Kak Zai Bangga Bila Nuha Dah Mula Pakai Tumit Tinggi
KUALA LUMPUR, 26 SEPT 2014: Penasihat dan Perunding Gaya #AF2014, Zaihani M Zain (Instagram-zaihanimzain) memuji tindakan salah seorang pelajar program realiti berkenaan, Nuha,21 kerana sudah mula berjinak-jinak memakai tumit tinggi sejak kebelakangan ini.
Zaihani atau lebih senang dengan panggilan Kak Zai berkata, walaupun masih belum sepenuhnya, namun perubahan sedikit demi sedikit itu menunjukan perkembangan positif bahawa peranannya dalam membentuk gaya setiap pelajar dalam program berkenaan membuahkan hasil.
Ketika dihubungui portal murai.com.my, Kak Zai berkata bukan mudah untuknya meminta Nuha menyarungkan tumit tinggi kerana pelajar berkenaan tidak pernah menyarungkan sebarang kasut bertumit tinggi sebelum ini.
“Memang sepanjang hidupnya, dia (Nuha) tidak pernah memakai tumit tinggi, kerana dia sudah terbiasa dengan sneakers.
“ Jadi agak sukar untuk saya meminta dia menyarungkan tumit tinggi dalam beberapa konsert mingguan yang lalu. Tapi Alhamdulillah saya dengar sekarang, dia sudah mula berjinak-jinak memakai wedges.
“Bagi saya itu adalah perkembangan yang baik dan saya sedar itu adalah kehendak Nuha sendiri kerana dia seorang individu yang bersungguh-sungguh dalam apa juga yang dilakukannya terutama untuk berjaya dalam program ini,” puji Kak Zai.
Kak Zai sekali lagi telah dilantik untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam membentuk gaya setiap pelajar #AF2014 sebagaimana peranan yang sama pernah dipikul ketika Akademi Fantasia musim pertama hingga ke-7.
Tambah Kak Zai lagi, bukan satu kerja mudah untuk dia dan pasukannya menyakinkan setiap pelajar supaya bersetuju dengan setiap persalinan atau gaya yang telah disediakan bagi setiap konsert mingguan.
Malah jelas Kak Zai, jauh sekali bagi dia dan pasukannya untuk memaksa setiap pelajar untuk memakai apa juga persalinan yang telah disediakan. Sebaliknya lebih cenderung menggalakkan mereka dengan apa juga gaya yang mereka sukakan.
“Dalam kes Nuha, saya amat berbangga dengannya dan sebenarnya ada juga pelajar yang enggan memakai pakaian yang telah kami sediakan. Namun mereka menolak dengan cara yang baik.
“Saya tak suka memaksa mereka kerana kalau kami paksa juga, takut tindakan itu nanti akan memberi kesan kepada persembahan pelajar-pelajar ini di atas pentas kelak.
“Untuk itu sudah menjadi tugas saya untuk berbincang terlebih dahulu pakaian yang sesuai untuk setiap pelajar, bersandarkan jenis lagu, bentuk fizikal dan personaliti masing-masing.
“Memang setiap minggu kami sudah tetapkan pakaian untuk setiap seorang daripada mereka, tapi percayalah kebanyakannya akan berubah ketika sesi latihan.
“Jadi bila tiba petang Ahad iaitu selepas selesai sesi latihan, saya akan berusaha mencari alternatif lain untuk penampilan mereka di atas pentas kelak,” kata Kak Zai yang memilih gaya lebih kasual lagi santai untuk beberapa siri awal konsert #AF2014.
Tambah Kak Zai, setiap pakaian yang disarungkan pelajar di konsert mingguan #AF2014 merupakan koleksi terkini dan tidak pernah diulang tayang bagi memberikan sentuhan yang segar lagi eksklusif hanya untuk pencarian musim baru itu.
http://www.murai.com.my/stailista/buletin/article/articleid/614372/kak-zai-bangga-bila-nuha-dah-mula-pakai-tumit-tinggi
Last edited by RatuDunia94 on 26-9-2014 06:14 PM
|