CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

Aaanntuu~Close encounter dan ...(siri 1 (pg25)~151 ...) bercakap dengan jinn`

[Copy link]
Post time 11-1-2014 12:38 AM | Show all posts
rdzaccess posted on 10-1-2014 10:36 AM
Aku terhenti posting sekejap sebab aku diserang oleh makhluk halus ... Sakit teruk selama sepuluh ha ...

Nyamuk itu tentera Allah yang telah banyak berjasa kepada Khaliq-Nya. Tak begitu saudara?
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-1-2014 01:04 AM From the mobile phone | Show all posts
yep...  
but  why me,?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-1-2014 12:12 PM From the mobile phone | Show all posts
141~ Pulau Berjalan

Lanun berwajah Arab terus melibaskan ekor pari ke arah datuk untuk kali kedua. Kalau yang pertama datuk tidak bersedia dan terpaksa menanggung akibatnya. Tetapi bagi kali kedua datuk sudah bersedia.

Sebaik saja ekor pari dilibaskan ke tubuhnya datuk segera menyambar ekor pari itu lalu merentapnya dengan sekuat hati hingga lanun berwajah Arab terdorong ke arah datuk dap pada saat itu datuk pun menghentak pangkal sikunya ke bahu lanun berwajah Arab.

Hentakkan yang kuat itu membuat darah keluar dari mulut dan hidung lanun. Belum pun sempat tubuh lanun tersembam atas lantai, datuk segera memangku dan menjulangnya tinggi-tinggi kemudian terus menghumban nya ke laut.

Tanpa membuang masa datuk terus menerkam ke arah dua lanun yang mahu melarikan diri. Satu persatu lanun-lanun itu ditangkap dan terus dibuang ke laut.

“Kita mesti cepat meninggalkan tempat ini,” kata Nyak Sulaiman kepada datuk yang masih kelihatan tercungap-cungap kepenatan. Datuk segera angkat tangan.

“Jangan begitu,” balas datuk.

“Kenapa jangan!” Nyak Sulaiman membiakkan biji matanya ke arah datuk. Dia terkejut dengan sikap datuk yang dikiranya tidak lojik sama sekali, “ kalau kita tak tinggalkan tempat ni, nanti dia orang panggil kawan-kawannya jahanamkan kita nanti,” sambung Nyak Sulaiman sambil menyuruh anak buahnya membawa lampu picit dan gasolin ke arahnya.

“Bertenang, kalau mereka datang kita sambut ikut cara mereka datang,” tingkah datuk lalu mengambil lampu suluh dari salah seorang anak buah Nyak Sulaiman. Datuk suluh ke arah ketua lanun dan anak buahnya yang terkapai berenang menuju ke bot.

Nyak Sulaiman mengambil lampu gasoline diletakkannya di bibir bot. Cahaya dari gasolin menerangi kawasan laut sekitar bot. Dia melihat lanun-lanun itu berenang melawan ombak laut.

“Aku mahu selamatkan mereka,” kata datuk.

“Ah ni kerja gila,” bantah Nyak Sulaiman.

“Kita mesti selamatkan.”

“Kita menempah maut.”

“Aku yakin mereka tak akan membuat perkara tak baik pada kita, biar aku tanggung buruk baiknya,” datuk memberi jaminan.

Ternyata jaminan itu dapat diterima oleh Nyak Sulaiman. Dia pun memerintahkan anak buahnya menghulurkan tali kepada ketua lanun dan anak buahnya yang sedang berenang mengelilingi bot dalam usaha untuk naik ke bot.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-1-2014 12:28 PM From the mobile phone | Show all posts
141~ Pulau Berjalan

Tali yang dihulur terus disambut. Datuk turut sama menarik tali sehingga ketua lanun dan anak buahnya dapat menaiki bot. mereka segera duduk berhimpit-himpit sambil memeluk kedua belah lutut menahan kesejukan. Wajah mereka membayangkan keresahan dan ketakutan. Setiap gerak-geri dan langkah datuk mereka sorot denga hati-hati sekali.

“Ampun, jangan mengapa-apakan kami,” tiba-tiba ketua lanun bersuara. Dia bangun lalu membuka baju dan seluar (kecuali seluar dalam) di lengan dan pehanya terdapat belitan tali hitam sebesar anak mancis api.

“Azimat,” kata datuk kepadanya

“Ya,” jawapnya.

“Buat apa?”

“Supaya badan tidak ditembusi senjata tajam.”

“Hummmmmmmmmmm….,” datuk menelan air liur. Anak buah ketua turut membuka baju dan seluar. Mereka juga seperti ketuanya terdapat azimat di peha dan lengan. Di sebelah lengan kanan mereka terdapat tanda tatoo dalam bentuk bunga cengkih.

“Duduk.” Turut datuk lembut dan serentak dengan itu mereka terus duduk atas lantai bot.

“kita bawa saja ke Belawan kemudian serah pada polis,” Nyak Sulaiman mengemukakan cadangan. Datuk tidak memberi kata putus, sebaliknya datuk menyuruh salah seorang anak buah Nyak Sulaiman mencari kain yang kering untuk di berikan kepada ketua lanun dan anak buahnya.

“Mengapa baik sangat dengan musuh,” tanya Nyak Sulaiman.

“Tak mengapa” jawap datuk lalu membahagi-bahagikan kain kepada para lanun yang terkejut menerima layanan yang begitu baik dari datuk. Malah mereka diberi minuman kopi panas.

“Sekarang, kamu boleh balik ke bot kamu. Aku harap selepas ini kamu tinggalkan kerja menjadi lanun ni,” datuk tatap wajah para lanun dengan tenang. “Aku tahu, kamu bukan dari satu tempat,” sambung datuk lagi.

“Pengkalan kamu di mana ?”

Tidak ada jawapan yang diberikan oleh ketua lanun terhadap pertanyaan yang diajukan oeleh datuk. Mungkin untuk mengawal suasana agar jangan terlalu tegang, datuk renung muka Nyak Sulaiman seketika. Angin laut yang bertiup agak kencang membuat saya terasa mengigil.

“Cakap dengan baik di mana pengkalan kamu?” Ulang datuk.

“Di pulau-pulau yang tak ada orang,” jawap ketua lanun dengan tenang. Datuk pun menarik nafas dalam-dalam dengan mengalihkan pandangan ke arah hujung bot.

“Di Pulau Sembilan di Perak dan beberapa pulau kecil di kawasan kepulaun Riau,” celah Nyak Sulaiman. Dan saya lihat ketua lanun segera anggukkan kepala. Nyak Sulaiman tersenyum sumbing.

“Kamu dari kumpulan ular laut?” Nyak Sulaiman mula main serkap jarang. Serkap Nyak Sulaiman mengena, bila saya lihat ketua lanun angguk kepala. Kali ini tanpa membuang masa Nyak Sulaiman terus mencuit bahu datuk dengan ibu jari. Dengan langkah yang tenang Nyak Sulaiman melangkah beberapa tapak di depan kumpulan lanun, kemudian kembali mendekati datuk.

“Kita dalam bahaya, kalau kita biarkan dia hidup,” secara mendadak saja Nyak Sulaiman melahirkan rasa kebimbangan. Mata datuk ditatapnya dan datuk terpaksa mengerutan dahi.

“Jadi apa yang patut kita buat?” tanya datu.

“Kita bunuh saja,” salah seorang anak buah Nyak Sulaiman mengemukan cadangan.

“Humban ke laut biar semuanya mampus,” muncul lagi cadangan. Datuk gelengkan kepala. Tidak setuju dengan cadangan yang dikemukakan itu.

“Habis, apa yang mesti kita buat?” Sanggah Nyak Sulaiman. Matanya tidak berkedip merenung ke arah ketua lanun seketika, kemudian alihkan renungan ke arah dada laut yang dipeluk kegelapan malam.

“Percikan ombak yang memukul badan bot, sesekali jatuh atas lantai bot. Deru angin terus mengaum. Datuk masih belum memberikan keputusan. Dada anak buah Nyak Sulaiman terus berdebar begitu juga dengan debar dada anak buah ketua lanun. Kata datuk adalah kata penentu sam ada nafas anak buah ketua lanun boleh berlanjutan atau terhenti.

“Hummmmmmmmmm…,” dengus datuk.

Ekor matanya menjeling tajam ke arah muka ketua lanun dan anak buahnya. Ternyata mereka didakap kecemasan. Berdebar menanti kata dari datuk.

“Sekarang kamu semua balik ke bot kamu,”

Nyak Sulaiman tersentak dengan keputusan yang dibuat oelh datuk itu. Air muka ketua lanun dan anak buahnya segera berubah, Mereka bagaikan terkena kejutan letrik, mereka berpandangan sesama sendiri, seolah-olah tidak percaya yangkata-kata itu terluncur dari kelopak bibir datuk, kerana itu tiada seorang pun daripada mereka bergerak.

“Balik ke bot kamu,” jerit datuk lagi. Kali ini suaranya cukup tinggi dan keras sekali. Ketua lanun dan anak buahnya masih terpaku di situ, masih berpandangan sama sendiri. Nyak Sulaiman dan anak buahnya terus gelengkan kepala.

“Sekarang balik ke bot kamu, kalau kamu semua tak bergerak juga dari sini, aku humban kamu satu-satu kedalam laut,” datuk terus berang. Dua tiga kali dihentakkan kakinya ke lantai bot.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-1-2014 12:30 PM From the mobile phone | Show all posts
141~ Pulau Berjalan

Melihat tindak-tanduk datuk yang agak luar biasa itu, menyebabkan ketua lanun dan buahnya segera berlari dan melompat ke dalam bot mereka. Datuk pun mnyuruh anak buah Nyak Sulaiman membuka ikatan tali bot lanun yang terikat dengan bot milik Nyak Sulaiman.

“Sekarang kamu semua boleh pergi, kalaulagi sekali aku jumpa kamu di laut, buruk padahnya. Aku bunuh kamu semua satu-satu,” itu amaran dari datuk. Tidak ada kata-kata balas dari ketua lanun dan anak buahnya.

Apa yang terjadi selanjutnya ialah bunyi enjin bot lanun yang mempunyai kekuatan kuasa enjin laju yang amat tinggi sekali. Bot lanun itu bergerak perlahan-lahan membetulkan haluan yang arahnya tidak dapat saya tentukan samada ke utara atau ke selatan.

Andainya saya memiliki kompass sudah pasti saya dapat mengesan ke arah mana bot lanun itu pergi. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bot lanun itu hilang dalam kegelapan malam membelah ombak Selat Melaka. Cuma yang terdengar deru enjin nya saja.

‘Sekarang terpulang kepada kamu, mahu bermalam di sini sampai kepagi atau meneruskan perjalanan,” datuk mengemukan cadangan.

“Saya berpendapat, kita teruskan perjalanan ini. Sebelum subuh kita mesti berada di kawasan Muara Jambi,” sahut Nyak Sulaiman dengan tenang sambil merenung ke laut lepas.

Angn terus bertiup dan deru ombak terus menggasak lubang telinga penghuni bot besar.

“kalau itu yang kamu fikirkan bagus, aku mengikut sja,” sebuahjawapan pasti datuk luahkan. Nyak Sulaiman gembira dengan jawapan tersebut.

Nyak Sulaiman pun menyuruh anak buahnya menghidupkan enjin bot. Dia pun mengarahkan haluan bot menuju Pulau Sumatera, kemudian menyusuri pesisir pantai pulau tersebut hingga sampai ke Muara Jambi. Tugas berat yang mencabar itu dipertanggung jawapkan kepada seorang anak muda yang raut mukanya mirip orang Arab, namanya Saladin al-Taif.

“Mengapa ikut pesisir pantai, Pak Juragan? Kenapa kita tidakterus ke Muara jambi?” Tanya Saladin al-Taif.

“Untuk mengelakkan perkara-perkara buruk.”

“Maksud Juragan?”

"Menjauhkan diri dari lanun, dari polis laut. Aku tak mahu dia orang memeriksa bot aku. Sekarang kamu dah faham, Saladin?”

“Faham Juragan.”

“Ingat Saladin, aku mahu sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.”

“Dengan izin Allah, kita selamat, sahut Saladin al-Taif dengan penuh keyakinan. Dan bot besar milik Nyak Sulaiman pun mula bergerak mengikut arahan pemandunya.

Walaupun datuk yakin yang bot besar milik Nyak Sulaiman tidak akan diganggu-gugat oleh lanun, tetapi datuk tetap mengingatkan anak buah Nyak Sulaiman supaya berjaga-jaga dan berhati-hati.

“Kita mesti memikirkan perkara yang buruk dulu, sebelum memikirkan perkara yang elok dan baik,” tutur datuk sambil mendongakkan mukanya ke langit, datuk melihat bintang yang bertaburan sambil telinganya menangkap bunyi deru ombak yang tidak putus-putus itu.

“Saya setuju dengan pendapat awak tu,” Nyak Sulaiman menyokong pendapat datuk. Saya lihat datuk segera mengalihkan pandangan ke arah Nyak Sulaiman, mereka berbalas senyum.

“Kalau kita sudah beringat dan berjaga-jaga, tetapi ditimpa bencana juga, itu namanya sudah takdir,” tambah datuk lagi lalu mendekati Nyak Sulaiman yang duduk di tepi bot.

“Betul cakap awak tu,” sambut Nyak Sulaiman, kenudian Nyak Sulaimanmerenung ke arah laut lepas. Barangkali dia mengawasi bot lanun atau bot nelayan. Mungkin juga melihat kapal dagang yang lalu di Selat Melaka.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-1-2014 12:32 PM From the mobile phone | Show all posts
141~ Pulau Berjalan

Saya yang duduk tidak jauh dari mereka menarik nafas panjang. Pada hemat saya, kapal dagang tidak mendatangkan masalah atau merbahaya kepada bot yang saya naik ini. Sebabnya, lampu kapal dagang yang terpasang di geladaknya dapat dilihat dengan jelas dari jarak yang agak jauh.

“Macam bandar bergerak,” keluh saya dan ternyata nada suara saya yang agak meninggi itu dapat deidengar oleh salah seorang anak buah Nyak Sulaiman yang sejak tadi bersendirian menghisap rokok dekat saya.

“Huh, bukannya bandar bergerak, kami menyebutnya pulau berjalan, cuba awak tengok lampu-lampu di deknya macam lampu di pantai Pulau Pinang,” katanya dengan tenang.

“Betul juga cakap awak tu,” sahut saya.

“Itulah sebabnya bot tak boleh berlanggar dengan kapal barang, kecuali pemandunya tidur. Kamu tahu, bila bot langgar kapal barang, bot hancur berkecai, “ tambah orang itu sambil menyedut rokok dalam-dalam. Saya terus ketawa.

Datuk dan Nyak Sulaiman rancak berborak. Sesekali mereka ketawa kecil, saya tak tahu apa yang mereka borakkan. Bot besar milik Nyak Sulaiman terus membelah ombak Selat Melaka, angin yang memukul wajah membuat saya rasa mengantuk. Dua tiga kali saya menguap panjang. Kelopak mata terasa amat berat sekali.

“Kamu ini dah mengantuk, pergi cari tempat tidur,” sergah datuk setelah melihat saya dua tiga kali tersengguk-sengguk. Saya jadai serba salah. Dimana harus saya meletakkan kepala? Mestikah saya tidur atas lantai atau di bilik tamu. Wajarkah saya meletakkan badan di bilik masak atau baring di bangku panjang. Persoalan yang timbul secara mendadak membuat saya resah.

“Kamu tidur saja di tempat aku,” Nyak Sulaiman menabur budi, matanya tertumpu ke arah saya yang sedang menguap untuk sekian kalinya.

“Bawakan dia ke tempat tidur aku,” arah Nyak Sulaiman kepada anak buahnya, orang yang menerima arahan segera menghampiri saya, mengajak saya ke tempat yang dikatakan oelh Nyak Sulaiman.

“Selesai saja kamu tunjukkan tempatnya, cepat-cepat kamu datang ke sini semula,” Nyak Sulaiman mengingatkan anak buahnya, sebaik saja saya bangun dan mahu mula melangkah .

“Baik Juragan,” sahut anak buahnya.

Dan saya mengekori lelaki berambut panjang melepasi bahu menuju kebahagian bawah bot.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 24-1-2014 12:34 PM From the mobile phone | Show all posts
141~ Pulau Berjalan

“Di situ,” si rambut panjang menudingkan jari telunjuk ke arah dinding yang bergantungan dengan perkakas atau alat yang ada hubungkaitnya dengan jentera bot seperti kipas, tali kipas, alat pembuka dan pengetat skru dan macam-macam lagi.

Saya merasa ganjil dan aneh sekali, dahi segera saya kerutkan dan wajah lelaki berambut panjang saya tenung. Barangkali kamu mahu memeperdayakan aku, mungkin juga kamu mahu bergurau, timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Kenapa termenung?”

Pertanyaan si rambut panjang tidak saya jawap.

“Awak ragu-ragu,” tambahnya.

“Iya,” jawap saya.

“Tunggu sekejap.”

Lelaki berambut panjang merapatkan dinding dan dinding ditolak ke kanan. Apa yang wujud di depan saya ialah sebuah pintu. Saya bertambah bingung.

Dalam keadaan termanggu-manggu itu si rambut panjang menolak saya hinnga muka dan badan saya berlaga dengan papan pintu, tanpa diduga pintu terkuak dan saya melihat sebuah bilik tidur yang boleh dikatakan serba lengkap.

“Ini bilik persembunyian Nyak Sulaiman, pintunya sengaja dilindung dengan rak barang. Tujuannya untuk menipu musuh. Cuma saya seorang sahaja yang tahu tempat rahsia ini.”

“Oh, begitu.”

“Awak tidurlah.”

“Tidur di sini,” tutur saya dengan keraguan.

“Iya,” angguk si rambut panjang.

“Tak mahu,” kata saya.

“Awak tidurlah, jangan banyak kerenah,” si rambut panjang terus menolak saya ke bilik dengan kasar sekali. Kemudian dia dengan pantas merapatkan daun pintu bilik. Bunyi tapak kakinya jelas kedengaran. Dia meninggalkan saya sendirian dalam bilik rahsia Nyak Sulaiman.

Bila bersendirian dalam bilik, saya rasa lebih bebas. Terus saya jatuhkan atas katil. Di hujung katil terdapat meja bulat berwarna hitam dan diatas meja itu terdampar sebilah pedang samurai dan labu sayung (yang dibuat dari tanah liat) yang berisi air. Terdapat juga gelas dan piring di sisi labu sayung.

Di bawah katil terletak selaras raifel dan selaras pistol. Kerana mata amat mengantuk, saya tidak mahu memeriksa dengan lebih teliti lagi apa yang, masih tersembunyi dalam bilik rahsia tersebut. Saya terus terlelap.

Tiba-tiba saya dikejutkan oleh suara seorang tentera Jepun, antara sedar dengan tidak saya cuba membuka mata. Samar-samar saya melihat tentera Jepun berdiri di depan seorang lelaki Cina yang berusia sekitar tiga puluhan. Kedua belah tangan lelaki itu diikat ke belakang dengan tali guni, sementara sepasang matanya diikat dengan kain hitam.

Lelaki Cina berdiri lutut dengan kepalanya diletakkan atas meja bulat warna hitam. Bahagian tengkuk lelaki Cina itu betul-betul berada di tepi bibir meja bulat.

Tentera Jepun mengangkat pedang samurainya melepasi kepalanya. Mata pedang yang berkilat itu dihalakan ke batang leher lelaki Cina. Tentera Jepun itu menjerit dengan sekuat dan serentak dengan itu mata pedang samurainya terbenam di batang leher pemuda Cina. Badan dan kepala pun berpisah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-5-2014 01:26 AM From the mobile phone | Show all posts
142- Gadis Jelita Jilat Darah

“Kenapa Tamar?” tanya datuk dengan wajah serius.

Saya segera mendekatinya dan meluahkan pengalaman yang dialami ketika berada di bilik tidur Nyak Sulaiman. Datuk amat terkejut tetapi, Nyak Sulaiman tidak cemas dan terkejut. Dia kelihatan tenang dan bersahaja.

“Itu perkara biasa,” kata Nyak Sulaiman.

“Biasa? bagi saya perkara ini amat luar biasa,” sanggah saya dengan dada yang berdebar. Datuk meraba hujung dagu berkali-kali dan kemudian menggaru pangkal lehernya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-5-2014 01:27 AM From the mobile phone | Show all posts
142- Gadis Jelita Jilat Darah

Sepasang mata datuk silih berganti menatap wajah saya dan Nyak Sulaiman. Agaknya dia mencari kepastian , siapakah di antara kami yang bercakap benar.

“Kau saja yang bercerita pada aku tentang perkara yang kamu kata tidak ganjil tu,” sepasang mata datuk tepat tertumpu ke wajah Nyak Sulaiman. Macam tadi juga dia tidak memperlihatkan sebarang berubahan.

Nyak Sulaiman tetap tenang, senyum terus bermain di kelopak bibirnya. Datu mengigit bibir dari gerak bola matanya, saya dapat menduga yang datuk mula ragu-ragu terhadap Nyak Sulaiman.

“Kau ceritakan,” desak datuk.

Nyak Sulaiman mula mundar-mandir di depan datuk dalam keadaan tidak tentu arah. Jelingan di hujung matanya menyelinap ke arah muka ssay. Macam ada sesuatu yang difikirkan oleh Nyak Sulaiman. Semua gerak gerinya tetap dalam sorotan mata datuk.

Tanpa di sangka-sangka Nyak Sulaiman terus meletakkan punggung atas papan jati. Sepasang kakinya diluruskan. Deru ombak terus memukul gegendang telinga saya.

“Begini…,” Nyak Sulaiman tidak meneruskan kata-kata. Saya dan datuk jadi resah. Dalam keresahan hati yang tidak bertepi itu, saya lihat datuk bangun dari tempat duduknya. Dia terus bentang tikar mengkuang (yang sememangnya dibawa dari rumah) di depan Nyak Sulaiman.

“Kamu duduk di sini,” kata datuk pada saya. Tanpa banyak soal jawap, saya pun segera duduk di sisinya.

“Kita dengar cerita dari orang ini, “ sambung datuk sambil jari telunjuknya menunding ke arah Nyak Sulaiman yang tersenyum lebar.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-5-2014 01:29 AM From the mobile phone | Show all posts
142- Gadis Jelita Jilat Darah

Bot besar terus bergerak, angin laut teus menyapa wajah kami bertiga.

“Sekarang ceritakan, tempat duduk kami cukup selesa,” datuk terus bersuara. Nyak Sulaiman tersenyum simpul. Sila dikemaskannya, dada dan wajah dihalakan ke arah angin datang.

“Dulu bilik kecil tak semacam tu,” dengan wajah yang amat tenang Nyak Sulaiman memulakan cerita, “ sesiapa pun boleh tidur di situ, tidak ada apa-apa yang menganggu” sambungnya denga nada suara yang agak perlahan.

Ekor mata Nyak Sulaiman renung ke kiri dan ke kanan. Macam ada sesuatu yang diawasinya. Datuk dan saya terus renung kiri kanan, semuanya macam niasa. Tidak sesuatu yang ganjil dan aneh.

“Habis, sekarang macam mana? Lain pula jadinya,’ celah datuk.

“Sekarang, usahkan Tamar, saya sendiri kena ganggu kalau tidur di situ, saya pernah menjerit dan lari keluar dari bilik tu,” lanjut Nyak Sulaiman lalu disambut oleh datuk dan saya dengan ketawa. Kisah Nyak Sulaiman sungguh melucukan. Dia juga turut ketawa (mengetawakan diri sendiri). Matanya nampak berair.

Setelah ketawa reda, datuk segera bertanya:

“Macam mana punca petaka tu datang?”

“Puncanya, bila saya membeli pedang samurai dan meja bulat.”
“Haa..,” kata datuk sambil menghela nafas panjang, “ di mana kamu beli barang-barang itu,” datuk terus merisik rahsia. Nyak Sulaiman terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Dia dongakkan kepala merenung dada langit yang ditaburi bintang.

“Pedang samurai tu, hadiah dari seorang kawan yang selalu belayar dari Tanjung Periuk–Belawan dari Belawan-Tanjung Periuk. Kawan saya tu, jumpa pedang samurai di banglo yang pernah di jadikan markas tentera Jepun, masa perang kedua dulu.”

“Banglo tu di mana Nyak?” Tanya datuk.

“Di Surabaya.”

“Di Surabaya,” datuk menyebut nama tempat itu sekali. Nyak Sulaiman anggukkan kepala.

“Saya merasa megah menerima hadiah tu, saya tak pernah terfikir sesuatu yang buruk,” lanjut Nyak Sulaiman sambil mengerut dahi.

“Meja bulat tu, kamu dapat dari mana ?” Soal datuk lagi. “ Ha.. yang tu, saya beli di Kampung Batu Uban, Pulau Pinang. Saya beli dari lelaki India Muslim,” jelas Nyak Sulaiman. Menurutnya pedang dan meja bulat itu terus diletakkan dalam bilik tidurnya.

Terbiar di situ selama berminggu, hinggalah pada suatu malam Jumaat. Semasa belayar merentas Selat Melaka, secara mendadak dia teringat untuk membasuh keris pusaka tujuk luk yang tersimpan di bilik tidurnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-5-2014 01:31 AM From the mobile phone | Show all posts
142- Gadis Jelita Jilat Darah

Setelah selesai memandikan keris dengan air limau, dia membakar kemenyan untuk mengusap mata keris tujuh luk. Disaat mata keris berada dalam kepulan asap kemenyan, secara mendadak saja Nyak Sulaiman terdengar derap sepatu Jepun dalam jumlah yang cukup ramai. Bunyi itu bagaikan keluar dari papan dinding bilik tidurnya.

Semasa Nyak Sulaiman memastikan dengan tepat arah suara itu datang, tiba-tiba dia terdengar bunyi suara perempuan menjerit minta tolong. Keris yang sedang diusap dengan kemenyan segera dimasukkan ke dalam sarung.

Suara tentera Jepun berpadu dengan jeritan perempuan. Nyak Sulaiman tidak tentu arah, anak telinganya menjadi seakan-akan tuli. Dia hilang ingatan sejenak dan merasai dirinya berada di dunia lain.

Pada saat itu, terdampar sekujur tubuh gadis yang jelita, tanpa pakaian di depannya dalam keadaan yang samar-samar. Dia juga melihat empat tentera Jepun dengan rakus memperkosa gadis itu secara bergilir.

Tentera Jepun yang keletihan terbaring di tempat kejadian. Dan dalam masa yang sama gadis korban nafsu serakah tentera itu bangun.

Dia bagaikan mendapat kekuatan ghaib membuka langkah silat dengan rambut panjang mengerbang matanya terbeliak merah. Tiba-tiba saja di tangannya ada buluh runcing. Tindakannya bagaikan orang gila menikam perut tentera Jepun satu persatu. Darah memancut lalu menyembur ke muka gadis itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-5-2014 01:32 AM From the mobile phone | Show all posts
142- Gadis Jelita Jilat Darah

Nyak Sulaiman menekup mukanya dengan kedua belah tapak tangan, bila melihat dia melihat gadis itu menjilat darah yang melekat di tubuh dengan lidah yang luar biasa panjangnya. Ukuran lebarnya mengatasi ukuran lebar lidah manusia. Kerana tidak tahan berhadapan dengan keadaan tersebut, Nyak Sulaiman terus meluru keluar dari bilik tidurnya.

“Saya betul-betul hilang akal masa itu, saya rasa diri saya bukan berada di atas bot, saya rasa macam berada di rumah besar.” Kata Nyak Sulaiman kepada datuk.

“Lagi ada perkara yang menarik?” Soal datuk.

“Sejak kejadian malam itu, saya tak boleh tidur di situ, kalau saya tidur juga buruk padahnya,” akui Nyak Sulaiman.

“Kenapa kamu suruh cucu aku tidur di situ.”

“Ahhh…,” Nyak Sulaiman seperti tergamam. Dia tidak menduga pertanyaan sedemikian boleh terkeluar dari mulut datuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-6-2014 10:48 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Saya lihat datuk berada dalam keadaan serba salah. Berkali-kali dia merenung ke arah laut. Nyak Sulaiman meraba cuping telinga kirinya berkali-kali. Sesekali dia mengigit bibir, Nyak Sulaiman resah semacam.

“Saya ingatkan makhluk ganjil tidak kacau orang muda macam Tamar ni,” tersipu-sipu Nyak Sulaiman bersuara. Saya kira, itu adalah jawapan yang kurang tepat.

Alasan yang tidak munasabah, sekadar mahu melepaskan batuk di tangga. Inilah kesimpulan yang dapat saya rumuskan dari jawapan Nyak Sulaiman itu.

“Katakan saja, bukan itu jawapannya. Kamu ada niat lain,” sanggah datuk, “ kamu mahu menarik perhatian aku dengan harapan dapat menolong kamu. Aku tahu kamu malu berterus terang,” tambah datuk lagi. Saya lihat air muka Nyak Sulaiman berubah. Dia malu.

“Iya memang itu tujuan saya,” Nyak Sulaiman mengaku. Datuk terus tersenyum. Dua tiga kali saya menggaru pipi yang secara tidak semena-mena terasa gatal.

“Kamu mahu aku berusaha dan bertindak?” Tanya datuk.

“Iya,” angguk Nyak Sulaiman.

“Kalau begitu ikut aku, jangan tegur dan jangan tanya apa yang aku buat,’ ujar datuk.

Serentak saya dan Nyak Sulaiman mengangguk.

Datuk pun bangun lalu melangkah menuju ke bilik tidur. Tanpa banyak cakap dan karenah, saya dan Nyak Sulaiman terus mengekori datuk menuju ke bilik tidur khas Nyak Sulaiman. Sebaik saja pintu bilik dibuka, saya terkejut dan merasa hairan yang amat sangat, keadaan dalam bilik berselerakan.

Meja bulat diterbalikkan dengan kaki ke atas. Mata pedang terpisah dari sarung. Matanya berada atas katil manakala sarungnya berada dibawah katil. Paling mencemaskan hati mata pedang berlumuran dengan darah. Masa saya tinggalkan kamar tidur, keadaan tidak sedemikan, saya kira ada manusia melakukan semuanya ini. Siapakah manusia itu?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-6-2014 10:50 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Datuk angkat tangan kiri, memberi isyarat supaya (saya dan Nyak Sulaiman) jangan melangkah. Badan kami juga jangan melebehi bahu atau berdiri selari dengan badannya (datuk). Sepasang mata datuk menyorot tiap liku bilik. Tiba-tiba cadar atas katil bergerak sendiri lalu membungkus mata pedang.

Dalam suasana yang serba aneh itu, saya terdengar dengan jelas datuk menyebut perkataan ‘BISMILLAH…’ dengan tenang, kemudian dituruti dengan beberapa rangkap ayat dari al-Quran yang tidak berapa jelas kedengaran.

Bila pembacaannya selesai, datuk terus menyentap kain cadar yang membalut mata pedang dan segera dihumban ke sudut bilik. Kemudian terburu-buru dia mendekati kain sebut. Tiga kali dia memijak kain cadar dengan tumitnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-6-2014 10:54 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Setelah selesai melakukannya semuanya itu, kain cadar terus digulung bulat macam bola lalu ditendang dengan tumit kaki kanan lima kali berturut-turut ke arah dinding.

Kain cadar itu dibiarkan terkapar atas lantai. Datuk renung ke arah katil dengan dahi yang berkerut sambil menarik nafas panjang. Dia menggenggam penumbuk (tangan kiri) dua tiga kali dia menumbuk angin.

“Huppp…, “ suaranya lantang.

Dia membuka langkah silat, bergerak ke kiri dan ke kanan. Kemudian berdiri kaku macam patung kebih kurang tiga empat minit.

Setelah itu dengan tenang datuk melangkah ke katil mengambil mata pedang dan terrus dimasukkan ke sarungnya. Perlahan-lahan datuk alihkan pandangan ke wajah saya. Renungannya cukup tajam, sinar matanya bagaikan berapi.

“Kamu langkah meja bulat tu dari kiri ke kanan, tiga kali berturut-turut. Pejamkan mata kiri dan mulakan langkah kiri dengan hanya ibu jari kanan menyentuh lantai, lepas langkah pertama barulah boleh memijak lantai dengan biasa,” arahan yang dikeluarkan oleh datuk, saya dengar dengan teliti. Apa yang disuruhnya segera saya lakkan dengan cermat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-6-2014 10:55 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Bila tugas itu selesai saya laksanakan seluruh badan terasa lemah. Sendi-sendi terasa sakit macam ditusuk benda tajam dan pandangan saya jadi berpinar-pinar. Badan terasa melayang-layang dan dalam mengimbangi badan itu saya terjatuh. Nasib baik datuk segera memeluk dan terus memangku tubuh saya.

Dengan tenang datuk menekan ibu jari kirinya ke pangkal kening kanan saya. Dengan sekali urut di kelopak mata, saya kembali pulih dan bertenaga macam biasa.

Bila saya memegang meja hitam untuk mengalihkan kedudukannya ke tempat lain, datuk segera menghalang. Dia keluarkan arahan menyuruh Nyak Sulaiman memikul meja hitam untuk dibawa di bahagian atas bot. Tugas membawa pedang samurai adalah tanggong jawap datuk. Apa yang saya lihat datuk tidak menyandang pedang samurai, sebaliknya dia memikul pedang tersebut.

Datuk pun memulakan langkah dalam keadaan badan yang agak membengkok. Mukanya berkedut selah-olah pedang yang dipikulnya itu amat berat sekali.

Dengan sekelip mata saya lihat dahi dan pipinya bermandikan peluh. Dalam keadaan yang serba payah itu, datuk terus melangkah dengan hati-hati agar tubuhnya jangan sampai jatuh.

Sebaik saja sampai di bahagian atas bot, tanpa berlengah-lengah lagi, datuk terus menghempaskan pedang samurai atas lantai. Bot yang ditumpangi terasa bergegar. Datuk yang kepenatan terus mengesat peluh di dahi dengan telapak kanannya berkali-kali. Dia berehat sejenak untuk menghilangkan rasa penat.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-6-2014 10:56 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Bila datuk merasakan badannya sudah bertenaga, dia terus berdiri dekat pedang. Buat beberpa minit pedang samurai direnung dari pangkal ke hujung, dari hujung ke pangkal, perbuatan ini dilakukannya berkali-kali.

Datuk termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya, datuk merenung ke arah Nyak Sulaiman.

“Beratnya macam memikul beras seguni.” Rungut datuk dambil menggaru pangkal dagunya berkali-kali.

“Begini…,” belum punsempat Nyak Sulaiman meluahkan kata-kata selanjutnya, datuk segera memberi isyarat ke arahnya supaya jangan berkat-kata.

Menyedari kesilapannya, Nyak Sulaiman terus tunduk merenung lantai bot. Saya menarik nafas lega kerana dari air mukanya saya dapat menduga bahawa Nyak Sulaiman tidak tersinggung dengan apa yang datuk lakukan.

Bot besar terus bergerak membelah ombak, menyongsong angin. Bintang di langit masih bertaburan.

Angin laut membuat saya mengigil dan mahu mencari tempat untuk memanaskan badan. Disebabkan ada pantang larang yang mesti dipatuhi hasrat hati saya (mungkin juga hasrat hati Nyak Sulaiman) tidak dapat dilaksanakan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-6-2014 10:58 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Tiba-tiba saya lihat datuk mencangkung dihujung pedang. Dengan ibu jari kaki kiri, datuk menekan hujung pedang. Saya mengedutkan kening, badan pedang terangkat macam ada sesuatu yang menolaknya. Pedang terus terpacak tetapi, hujung ibu jari kaki datuk tetap menyentuh hujung sarung pedang.

Perhatian saya dan Nyak Sulaiman tertumpu ke arah datuk. Tiba-tiba terpancar cahaya dari permukaan laut, macam cahaya kilat yang bentuknya memanjang macam tali kerbau. Dan tali itu menghala ke arah datuk. Saya lihat datuk mengeliat menahan kesakitan. Baju yang di pakainya terkoyak di tengah iaitu di bahagian tulang belakang. Koyak itu bermula dari bahagian tengkuk hingga ke bahagian tulang punggung.

“Ambilkanlah aku baju baru, baju cekak musang warna hitam,” jerit datuk sambil merenung ke arah saya. Harapan datuk itu segera saya penuhi, tergesa-gesa saya berlari ke arah beg rotan yang terletak di sudut bot. Baju segera saya keluarkan dan lari ke arah datuk kembali.

“Jangan dekati aku, campakkan saja baju tu kepada aku,” datuk mengeluarkan arahan, bila dia menyedari yang saya cuba mendekatinya. Tanpa membuang masa, baju hitam segera caya campakkan. Dengan tenang datuk menyambutnya dan secepat kilat baju itu disarun
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-6-2014 10:59 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Tetapi, kedudukan datuk tidak berubah begitu juga dengan pedang samurai. Rupanya suasana tenang dan hening itu hanya untuk beberapa minit saja. Saya dan Nyak Sulaiman dikejutkan dengan bunyi deru angin yang amat kuat.

Muka Nyak Sulaiman kelihatan pucat, saya tidak dapat berdiri dengan baik, macam ada sesuatu yang menolak batang tubuh saya membuat badan saya bergoyang ke kiri dan ke kanan.

Bunyi deru angin yang amat kuat itu membuat telinga saya terasa bengang, kelopak mata saya tidak boleh dibuka dengan luas, saya seperti berada di dunia lain. Bukannya berada di atas perut bot.

Di dalam keadaan yang tidak menentu itu, saya terlihat dua lembaga hitam yang bentuknya tidak dapat saya pastikan, lembaga itu muncul dari laluan bot, saya kira lembaga itu datang dari laut lalu memanjat badan bot.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-6-2014 11:00 PM From the mobile phone | Show all posts
143- Cahaya Misteri Dari Laut

Mulut saya bagaikan terkunci dan suara saya seperti hilang. Saya tidak berbuat apa-apa untuk memberitahu datuk tentang lembaga tersebut.

Samar-samar saya lihat Nyak Sulaiman jatuh terlentang atas bot. Lembaga hitam terus melangkah ke arah saya. Pada masa itu, saya lihat Nyak Sulaiman sudah boleh bangun dan terus merenung ke arah lembaga yang bergerak. Bila sudah hampir dengan saya lembaga hitam bertukar menjadi bentuk tentera Jepun.

Nyak Sulaiman yang berada agak jauh dari saya nampak resah tidak menentu. Dia segera bergerak mendekati saya dan berdiri di sebelah kanan.

Lembaga tentera Jepun yang melangkah, kian lama, kian dekat dengan kami ( saya dan Nyak Sulaiman). Bila sudah dekat, barulah saya dapat melihat rupa dan bentuk lembaga tersebut dengan jelas. Keadaannya amat menakutkan, saya jadi sesak nafas.

Saya tidak sanggup menentang sepasang biji matanya yang merah menyala. Kulit perutnya terbelah dua, tali perutnya berjuntaian macam janggut sulung. Darah membuak-buak keluar dan lidahnya terjelir hingga ke paras lutut.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-1-2025 10:04 PM GMT+8 , Processed in 0.052537 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list