‘Biasalah ada waktu merajuk, bergaduh’ – Kamal nafi rumah tangga bergolak
PETALING JAYA – Rumah tangga didakwa berantakan, pelakon Kamal Adli enggan melayan spekulasi yang sengaja dicetuskan individu tertentu. Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 38, berkata, dia cuma berlapang dada bahkan awalnya berasa lucu mendengar gosip liar itu. “Ada dengar juga orang buat cerita tetapi saya gelak sahaja. Saya pun tak tahu isu apa yang sengaja dibangkitkan. “Saya okey dan cuba menjadi orang yang lebih bersikap terbuka. Biasalah dalam mana-mana perkahwinan ada waktu merajuk, bergaduh. “Sekarang saya makin faham emosi wanita, lebih-lebih lagi melibatkan anak, jadi sebagai suami kita kena lebih bertenang,” katanya ketika ditemui di sidang media drama Hikayat Bawah Putih Bawang Merah, semalam. Biarpun berdepan dakwaan yang mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen, suami kepada pelakon jelita Uqasha Senrose itu lebih selesa bersikap matang. Katanya, dia tidak menyimpan perasaan dendam namun berharap netizen menjaga percakapan sebelum mempercayai dakwaan palsu sehingga sanggup mengecam tanpa usul periksa.
Kata pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu lagi, sebagai manusia dia dan Uqasha mempunyai perasaan sekali gus tetap terdetik rasa kecewa apabila membaca tuduhan dalam media sosial. “Kalau netizen nak mengata, kadang-kadang mereka tidak tahu hal sebenar. Kami pun ada perasaan jadi berhati-hatilah dalam percakapan,” ujarnya. Ditanya mengenai isu dakwaan isterinya mengasari bekas pembantu peribadi, akuinya kes tersebut masih dalam siasatan
polis. “Tak logiklah isu pukul tu. Kalau betul, tunjuk bukti. Saya kasihankan Uqasha yang selalu jadi mangsa dari zaman tuduhan membuli,” katanya.
Pada Ogos lalu, seorang individu yang merupakan pembantu peribadi Uqasha mendakwa dipukul kerana mendedahkan masalah rumah tangga pasangan terbabit kepada ibu aktres itu. Kakak kepada individu berkenaan pula mendakwa, adiknya dipukul sebanyak dua kali termasuk di hadapan ibu pelakon wanita berkenaan.
Bagaimanapun Uqasha menafikan terlibat dalam kejadian itu malah menegaskan tidak tergamak melakukan perbuatan sebegitu. Mengenai pembabitan dalam drama empat episod Hikayat Bawang Putih Bawang Merah bermula 21 Oktober ini pula, Kamal membawakan watak putera. Katanya, dia teruja apabila buat pertama kali berlakon untuk siaran Astro Ceria yang juga menjadi harapannya dapat menarik peminat daripada golongan kanak-kanak. “Ini pertama kali saya berlakon untuk Astro Ceria. Selalu berlakon drama cinta, bagilah saya peluang untuk dikenali penonton kecil.
“Lagi pun apabila anak saya besar nanti, bolehlah saya tunjuk drama ini kepada anak-anak saya,” katanya. Selain Kamal, Hikayat Bawang Putih dibintangi Mira Filzah, Nabila Huda, Amalina Arham dan Datin Lisa Surihani. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10/11/biasalah-ada-waktu-merajuk-bergaduh-kamal-nafi-rumah-tangga-bergolak/
|