAisa kena pakai tudung ke? Tidak sama sekali. Saya hanya sebahagian daripada lembaga pengarah yang ada. Saya mahu tambah warna dalam pemasaran syarikat itu.
“Pelantikan ini satu perkara yang sangat besar. Sehingga sekarang saya tidak percaya. Saya perlu banyak belajar tentang sejarah dan buku laporan tahunan AirAsia sebelum melangkah ke bilik mesyuarat bulan hadapan,” jelas anak kelahiran Kelantan ini lagi.
Terus menerus mahu memberi inspirasi kepada anak muda, Neelofa sempat menitipkan pesanan kepada mereka yang mahu mengejar impian supaya tidak pernah mengalah dan percaya dengan diri sendiri.
“Jangan selesa berdiri di atas tapak yang sama. Kita harus sedar dunia ini luas dan pelbagai peluang akan hadir sekiranya kita percaya dengan kemampuan diri serta berusaha tanpa pernah lelah.
“Sentiasa menganggap apa jua peluang adalah satu kelas pembelajaran yang hadir sekali seumur hidup. Sebab itu kita kena fokus dan belajar untuk menyesuaikan diri dalam apa jua situasi,” katanya.
Memberi kematangan berganda
TANGGUNGJAWAB dan amanah yang digalas oleh Neelofa bukan sekecil genggaman tangan. Dia sedar, banyak mata yang melihat, menilai mahupun mengkritik setiap gerak langkahnya.
Enggan diri dan keperibadiannya terbentuk mengikut acuan sang pejuang papan kekunci, Neelofa kekal menjadi diri sendiri. Dia juga mahu masyarakat menerima dan percaya dengan kemampuannya.
“Pertama kali berjumpa dengan barisan pengarah AirAsia, perkara pertama yang mereka mahu adalah saya terus menjadi diri sendiri. Pelantikan ini tidak mengubah saya menjadi orang lain.
“Mereka melihat sesuatu dalam diri saya dan aset yang dimiliki. Aset itu bukan harta benda sebaliknya pengaruh dan sokongan tidak berbelah bahagi peminat yang sentiasa bersama saya,” katanya yang bakal terbang ke Dubai untuk bercuti.
Diaju soalan, tidakkah dia tertekan dengan komitmen dan tanggungjawab itu, Neelofa mengakui, dia perlu berhati-hati dan sentiasa berfikir dua kali dalam setiap perkara yang dilakukan.
Tidak kira dalam membuat apa juga keputusan termasuk memuat naik Instastory dalam laman sosial Instagram, usahawan yang pernah menerima pelbagai anugerah ini perlu menitikberatkan pandangan dan persepsi netizen.
“Bayangkan, hendak muat naik gambar malam gala bersama pengurusan AirAsia pun saya fikir dua kali. Bukan tertekan tetapi saya anggap ini satu cabaran untuk saya lebih matang.
“Memang betul saya perlu jaga hati pelbagai pihak cuma saya tetap menjadi diri sendiri. Saya sangat beruntung kerana pasukan saya cukup matang dan bijak menyuarakan pendapat untuk saya,” kata pelakon Red Velvet ini.
hits hiburan utusan malaysia