Post Last Edit by hani85 at 25-11-2010 11:39
2)Suasana dan Persekitaran yang tidak Kondusif untuk Iman dan Taqwa
Antara matlamat penegakkan sendi kedua yakni syariat Islam adalah supaya kita dapat hidup dengan penuh kemakmuran dan rahmat dan tidak dilupakan, supaya terbina suasana yang subur untuk perkembangan iman, taqwa dan jiwa-jiwa yang tenang, yang redha dengan Allah dan Allah redha dengannya. Sebagai contoh, manusia lelaki dan perempuan diperintahkan Allah untuk menutup aurat supaya maruah terjaga dan manusia tidak dipandang sebagai objek.
Selain itu, menutup aurat juga dapat mencegah daripada diri kita atau orang lain dipandang dengan pandangan nafsu. Kita sendiri juga tidak akan memandang orang lain dengan pandangan nafsu dan insya Allah kita akan terlepas dari tipu daya syaitan dan panahannya. Dengan itu, iman kita akan terjaga dan taqwa kita akan terlatih. Dengan itu juga, jiwa kita akan tenang dari dikacau oleh niat-niat buruk dan gejala-gejala penyakit hati.
Ayuh kita perhatikan apa yang terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini dan kita bandingkan dengan zaman Rasulullah SAW. Kita bersolat dan Allah menenangkan hati kita dengan solat. Selepas bersolat, kita keluar untuk menjalankan tugas-tugas khalifah dan fardhu kifayah. Jiwa yang tenang tadi terus terganggu dengan paparan iklan menggunakan wanita yang tidak menutup aurat sebagai model di papan iklan. Kita ingin menambah pengetahuan melalui surat khabar namun benda yang samalah kita tatap yakni iklan dan paparan wanita seksi di muka akhbar.
Kita mencari alternatif lain dengan menonoton television namun pandangan kita tetap diganggu dengan perkara yang sama. Kita buka radio dan kita terdengar alunan suara mendayu yang mengusik orang-orang yang hatinya berpenyakit. Kita melayari internet untuk berukhwah namun muncul iklan yang sama, manakala kawan-kawan kita pula dengan rela hati dan bangganya meletakkan gambar mereka yang tidak menutup aurat.
Semua ini mencipta suasana persekitaran yang tidak sihat untuk iman dan taqwa, dan menjadikan jiwa-jiwa kita kacau dan tidak tenang. Semua ini tidak ada pada zaman terbaik yakni zaman Rasulullah kerana dalam apa juga bidang hidup dan pergaulan mereka, mereka menjaga perintah Allah. Hasilnya, Allah memberi rahmat dan menenangkan jiwa mereka dan menjauhkan mereka dari penyakit-penyakit hati.
Tidak seperti pada zaman kini, oleh kerana berleluasanya budaya tidak senonoh melalui pelbagai media, jiwa kita tidak tenang, melahirkan remaja yang suka berzina dan orang-orang tua yang suka merogol anak dan cucu sendiri seterusnya membawa kepada anak luar nikah, pembuangan bayi dan keruntuhan keluarga dan keruntuhan masyarakat.
Akhirnya, pemimpin yang mengabaikan perintah syariat Islam sejak sekian lama kini terpaksa berhempas pulas mencari penyelesaian kosmetik dan sementara dengan cara memberi kondom, membuat sekolah remaja mengandung dan sebagainya.
Itu baru aurat, bagaimana pula dengan promosi gaya hidup materialistik dan konsumerism yang melahirkan manusia yang cintakan dunia dan takutkan mati? Pemikiran sekular dan liberal yang menjauhkan manusia dari menghormati syariat Allah? Kecelaruan fahaman agama kerana kurangnya fokus terhadap pendidikan Islam?
Perpecahan umat Islam dari kerana hasad dengki? Jelas, inilah faktor luaran yang merosakkan keseluruhan sendi agama kita sehingga kita terpaksa hidup dalam zaman yang penuh fitnah.
Faktor Dalaman
Menurut hukum pembelajaran sebagaimana dikaji oleh Prof Muhammad Al Mahdi, pengasas Khalifah Institute, terdapat tiga faktor yang mempengaruhi manusia yakni persekitaran sosial, fizikal dan faktor ketiga yakni kata hati. Sepanjang tumbesaran manusia, faktor persekitaran fizikal seperti kampong halaman, Bandar, teknologi dan kemudahan memneri pengaruh kepada pendidikan manusia dan pembinaan persepsinya.
Persekitaran sosial yakni ibu bapa, keluarga, kawan-kawan, guru dan tauladan pemimpin pula memainkan peranan penting dalam membina minda dan hati. Kedua-dua faktor sosial dan fizikal yang dikategorikan sebagai faktor luaran itu membentuk kata hati. Membentuk apa yang difahami sebagai betul dan salah, baik dan buruk.
Kata hati yang telah dibina itu menjadi faktor ketiga iaitu faktor dalaman yang kita kaitkan dengan iman dan taqwa. Iman yang mantap diiringi ilmu yang benar akan menjadi faktor pendorong kata hati yang baik. Hati pula, sebagaimana disebut Nabi SAW, merupakan seketul daging yang menentukan baik buruk perbuatan manusia. Insya Allah, dengan hati yang baik, manusia akan memilih untuk berakhlak mulia, kerana akhlak adalah tindakan spontan daripada hati dan jiwa.
sumber:
http://bestests.blogspot.com/2010/08/huraian-ringkas-berkenaan-akhlak_11.html
|