Menerusi drama Teman Lelaki Upahan, EL bercinta dengan Kyra, seorang usahawanita. Tetapi dalam kehidupan sebenar, pendukung watak EL, Ungku Ismail sedang bercinta dengan seorang akauntan.
Malah, aktor kelahiran Johor Bahru ini mengakui yang dia sudah lama mengenali akauntan yang kini bertakhta di hatinya itu.
Pengakuan itu dibuat kepada wartawan majalah Harmoni yang mana artikel mengenai kisah cintanya itu sudahpun disiarkan dalam Harmoni keluaran 15 hingga 31 April yang sudah berada di pasaran.
“Saya sekarang sedang bercinta dengan seseorang. Kami sudah lama kenal tetapi baru beberapa bulan bercinta. Dia seorang akauntan,” kata Ungku Ismail Ungku Aziz.
Satu ketika dulu, namanya pernah dikaitkan dengan Zarina Zainordin (AF) apabila mereka sama-sama membintangi drama Syurgamu Ramadan.
Bagaimanapun ‘cinta lokasi’ itu tidak bertahan lama dan hanya bertahan selama empat bulan.
Kini, aktor berusia 30 tahun ini mengakui yang dia selesa berkawan dengan akauntan wanita ini.
Walaupun berlainan bidang, namun gadis berkenaan memahami kerjaya seni Ungku Ismail. Bahkan, akauntan ini juga sentiasa menyokong aktor ini agar mengembangkan lagi karier seninya.
Apakah ini bermakna Ungku Ismail yang pernah melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di University of Strathclyde, Glasgow, Scotland, akan menamatkan zaman bujangnya dalam jangkamasa terdekat?
Jawapannya terdapat dalam majalah Harmoni.
Selain cerita tentang perancangan perkahwinan Ungku Ismail, ada banyak lagi kisah menarik mengenai jejaka ini yang disiarkan dalam majalah tersebut.
Bagi yang merindui lakonannya, tidak lama lagi Ungku Ismail akan muncul dalam drama Bodyguard. Turut membintangi drama ini ialah Raja Ilya, Tunku Hanis, Nazim Othman dan Zain Hamid.