KOTA BHARU – Keadaan di Bandar Baru Tunjong di sini hampir lumpuh apabila banjir mencecah paras lutut melanda kawasan itu susulan hujan berterusan sejak malam tadi.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kenderaan tetap meredah banjir sejauh hampir 1 kilometer di laluan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai itu meskipun laluan tersebut ditutup.
Seorang pemandu e-hailing, Ahmad Khairul Shafiq Azlan, 30, berkata, dia yang memandu kereta jenis Perodua Axia meredah banjir di depan sebuah kompleks beli-belah di Bandar Baru Tunjong di sini untuk menghantar penumpang di Kok Lanas kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Menurutnya, dia tiada jalan lain untuk menghantar penumpang kerana Jalan Kemubu yang merupakan laluan alternatif untuk ke Ketereh dan Kok Lanas sudah ditenggelami banjir.
“Saya pada awalnya enggan mengambil penumpang dari pusat bandar Kota Bharu ke Kok Lanas. Apabila memikirkan nasib penumpang itu yang sudah banyak kali ditolak tempahannya oleh pemandu e-hailing hari ini, saya bersetuju untuk menghantarnya.
“Secara kebetulan, saya juga mahu menghantar barang ke Ketereh. Jadi, saya redah juga laluan yang dinaiki air di Bandar Baru Tunjong. Alhamdulillah, kereta saya selamat meskipun terpaksa berhenti di tepi jalan buat seketika selepas meredah banjir,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Ahmad Khairul memberitahu, dia terkejut melihat keadaan banjir di Bandar Baru Tunjong pada kali ini kerana air naik dengan cepat meskipun terdapat takunhan banjir di kawasan tersebut.
Menurutnya, situasi banjir yang melanda kebanyakan kawasan di Kelantan menyebabkan ramai pemandu e-hailing menutup aplikasi mereka agar tidak mendapat tempahan menghantar penumpang ke lokasi yang perlu meredah air.
Sementara itu, seorang peniaga air balang di Bandar Baru Tunjong, Iqbal Ahmad, 28, berkata, dia sudah dua hari tidak berniaga susulan hujan lebat sehingga menyebabkan air di kawasan itu naik.
Menurutnya, banjir paras paha berlaku di depan sebuah kompleks beli-belah di Bandar Baru Tunjong pada malam tadi, namun semakin menurun pada tengah hari ini.
“Nasib baik hujan berhenti kira-kira pukul 1 tengah hari tadi. Jika hujan berterusan, mungkin air akan terus naik di kawasan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/11/27/video-air-paras-lutut-tenggelamkan-jalan-raya-di-bandar-baru-tunjong/